Isnin, 21 Disember 2009

Mencintai dan Menyayangi...

Cinta dan Sayang serta perasaan kasih ada di dalam hati setiap insan.Namun, yang membezakannya adalah cara mempamerkan perasaan itu. Ia tidak sama bagi setiap manusia, juga berbeza antara satu bangsa dengan satu bangsa yang lain. Namun sesuatu yang pasti, perasaan cinta dan sayang selalunya ia dapat dilihat melalui sikap dan kata-kata. Sebuah syair arab pernah menyebut :

" Tanda-tanda cinta tidak dapat disembunyikan oleh seseorang laksana pembawa kasturi tidak dapat menyembunyikan keharumannya"


Perasaan sayang terletak jauh di dasar hati, tetapi ia boleh disuburkan melalui tindakan zahir seperti melalui kata-kata dan perlakuan yang baik. Suka untuk saya apabila memperkatakan berkenaan tajuk ini, saya akan membawa contoh bagaimana Islam melihat CINTA dan SAYANG ini.Pada hemat saya, perasaan cinta dan kasih sesama makhluk selain kepada ahli keluarga dan sahabat, adalah pada ikatan perkahwinan.Hanya inilah jalan yang Islam ajar dan tunjukkan kepada bangsa ADAM dan HAWA yang ingin menjalinkan perasaan CINTA dan SAYANG sesama mereka.Tanpa akatan ini, pelbagai kerosakan moral akan berlaku.Buktinya saya bawa dari firman Allah dalam Surah Al-Isra' ayat 32 :




Allah juga ada berfirman di dalam Surah Al-Imran ayat 14, untuk menceritakan kepada kita tentang CINTA ini :





CINTA dan SAYANG Dalam Hidup Berumah Tangga





Cinta yang sebenar antara lelaki dan wanita adalah selepas akad nikah diselesaikan.Hal ini kerana, jalinan cinta yang bebas antara lelaki dan wanita sebelum berkahwin akan mengundang 1001 bencana. Sebab itulah Nabi pernah menyebut:

" Aku tidak meninggalkan sesudahku satu fitnah yang lebih berbahaya kepada lelaki melainkan wanita" (HR Bukhari, no. 5096, Muslim no. 2740)

Rasa sayang seorang suami terhadap isteri akan dipamerkan melalui sikap dan kata-kata secara spontan tanpa perlu dipaksa dan begitu juga sebaliknya.Hal ini bermakna, pasangan suami isteri tidak perlu berlakon di depan orang ramai untuk memperlihatkan perasaan saling menyayangi sesama mereka. Mereka tidak perlu berpelukan, atau berkucupan di khalayak ramai semata-mata untuk memberitahu bahawa mereka adalah pasangan bahagia dan saling mencintai. Cara itu bukan sahaja tidak sesuai dengan akhlak Islam, malah menyalahi etika budaya timur. Biarpun begitu, perasaan cinta suami isteri perlu disuburkan. Demikian juga perasaan sayang ibu bapa dan anak-anak. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

“ Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi"





Senyuman mesra isteri menyambut kepulangan suami sudah cukup mengambarkan perasaan cinta dan sayangnya yang tidak berbelah bahagi. Jika ini dijadikan amalan harian, nescaya cinta akan subur seperti tanaman yang disiram baja secara berterusan mengikut aturan. Kucupan suami pada dahi isteri yang mengiringinya ke pintu sebelum si suami melangkah keluar ke tempat kerja sudah memadai untuk mencerminkan rasa hormat dan cinta yang bersemi di hati. Rasa hormat dan cinta itu akan subur sekiranya dibajai selalu. Hal ini membukti bahawa cinta itu terlalu seni.

Tidak ada perlakuan dan kata-kata yang tepat untuk mengungkapkan seluruh perasaan cinta seseorang terhadap orang yang dicintainya. Lain orang., lainlah cara ungkapan dan luahan rasa cintanya. Walaupun ungkapan " Aku mencintaimu" ( I LOVE YOU ) selalu diungkapkan oleh pasangan kekasih atau suami isteri di layar perak, namun dalam realiti kehidupan, pelbagai bentuk sikap dan ungkapan lain digunakan untuk membawa maksud yang sama. Perhatikan ungkapan-ungkapan ini sekadar contoh:

" Cantik Siti tengok abang pakai baju ni"


" Abang memang minat laksa, tapi kalau Aisyah yang masak, lagilah abang berselera makan"


" Nah, abang bawa buah tangan ni untuk Fatimah dan anak-anak"

" Hati-hati memandu ya, bang...."


Demikian antara ungkapan-ungkapan secara tidak lansung (indirect) yang mencerminkan rasa kasih dan sayang antara suami isteri. Namun begitu, jika mengungkapkan rasa cinta secara langsung dan terus terang sudah menjadi budaya atau kemestian bagi sesuatu bangsa, maka tidak salah ungkapan " Aku mencintaimu" menjadi basahan bibir suami isteri. Dari mata akan turun ke hati.

Hal ini merupakan ungkapan yang mengambarkan peranan mata untuk jalinan cinta. Justeru, jangan harapkan cinta akan subur jika pasangan suami isteri selalu mengelak untuk bertentang mata bila berbicara. Antara bukti cinta ialah adanya ingatan pada orang yang dicintai. Malah tanda seseorang itu ingat akan sesuatu atau seseorang ialah dia selalu menyebut-nyebutnya. Rasulullah s.a.w mengungkapkan kata-kata berikut kepada Sayidatina Aisyah r.ha untuk mengambarkan ingtan dan perasaan sayangnya kepada isteri baginda Sayidatina Khadijah r.ha yang telah wafat.:


" Khadijah mencintaiku disaat aku sengsara. Khadijah beriman kepadaku pada waktu orang lain tidak percaya dan menganggapku gila. Khadijah memberikan banyak sekali pengorbanan untukku ketika orang lain memusuhiku. Patutkah aku melupakan perempuan seagung itu walaupun misalnya dia bukan isteriku? Dan dia adalah isteriku dan ibu kepada anak-anakku. “


Dalam meluah dan mempamerkan rasa cinta, batas yang diperaturkan oleh Islam ialah perlunya ada rasa malu. Adanya perasaan malu merupakan cermin iman di hati. Perasaan malu menghalang luahan cinta di luar batasan. Disebabkan hilang atau kurang rasa malu, pasangan-pasangan di barat mempamerkan rasa cinta dengan perlakuan yang tidak bermoral.

Perasaan malu juga menjadi benteng untuk imbangan diri tatkala mengalami gelodak cinta yang tidak kesampaian. Seorang gadis yang menyimpan rasa cinta pada seorang teruna tidak akan bertindak di luar batasan jika ada perasaan malu di hati. Dia percaya, cinta seumpama itu hanya dapat disuburkan melalui ikatan perkahwinan, tetapi jika bukan jodohnya, dia rela menjadi ‘scret admirer’ kepada si teruna dan rasa cinta itu satu waktu akan hilang dengan sendirinya bila Allah pertemukan jodohnya dengan teruna lain. Dalam hubungan cinta antara ibu bapa dan anak-anak, cendekiawan Islam pernah berkata:


‘Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.’


Ertinya di sini, Allah Yang Maha Penyayang memakbulkan doa orang yang penyayang jika dia berdoa untuk orang disayanginya.Hal ini merupakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita yang bergelar ibu. Oleh sebab itu, bertepatanlah dikatakan bahawa doa ibu sangat makbul. Bahkan, tidak keterlaluan untuk saya katakanan bahawa sumpah seranah seorang ibu boleh bertukar menjadi doa !.

Dengan kekuatan cinta, seorang wanita dapat membentuk dan mendidik anak-anaknya ke arah yang diredhai Allah. Sebaik-baik didikan ialah yang dimulakan dengan mengajar,mentarbiah dan mengenalkan anak-anak kepada Allah hingga si anak dapat belajar mencintaiNYA. Tetapi belaian, asuhan dan didikan seorangn ibu tidak mencukupi sekiranya tidak disertakan dengan doa yang berterusan. Doa adalah tanda ingatan kita kepada Pencipta. Dan doa juga merupakan bukti cinta hamba kepada Tuhannya.


CINTA dan SAYANG Sahabat Kepada Rasulullah


Di dalam sirah Ibnu Hisham diceritakan satu kisah sahabat bernama Saad bin Rabe'yang terlalu kasihkan Rasulullah SAW dan Rasulullah pun kasih kepadanya. Kisah yang menarik ini dirakamkan selepas berlakunya perang Uhud yang tentera Islam tewas disebabkan tidak mentaati perintah Rasulullah.

Sebaik saja peperangan berakhir, ramai di kalangan sahabat yang gugur syahid. Tetapi Nabi SAW yang dahinya masih luka berdarah serta patah gigi, namun baginda tetap terkenangkan seorang sahabat yang baginda kasihi dan sayangi iaitu Saad bin Rabe'.

Di kalangan pasukan perang yang masih hidup itu, Nabi SAW tidak melihat kelibat Saad bin Rabe'. Tergerak di hati Nabi untuk mengetahui keadaan Saad bin Rabe', sama ada Saad masih hidup ataupun turut terkorban bersama syuhada yang lain.

Nabi SAW minta jika ada di kalangan sahabat sedia berkhidmat bagi pihak Rasulullah SAW, untuk berusaha mencari Saad bin Rabe' bagi mengesahkan kedudukannya yang sebenar, sama ada hidup atau gugur syahid.

Lalu bangun seorang sahabat dari kalangan Anshar menawarkan diri untuk melaksanakan kehendak Nabi SAW bagi mencari Saad.

Setelah mencari di segenap penjuru medan Uhud akhirnya Saad bin Rabe' ditemui dalam keadaan luka parah. Beliau dikekelilingi oleh jenazah para sahabat yang lain. Tetapi keadaan Saad di antara hidup dan mati, malah boleh dikatakan kematian sudah begitu hampir dengannya.

Sahabat Anshar bertanya kepada Saad: "Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan aku supaya mencari engkau, untuk mengetahui tentang dirimu. Bagaimana keadaan kamu wahai Saad?" Jawab Saad dalam nada lemah: "Sesungguhnya aku berada dalam kalangan orang yang mati. Oleh itu kembalilah engkau bertemu Nabi katakan kepada baginda bahawa aku berkirim salam."

Berkata Saad seterusnya dengan nada yang tersekat-sekat: "Bahawa aku berserah diri kepada Allah SWT untuk membalas jasa Nabi SAW, kerana aku tidak dapat membalas jasa baginda yang telah mempimpin dan mengasuhku, hingga aku menjadi seorang mukmin dan menjadi pengikut Nabi SAW yang setia."

Kata Saad lagi: "Jika engkau kembali ke Madinah, aku juga berkirim salam dengan sahabat-sahabat kita di Madinah. Katakan kepada mereka, bahawa Saad bin Rabe' menyampaikan pesanan kepada anda sekalian. Bahawa jika anda masih hidup sedangkan kamu tidak mempertahankan Nabi sehingga Rasulullah SAW dibunuh oleh musuh, maka kamu tidak akan ada alasan atau jawapan ketika ditanya oleh Allah Taala di akhirat kelak."

Saad berpesan kepada sahabat-sahabat yang masih hidup supaya menjaga keselamatan Nabi s.a.w., kerana dirinya sudah sangat hampir dengan ajal dan tidak berdaya untuk menjaga Nabi lagi. Amaran Saad kepada mereka jika nadi masih berdenyut, sedangkan mereka tidak melindungi Nabi dari bahaya sehingga terkorban di tangan musuh. Nescaya ia menjadi satu kesalahan besar, mereka tidak ada sebarang alasan atau jawapan apabila ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Sahabat Anshar terharu mendengar kata-kata terakhir Saad bin Rabe', dia terpaku seketika sehingga Saad menghembuskan nafasnya yang akhir. Setelah itu sahabat Anshar beredar dan kembali semula menemui Nabi SAW, beliau menyampaikan salam dan pesanan Saad bin Rabe' kepada Nabi sejurus sebelum ajalnya tiba.

Begitulah hebatnya sahabat-sahabat Nabi untuk mencintai dan menyayangi Rasulullah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :


“Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa’i)


Utusan Malaysia, bertarikh 11/4/2006 :


Orang-orang yang benar-benar mengasihi dan mencintai Rasulullah s.a.w. akan sentiasa menzahirkan pernyataan kasih sayang tersebut dalam segenap dimensi kehidupan mereka. Seorang ulama besar al-Imam al-Qhadi ‘Iyadh al-Yahsubi telah menyenaraikan dalam kitabnya, Al-Syifa’ bi al-Ta’rif Huquq al-Mustafa, tentang tanda-tanda, bukti atau dalil bagi orang-orang yang mencintai Rasulullah s.a.w. Penzahiran cinta kasih, rindu dan sayang kepada baginda akan terserlah dalam diri individu Muslim itu berdasarkan tanda-tanda berikut:

Pertama: Mengikuti deen (agama dan cara hidup) Rasulullah s.a.w., mengamalkan sunah baginda, mematuhi perkataan dan perbuatannya dalam segala keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Sentiasa mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah dalam segala keadaan, sama ada ketika susah ataupun senang, sewaktu sedih ataupun gembira. Allah s.w.t. menegaskan hal ini dalam firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah pasti akan mengasihi kamu. Dan ingatlah, Allah maha pengampun lagi maha mengasihani. (Ali-Imran: 31)

Malah, orang yang benar-benar mengasihi Nabi s.a.w. akan mendahulukan dan mengutamakan syariat baginda daripada dorongan kehendak dan nafsunya sendiri. Situasi ini telah dibuktikan dengan pengorbanan yang cukup besar oleh orang-orang Ansar terhadap saudara seagama mereka iaitu orang-orang Muhajirin. Allah merakamkan peristiwa ini dalam firman-Nya: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat memerlukan.” (Al-Hasyr: 9)

Kedua: Mereka yang mencintai Nabi s.a.w. akan sentiasa melazimkan diri mengingati dan menyebut selawat ke atas baginda. Selawat kepada Rasulullah s.a.w. merupakan ungkapan kerinduan serta luahan rasa cinta kasih seorang umat kepada baginda. Islam memberi ganjaran yang lumayan kepada orang yang banyak mengucapkan selawat ke atas Rasulullah kerana baginda menjanjikan 10 kali ganda balasan rahmat daripada Allah kepada mereka yang berselawat ke atas baginda. Firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya." (Al-Ahzab: 56)

Memperbanyakkan selawat ke atas baginda adalah perkara sunat yang menjadi bukti betapa kasihnya seorang umat kepada Rasulnya. Tatkala kita mendengar nama baginda, maka sunat bagi kita menyebutkan selawat ke atas Rasulullah. Baginda sendiri menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa sesiapa yang berselawat ke atas baginda sekali, maka akan diganjarkan kepada mereka yang berselawat itu dengan 10 ganjaran.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi s.a.w. lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah, bilakah akan berlaku hari kiamat?” Jawab baginda, “Apakah yang telah engkau sediakan untuk menghadapi hari kiamat?” Jawab lelaki itu, “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan sembahyang, berpuasa (puasa sunat) atau bersedekah, tetapi aku amat kasih akan Allah dan Rasul-Nya.” Maka sabda baginda, “Engkau akan bersama dengan yang engkau kasihi.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Mencintai

Ketiga: Antara tanda orang yang mencintai baginda ialah membenci apa yang dibenci oleh Rasul-Nya, memusuhi orang yang memusuhinya, menentang mereka yang menyalahi sunahnya dan melakukan perkara bid’ah dalam agamanya serta memandang berat terhadap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.

Allah s.w.t. menjelaskan dalam firman-Nya: "Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka atau kaum keluarga mereka sendiri." (Al-Mujadalah: 22)

Mereka’ yang dimaksudkan dalam tafsiran ayat di atas ialah sahabat-sahabat baginda yang telah membunuh orang yang mereka kasihi (bapa, bapa saudara, saudara kandung dan ahli keluarga) dalam peperangan fi sabilillah kerana keingkaran yang jelas terhadap Islam serta penentangan mereka yang keras terhadap dakwah Rasulullah. Para sahabat Rasulullah melakukan semua ini semata-mata kasih kepada baginda dan mengharapkan keredaan Allah.

Ibnu Abbas menyatakan, antara sahabat baginda yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah Abu Ubaidah yang telah membunuh bapanya dan Mus’ab ibnu ‘Umair yang telah membunuh saudaranya dalam peperangan Uhud. Saidina Ali dan sahabat-sahabat yang lain sanggup membunuh ahli keluarga mereka, manakala Saidina Umar sanggup membunuh bapa saudaranya Al-‘As ibnu Hisyam dalam peperangan Badar. Kesemua mereka yang terbunuh ini adalah kaum keluarga para sahabat yang mengingkari perintah Allah serta melancarkan perang terhadap Rasulullah dan umat Islam.

Keempat: Mengasihi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah dan dengannya manusia mendapat petunjuk. Baginda sendiri mengikuti petunjuk al-Quran sehingga isteri baginda Aisyah r.a. mengungkapkan bahawa ‘akhlak baginda adalah al-Quran’. Tanda kita kasih terhadap al-Quran ialah dengan membacanya, beramal dengannya, memahami tafsiran dan tuntutannya, menjunjung suruhannya serta meninggalkan larangannya.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan apa juga perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua larangan daripada kamu melakukannya maka patuhilah larangannya." (al-Hasyr: 7)

Adalah menjadi kewajipan terhadap umat baginda yang kasih dan sayang terhadap baginda untuk sama-sama memelihara akidah, mendaulatkan dakwah, menghidupkan syariat dan sunah baginda secara syumul. Syariat dan sunah Rasulullah perlu diterima secara mutlak dan perlu dilaksanakan sewajarnya tanpa sebarang alasan dangkal atau sebab-sebab yang tidak sepatutnya (yang hanya berpandukan logik akal semata-mata). Jika semua ini dapat kita laksanakan sambil mengharapkan keredaan Allah, ini bermakna kita telah memiliki tanda-tanda orang yang kasih dan cinta kepada baginda.

Sesungguhnya telah jelas kepada kita bahawa Rasulullah adalah insan yang paling layak dan wajib dikasihi dengan sebenar-benarnya di sisi syarak.
Comments
4 Comments

4comments:

Soul Ihya' Yakuza berkata...

ahsanta..post yang menarik..teruskan...harap pasni boleh terus terbitkan entri yang mantap macam ni...blogger mesti sentiasa pro aktif..study dulu bahan bahan ilmiyah yang ingin diterbitkan...semuga dirimu menjadi perintis blogger KDRI yang ulul albab...

mujahidah solehah berkata...

slm..tulisan yg sgt menarik hati..hazwan tulis sendiri ker..tahniah!menulis perlu ilmu dan disulami sentuhan jiwa yang tak pernah menipu..dari kata-kata, kita dapat menilai manusia..dari bahasa, lahirlah sebuah cereka bahagia mahupun derita..teruskan usaha..akak akan terus menjadi pembaca yg setia..

محمد حذوان بن حميدان berkata...

trime kasih buat semua.. (^_^)

Ridzuan Digital4All berkata...

Barakallahu fika ya akhi..
Perkongsian yang baik untuk kita pergunakan di masa kini dan masa hadapan.

Syeikh, Mana dapat ayat2 ni:

" Cantik Siti tengok abang pakai baju ni"


" Abang memang minat laksa, tapi kalau Aisyah yang masak, lagilah abang berselera makan"


" Nah, abang bawa buah tangan ni untuk Fatimah dan anak-anak"

" Hati-hati memandu ya, bang...."

Macam ada pengalaman ja...

Syeikh, ana gurau ja...
Teruskan menulis, ana sendiri pun perlu lebih belajar lagi dr enta...