Khamis, 20 Disember 2012

Manifestasi Sebuah ‘Cinta’

Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan

Salam mahabbah buat semua sahabat pembaca. Pertama sekali sama-samalah kita bersyukur kepada Allah kerana masih meminjamkan nikmat IMAN dan ISLAM serta nikmat kehidupan kepada kita supaya kita dapat terus mengabdikan diri kepada Nya. Ingatlah tiada satu kebahagiaan pun melainkan dapat menatap zatNya yang agong di akhirat kelak,amin..

Perjalanan masa semakin pantas dan cepat dirasai. Ia hanya akan diesedari bagi mereka yang sentiasa merenung dan menilai keadaan sekeliling dan suasana semasa yang berlaku saban hari. Sedarkah kita semakin masa berlaku semakin hamper kita ke ambang kematian ? sedarkah anda semakin banyak tanda-tanda qiamat kecil dan beberapa tanda qiamat besar sudah berlaku dan berlalu ? semua itulah yang membuktikan perjalanan masa semakin pantas. Namun ia hanya akan disedari bagi mereka yang Allah bukakan pintu hati untuk sedar. Moga kita tergolong dalam golongan tersebut, amen.

Dalam kesesakan masa kehidupan ini, masyarakat muda mudi masih terus dibuai dan diruntun rasa cinta. Apa yang dikesalkan cinta yang dikejar, ditagih dan diperjuangkan hanyalah sebuah buaian cinta manusiawi yang sifatnya tidak pernah kekal dan tekal. Penagihan kepada cinta ini yang tidak disalurkan dalam ruang dan jalan yang halal membawa kepada sebuah hasil yang akhirnya membuahkan sia-sia dan membuang masa. Bilakah mahu kembali sedar dan insaf ? tunjuk dan tanyalah diri kita masing-masing!

Semaian Benih Cinta Rasul

Alhamdulillah, dalam ruang massa yang penuh dengan kesyikan dan keseronokkan mengejar cinta dunia , masih terserlah segolongan pemuda pemudi yang terus berusaha dan mempromosikan kepada sebuah cinta. Cinta kepada batang tubuh seorang manusia agong yang suci dan dipeliharakan oleh Allah daripada dosa dan noda. Dialah  kekasih hati kita semua, Nabi Muhammad SAW.    

Lahir dan terbitkan ‘gerakan’ dan golongan ini di tanah air kita umumnya dan di medan kampus khususnya yang bersama-sama menyeru kepada sebuah cinta Rasul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ianya mula diterima oleh masyarakat kampus dan luar kampus. Sudah tidak asing lagi.

Medium qasidah menjadi ‘sajian’ utama mendekatkan para muhibbin ,masyarakat awam dan sekalian pendengar dalam mengetuk pintu hati dalam melahirkan rasa SEDAR serta MAHU mendokong kecintaan kepada kekasih hati kita ini yang akhirnya membawa kita terus kepada perjuangan yang lebih besar dalam menjaga , mengekalkan dan memperjuangkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Anak Muda Cinta Rasul !

Asas kepada tema ini, satu program Malam Mahabbah dan Ceramah Perdana oleh Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakri telah dianjurkan di Surau Kolej Kediaman 1, USIM pada hari Selasa yang lepas. Di kesempatan ruang dan masa serta keizinan dari yang Maha Esa, saya berkesempatan ke sana untuk bersama-sama merasai suasana ilmu dan manifestasi cinta yang hendak dilahirkan. Terima kasih kepada akhi Arif Amran selaku tuan rumah yang sudi menjadi penunjuk jalan setibanya saya di bumi USIM, moga Allah sentiasa merahmati kita dalam meruntun jalan-jalan ilmu dan petunjuk Allah, ameen~

 

Beberapa bait qasidah seperti Busyralana dan selawat menjadi ‘sajian’ kepada pembuka malam mahabbah tersebut. Ceramah Perdana oleh Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakri mengenai Mahabbah atau cinta menjadi kemuncak kepada program ini. Antara isi penting daripada ceramah Dr. Zul akan saya kongsikan di dalam penulisan saya kali ini, insyaAllah.





qasidah Busyralana yang dialunkan bersama-sama


Perkongsian Daripada Ceramah   

1) Cinta terbahagi kepada 2 iaitu cinta kepada manusia dan cinta kepada Ilahi.

2) Dr. Zul menyebut sebuah hadith nabi yang membicarakan soal cinta,

"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya , dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api". (HR Bukhari dan Muslim)

3) Apabila disebut Cinta kepada Rasul, ia berkait rapat dengan keIMANan kita,

“…Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya” = “memperolehi kemanisan iman

4) Kebiasaannya seseorang sanggup menjadi HAMBA kepada apa yang dicintainya. Dr. Zul membawa contoh cinta seorang lelaki kepada wanita dan begitu juga sebaliknya.

5) Apabila disebut cinta, sebagai orang beriman cinta itu perlulah lahir daripada dasar keIMANan.

6) Dalam ruang lingkup cinta sesama manusia, Rasulullah telah memberikan dan mempamerkan sebuah manifestasi cinta baginda kepada sahabat baginda apabila baginda sendiri menzahirkan rasa cinta itu baginda kepada sahabat baginda . Dr. Zul membawa contoh seorang sahabat nabi yang bernama Muaz.

7) Sirah dan kisah para sahabat mempamerkan Mahabbah lil Qulub (cinta antara hati) antara Nabi dan para sahabat.

8) Dr. Zul menyebut beberapa ASAS dan SYARAT yang kebiasaannya akan dilakukan oleh orang yang mencintai seseorang (dan ASAS ini perlu kita buat dan terjemahkan dalam mencintai Rasulullah) :

- Ikut , taat dan patuh kepada orang yang dicintai
- Banyak menyebut nama dan mengingati orang yang dicintai
- Segala apa yang ada pada orang yang dicintai akan turut disukai dan dicintai
- Cuba untuk meniru dan berakhlak seperti mana orang yang dicintai

9) Antara perkara penting yang mesti kita lakukan sebagai BUKTI kecintaan kita kepada Rasulullah adalah dengan mempertahankan baginda!

Kesimpulan

Hendak ber’cinta’ memerlukan kepada ilmu, khususnya dalam menjalani cinta Allah dan Rasul. Pendek kata setiap perkara alam kehidupan ini tidak lari daripada ilmu untuk kita beramal. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah manakala amal tanpa ilmu memperlihatkan kepada sia-sia dan gila !

SYIRIA : Isu bersama !

Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan

Salam mahabbah dan ukhuwwah buat semua sidang pembaca. Moga Allah sentiasa merahmati dan memberikan petunjuk kepada kita, ameen~
Isu di Syiria sudah tidak asing lagi apabila ianya sudah menjadi isu penting bukan sahaja buat masyarakat Islam malah buat semua manusia di dunia sama seperti isu Palestin yang dari dulu tidak habis diperjuangkan.

Atas kesedaran itu Prof. Dr. Muhammad Ali Al-Sobuni yang merupakan seorang ulama tafsir dan ulama terkemuka di Syiria ,menjadikan Malaysia sebagai salah satu Negara yang diziarahinya bertujuan untuk memberikan penerangan jelas melalui road show nya akan situasi sebenar yang berlaku di Negara nya  agar melahirkan rasa FAHAM dan SEDAR bagi masyarakat kita untuk sama-sama memperjuangkannya.


Alhamdulillah, salah satu muhadharah yang sempat dan diizinkan oleh Allah untuk saya ikuti semasa Syeikh turun di Fakulti Pengajian Islam UKM, baru-baru ini. Syeikh Dr. Ali menggunakan bahasa Arab fushah sebagai medium perantaraan rasminya dalam setiap sesi cerama beliau. Apa yang menarik, ceramah kali ini penterjemah tidak banyak menterjemahkan kata-kata Syeikh dan hanya mengulas sedikit isi penting dan kesimpulan di akhir ceramah. Hal ini bagi saya bersesuaian dengan fakulti tersebut yang bagi saya semestinya pendengar boleh memahaminya, he3. InsyaAllah beberapa isi penting yang saya sempat catatkan melalui kefahaman yang terhad dan cetek akan penguasaan bahasa Arab akan saya cuba kongsikan dalam artikel kali ini.  

Sebenarnya tidak banyak kelainan isi ceramah Syeikh dalam setiap ceramah di setiap tempat Syeikh ziarahi. Keseluruhannya lebih berkisar kepada beberapa input umum dan penting yang mesti masyarakat kita tahu dan sedar.  

bersama akhi Shahir yang setia turun ke 'medan' ilmu , he3


Perkongsian PENTING !

1) Kepentingan dan kewajipan memperjuangkan tanah air Syiria adalah sama penting malah lebih penting dengan memeprjuangkan tanah Palestin.

2) Tanah air Syiria bukan hanya diperjuangkan oleh rakyat Syiria semata-mata.
Golongan Syiah telah membunuh begitu ramai penganut aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di Syiria.

3) Syiria merupakan isu penting yang perlu diperjuangkan oleh semua umat Islam seluruh dunia.

4) Syeikh menggelarkan ‘Hizbullah’ (tentera Syiah di Iran) sebagai ‘Hizbus Syaiton’ (tentera Syaitan) kerana kekejaman yang telah mereka lakukan kepada masyarakat Islam yang menganut aliran ASWJ di Syiria.

5) Di akhir sesi ceramah Syeikh, seorang pensyarah FPI telah bertanya satu soalan kepada Syeikh :

SOALAN :

“Apakah pandangan dan respon Syeikh mengenai Syeikh Dr. Ramadhan al-Butti dan Syeikh Taufiq yang bersekongkol atau bersama-sama dengan Basyyar Assad , adakah mereka berijtihad sehingga melakukan sedemikian ??

JAWAPAN :

Secara ringkasnya Syeikh memberitahu hakikatnya mereka tidak berijtihad tetapi mengarut. Mereka tergolong dalam golongan Mujrim (bersubahat), mereka bukan Ulama’ tapi ‘Umala (tali barut). Syeikh sangat marah dan bertegas kepada ulama yang telah menyembunyikan kebenaran dan menyelewengkan fakta yang sebenar. Syeikh mengeluarkan padangan tersebut berdasarkan firman Allah :

“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).

Menurut Syeikh, ulama juga tidak terlepas daripada kesesatan dan tertipu dengan ilmunya. Sebab itulah terjadinya Ulama yang menjual fatwa untuk kepentingan kedudukan, pangkat dan harta. Umat akan keliru, bahkan mungkin akan tersesat. Justeru, janganlah hairan jika al-Quran tidak pernah mensifatkan mana-mana golongan seperti anjing melainkan golongan ulama yang menjual agamanya untuk mendapatkan habuan dunia.

Kesimpulan

Sebagai rakyat dan manusia yang Allah berikan akal fikiran yang berpandukan wahyu ilahi seharusnya kita mampu berfikr dan membuat pertimbangan dalam setiap keadaan, situasi dan masalah yang mendatang. Moga Allah sentiasa memberikan petunjuk dan membantu masyarakat Islam di Syiria juga umat Islam di seluruh dunia, ameen~

Rabu, 21 November 2012

Talk Fiqh USIM 2012 : Fiqh Sirah

Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan

Salam ukhuwwah buat semua sahabat pembaca sekalian. Moga Allah sentiasa merahmati dan mencucuri rahmat serta pertolongan khususnya buat sahabat dan saudara seISLAM kita di bumi Palestin serta keseluruhan umat Islam amnya, amen.

Alhamdulillah dalam ruang masa cuti semester yang ringkas ini Allah mengizinkan saya untuk terpilih memenuhkan tempat dan ruang-ruang kosong yang ada di majlis-majlis ilmu yang sempat dan mampu untuk saya hadir bersama-sama sahabat-sahabat.

Antara majlis ilmu yang sempat saya dan sahabat hadir iaitu Talk Fiqh di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Jarak yang begitu dekat antara rumah saya dengan kampus yang hanya mengambil masa 15-20 minit ini, tidak dapat membantutkan semangat saya dan sahabat saya untuk menghadirinya. Di USIM sekarang sedang berlansungnya Fiqh Week, maka begitu banyak majlis-majlis dan kuliah-kuliah ilmu yang dianjurkan di dewan-dewan kuliah yang ada dengan memaparkan begitu ramai penceramah dan para astatizah yang begitu hebat dan mantap ilmunya menurut kepakaran dan pengkhususan masing-masing.

Peluang yang julung-julung kali untuk diperoleh lebih-lebih lagi saya selaku ‘orang luar’ dan bukan penunutut di USIM, secara peribadi saya merasakan ia merupakan satu peluang keemasan kerana dapat mendengar atau bertalaqqi secara lansung dengan figure-figure hebat ini dan tidak hanya sebelum-sebelum ini hanya mendengar kuliah-kuliah mereka di youtube sahaja.





Pengkuliah jemputan yang dijemput untuk memenuhi Talk Fiqh mengenai Fiqh Sirah berkenaan perjuangan Rasulullah dan para sahabat ini ialah Ustaz Rashidi Jamil. Beliau merupakan seorang pegawai penyelidik dari bahagian penyelidikan JAKIM. Cara penyampaiannya yang bersahaja dan nada suara yang sederhana mengingatkan saya kepada seorang tokoh ilmuan hebat tanah air iaitu Ustaz Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di USIM. Rupa-rupanya Ustaz Rashidi ini mempunyai jalinan persaudaraan dengan Dr. Zul. Maka tidak hairanlah cara dan style penyampaian beliau serba sedikit tidak tumpah seperti Dr. Zul ini.

Kehebatan dan kepakaran Ustaz Rashidi mengenai sirah secara peribadi tidak dapat saya nafikan. Beliau mampu memberikan kuliah tanpa sedikit pun merujuk kepada apa-apa nota, slide mahupun kitab. Pendek kata kesemua input, point penting, kisah sirah dan nama-nama kitab sudah di save di dalam mindanya. Begitu banyak mutiara ilmu yang Ustaz berikan dalam majlis ini, namun tidak semua dapat saya terjemahkan ke dalam simpanan nota saya. Dalam Talk Fiqh ini Ustaz banyak menekankan pengorbanan baginda Nabi menerusi kisah penghijrahan baginda bersama para sahabat.


Namun, beberapa input dalam yang sempat saya catat , ingin saya kongsikan kepada semua sahabat pembaca. Moga ia sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada para pembaca.

1. Pengorbanan Nabi meninggalkan kampung halaman (Mekah) untuk berhijrah ke Madinah, menurut ulama baginda Nabi meninggalkannya dalam keadaan penuh kesedihan

2. Keadaaan masyarakat jahiliyyah di Mekah ketika itu begitu teruk apabila mereka bertawaf di sekeliling Kaabah tanpa berpakaian (bertelanjang) sambil bertepuk tangan

3. Antara perjuangan sahabat Nabi semasa hendak berhijrah antara ialah ‘Iyash dan Hisham yang memilih untuk berhijrah secara jahar (terang-terangan) bersama-sama Saidina Umar al-Khattab melaui jalan utama. Namun ‘Iyash dan Hisham sempat dan berjaya ditangkap hasil tipu helah dan perangkap Abu Jahal dan para Musyrikin Mekah yang lain.

4. Sebelum Rasulullah hendak berhijrah, perbincangan 13 ‘ahli parlimen’ Musyrikin Mekah ketika itu yang di dalamnya turut dianggotai oleh Iblis di Dar An-Nadwah telah membincangkan USUL untuk mencari jalan menjatuhkan hukuman kepada baginda Nabi. Antara 3 USUL yang telah diutarakan oleh ‘ahli parlimen’ tersebut iaitu :

-          Nabi dibuang daerah
-          Nabi dipenjarakan
-          Nabi dibunuh



5. Namun, USUL yang ketiga yang dicadangkan oleh Abu Jahal iaitu Nabi perlu dibunuh telah sepakat dipersetujui oleh Iblis dan ‘ahli parlimen’ yang lain.

6. Allah mewahyukan kepada baginda Nabi melalui perantaraan Jibril mengenai USUL yang telah diputuskan untuk membunuh baginda.

7. Dengan bantuan Allah melalui kudrat dan iradatNya, baginda Nabi dapat melepaskan diri daripada kepungan pembunuh yang hendak membunuh baginda apabila diwahyukan supaya mengambil pasir dan menaburkannya ke atas pembunuh-pembunuh itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah Yasin. Sehingga mereka dalam keadaan sedar tidak dapat melihat Nabi melepas dan melarikan diri dari rumah tersebut.



Catatan ini hanya secebis daripada keseluruhan mutiara ilmu di dalam majlis tersebut yang sempat saya coretkan di dalam buku nota saya. Begitu banyak kisah dan point menarik yang saya tidak saya nyatakan di sini yang antaranya mengenai kisah Ahlu Kiyafah (golongan pakar mengesan tapak kaki di padang pasir), kisah sikap dan sifat golongan Ansar dan masyarakat Yathrib satu ketika dahulu bersama kerajaan Yaman sebelum kedatngan Islam dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya, semakin ilmu ditagih dan dicari, semakin menyerlah lah kejahilan dan tidak tahunya kita kepada ilmu Allah yang begitu luas. Justeru pesanan buat diri saya sendiri dan siding pembaca, jangnlah mudah mendabik dada dan merasakan hebat dan tingginya ilmu kita yang sedikit yang baru Allah izinkan untuk kita peroleh. Hal ini kerana beratus-ratus malah beribu-ribu figure dan orang yang lebih pandai dan faqih di luar tempat kita yang kita tidak tahu kewujudan mereka. Ilmu Islam yang mereka dapat secara terus daripada guru-guru dan masyaikh serta kitab utama dan mu’tabar daripada bumi Anbi’a, secara lansung sentiasa menguatkan hujah serta meyakinkan kita kepada disiplin, sumber ilmu dan tafsiran yang tepat mengenai ssuatu perkara dan ilmu. Wallahualam.

JOM mendengar Talk Fiqh seterusnya pada malam ini ! Jangan lepaskan peluang! (^_^)






Di kesempatan ini juga, saya menyeru dan mengajak untuk sidang pembaca yang mempunyai ruang masa untuk turut tidak melepaskan peluang menadah ilmu ke Daurah Kitab di Pondok Kandis yang tidak lama lagi, JOM!



Sabtu, 6 Oktober 2012

KeRAPUHan Sebuah ‘Hati’


Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan


Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka
Tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan
Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Ku persembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidupku

Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu
Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada ku harap hanya
Dirimu yang bertakhta
Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu
[Opick-Rapuh]

Sebuah coretan buat diri sendiri yang sentiasa alpa dan lalai dalam mengejar cinta illahi…

Sisipan hadith-hadith sahih yang menbicarakan soal hati,


Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As berkata bahawa saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati-hati anak Adam semuanya di antara dua jari daripada jari-jari Allah s.w.t. seperti satu hati, Dia memalingkannya mengikut kehendak-Nya. Kemudian baginda berdoa: “Ya Allah, Tuhan yang memalingkan hati-hati, palingkanlah hati-hati kami kepada ketaatan-Mu.” (HR Muslim, no: 2654)

Riwayat yang lain,


Daripada Anas katanya Rasulullah s.a.w. selalu mengucapkan: “Wahai Tuhan yang memalingkan hati-hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas agama-Mu. Saya bertanya: “Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepada tuan dan ajaran yang tuan bawakan adakah tuan bimbang akan kami? Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ya, sesungguhnya hati-hati manusia di antara dua jari daripada jari-jari Allah s.w.t. seperti satu hati, Dia memalingkannya mengikut kehendak-Nya.” (HR al-Tirmidhi, no: 2140)

Apabila berbicara soal hati, simboliknya di dalam hati tersimpan emosi dan perasaan. Malah, ia merupakan 'organ' yang perlu dijaga dengan baik agar tidak dibusukkan dengan sifat-sifat keji yang datangnya dari manusia sendiri.

Hati, dalam Islam sangat dititiberatkan. Malah, sebagai seorang Muslim, wajib baginya menjaga kesucian dan kebersihan hati. Sebaik baik hati yang dikasihi oleh Allah Taala ialah hati yang suci murni dari segala kebatilan dan keraguan, bersih dari segala aneka rupa kejahatan. Hati yang sentiasa tunduk kepada yang hak dan petunjuk yang diliputi oleh kebajikan dan kebaikan.

Sepasang kekasih pastinya mengharapkan setiap pasangannya sentiasa setia dan hati mereka masing-masing sentiasa bertaut. Hakikat sebuah hati, ada pasang surutnya pada makhluk bernama manusia. Tidak menjadi kepelikkan sedangkan Sang Pencipta sendiri hati-hati manusia sentiasa lalai dalam mengingatiNya, merinduiNya dan mengikat cinta sejati untukNya.

Hati ini sifatnya sangat rapuh. Amat sesuai tajuk lagu ini, bagi saya kerapuhan itu datangnya daripada hati. Hati yang penuh dengan keduniaan yang menyebabkan ruangan cahaya untuk cinta Allah dan cinta Rasul seolah-olah tertolak keluar. Tidak perlu menunding jari, katakanlah ‘aku lah orang itu! Manusia yang sentiasa LALAI dalam mengejar cinta Allah dan Rasul’





Jalanilah Hidup Ini Apa Seadanya


Kita terlalu takut kehilangan sebuah cinta manusia sedangkan penjaga cinta tidak pernah kita bersungguh-sungguh mengejar cintaNya. Kiranya Dia menghilangkan cinta sementara itu, sangat layak untuk kita.

Hati yang sihat ialah hati yang sejahtera yang dapat membahagiakan serta mententeramkan seseorang itu di dunia dan di akhirat. Ia merupakan hati yang telah di didik dengan sempurna mengikut acuan Islam seperti mana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.

Yakinlah, kiranya cinta Allah dan Rasul tidak pernah jemu untuk kita kejar. Sudah pasti, Dia akan sentiasa menautkan hati kita bersama-sama manusia yang hatinya sentiasa ada untuk Dia. Di antara mereka itu, pastinya ada ‘pelengkap’ kita.

Antara jenis hati yang perlu diperbaiki iaitu hati yang keras membatu tidak mampu ditembusi walaupun dengan nasihat-nasihat agama.

Hati yang secara zahir terlihat lentur dan lunak namun pada hakikatnya  lebih keras dari batu saat diberi nasihat. Bahkan perumpamaan batu itu lebih ‘lembut’ berbanding sebahagian hati manusia. Sebagaimana Allah ceritakan tentang hati orang-orang Bani Israil dalam surah Al baqarah:




“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. padahal diantara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai dari padanya dan diantaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air dari padanya dan diantaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, Karena takut kepada Allah. dan Allah sekali-sekali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah ayat 74)



Wahai jiwa yang sedang layu…

Panjangkanlah sujudmu di malam-malam sunyi. Agar kau tahu bahawa keindahan tetap bersemayam di hati orang-orang yang mendapati cinta Illahi. Dan menangislah sepuasnya… ketika hanya ada kau dan DIA. Adukan sahaja segala resahmu. Sebab DIAlah yang memiliki jawapannya.

Khamis, 9 Ogos 2012

Suka Duka Sebuah ‘Ramadhan’

Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan

Salam mahabbah dan salam Ramadhan kareem buat semua sahabat pembaca, moga kita sentiasa dalam rahmat dan pertolongan Allah, ameen.

Sekilas Pandang Suasana Ramadhan

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam pernah bersabda:

"Sesungguhnya Syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut 'Rayyan'.  Akan diseru pada hari kiamat: "Mana orang yang berpuasa?" Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup". [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Bertemu bulan Ramadhan merupakan satu saat yang pastinya akan dinanti-nantikan oleh semua umat Islam yang tergolong dalam golongan mu’min. Bagi diri penulis, bulan ini pastinya akan memberikan 1001 kelainan yang sangat mendalam. Satu suasana yang dirasakan sangat-sangat berlainan berbanding bulan-bulan yang lain. Ibarat udara, sinaran cahaya matahari serta kicauan burung-burung di dalam bulan ini membawa pelbagai erti dan makna.

Sepoi-sepoi angin yang membawa bunyi bacaan al-quran sudah tentu akan dirasakan di mana-mana. Kalau di IPG KDRI, bertadarus pastinya menjadi satu rutin yang wajib bagi setiap batch. Kelainan pada bulan Ramadhan kali ini, program-program tambahan seperti kelas-kelas tajwid dan talaqqi kita turath turut dianjurkan.

Berkebetulan bulan puasa ini penulis turut berpraktikum di sekolah, ia tidak mengahalang udara Islam ini terus dihidu di sekolah penulis. Setiap pagi pastinya bagi tahun 1-5 akan bersama-sama mengikuti kelas tadarus AQ. Setiap guru sudah ditetapkan untuk menjadi mentor bagi mengetuai dan membimbing setiap menti di bawahnya membaca AQ dengan baik dan bertajwid.

Bagi tahun 6 pula, setiap pagi mereka akan bersama-sama membaca yasin serta bersolat hajat dan dhuha bersama-sama guru dan ustaz  bertugas yang akan mengetuainya. Ini tiadak lain bertujuan supaya murid-murid tahun 6 sentiasa bersedia dari segi menta, fizikal serta rohani untuk berhadapan dengan peperiksaan UPSR yang tidak lama lagi.Peluang dan pengalaman ini penulis cuba ambil, praktik serta timba dengan baik demi melatih diri berhadapan dengan reality kehidupan akan datang, insyaAllah.
Ia tidak lain membuka RUANG dan PELUANG kepada semua umat Islam untuk mengejar dan merebut habuan syurga ar-Rayyan ini, insyaAllah.. ameen.


Rezeki Yang Tidak Disangka-Sangka



Sesuai dengan makna dan mafhum ayat seribu dinar dari Surah at-Talaq ayat 2 dan 3 tersebut. Disebut ‘rezeki yang tidak disangka-sangka..’ . apa yang pasti, pada bulan barakah ini perkara ini 100% terealisasi dan terlaksana. Jemputan demi jemputan pastinya akan diterima oleh semua orang untuk berbuka puasa atau ifthor sama ada di surau, masjid mahupun rumah-rumah sahabat handai yang menjemput.


 
"Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui tuhannya nanti, ia akan gembira kerana puasanya." [Hadith Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nasa'i]
 
Di IPG KDRI, ifthor beramai-ramai pastinya akan dilaksanakan pada setiap hari di Balai Islam al-Muttaqin (BIAM) yang merupakan pusat ibadah dan nadi kepada segala kegiatan program-program dakwah. Ia dijalankan secara beramai-ramai kerana setiap course dan batch mempunyai jadual yang telah ditetapkan untuk bersama-sama menyumbang bantuan kewangan dan tenaga untuk merealisasikannya. Memasak bubur lambuk merupakan menu wajib yang pastinya akan dinanti-nantikan oleh setiap siswa guru setiap hari.



Bagi diri penulis, selain ifthor dan membantu di BIAM , tanggungjawab sebagai seorang housemates turut perlu dilaksanakan. Memasak dan berbuka bersama-sama merupakan satu kenangan yang pastinya tidak akan dapat dilupakan berstatus seorang siswa guru yang masih bujang ni. Memenuhi jemputan-jemputan lain turut penulis cuba mera’ikan sebaik mungkin agar setiap jemputan-jemputan tang baik ini dapat dipenuhi dengan sempurna. Penulis sentiasa cuba berpegang kepada hadith yang menerangkan hak-hak muslim yang mesti dilaksanakan.

Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Hak muslim terhadap muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda: Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia Jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah)nya. (Hadith Riwayat Muslim)


Tarbiyyah Buat Diri Di ‘Fasa Keampunan’

Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan dapat lari daripada diuji oleh Allah Azza wa Jalla. Ujian yang mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak. Ujian mengajar seseorang untuk menjadi lebih lasak dalam menggalas setiap bebanan kehidupan.

“Bulan Ramadhan, awalnya rahmah, tengah-tengahnya maghfirah (keampunan) dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Al-'Uqaili dalam kitab khusus tentang hadith dha'if yang berjudul Adh-Dhu'afa')

Bertarikh 4 Ogos 2012 yang jatuh pada hari Sabtu. Merupakan satu tarikh keramat dan bersejarah buat diri penulis apabila Allah mendatangkan satu dugaan serta ujian yang bagi penulis melihat ia sebagai satu kaffarah (hukuman/denda) kepada dosa-dosa penulis. Berkebetulan atau ia merupakan satu tanda daripada Allah kepada penulis apabila tragedi tersebut berlaku di dalam fasa maghfirah atau keampunan dalam bulan Ramadhan. Walaupun hadith ini bertaraf dhaif bagi sebahagian besar ulama’ hadith yang mendhaifkannya, namun makna serta maksud daripada hadith ini ingin saya renung serta mengajak sahabat-sahabat pembaca agar turut bermuhasabah.

Tragedi kemalangan yang berlaku pada diri penulis pada hari tersebut pada suatu masa berbaki hanya setengah jam sahaja lagi untuk berbuka puasa. Perjalanan untuk berbuka puasa di sebuah surau atas jemputan yang diterima diuji oleh Allah dipertengahan jalan. Sedikit perkongsian perjalanan tragedi tersebut :

1. Di kawasan bukit Tok Beng (berdekatan kedai keropok lekor), penulis memandu motosikal dari arah Airport.

2. Keluar sebuah motor dari kawasan selekoh bukit Tok Beng tersebut memandu dalam keadaan yang sangat laju dan merewang-rewang ke kiri dan kanan sehingga motornya masuk ke lorong penulis.

3. Penulis yang menyedari kehadiran motor tersebut daripada jarak 50 Meter telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Di dalam hati penulis terdetik ‘orang gila kah ni?’ kerana caranya memandu tak tumpah seperti orang kurang siuman memandu motor.

4. Dalam keadaan motornya yang memecut tidak tentu arah itu, dan ruang jalan yang sempit penulis cuba mengelak namun motornya sempat bergesel juga dengan sebelah kiri motor penulis yang menyebabkan motor penulis terbabas dan terseret ke kanan jalan, manakala motor pakcik tersebut terbabas dan tersungkur di tengah jalan.

Secara peribadi, pengajaran daripada tragedi ini, penulis memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran atas teguran daripada Allah atas dosa-dosa penulis. Teguran yang diberikan ini Dia masih menghidupkan penulis untuk kembali bermuhasabah dan bertaubat atas setiap dosa-dosa penulis. Walaupun mengalami luka-luka, bengkak dan sedikit patah, namun diberikan RUANG dan PELUANG untuk terus hidup merupaka satu nikmat yang sangat bermakna.

Penulis sempat bersemuka dan berbincang dengan waris pakcik ini sehari selepas kemalangan untuk mendapatkan cerita sebenar mengenai pakcik ini. Rupa-rupanya pakcik yang melanggar penulis itu merupakan seorang yang terencat akal dan tergolong dalam golongan OKU. Berkebetulan pada masa itu dia melarikan diri bersama sebuah motor daripada rumahnya yang tidak jauh daripada kawasan kemalangan. Difahamkan pakcik ini sudah 20 tahun tidak menunggang motor. Oleh sebab itu dia memandu seperti orang gila seolah-olah tidak tahu menahu untuk mengendalikan motor tersebut. Di hati penulis, ‘mujur juga pakcik ini melanggar aku, kalau dia langgar lori, berkemungkinan besar dia akan terus mati di tempat kejadian..’

Alhamdulillah pakcik itu masih hidup walaupun tangan dan kakinya patah dan terpaksa disimen. Diharapkan dengan insuran kelas pertama yang penulis ada dapat dimanfaatkan oleh keluarga pakcik itu untuk mendapat sedikit pembelaan kewangan atas kecederaan yang dialami, moga urusan itu dipermudahkan, ameen.

Penulis memanjatkan kesyukuran juga kerana motor penulis yang rosak sudah siap dibaiki dalam masa yang singkat.


                                                            DULU


                                                             KINI




Hikmah Disebalik Kedukaan

Sangat besar hikmah kepada dugaan yang Allah berikan kepada penulis. Daripada peristiwa ini banyak perkara yang dapat penulis belajar dan bermuhasabah.


“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). dan Hanya kepada kamilah kamu dikembalikan.”(Surah al-Anbiya’:35)

Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang putus harap.

Dan al-Hafiz ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan ayat ini, bahawa “Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan, dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah dan kesesatan.” [Tafsir al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]


Ujian Yang Berbeza Untuk Mengukur Keimanan

Berdasarkan tafsiran Ibnu ‘Abbas tersebut, dapat kita ketahui bahawa pada setiap orang berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. Ini adalah selari dengan ayat pada surah al-Baqarah apabila Allah menyatakan;

 
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..”(al-Baqarah:286)

Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan.

Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 Surah al’-Ankabut;

 
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.”


Ganjaran Menanti Bagi Yang Diuji

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyifaktan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaimana hadith yang datang dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;

“Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah.” [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]

Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji keimanan seorang manusia. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan keredhaan. Dan padanya rahmat Allah Azza wa Jalla serta keredhaan-Nya. Namun bagi manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya. Maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah.

Hadith di atas termasuk dalam bab Sabar (الصبر) oleh Imam al-Nawawi dalam karya beliau dalam bidang hadith; iaitu Riyadh al-Salihin. Di sini dapat dijelaskan bahawa, bagi orang-orang yang beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah bersabar dengan segala dugaan serta mehnah yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Jelas juga, daripada hadith tersebut bahawa semakin besar dugaan yang diperoleh oleh seorang manusia, maka semakin besar ganjara pahala yang akan dia dapati.
Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan bahawa orang yang diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah serta akan diganjari dengan syurga;



 

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”


Kesimpulan

Penulis mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada semua ‘keluarga’ dan ‘adik-beradik’serta pensyarah  penulis di Terengganu ni yang telah membantu, memberikan semangat, dorongan dan doa kepada penulis sepanjang hari-hari penulis terpaksa menanggung derita kesan kemalangan tersebut. Tidak lupa juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada ‘kedua-dua keluarga’ penulis yang berada jauh di mata namun dekat di hati penulis atas segala dorongan, nasihat, dan doa yang tidak pernah putus untuk penulis kembali normal dan bersemangat seperti dahulu. Moga Allah merahmati antum sekalian dunia akhirat, ameen. Salam sayang daripada penulis buat semua.