Selasa, 27 Mac 2018

Penyesalan

Dalam kehidupan ini, banyak penyesalan yang mungkin dapat dirawat dan berpatah balik apabila kita mulai sedar akan kesilapan dan ketelanjuran kita terhadap sesuatu perkara. Namun satu penyesalan yang tidak mungkin dapat diperbetulkan keadaan apabila dalam kehidupan di dunia ini, kita telah dimatikan oleh Allah dan ketika itu kita mulai sedar akan kesilapan dan kealpaan kita semasa hidup di dunia. pada masa itu kita mahukan dikembalikan semula ke dunia. Namun itulah penyesalan abadi kerana perjalanan tersebut merupakan perjalanan SEHALA sahaja. Dari alam rahim, kita terus bertemu alam dunia, seterusnya bertemu alam barzakh / alam kubur dan seterusnya bertemu alam akhirat yang kekal abadi.

Penyesalan ini telah diceritakan di dalam al-Quran dalam Surah al-Mu'minun ayat 99-100 :






99. (Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, Dia berkata, "Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia),

100. Agar aku dapat berbuat amal saleh yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak! Sungguh itu perkataan (dalih) yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada barzakh (dinding) sehingga pada hari mereka dibangkitkan.


Dalam membicarakan penerangan yang jelas sama ada tersurat mahupun tersirat, sewajarnya dirujuk pada sumber berautoriti seperti kitab-kitab tafsir yang mu'tabar.

Melihat tafsiran ayat ini di dalam Tafsir Ibn Kathir, Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam mengatakan bahawa kata-kata tersebut pasti diucapkan oleh setiap orang zalim yang sedang menghampiri kematiannya. Permintaan tersebut dalam ayat ini dapat ditakwilkan sebagai 'Illat dari firmanNya yang mengatakan, "Kalla.” kerana permintaan kembali ke dunia untuk beramal soleh dari si kafir itu hanyalah ucapan sahaja yang tidak ada buktinya. Seandainya ia dikembalikan ke dunia, tentulah dia tidak akan mengamalkan perbuatan soleh yang diikrarkannya itu, dan pastilah ia dusta dengan apa yang diucapkannya itu. Hujah ini bersesuaian dengan firman Allah dalam Surah al-An'am ayat 28 :




28. Tetapi (sebenarnya) bagi mereka telah nyata kejahatan yang mereka sembunyikan dahulu. Seandainya mereka dikembalikan ke dunia, tentu mereka akan mengulang kembali apa yang mereka telah dilarang mengerjakannya. Mereka itu sungguh pendusta.



Ya betul kata sebilangan orang hidup dunia ini hanya sekali jom kita enjoy. Islam tidak melarang untuk kita bersuka ria namun semua perbuatan kita perlulah selari dengan kehendak Islam. Hidup sekali ini lah merupakan jambatan kita untuk menanam benih amalan, beriman kepada Allah (menganut Islam) serta melaksanakan sehabis mungkin segala suruhan dan meninggalkan semua yang ditegah oleh Islam. Hal ini kerana semua manusia tidak pernah tahu sampai bilakah tempoh usia masing-masing akan berhenti (mati) dalam kehidupan dunia ini. 






Justeru kepada individu yang membaca artikel ini yang masih belum beriman kepada Allah (menganut Islam), jom kembali kepada fitrah dan agama yang sempurna dan membawa kebahagiaan di dunia dan juga di dunia selepas kita mati kelak. Bagi yang sudah beriman (sudah menganut Islam), jadilah penganut Islam yang sempurna dari sudut Aqidah, Syariah dan Akhlak serta adab-adab yang ditekankan oleh Islam, kerana kita adalah duta kepada agama kita sendiri. Umat Islam dilihat jahat bukan kerana agama ini, namun disebabkan sikap kita yang tidak memahami sebetulnya pengamalan dan cara hidup Islam yang sebenar.




Catatan santai,

Muhamad Hazwan Bin Hamidan
SJK(C) Pay Fong 3
27/3/2018
10.45 pagi