Khamis, 23 Januari 2014

Aku, kehidupan dan ilmu



Salam mahabbah dan cinta Rasul buat semua sidang pembaca. Moga kecintaan kita kepada batang tubuh Nabi, sunnah Nabi serta perjuangan Nabi tidak bermusim malah sentiasa terpahat kukuh dalam gerak geri dan NIAT kita setiap masa. InshaAllah.


Penantian suatu penyiksaan !


Setiap penantian pastinya memerlukan kesabaran. Tidak kira apa jua penantian sekalipun. Hakikatnya sudah menerima surat lantikan dari SPP untuk menjadi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG 41 sedikit terasa lega. Ia menandakan temuduga yang telah dilalui pada bulan 12 tahun yang lepas sudah lulus dan ia juga menandakan selangkah kaki sudah berpijak dalam profesion perguruan. Hanya menantikan panggilan penempatan sahaja.
 

logo Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP)


Walaupun ia menguji kesabaran namun apabila memikirkan ramai lagi sahabat yang bukan graduan IPG yang berijazah pendidikan yang sudah bertahun-tahun bergraduasi , masih lagi ternanti-nanti bilakah boleh masuk ke dalam sistem perguruan ini masakan belum pernah dipanggil untuk ditemuduga lagi, lagikan dipanggil untuk ditempatkan ke mana-mana sekolah. Pada tahap ini, hanya ucapan syukur sahaja yang ku mampu titipkan buat Allah yang Maha Esa yang Maha pengatur setiap perjalanan hidup ku.


Momentum perlu diteruskan


Masuk ke dalam fasa tidak duduk di alam kampus pastinya saat dinantikan oleh sesiapa sahaja. Mana kan tidak, sudah bertungkus lumus mengharungi jerih pahit dilatih dalam sistem Bina Insan Guru (BIG) yang berfasa-fasa ditambah dengan keseluruhan berpraktikum di 3 buah sekolah yang berbeza mencecah masa 6 bulan serta yang paling getir menyiapkan serta membentangkan Kajian Tindakan di dalam bilik-bilik seminar yang penuh ‘keramat’. Semua itu merupakan beberapa juzuk perjalanan yang mesti ditempuh oleh setiap siswa Guru yang belajar di IPG sebelum boleh diijazahkan dengan segulung Ijazah Perguruan (dengan Kepujian).

Bagi saya secara peribadi, fasa ‘rehat’ seolah-olah tidak boleh terlalu lama dan diri dimanjakan dalam satu fasa zon selesa. Otak hanya ligat mencari-cari..


“ apakah yang boleh aku buat untuk dapatkan sedikit kewangan pada hari ini?” (maklumlah elaun dah takde, hi3)


“apakah yang boleh aku sumbangkan pada hari ini?”


“di manakah kuliah dan majlis ilmu yang boleh aku jejaki dan tagih pada hari ini?”




Soalan popular yang selalu bermain di minda ku. Mengapa ?? kerana aku mula tersedar pada tahun 2014 umur ku sudah menjejak kepada umur dewasa. Aku sudah 24 tahun. Terasa masa pantas berlalu tanpa ku sedari, namun diri ini seakan tidak berguna ! saya pasti ramai sahabat seperjuangan seumur dengan ku sudah melangkah jauh dalam bidang ilmu dan sangat kompeten dengan ilmu yang mereka pelajari untuk digunakan kepada diri serta disumbangkan kepada keluarga dan masyarakat.


Selangor Darul ‘Ehsan’


Sebenarnya sesiapa yang menetap di Negeri Selangor ini sangat beruntung. Mana tidaknya, hampir setiap hari, setiap malam dan setiap kawasan sarat dengan majlis ilmu yang tidak terhitung. Itu tidak kita bicara lagi keiltizaman penganjuran usrah-usrah yang pastinya menyajikan tarbiyyah dan pengisian jiwa buat hamba Allah yang mendambakannya. Namun masalahnya hanya pada kita. Nak pergi atau tidak ? rajin atau malas ? tepuk dada, Tanya iman saya, kamu dan kita !





Saya teringat kata-kata Dr Halimah Binti Ali yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, dalam satu ucapan beliau yang secara lantang menjelaskan Negeri Selangor sangat konsisten berpegang dan beramal dengan term ‘ehsan’ dalam erti kata sebenar seperti yang tertulis dalam ‘hadith Jibril’ yang diharapkan Selangor terus sentiasa berada pada landasan “Baldatun Toyibatun Warobun Ghofur” sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat Allah dalam Surah Saba’ ayat ke-15. InshaAllah.





Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!


Masjid Putra dan ‘taman syurga’

Antara satu pusat ilmu yang boleh saya promosikan di sini (semoga dapat bekalan untuk akhirat, amiin) ialah di Masjid Putra, Putrajaya. Rasanya masjid ini sangat sinonim bagi semua rakyat di Negara ini yang beragama Islam kerana ia merupakan salah satu masjid yang menjadi pusat pelancongan bagi sesiapa yang menziarahi Putrajaya ini.


Ustaz Ikmal Zaidi b. Hashim


Buat makluman pembaca, setiap hari Rabu malam pada minggu pertama dan ketiga di Bilik Kuliah 2 pada aras LG Masjid Putra membuka kelas Tafsir Al-Quran kepada umum secara percuma. Apa yang menarik, setakat masa ini, kehadiran sangat menggalakkan terutama dari golongan veteran ‘pakcik’ dan ‘makcik’.


Buat masa ini kelas ini dipandu oleh Ustaz Ikmal Zaidi b. Hashim yang juga merupakan Pensyarah Jabatan Tahfiz dan Qiraat KUIS dengan berpandukan Kitab Shafwatut Tafasir karangan Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni. Sangat menarik dan seronok belajar di sini.


Saya memetik kata-kata Ustaz semasa menaqalkan pandangan ulama tafsir mengenai ilmu Tafsir AQ ini  :



“Pentafsiran AQ adalah satu usaha untuk menerangkan apa yang Allah mahukan bagi setiap maksud bagi sesuatu ayat AQ dalam had dan lingkungan yang diboleh serta dibenarkan sahaja (sekadar kemampuan manusia)”





Manakan tidak, untuk menjadi seorang yang alim dalam ilmu tafsir memerlukan faqih dalam 12 cabang ilmu. Namun ustaz menyebut, pada zaman sekarang sangat sukar bagi seseorang ulama faqih dalam kesemua 12 cabang ilmu ini, jadi mahu tidak mahu sesuatu ayat AQ itu memerlukan 12 orang ulama yang faqih dalam bidang dan cabang ilmu masing-masing terlibat dalam perbincangan dan pengeluaran ijtihad bagi sesuatu maksud AQ.



Itu sekiranya mahu menjadi ulama, namun bagi kita orang awam ni, begitu banyak kitab tafsir yang ditulis oleh ramai ulama untuk kita baca. Namun perlu diingat sekadar membaca tanpa bertanya dan mendapat bimbingan guru yang mursyid dan dipercayai keilmuannya menyebabkan kita terjerat dalam kesesatan yang kita sendiri kadang-kadang tidak menyedarinya, na’uzubillah.


Bermuhasabah



Segala coretan ini hanya sekadar mahu mengingatkan diri saya sendiri dan mahukan sidang pembaca menjadi seorang Muslim lagi Mukmin yang betul-betul sejati lebih baik daripada diri saya yang sangat lemah ini seterusnya terus tolong mendoakan saya agar terus istiqamah. Sangat rugi sekiranya kita tersedar ketika umur kita sudah lanjut dan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk kita menagih mutiara ilmu Allah yang sangat luas.

 

Bagaimana mahu mencari duit dan bagaimana mahu memilih pasangan hidup, rasanya tidak perlu saya tulis dan bincangkan dalam laman ini kerana saya rasakan perkara ini sudah terlalu banyak ditulis dan diperbincangkan oleh masyarakat sekarang. Ia perkara nature yang manusia tagih dan cari.

 



Pada penulisan kali ini apa yang hendak saya nasihat dan tekankan buat diri saya sendiri dan sidang pembaca untuk kita sama-sama ubah mind set dan cuba memperuntukkan sedikit masa kita pada penggalian ilmu. Hakikatnya ilmu Allah sangat luas dan ianya tidak MATI setelah kita bergraduasi mahupun sudah mendapat gelaran Doktor Falsafah kelak !

 



Ramai yang berdoa mendambakan umurnya dipanjangkan dan hidupnya senang. Namun adakah kita dalam golongan yang memohon kepada Allah agar mendapat umur yang panjang tapi umur yang ada sentiassa dapat dimanfaatkan dan berguna untuk Islam? Adakah kita dalam golongan yang berdoa agar hidup senang, bahagia dan tenang tapi kebahagiaan dan kesenangan itu turut terlimpah kepada orang lain yang juga memerlukannya?

 

Tepuk dada, tanya IMAN saya, kamu dan kita. Selamat bermuhasabah

 



Muhamad Hazwan Bin Hamidan
22 Rabi' al-Awwal 1435 / 23 Jan 2014

Taman Kajang Utama
Comments
4 Comments

4comments:

Persatuan Guru Pelatih Islam IPIK berkata...

salam.kalau kami nak mintak kebenaran untuk copy dan kongsi melalui blog kami boleh?

terima kasih.

محمد حذوان بن حميدان berkata...

wsslm.. boleh, silakan

Ezuan Saad berkata...

Allahurabbi..terkesan dengan penulisan nta.....
Semoga Allah sentiasa memelihara kita dan terus thabat dan istiqamah dalam setiap gerak kerja yang disandarkan keranaNya....
Nta.. nasihatkan ana selalu ya..

محمد حذوان بن حميدان berkata...

amiin.. ana bljr dri enta akhi..

sama2 kita menasihati dan mendoakan