Khamis, 9 Januari 2014

Isteri dan anak sebagai ‘musuh’

Salam mahabbah buat sidang pembaca sekalian. Moga Allah sentiasa merahmati kita dan menempatkan kita dalam rahmatNya dunia hingga ke akhirat, amiin.

‘Kad wangi’ permulaan penghias kehidupan insan

Setiap fasa dan musim cuti sekolah pastinya kita akan menerima pelbagai jenis ‘kad wangi’ yang dalamnya tertulis jemputan menghadiri walimah atau majlis perkahwinan yang pastinya sebuah perkahwinan merupakan satu saat yang diidamkan oleh semua manusia yang normal tidak kira berjantina lelaki mahupun wanita. Hal ini kerana kehendak hidup berpasangan merupakan salah satu fitrah yang Allah titipkan dalam jiwa anak-anak Adam.


Hati pastinya rasa bahagia dengan kehadiran isteri mahupun anak-anak dalam kehidupan merupakan satu rasa yang fitrah. Apabila seseorang lelaki melangsungkan perkahwinan, terasa berbunganya hati dengan kehadiran seorang wanita yang dipanggil isteri. Dicintainya dan disayanginya sepenuh hati. Apabila sudah beristeri semestinya diri menginginkan kehadiran anak-anak dalam kehidupan berumahtangga. Dijaganya isteri yang mengandung 9 bulan. Lahirnya seorang anak disambut dengan penuh kegembiraan dan kebanggaan. Anak ditatang bagaikan minyak yang penuh. Disayangi dan dikasihi sepenuh jiwa dan raga. Inilah fitrah seorang manusia. Firman Allah SWT: 

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), 
pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

(Ali-‘Imran:14)



Allah mengingatkan lelaki !




"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampunkan (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

(At-Taghabun:14)


Namun, Al-Quran mengingatkan manusia, terdapat sebahagian (bukan keseluruhan) kaum isteri dan anak-anak yang boleh menjadi musuh dalam kehidupan.  Dalam siri ceramah di surau dan masjid mahupun di bilik-bilik kuliah di pusat pengajian saya, saya kerap diperingatkan mengenai beberapa golongan musuh dan golongan yang berpotensi menjadi musuh yang pastinya akan menghalang dan menjerat lelaki atau para suami  yang kehidupannya hendak dipasakkan dalam perjuangan Islam dan amalan soleh. Kesemua peringatan ini dibuktikan dengan pelbagai kisah dalam sejarah mahupun sirah para nabi dan orang soleh yang pernah berlaku.



Sebab penurunan ayat 14 Surah at-Taghabun

Menurut satu riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Ibnu Jarir daripada 'Ata Ibn Yasar, dia berkata: Surah At-Taghabun telah diturunkan keseluruhannya di Makkah kecuali ayat 14 dan ayat-ayat berikutnya diturunkan di Madinah. Ayat 14 dalam surah ini diturunkan berkenaan kejadian yang berlaku kepada 'Auf Ibn Malik al-'Ashja'i. Beliau mempunyai seorang isteri dan seorang anak. Ketika 'Auf hendak pergi berperang di jalan Allah, isteri dan anaknya menangis dan menahannya supaya tidak pergi sambil mereka berkata, "Kepada siapa kami akan kamu tinggalkan?" 'Auf berasa simpati dengan mereka dan tidak jadi pergi. Maka turunlah ayat 14 dalam surah ini menceritakan peristiwa berkenaan.

Selain itu dalam riwayat lain yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi dan Imam al-Hakim daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Ayat yang berbunyi: "Sesungguhnya antara isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh bagimu, oleh itu berhati-hatilah kamu",  diturunkan berkenaan satu kaum daripada penduduk Makkah yang telah memeluk agama Islam, tetapi isteri-isteri dan anak-anak mereka tidak mahu berhijrah ke Madinah tempat Rasulullah SAW berada. Apabila sampai di Madinah dan melihat masyarakat yang telah faham Islam, maka timbullah keinginan untuk menghukum isteri-isteri dan anak-anak mereka tetapi Allah menurunkan ayat yang berbunyi: "dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi mereka serta mengampunkan (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Meskipun dua riwayat di atas  berlainan antara satu sama lain, ia memberikan suatu gambaran latar belakang ayat yang diturunkan. Kedua-duanya menyentuh masalah lelaki yang bergelar ayah atau suami yang berdepan dengan kerenah isteri dan anak yang menghalang dan melambatkannya keluar di jalan Allah.  Kedua-dua riwayat itu juga memperlihatkan si ayah atau suami sebagai orang yang paling bertanggungjawab dalam rumah tangga memiliki kafa'ah dan keupayaan yang lebih daripada isteri dan anak-anak sama ada dari sudut ilmu, amal, iltizam, jihad dan lain-lain.



Hakikat siapakah ‘musuh’ ?

Dalam ayat di atas Allah SWT menyatakan bahawa, "ada antara isteri-isterimu dan anak-anakmu yang menjadi musuh bagimu". Menurut Ibnu Kathir pengertian musuh di sini adalah "sesuatu yang melalaikan daripada mengerjakan amal soleh" seperti firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman janganlah harta-harta dan anak-anakmu melalaikan 
kamu daripada memperingati Allah. Barangsiapa berbuat demikian maka mereka
 itulah orang-orang yang rugi."


Daripada pendapat Ibnu Kathir ini dapatlah diambil pengertian umum bahawa apa sahaja yang boleh melalaikan kita dari mengingati Allah, beramal saleh dan mentaati perintah Allah adalah musuh kita.

Dalam hal ini musuh kita yang paling utama adalah syaitan kerana ia sentiasa menyuruh kita untuk mengingkari Allah SWT dan perintah-Nya. Usaha dan pergerakan syaitan dalam menewaskan diri dan keimanan kita kadangkala dengan membisikkan idea dan pemikiran yang berlawanan dengan kehendak Allah. Tetapi dalam banyak hal, syaitan menewaskan manusia melalui berbagai wasilah seperti isteri, anak-anak, harta, kedudukan, pangkat dan lain-lain.




Apabila kita tidak berhati-hati dan berwaspada, wasilah-wasilah ini yang sepatutnya membantu ke arah mencapai ghoyah (matlamat) kita iaitu keredhaan Allah SWT, telah ditunggangi dan diperalat oleh syaitan. Akibatnya, tanpa disedari kita meninggalkan matlamat kita sama sekali. Ingatlah firman Allah ketika Dia mengusir Iblis dari syurga dan memberikan kesempatan kepadanya (iblis) untuk menyesatkan manusia dengan segala wasilah yang ada padanya.



‘Musuh’ yang sudah pernah beraksi

Kisah mengenai ‘musuh’ ini hakikatnya sangat banyak yang antaranya terkena kepada batang tubuh Nabi Luth apabila isteri dan anak-anaknya turut bersama-sama dengan rakyat Sadom untuk turut ingkar untuk beriman kepada agama yang dibawanya.


Bukan itu sahaja, satu kisah yang mungkin jarang didengari namun ia juga merupakan sebuah kisah yang menceritakan isteri menjadi 'musuh' pada perjuangan seorang suami yang juga menjadi salah satu sebab turunnya Surah al-Qadr.


Dalam satu hadith, ada dinyatakan suatu ketika Rasulullah menceritakan dari Jibril kepada para sahabat mengenai seorang yang sangat soleh menghabiskan masa berjihad selama hampir 1000 bulan, iaitu pemuda bani Israel bernama Syarm’un al-Ghazi.




Hanya bersenjatakan kulit unta, Syarm’un dengan mudah menewaskan musuh. Bila haus ketika berjuang Allah terbitkan air yang segar di celah-celah giginya dan ketika lapar Allah tumbuhkan tumbuhan sekelilingnya.


Puak kafir sangat memusuhinya dan akhirnya memperalatkan isterinya dengan tawaran rasuah yang tinggi. Ketika Syarm’un sedang tidur, isterinya mengikat dengan seutas rantai besi namun sebanyak dua kali gagal. Pahlawan Islam ini mempunyai kekuatan luarbiasa hingga dapat memutuskan rantai tersebut dengan mudah malah cubaan ketiga juga gagal.


Akhirnya Syarm’un dedahkan rahsia kekuatannya kepada isterinya yang disangka tiada apa-apa. “Tiada sesiapa dapat memudaratkan diriku kecuali dengan izin Allah dan tiada siapa dapat mengalahkan aku kecuali dengan sehelai rambutku!”


Dedahan ini memerangkap dirinya. Beliau tidak dapat melepaskan diri apabila diikat dengan sehelai rambutnya. Kesempatan ini diambil oleh musuhnya menyeksanya sebelum dibunuh. Pelbagai seksaan dilakukan pada pemuda ini, matanya dikorek, telinganya dipotong dan tubuhnya diikat pada sebatang tiang rumah ditikam-tikam dengan senjata tajam.


Allah mengilhamkan Syarm’un supaya memohon perlindungan dari-Nya. Lalu pemuda itu memohon agar dapat menggoyangkan tiang supaya dapat merobohkan rumah dan menimpa musuh yang hendak membunuhnya. Doa Syarm’un dimakbulkan apabila dia dapat kekuatan yang luar biasa hingga dapat menggoyangkan tiang yang teguh itu dan membunuh musuh-musuhnya termasuk isterinya ditimpa runtuhan.


Dengan kuasa Allah SWT, tubuh Syarm’un yang cedera juga turut pulih serta-merta. Syarm’um kemudiannya berpuasa selama hampir 1,000 bulan lagi sebagai tanda berterima kasih atas pertolongan Allah yang menyelamatkan nyawanya.


Perjuangan Syarm’un dan kekuatan imannya sungguh luar biasa begitu mengharukan Rasulullah dan para sahabat berdukacita kerana tidak dapat mencapai ganjaran seperti itu. Mereka bertanya akan ganjaran yang diberikan Allah kepada pemuda itu. Baginda menjawab tidak tahu, lalu Allah menurunkan Surah Al-Qadr.




Bermuhasabah

Apa yang hendak penulis sampaikan di sini bukanlah cuba menggambarkan bahawa golongan wanita khususnya yang bergelar isteri dan amnya anak-anak sebagai musuh yang sangat bahaya yang perlu dijauhi. Hakikatnya golongan lelaki juga turut tergolong dalam golongan ‘musuh’ ini apabila menepati ciri-ciri yang ada.




Namun, sengaja penulis membuat coretan perihal isu ini agar kaum lelaki khususnya yang bakal mendirikan rumah tangga mahupun yang sudah lama mendirikan rumah tangga supaya sentiasa bermuhasabah adakah isteri dan anak-anak yang ada itu menjadi liabiliti dan penghalang kepadanya ataupun kehadiran dua golongan ini semakin merancakkannya mendekatkan diri kepada Allah serta membantu gerak kerja Islam ?

Tanyalah kepada diri kita sendiri. Hakikatnya sebuah Baitul Muslim yang didirikan bukanlah semata-mata bertujuan sekadar mahu melepaskan tuntutan hawa nafsu insani. Sekiranya itu sahaja lah niat yang ada seolah-olah ianya sama sebagaimana mahkluk berkaki empat ‘berkahwin’ ?



Berubah atau terus menanti rebah

Menjadi KETUA KELUARGA bukanlah satu tugas dan jawatan yang mudah. Hakikatnya membaca dan memahami ayat ini sudah cukup menggerunkan kaum lelaki.



“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya
kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"

(Tahrim:6)





Kesimpulannya ‘musuh’ ini perlu diawasi dan bukan diperangi. Diawasi agar tidak menghalang dalam beramal soleh. Tetapi jangan pula diawasi dengan bersifat terlalu keras terhadap mereka. Bimbinglah mereka dengan 3 perkara: maafkanlah mereka (ta’fuw), berlapang dada dengan mereka (tasfahu) dan mohonlah keampunan bagi mereka (taghfiru).  Justeru kita dianjurkan berdoa : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata:

"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan
bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

(Al-Furqan:74)

Imam Ibn Kathir menafsirkan kalimah qurrata a’yun” iaitu yang mentaati perintah Allah. Isteri dan anak-anak yang mentaati Allah SWT. Persoalannya sekarang berapa ramai KETUA KELUARGA masa sekarang yang begitu prihatin dengan ‘level’ ketaatan ahli keluarganya kepada Allah Ta’ala?

Renungkan dan selamat beramal !



Hazwan Hamidan
6 Rabi' al-Awwal 1435 / 8 Jan 2014
Taman Kajang Utama




Comments
0 Comments

0comments: