Rabu, 5 Februari 2014

Berakhlak kah kita ?

Salam mahabbah buat sidang pembaca. Moga Allah sentiasa rahmati kita dengan cahaya keImanan dan keIslaman pada diri kita, keluarga serta masyarakat kita semua, Amiin.


Suburkan Cintamu



Kecintaan kepada Baginda Nabi perlu terus disuburkan dan pastinya ia tidak perlu bermusim. Di kala susah dan senang Sunnah dan segala cara hidup Baginda mesti untuk cuba dipraktikkan dan JANGANlah ianya terhenti setakat di kerongkong dalam copong-copong mikrofon ketika berceramah sempena Maulid Nabi.

Nabi tidak akan perlukan kita namun kita yang pastinya memerlukan Baginda untuk menagih simpati di padang Mahsyar kelak.

Allahumma Solli ‘Ala Muhammad.

Walk the talk





‘Actions speak louder than words’


Ini satu idioms yang saya rasakan kita semestinya biasa kita dengar. Secara mudah apa yang boleh kita fahami dari ayat ini ialah ‘What you do is more significant than what you say’.

Apa pengajaran yang hendak cuba sampaikan buat diri saya yang tika ini sedang menaip bait ayat ini, fenomena sebagai seorang manusia kita tidak lari dari sentiasa bercakap. Lebih menarik menjadi seorang Da’ie, guru mahupun penceramah yang kesemuanya sentiasa memerlukan kepada penyampaian secara ‘verbal’ yang pastinya kesemuanya mengajak kepada kebaikan dan kecintaan kepada Baginda Nabi.

Setakat mana kelantangan kita dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah kita sudah kita lunaskan ? ATAU ianya sekadar pemanis kata buat menarik crowd supaya terus minat dengan penyampaian kita ? Masyarakat dan manusia sentiasa memerhati saya, kamu dan kita. JANGAN kita menjadi punca Islam difitnah !



‘Fenomena’ Ustaz Abdullah Khairi



Kuliah dimulakan dengan selawat bersama-sama kepada baginda Nabi


Alhamdulillah Allah memberikan kesempatan kepada saya untuk mendengar secara live kuliah Ustaz terkenal ini di Surau Ar-Rahim di seksyen 8 Bandar Baru Bangi pada hari Jumaat malam yang lepas. Ustaz memaklumkan rupa-rupanya surau tersebut sudah book ustaz selama hampir setahun. Apa yang menarik, surau ini terpilih daripada seluruh 48 reqeuest dari masjid dan surau lain area Kuala Lumpur dan Selangor yang turut menanti. Sungguh ustaz ni juga ada auranya seumpama Ustaz Azhar Idrus (UAI).



Beberapa perkongsian daripada ustaz pada malam tersebut yang membawa gagasan tajuk mengenai ‘Akhlak Nabi’,  akan saya kongsikan di sini, inshaAllah. Jom kita lihat terlebih dahulu nas yang ada yang boleh menjadi tatapan kita untuk sama-sama bermuhasabah.

Allah SWT berfirman, "Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang luhur." (QS. Al-Qalam: 4).

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi SAW adalah Alquran." (HR Muslim).

Sungguh, jawapan Saidatina Aisyah ini singkat, namun sarat dengan makna. Ia menyifatkan Rasulullah SAW dengan satu sifat yang dapat mewakili seluruh sifat yang ada. Memang tepat, akhlak Nabi SAW adalah Al-Quran.

Allah SWT berfirman, "...Alquran ini memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus..." (QS. Al-Israa': 9).

"(Yang) memberi petunjuk kepada (jalan) yang paling lurus..." (QS. Al-Jinn: 2).

Akhlak beliau adalah Al-Quran; kitab suci umat yang disifati dengan firman Allah, "...tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa." (QS. Al-Baqarah: 2).





Pada masa permulaan dakwah Islam, Nabi Muhammad SAW tidak hanya membangun tauhid, tetapi juga membangunkan akhlak yang mulia. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sungguh, aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia." (HR. Baihaqi dan Al-Hakim).




Anas RA berkata, "Sungguh, Rasulullah SAW benar-benar manusia dengan akhlak paling mulia. (HR Bukhari-Muslim).


Anas juga berkata, "Selama sepuluh tahun aku berkhidmat kepada beliau (Rasulullah), aku tidak pernah mendengar beliau mengucapkan kata "Ah", sebagaimana beliau tidak pernah mempertanyakan apa yang kau kerjakan, 'Kenapa kamu mengerjakan ini? atau 'Bukankah seharusnya kamu mengerjakan seperti ini?" (HR Bukhari-Muslim).


Ini merupakan beberapa nas yang dikongsikan oleh Ustaz untuk menggambarkan secara umum dan jelas perihal akhlak baginda Nabi. Sangat hebat kan Nabi kita? Kita bagaimana ? sekadar beromong kosong atau sudah bermula mengikut sedikit demi sedikit jejak Baginda ?


Tanyalah IMAN kita.


‘Cinta’ di Jabal Nur


dalam pelbagai isi dan kisah yang ustaz kongsikan dalam kuliahnya, saya akan bawa satu kisah untuk renungan bersama. Ustaz yang juga merupakan mutawwif yang saban tahun akan membawa jemaah untuk menunaikan sama ada haji atau umrah di Tanah Suci Mekah. Beberapa pengalaman yang ustaz turut kongsikan sewaktu membawa dan menunaikan umrah bersama-sama dengan sekumpulan anak muda lelaki di sana.


Ustaz mengajak mereka untuk bersama-sama mendaki Jabal Nur untuk merasai kebersamaan sebuah ibrah hebat dari pengalaman ‘seorang’ yang hebat. Jabal Nur yang di atasnya terletak Gua Hira’. Sejarah Islam mencatatkan di Gua Hira’ wahyu pertama diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w.


Apa yang menarik. Pasukan pemuda ini sangat bersemangat bersama-sama mendaki Jabal nur ini. Berlari dan terus berlari hanya berhenti seketika di setiap ‘check point’. Bermula rehat 5 minit sehingga diikuti dengan tempoh rehat dianjakkan kepada 10 minit di ‘check point’ yang seterusnya. Ustaz menceritakan kisah ini secara bersahaja dan melawak dengan suasana keaktifan dan dialog mereka ketika itu.



Namun, ketika mereka aktif meniti setiap tangga dan batu yang ada di situ untuk sampai ke puncak destinasi yang dituju, ustaz kebetulan melihat seorang lelaki Arab tua yang sangat berumur turut mendaki. Apa yang menarik, lelaki itu mendaki dengan sangat perlahan, setapak demi setapak bersama tongkatnya. Walaupun perlahan namun sangat kuat stamina yang dilihat kerana mampu hampir memotong pasukan ustaz bersama anak muda yang aktif berlari ke atas.


Ketika sedang berhenti berehat di satu ‘check point’, ustaz sempat berbual dengan lelaki tua tersebut untuk bertanya perihal umur dirinya dan apakah tips yang boleh dikongsikan sehingga dia segagah ini.


Jawapan ringkas lelaki tua tersebut kepada ustaz, “dulu ada seorang lelaki yang berumur 40 tahun berulang alik dan bersusah payah mendaki Jabal ini untuk menuju ke Gua Hira’ dalam keadaan ketika itu tiada dibina tangga dan disediakan kemudahan semudah ini. Juga ada seorang wanita yang umurnya lebih tua 15 tahun dari lelaki tersebut berulang alik dan turut bersusah payah mendaki Jabal ini 2x sehari untuk melawat dan memberikan makanan kepada lelaki yang merupakan suaminya di Gua ini sewaktu lelaki ini beribadah di sana. Kekuatan ku hadir disebabkan hanya satu, aku CINTAkan Nabi!”


Mendengar jawapan dan kisah yang ringkas dari lelaki tua ini seraya ustaz menangis teresak-esak dan turut menceritakan kisah tersebut kepada kesemua pemuda yang bersama dengannya yang ketika itu sudah hampir putus asa untuk terus mendaki hingga sampai ke puncak kerana kepenatan. Mendengar kisah tersebut, kesemua pemuda itu tunduk dan menangis malu atas kelemahan diri jika hendak dibandingkan dengan batang tubuh 2 orang yang mulia dan hebat tersebut. Mereka itulah Baginda Rasulullah S.A.W dan isterinya Saidatina Khadijah !




Diringkaskan cerita, akhirnya kesemua pemuda ini akhirnya sampai ke destinasi yang dituju dengan sebuah roh dan semangat yang baru. Apa yang pelik kepenatan tersebut seolah-olah seakan tidak pernah wujud. Begitulah hebatnya kuasa CINTA ! bila dilakukan kerana sebuah kefahaman dan kesedaran CINTA, suatu yang sukar seolah-olah menjadi mudah. Rasulullah dan saidatina Khadijah sudah menunjukkan contohnya.


Suburkan cinta kita kepada Allah dan Rasulullah dalam setiap kerja buat kita, inshaAllah !


Allahumma Solli ‘ala Muhammad




Muhamad Hazwan Bin Hamidan
5 Rabi’ al-Akhir 1435 / 5 Februari 2014
Taman Kajang Utama
Comments
0 Comments

0comments: