Rabu, 28 April 2010

Nilai Tudung Wanita

Di sini ana ingin menyentuh tentang
pemakaian tudung kaum wanita masa kini
sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita
menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan
mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah
dirinya, malah maruah wanita mukmin
keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal.
Ini kerana syariat telah menetapkan supaya
wanita berpakaian longgar dengan warna yang
tidak menarik serta menutup seluruh badannya
dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta
dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus
dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi
yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan
wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak
akan mempamerkan tubuh badan di khalayak
umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan
masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.
Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah
dan dirinya semata-mata untuk mengejar
pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan
dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita,
alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang
menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan
memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini
wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung
penutup aurat sudah melanda dari peringkat
bawahan hingga kepada peringkat atasan.
Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah
hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-
pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan
dipakai, namun pemakaiannya masih tidak
lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan
batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang
memakai tudung, tetapi pada masa yang sama
memakai kain belah bawah atau berseluar ketat
dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai
fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita
Islam kini.



Ada rekaan tudung yang dipakai dengan
songkok di dalamnya, dihias pula dengan
kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-
warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai
gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan
suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu
kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan
fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas
wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita
mukmin itu adalah bukan sahaja menutup
auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya
sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung
yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan
wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan
menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan
muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi
wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang
tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih
berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita
Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi
semakin membesarkan riak dan bangga dalam
diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik
dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik,
up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan
sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak
membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak
merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan
Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak
terasa bahawa menegakkan syariat dengan
bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang
mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti
berbunga dan berbangga bila boleh memakai
tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak
bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi
masih lagi berkepit dan keluar dengan teman
lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat
dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung
yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang
bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi
maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung
termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan
sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-
orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin
ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat
melihat sikap orang-orang yang mencemari
hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau
menutup aurat sama sahaja dengan tidak
bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka
rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk
masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak
menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.
Walaupun bertudung, perangai mereka sama
sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka
tidak nampak perbezaan agama Islam dengan
agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk
dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar
diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya
pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti
pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus
memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke
semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam
untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam
itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh
jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib
ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah
kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di
luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka
mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan
lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak
terlepas dari tanggungjawab setiap wanita
Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka,
itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat
tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu
walaupun bertudung, namun tetap berbuat
kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu
dosa, manakala tidak menutup aurat dengan
menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah
diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat
tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan
pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi
berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.
Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang
Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing.
Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari
Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita
tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal
sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja.
Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut.
Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap
dengan suara meninggi. Buang sikap suka
mengumpat, suka mengeji dan mengata hal
orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita.
Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.
Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana
indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi
peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan
Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula
hormat dan mengakui "Islam is really beautiful."
Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik
peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam
sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang
sebagai agen pengembang agama melalui
pakaian.....
RENUNGKANLAH..............
Comments
3 Comments

3comments:

: :cik dyana bahri: : berkata...

terima kasih.
sgt berharge entri kali ini.

rusher90 berkata...

moga-moga wanita-wanita Islam di luar sana dpt mengamalkan cara berpakaian yang mengikut nas-nas yang telah ditetapkan oleh syarak...

محمد حذوان بن حميدان berkata...

to ustzh dyana : same2..
to ust rushdan : amin..