Sabtu, 11 Mei 2013

Ketakwaan dalam Pemerintahan

Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan
[siswa GURU tahun akhir IPG KDRI]

Salam mahabbah buat sidang pembaca, moga Allah sentiasa merahmati kita, ahli keluarga kita serta Negara kita untuk terus berada dalam rahmatNya, amin.

Musim peperiksaan akhir semester baru sahaja bermula, rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan Maat taufiq wan najah kepada semua warga siswa Guru IPG seluruh Malaysia. Moga kejayaan dan keberkatan sentiasa beroleh untuk kita.




‘Program YB turun ke Masjid dan Surau’

Teringat isi penting dalam khutbah Jumaat di Masjid Unisza baru-baru ini. Khatib berpesan dalam suasana pasca PRU 13 ini, diharapkan rakyat Malaysia kembali ‘normal’ menjadi rakyat yang terus mengamalkan sifat mahabbah antara satu sama lain khususnya sesame Muslim dan umumnya bersama Non-Muslim. Bagi yang menang teruskan menjalankan amanah dengan bersungguh-sungguh dan bagi yang kalah perlu redha dan elakkan perasaan dendam dan sifat-sifat negatif.

Apa yang menarik bagi seorang YB bagi Parlimen Kuala Nerus iaitu Ustaz Dr. Khairuddin at-Takiri, kemenangan yang telah dikurniakan oleh Allah digunakan sepenuhnya untuk terus mendekati rakyat serta membawa rakyat untuk sentiasa kembali berTUHANkan Allah tanpa syarat.

Berbekalkan dengan Misi mendekati rakyat khususnya rakyat di Parlimen beliau. Beliau telah melancarkan suatu program jelajah melalui kuliah Maghrib yang dinamakan ‘Program YB turun ke Masjid dan Surau’. Program ini secara lansung dan jelas mahu mendekati rakyat dengan memberikan keFAHAMan ilmu agama dan penerangan di setiap rumah2 Allah yang ada di Parlimen beliau. Secara peribadi saya sangat menyokong dan mendokong program yang baik seperti ini kerana ianya bertepatan dengan salah satu suruhan Allah dalam Surah al-Hajj ayat 41 kepada orang yang diberikan kuasa pemerintahan.

Program tersebut dimulakan di Surau Istiqamah Gong Badak pada malam semalam. Namun sedikit mendukacitakan apabila beliau sendiri tidak dapat turun kerana terpaksa bergegas ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu kerana kemalangan kecil yang melibatkan anak beliau. Moga Allah menyembuh dan memulihkan kembali, amin.




post dalam FB Dr Khairuddin yang memohon untuk mendoakan anaknya


Jawatan : layak kah ?   
                  
Namun begitu, kuliah beliau semalam telah diganti oleh tenaga pengajar yang tidak kurang hebatnya iaitu Ustaz Fauzi yang merupakan salah seorang pensyarah di Unisza. Pengisian Ustaz banyak berkisar berkenaan bagaimana pandangan Islam khususnya para ‘alim mengenai pemerintahan (siasah) ini.

Antara input penting yang dibawa iaitu bagaimana Islam melihat buruk bagi mereka yang meminta-minta jawatan atau kuasa ini. Antara kisah yang dibawa, pernah suatu ketika Abu Zar meminta jawatan dalam kerajaan daripada Rasulullah SAW, tetapi telah ditolak oleh Baginda Nabi. Mengapa?

Ini jawapan Rasulullah SAW:

“Aku lihat kamu  adalah seorang yang lemah (tidak berupaya) melaksanakan tugas dengan baik, aku menyayangimu seperti aku sayangi diriku sendiri.” 
(HR Abu Daud)

Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:

Ya Abu Zar, aku lihat engkau seorang yang lemah dan aku suka engkau mendapatkan sesuatu yang aku sendiri menyukainya. Janganlah engkau memimpin dua orang dan janganlah engkau mengurus harta anak yatim.”    
(Riwayat Muslim)

Apa yang dapat dinilai daripada kisah ini, sifat lemah merupakan salah satu faktor utama kepada penolakan jawatan ini. Hal ini kerana kelemahan pada diri Abu Zar ini amat jelas diketahui oleh Baginda Rasulullah SAW.

Selain itu, ada beberapa orang lagi di kalangan para sahabat yang telah meminta jawatan daripada Rasulullah SAW tetapi telah ditolak.

Daripada Abd Rahman bin Samurah, Rasulullah SAW bersabda:

Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah) 
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)





Ustaz Fauzi sedang menyampaikan kuliah nya dengan penuh beradab dan bersemangat


 antara hadirin yang hadir setia mendengar perkongsian ilmu


Hal ini bermakna tidak semua orang mampu jadi pemimpin walaupun semata-mata ilmunya banyak. Banyak faktor yang perlu diambil kira apabila kita memilih pemimpin. Syarat utama untuk dilantik sebagai seorang pemimpin adalah kelayakan, antaranya perlu mempunyai ilmu, kekuatan fizikal, keterampilan bermasyarakat, berwibawa, akhlak mulia, mahir berkomunikasi, bakat dan takwa kepada Allah.



Menilai ‘Keutamaan’

Imam Ahmad Ibnu Hanbal ketika ditanya tentang dua orang yang dicalonkan untuk memimpin satu pasukan di mana yang pertama kuat tetapi bergelumang dengan dosa dirinya sahaja, manakala yang kedua, kuat agamanya tetapi lemah perwatakan dirinya dalam memimpin, maka beliau menjawab:

“Orang pertama, dosanya ditanggung sendiri sedangkan kekuatannya dapat menbina keutuhan Negara dan kepentingan umat. Manakala orang kedua yang kuat memegang teguh ajaran agamanya hanya memberikan manfaat untuk dirinya sahaja, sedangkankan kelemahannya menjadi petaka bagi orang yang dipimpinnya.”

Mengenai kata-kata ini, kita dapat menilai berkenaan keutamaan dalam memilih dan memberikan kuasa kepada seseorang. Sesuatu jawatan apabila bertembung dengan 2 calon seperti ini, maka jawatan itu lebih utama untuk  diberikan kepada orang yang lebih mampu menjaga kepentingan orang ramai, walaupun individu itu kekurangan sedikit dari segi akhlak dan moralitinya yang hanya bersifat dirinya sahaja dan tidak merosakkan orang lain.


Hebat bukan semata pada kata-kata !

Pernah mendengar seorang tokoh kepimpinan yang begitu hebat iaitu Saidina Umar al-Khattab? Bukan sahaja hebat dalam berkata-kata, namun turut hebat dalam pelaksanaannya. Kesalahan yang dibuat bukanlah hujah untuk menjadikannya kebal daripada sebarang kritikan walaupun bergelar seorang Khalifah. Ustaz Fauzi mengatakan bahawa Saidina Umar sesuai untuk digelar dan diberikan ‘tagline’ pada pemerintahannya sebagai ‘Ketakwaan dalam Pemerintahan’.


Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, mana-mana pihak yang menghalang orang mengkritik golongan bangsawan (pemimpin) sekalipun dengan bahasa yang betul, adalah golongan feudal yang tidak wajar menguasai politik masakini. Adakah sesiapa dalam kalangan pemerintah kita yang lebih mulia, hebat dan gagah dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab?! Beliau pernah ditegur, namun beliau tidak menghukum pengkritiknya.


Khalifah Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata:

“Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”. Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kamu semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: aku menyerumu dengan nama Allah, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Tiada hukuman pun, sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab. Apakah kita merasakan bahawa ada pihak yang lebih mulia dari Nabi s.a.w dan para al-khulafa ar-Rasyidin. Nabi s.a.w sendiri pernah dipersoalkan beberapa tindakan baginda seperti tentang isi perjanjian Hudaibiyyah yang baginda meterai. Baginda tidak menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang nabi. Siapakah yang merasakan lebih mulia dari baginda?!


Kesimpulan

Ayuh kita kembali bermuhasabah, adakah sebelum ini kita tergolong dalam golongan yang suka meminta-minta jawatan mahupun mahukan jawatan semata-mata hendak membawa agenda tersendiri ?

Renungkanlah firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 41, ini apakah yang sepatutnya perlu dilaksanakan apabila beroleh jawatan :




Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
Comments
3 Comments

3comments:

Tinta Al-Murabbi berkata...

Salam.

Wah..surau Istiqamah. Tempat saya menadah kitab Riyadhus Solihin dahulu kala. Rindu rasanya ingin bertandang ke sana.

Isunya bukan lagi menegur pemimpin. Namun, bagaimana menegur pemimpin. Ramai orang hari ni memperkatakan hak mereka dirampas oleh pemerintah zalim.

Dalam waktu yang sama, mereka mencaci, memaki dan mencarut dengan semahunya. Mereka anggap, Zalim si pemerintah merupakan lesen untuk dia menyuarakan bantahan dengan apa cara sekalipun, apa bahasa sekalipun.

Mungkin akhi boleh meneruskan entri ini dengan ADAB-ADAB menegur pimpinan. Wallahua'lam.

Sampaikan salam ana pada sahabat yang lain. Doa ana mengiringi najahnya imtihan antum semua ^_^

محمد حذوان بن حميدان berkata...

WSSLM

jazakallahu khairan sudi bertandang ke blog ini.

Yup, keZALIMan tersebut bkn hujah utk memaki hamun shingga menghilangkan AKHLAK dan ADAB kita selaku seorg Muslim.

Cadangan tjuk entry yg baik. Doa2kan smoga dri ini terus diberikan kkuatan olehNya utk terus istiqamah menulis tinta2 Dakwah

InShaAllah salam akan disampaikan

king berkata...

menjadi pemimpim amanah yg berat yg akan disoal di akhirat..
thanks atas perkongsian..