Khamis, 9 Mei 2013

Pasca PRU 13

Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan
[siswa GURU tahun akhir IPG KDRI]

Salam mahabbah buat semua pembaca.

Dalam meniti hari-hari berbaki sebagai seorang warga siswa guru, kadang-kadang terlepas pandang untuk meneruskan minat ku membuat sedikit coretan di blog ini sebagai manifestasi  sebuah semangat menjadi seorang penulis muda.

Pada penulisan kali ini, penulis cuba membawa pembaca kepada suatu isu baru dan masih hangat di Negara ini. Setiap pandangan penulis ini tidak lain sekadar pandangan kecil seorang siswa GURU dan ianya tidak menunjukkan penulis berpihak dan cenderung kepada mana-mana ‘gerakan’ mahupun ‘kebangkitan’. Ia tidak lain lebih kepada muhasabah dan pandangan penulis melihat kepada fenomena yang telah berlaku dan pengalaman yang telah dilalui.



 sekitar program pasca  PRU 13 yang dianjurkan oleh sebuah parti di Terengganu baru2 ini


Melihat Sorotan PRU lepas

PRU ke-12 yang lepas menyaksikan kebangkitan rakyat yang tidak kurang hebatnya. Kesannya berakhirnya 5 buah Negeri  yang didominasi  Barisan Nasional (BN) ,diambil alih oleh Barisan Alternatif (sekarang Pakatan Rakyat), namun kembali menjadi 4 buah negeri apabila negeri Perak diambil alih semula oleh BN.

Walau bagaimana pun yang berlaku pada sesi lepas. Secara peribadi saya melihat rakyat sudah menunjukkan satu mesej yang jelas mahukan satu  perubahan dari sudut pentadbiran dan pemerintahan di negeri-negeri  khususnya dan kerajaan pusat amnya.


 keputusan PRU ke-12



PRU ke-13 bermula satu langkah baru

Alhamdulillah, PRU ke-13 sudah selesai dengan aman dan berjalan lancar. Keputusan sudah pun diumumkan. Hasilnya sekali lagi kita lihat BN terus mendominasi dengan majoriti mudah (simple majority) iaitu 133 kerusi parlimen yang akhirnya terus mengetuai pentadbiran di peringkat kerajaan pusat.

Pelbagai  komentar yang dapat dilihat daripada semua peringkat masyarakat terutama daripada golongan anak muda kesan daripada ‘tragedi’ PRU ke-13 ini. Apa yang menakjubkan suasana PRU kali ini memperlihatkan kebangkitan golongan anak muda yang begitu rancak mahukan mesej perubahan terus subur mahukan Pakatan Rakyat bukan sahaja dapat mentadbir kerajaan negeri malah juga kerajaan pusat. Kesan fenomena kuliah Ustaz Azhar yang turut dilihat sebagai ikon anak muda sebenarnya menjadi antara salah satu titik tolak kepada pembakar semangat kebangkitan anak muda ini.





Laungan dan mesej ‘Hijau ke Putrajaya’, ‘Menawan Putrajaya’, dan ‘Ini Kalilah’ semuanya merupakan laungan biasa di bibir-bibir anak-anak muda khususnya yang terus menyerikan suasana di Negara ini bermula seawal sebelum pembubaran sehingga ke hari pengundian. Isu sejauh mana Melayu Islam akan masih terbela dengan kemenangan PR mahupun BN turut diperbincangkan dan dinilai oleh rakyat.



 perbandingan kerusi kuasa Melayu Islam antara BN dengan PR 


Memperlihatkan Pakatan Rakyat (PR) menjadi satu gerakan digilai dan menjadi pilihan kebanyakan anak-anak muda . Hal ini pada persepsi dan sisi pandang saya, ianya tidak lain kesan daripada pembentangan manifesto di pihak PR yang lebih bersifat menjaga kebajikan rakyat dan sesuai di hati-hati para pemuda terutama golongan mahasiswa dan mahasiswi.

Kita boleh melihat perbandingan kedua-dua manifesto ini :




Walaupun PR tidak Berjaya mencapai misinya menawan putrajaya, namun kesan kepada kebangkitan ini terus-menerus dirasai di seluruh Negara. Tidak menang tidak bermakna PR tidak akan menjadi satu gerakan check and balance dan penegur kepada kerajaan sedia ada yang dipimpin oleh BN.



Muhasabah  daripada PRU ke-13

Ingin saya tegaskan, sebagai rakyat Malaysia yang sudah lama kita hidup bermasyarakat yang berbilang kaum ini, menyeru kepada menghidupkan obor-obor api  perkauman sangat-sangat perlu kita elakkan. Tidak kira lah seruan kepada perkauman itu lahir daripada satu perasaan tidak puas hati mahupun ada agenda yang tersendiri, namun perkara sedemikian amat-amat ditentang dan terhina disisi Islam.

Perasaan kekitaan atau semangat kebangsaan ini banyak memberi kesan yang buruk kerana ia berakhir dengan dendam, perpecahan dan peperangan setelah mereka mula meninggikan semangat kebangsaan sehingga mengabaikan mereka yang bukan sebangsa atau pun mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi sokongan kepada mereka yang berkuasa.Sedangkan jika kita menjadikan Islam sebagai asas dalam pemerintahan maka dengan sendirinya bangsa kita akan terjaga kebajikan dan perpaduannya kerana Islam mempunyai sistem yang lengkap dalam mengekang kezaliman dan penindasan. 

Hal ini kerana, Islam begitu menekankan perpaduan tanpa mengira bangsa, bahasa, budaya dan negara tetapi mesti berdasarkan Islam. Permulaan di Mekah,Rasulullah sendiri dalam membina kekuatan dan perpaduan telah menolak jawatan raja Mekah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy kerana ia berbentuk bangsa semata-mata sedangkan bangsa arab terus berpecah dan berkelahi sesama mereka walau pun jumlah yang ramai pada ketika itu.

Rasulullah s.a.w sebagai nabi akhir zaman telah dilahirkan dicelah bangsa arab yang tidak mampu membina kuasa dan tamadun yang kuat kerana perasaan semangat kebangsaan arab yang kuat sehingga mereka telah jauh ketinggalan oleh kuasa dan tamadun Empayar Rom berasaskan kristian, Empayar Parsi berasaskan majusi dan kefahaman yang lain disamping Empayar India berasaskan Hindu serta Empayar China berdasarkan Budha. Rasulullah s.a.w terus berdakwah dan mencari kekuatan melalui kuasa pemerintahan bagi memastikan Islam tersebar sebagai agama yang bukan sahaja berasaskan ibadat khusus tetapi turut meliputi seluruh aspek kehidupan. Strategi dan tindakan Rasulullah s.a.w dalam membina negara yang kuat bagi melaksanakan seluruh sistem Islam disamping menyebar luas lagi Islam sehingga meliputi negara luar dari tanah arab melalui asas yang kuat iaitu Islam bukannya berteraskan bangsa semata-mata.

Islam yang dijadikan asas perpaduan oleh Rasulullah s.a.w bukan sahaja mampu menyatukan perpaduan di kalangan bangsa arab sehingga mereka boleh menguasai yahudi yang dahulunya menindas mereka tetapi Islam juga mampu menyatukan semua bangsa seperti Bilal dari Afrika, Suhaib dari Rom, Salman dari Parsi dan mereka yang lain dengan bangsa arab. Asas Islam yang dibina juga mampu memberi semangat dan kekuatan kepada Khalifah selepas Rasulullah s.a.w untuk menjalankan dakwah dan penyebaran Islam serta perluasan tanah jajahan di bawah Khalifah Islam sehingga Islam berjaya meruntuhkan Empayar Rom, Empayar Parsi dan menguasai sebahagian bumi eropah dan seterusnya melebarkan pengaruhnya sehingga menguasai  Empayar India dan China.

Penguasaan ini membolehkan Islam tersebar merata dunia termasuk di alam Melayu ini di mana orang Melayu sebelum ini bukan sahaja mampu beribadat khusus sahaja tetapi turut merasakan keadilan dan keamanan di bawah Kesultanan Melayu Islam yang telah melaksanakan sistem Islam dalam pemerintahan mereka seperti terdapat dalam Undang-undang Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka dan sebagainya.

Ibnu Khaldun di dalam Al-Muqaddimah menyatakan bahawa semangat dan kekuatan bangsa boleh membantu menaikkan sesuatu bangsa kepada kemajuan dengan syarat ia mesti berteraskan Islam. Tetapi dalam masa yang sama apabila semangat kebangsaan atau kekitaan ini mula dilonggarkan daripada Islam maka ia akan menghancurkan bangsa tersebut. Ia terjadi apabila pemimpin mula merasakan kekuatannya adalah hasil sokongan yang tidak berbelah bahagi atas nama mereka sebangsa walau apa pun yang dilakukan. Akhirnya pemimpin tersebut mula terpesong dan mementingkan diri sendiri sehingga  segala kemewahan negara pada mulanya dinikmati oleh seluruh bangsanya mula diperkecilkan kepada mereka yang menyokongnya sahaja sehingga mengabai dan menzalimi mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi sokongan kepadanya di atas sebab tertentu.


Kesimpulan

Akhir kepada penulisan ini, sama-samalah kita bermuhasabah dengan ayat AQ ini :

Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :


Dan Tuhanmu tidak sekali-kali akan membinasakan negeri-negeri secara zalim sedangkan penduduknya merupakan mereka yang sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.


Comments
2 Comments

2comments:

api_islam berkata...

tahniah atas penulisn...teruskn menulis utk memberikan pandangan supaya orang ramai dapat membuka kotak pemikiran dan pengetahuan mereka....siiru `ala barakatillah..=)

محمد حذوان بن حميدان berkata...

terima kasih ustaz razif, InShaAAllah.. sekarang ni baru cuba nak berjinak2 semula dgn penulisan yg sekian lama ditinggalkan, mhon tnjuk ajar dan dorongan ust ye, he3