Jumaat, 20 November 2009

'Taun' makin serius di Terengganu...



Penyakit taun yang dikesan berlaku di Terengganu semakin serius selepas 11 pesakit yang mengalami simptom-simptom penyakit berkenaan, disahkan dijangkiti penyakit itu sehingga kini.

Pengarah kesihatan negeri Dr Nordiyanah Hassan berkata kesemua mereka yang kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu disahkan dijangkiti taun berdasarkan analisis sampel yang diambil daripada pesakit berkenaan.

Katanya setakat ini, 98 pesakit dari beberapa daerah di negeri itu menerima rawatan di HSNZ kerana disyaki dijangkiti penyakit itu setelah menunjukkan gejala muntah dan cirit-birit yang teruk.

"Berikutan itu, beberapa hospital daerah di negeri ini sudah diarahkan membuka wad isolasi sebagai persediaan dan langkah awal menangani penyakit berkenaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, pihaknya telah menghantar pegawai untuk mengambil sampel-sampel bagi mengenal pasti punca penyakit itu dan dalam masa sama mencari kaedah terbaik untuk mencegahnya.

Beliau berkata pihaknya menjangka jumlah pesakit akan bertambah dalam tempoh dua minggu ini berikutan jangkaan berlaku hujan peringkat kuning di negeri Pantai Timur bermula Ahad hingga Khamis ini, yang boleh menyebabkan kejadian banjir, sekali gus memudahkan penyakit itu merebak.

"Walaupun jumlah pesakit terus meningkat, tetapi keadaan di wad isolasi masih terkawal dan kita sentiasa bersedia serta mempunyai kelengkapan mencukupi untuk menampung pertambahan pesakit," katanya.

Beliau meminta mereka yang mempunyai simptom penyakit itu supaya segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan dan menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti.

"Langkah yang perlu diambil termasuk mengelak makanan yang sudah tercemar dan tidak dimasak dengan sempurna, mengelak meminum air tidak dimasak, menjauhi premis perniagaan dan pengendali makanan yang tidak mengamalkan aspek penjagaan kebersihan yang baik dan jangan makan makanan terdedah," katanya.

Setakat ini, satu kes kematian melibatkan penyakit itu dicatat di HSNZ pada Selasa lalu, melibatkan seorang lelaki berusia 36 tahun dari Kuala Terengganu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di wad isolasi HSNZ mendapati perkarangan wad dipenuhi waris pesakit yang menunggu dan ada yang ingin melawat pesakit tetapi tidak dibenarkan berikutan langkah pencegahan yang dilaksanakan pihak hospital.

Isteri seorang pesakit Salasiah Salim, 17, ketika ditemui berkata beliau hanya menganggap suaminya Mohd Shahrudin Mohd Hussein, 29, mengalami sakit perut biasa sejak tiga hari lalu.

Namun, beliau menghantar suaminya untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenan apabila mendapati keadaan suaminya semakin teruk, sebelum diberitahu pihak hospital suaminya disyaki dijangkiti taun. BERNAMA
Comments
1 Comments

1 comments:

azim-rjimah berkata...

salam,,,sayer adlh slh sorg mgsa tau,,huhuhupglaman?? hurm,,sgt memeritkan,,,xtido,,muntah2,,tp ader hkmah,,,carefull wif what u eat..hehehehe