Khamis, 9 Ogos 2012

Suka Duka Sebuah ‘Ramadhan’

Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan

Salam mahabbah dan salam Ramadhan kareem buat semua sahabat pembaca, moga kita sentiasa dalam rahmat dan pertolongan Allah, ameen.

Sekilas Pandang Suasana Ramadhan

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam pernah bersabda:

"Sesungguhnya Syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut 'Rayyan'.  Akan diseru pada hari kiamat: "Mana orang yang berpuasa?" Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup". [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Bertemu bulan Ramadhan merupakan satu saat yang pastinya akan dinanti-nantikan oleh semua umat Islam yang tergolong dalam golongan mu’min. Bagi diri penulis, bulan ini pastinya akan memberikan 1001 kelainan yang sangat mendalam. Satu suasana yang dirasakan sangat-sangat berlainan berbanding bulan-bulan yang lain. Ibarat udara, sinaran cahaya matahari serta kicauan burung-burung di dalam bulan ini membawa pelbagai erti dan makna.

Sepoi-sepoi angin yang membawa bunyi bacaan al-quran sudah tentu akan dirasakan di mana-mana. Kalau di IPG KDRI, bertadarus pastinya menjadi satu rutin yang wajib bagi setiap batch. Kelainan pada bulan Ramadhan kali ini, program-program tambahan seperti kelas-kelas tajwid dan talaqqi kita turath turut dianjurkan.

Berkebetulan bulan puasa ini penulis turut berpraktikum di sekolah, ia tidak mengahalang udara Islam ini terus dihidu di sekolah penulis. Setiap pagi pastinya bagi tahun 1-5 akan bersama-sama mengikuti kelas tadarus AQ. Setiap guru sudah ditetapkan untuk menjadi mentor bagi mengetuai dan membimbing setiap menti di bawahnya membaca AQ dengan baik dan bertajwid.

Bagi tahun 6 pula, setiap pagi mereka akan bersama-sama membaca yasin serta bersolat hajat dan dhuha bersama-sama guru dan ustaz  bertugas yang akan mengetuainya. Ini tiadak lain bertujuan supaya murid-murid tahun 6 sentiasa bersedia dari segi menta, fizikal serta rohani untuk berhadapan dengan peperiksaan UPSR yang tidak lama lagi.Peluang dan pengalaman ini penulis cuba ambil, praktik serta timba dengan baik demi melatih diri berhadapan dengan reality kehidupan akan datang, insyaAllah.
Ia tidak lain membuka RUANG dan PELUANG kepada semua umat Islam untuk mengejar dan merebut habuan syurga ar-Rayyan ini, insyaAllah.. ameen.


Rezeki Yang Tidak Disangka-Sangka



Sesuai dengan makna dan mafhum ayat seribu dinar dari Surah at-Talaq ayat 2 dan 3 tersebut. Disebut ‘rezeki yang tidak disangka-sangka..’ . apa yang pasti, pada bulan barakah ini perkara ini 100% terealisasi dan terlaksana. Jemputan demi jemputan pastinya akan diterima oleh semua orang untuk berbuka puasa atau ifthor sama ada di surau, masjid mahupun rumah-rumah sahabat handai yang menjemput.


 
"Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui tuhannya nanti, ia akan gembira kerana puasanya." [Hadith Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nasa'i]
 
Di IPG KDRI, ifthor beramai-ramai pastinya akan dilaksanakan pada setiap hari di Balai Islam al-Muttaqin (BIAM) yang merupakan pusat ibadah dan nadi kepada segala kegiatan program-program dakwah. Ia dijalankan secara beramai-ramai kerana setiap course dan batch mempunyai jadual yang telah ditetapkan untuk bersama-sama menyumbang bantuan kewangan dan tenaga untuk merealisasikannya. Memasak bubur lambuk merupakan menu wajib yang pastinya akan dinanti-nantikan oleh setiap siswa guru setiap hari.



Bagi diri penulis, selain ifthor dan membantu di BIAM , tanggungjawab sebagai seorang housemates turut perlu dilaksanakan. Memasak dan berbuka bersama-sama merupakan satu kenangan yang pastinya tidak akan dapat dilupakan berstatus seorang siswa guru yang masih bujang ni. Memenuhi jemputan-jemputan lain turut penulis cuba mera’ikan sebaik mungkin agar setiap jemputan-jemputan tang baik ini dapat dipenuhi dengan sempurna. Penulis sentiasa cuba berpegang kepada hadith yang menerangkan hak-hak muslim yang mesti dilaksanakan.

Dari Abi Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Hak muslim terhadap muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda: Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya. Jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat Jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia Jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah)nya. (Hadith Riwayat Muslim)


Tarbiyyah Buat Diri Di ‘Fasa Keampunan’

Menjalani liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan dapat lari daripada diuji oleh Allah Azza wa Jalla. Ujian yang mendatang selalunya menjadikan diri kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak. Ujian mengajar seseorang untuk menjadi lebih lasak dalam menggalas setiap bebanan kehidupan.

“Bulan Ramadhan, awalnya rahmah, tengah-tengahnya maghfirah (keampunan) dan akhirnya adalah pembebasan dari neraka.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Al-'Uqaili dalam kitab khusus tentang hadith dha'if yang berjudul Adh-Dhu'afa')

Bertarikh 4 Ogos 2012 yang jatuh pada hari Sabtu. Merupakan satu tarikh keramat dan bersejarah buat diri penulis apabila Allah mendatangkan satu dugaan serta ujian yang bagi penulis melihat ia sebagai satu kaffarah (hukuman/denda) kepada dosa-dosa penulis. Berkebetulan atau ia merupakan satu tanda daripada Allah kepada penulis apabila tragedi tersebut berlaku di dalam fasa maghfirah atau keampunan dalam bulan Ramadhan. Walaupun hadith ini bertaraf dhaif bagi sebahagian besar ulama’ hadith yang mendhaifkannya, namun makna serta maksud daripada hadith ini ingin saya renung serta mengajak sahabat-sahabat pembaca agar turut bermuhasabah.

Tragedi kemalangan yang berlaku pada diri penulis pada hari tersebut pada suatu masa berbaki hanya setengah jam sahaja lagi untuk berbuka puasa. Perjalanan untuk berbuka puasa di sebuah surau atas jemputan yang diterima diuji oleh Allah dipertengahan jalan. Sedikit perkongsian perjalanan tragedi tersebut :

1. Di kawasan bukit Tok Beng (berdekatan kedai keropok lekor), penulis memandu motosikal dari arah Airport.

2. Keluar sebuah motor dari kawasan selekoh bukit Tok Beng tersebut memandu dalam keadaan yang sangat laju dan merewang-rewang ke kiri dan kanan sehingga motornya masuk ke lorong penulis.

3. Penulis yang menyedari kehadiran motor tersebut daripada jarak 50 Meter telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Di dalam hati penulis terdetik ‘orang gila kah ni?’ kerana caranya memandu tak tumpah seperti orang kurang siuman memandu motor.

4. Dalam keadaan motornya yang memecut tidak tentu arah itu, dan ruang jalan yang sempit penulis cuba mengelak namun motornya sempat bergesel juga dengan sebelah kiri motor penulis yang menyebabkan motor penulis terbabas dan terseret ke kanan jalan, manakala motor pakcik tersebut terbabas dan tersungkur di tengah jalan.

Secara peribadi, pengajaran daripada tragedi ini, penulis memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran atas teguran daripada Allah atas dosa-dosa penulis. Teguran yang diberikan ini Dia masih menghidupkan penulis untuk kembali bermuhasabah dan bertaubat atas setiap dosa-dosa penulis. Walaupun mengalami luka-luka, bengkak dan sedikit patah, namun diberikan RUANG dan PELUANG untuk terus hidup merupaka satu nikmat yang sangat bermakna.

Penulis sempat bersemuka dan berbincang dengan waris pakcik ini sehari selepas kemalangan untuk mendapatkan cerita sebenar mengenai pakcik ini. Rupa-rupanya pakcik yang melanggar penulis itu merupakan seorang yang terencat akal dan tergolong dalam golongan OKU. Berkebetulan pada masa itu dia melarikan diri bersama sebuah motor daripada rumahnya yang tidak jauh daripada kawasan kemalangan. Difahamkan pakcik ini sudah 20 tahun tidak menunggang motor. Oleh sebab itu dia memandu seperti orang gila seolah-olah tidak tahu menahu untuk mengendalikan motor tersebut. Di hati penulis, ‘mujur juga pakcik ini melanggar aku, kalau dia langgar lori, berkemungkinan besar dia akan terus mati di tempat kejadian..’

Alhamdulillah pakcik itu masih hidup walaupun tangan dan kakinya patah dan terpaksa disimen. Diharapkan dengan insuran kelas pertama yang penulis ada dapat dimanfaatkan oleh keluarga pakcik itu untuk mendapat sedikit pembelaan kewangan atas kecederaan yang dialami, moga urusan itu dipermudahkan, ameen.

Penulis memanjatkan kesyukuran juga kerana motor penulis yang rosak sudah siap dibaiki dalam masa yang singkat.


                                                            DULU


                                                             KINI




Hikmah Disebalik Kedukaan

Sangat besar hikmah kepada dugaan yang Allah berikan kepada penulis. Daripada peristiwa ini banyak perkara yang dapat penulis belajar dan bermuhasabah.


“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). dan Hanya kepada kamilah kamu dikembalikan.”(Surah al-Anbiya’:35)

Al-Hafiz Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu, dan kemudian dengan nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang putus harap.

Dan al-Hafiz ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan ayat ini, bahawa “Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan, dengan perkara yang halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah dan kesesatan.” [Tafsir al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]


Ujian Yang Berbeza Untuk Mengukur Keimanan

Berdasarkan tafsiran Ibnu ‘Abbas tersebut, dapat kita ketahui bahawa pada setiap orang berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. Ini adalah selari dengan ayat pada surah al-Baqarah apabila Allah menyatakan;

 
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..”(al-Baqarah:286)

Dari ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta dugaan.

Ujian yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 Surah al’-Ankabut;

 
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.”


Ganjaran Menanti Bagi Yang Diuji

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyifaktan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin besar dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala yang diperoleh. Ini sebagaimana hadith yang datang dari Anas bin Malik, yang menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;

“Sesungguhnya besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka padanya kemurkaan Allah.” [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]

Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji keimanan seorang manusia. Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan keredhaan. Dan padanya rahmat Allah Azza wa Jalla serta keredhaan-Nya. Namun bagi manusia yang lalai serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya. Maka dia sekadar mendapat kemurkaan daripada Allah.

Hadith di atas termasuk dalam bab Sabar (الصبر) oleh Imam al-Nawawi dalam karya beliau dalam bidang hadith; iaitu Riyadh al-Salihin. Di sini dapat dijelaskan bahawa, bagi orang-orang yang beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah bersabar dengan segala dugaan serta mehnah yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Jelas juga, daripada hadith tersebut bahawa semakin besar dugaan yang diperoleh oleh seorang manusia, maka semakin besar ganjara pahala yang akan dia dapati.
Dalam ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan bahawa orang yang diuji itu akan mendapat pertolongan daripada Allah serta akan diganjari dengan syurga;



 

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”


Kesimpulan

Penulis mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada semua ‘keluarga’ dan ‘adik-beradik’serta pensyarah  penulis di Terengganu ni yang telah membantu, memberikan semangat, dorongan dan doa kepada penulis sepanjang hari-hari penulis terpaksa menanggung derita kesan kemalangan tersebut. Tidak lupa juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada ‘kedua-dua keluarga’ penulis yang berada jauh di mata namun dekat di hati penulis atas segala dorongan, nasihat, dan doa yang tidak pernah putus untuk penulis kembali normal dan bersemangat seperti dahulu. Moga Allah merahmati antum sekalian dunia akhirat, ameen. Salam sayang daripada penulis buat semua.
Comments
6 Comments

6comments:

Kebenarantersingkap berkata...

Redha dengan ujian yang diberikan.. pengalaman accident menjadikan kita menjadi hamba yang lebih bersyukur kerana masih diberi waktu untuk bertaubat. syafakaAllah ustaz..

محمد حذوان بن حميدان berkata...

ameen..

ssguhnya beruntung bagi seorang hamba Allah yg diberikan ujian dan dbrikan msa utk mghirup udara taubat..

sgt malang bg seorang hamba yang sentiasa diruntun ujian namun drinya masih terus sombong berdiri atas pinjaman dan tumpangan belas kasihan dari Allah.

na'uzubillah

pemberianku yang berkekalan berkata...

Syfakallah ya akhi...

Selamat menempuhi fasa ketiga Ramadhan, semoga kita dapat bertemu dengan malam Al-Qadar.allahumma ameen. ^_^

محمد حذوان بن حميدان berkata...

ameen..

syukran2.. insyaAllah.. (^_^)

Meis Izz berkata...

Assalam ustaz junior...
tengok gmbr balai islam tu rindu plak dkt mktab :)

محمد حذوان بن حميدان berkata...

to izz:

jmputla dtgla balai, balai semakin meriah skrg (^_^)