Rabu, 19 Oktober 2011

Hati-hatilah Dengan ‘Gunting'

Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan

Lipatan sirah mengajar kita ‘1001’ pengajaran dan penilitian dari setiap peristiwa, kisah , tragedi serta ikutan yang semuanya melibatkan perjalanan kehidupan Baginda Rasulullah , keluarganya dan para sahabat menelusuri sebuah kehidupan yang sentiasa berhadapan dengan mehnah dan tribulasi. Hal ini secara jelas terus-menerus mematangkan pemikiran dan tindakan dalam setiap gerak kerja Baginda dan para sahabat disamping panduan dan tunjuk ajar wahyu Allah.

Hakikat Sebilah ‘Gunting’

Tak kan dapat dipotong dengan sempurna sehelai kertas kiranya tiada sebilah gunting. Ia diertikan sebagai satu alat untuk memotong yang terdiri daripada dua bilah logam yang dirangkapkan. Sangat berguna dan bermanfaat fungsi sebilah gunting. Makin tajam, makin berguna untuk kita. Manakan tidak, semua kerja memotong dapat kita selesaikan dengan mudah dan lancar.

Inilah hakikat sebilah gunting, sentiasa memberikan manfaat kiranya digunakan untuk tujuan yang baik. Sesuatu ciptaan dan rekaan itu pastinya mempunyai manfaatnya sendiri. Hanya bergantung kepada kita selaku pengguna dalam memanfaatkannya.

Namun, tak kan sama semua jenis gunting. Adanya ‘gunting’ yang terus-menerus memberikan bahaya dalam diam yang dapat merosakkan sesuatu yang di’gunting’. Sangat pelik kiranya seseorang yang pernah dididik dalam alam persekolahan , tidak pernah mendengar peribahasa ‘bagai gunting dalam lipatan’.

Rasanya tidak perlu untuk saya menerangkan secara terperinci maksud sebenar peribahasa ini. Hakikatnya, ia sudah tersedia maklum maksudnya. ‘Api dalam sekam ‘,’ Musuh dalam selimut’ selalunya disinonimkan dengan peribahasa ini.

Secara jelas saya melihat ‘gunting’ ini sangat-sangat merbahaya terutamanya melibatkan ukhuwwah dan sesuatu organisasi. Ia menyerang dalam diam dan selalunya tak kan dapat disedari melainkan orang-orang yang diizinkan oleh Allah dengan ketajaman fikiran untuk mengenali dan menyedari serangan ini.

Nilai Sebuah Persahabatan

Hidup berseorangan tanpa teman memang memeritkan. Bayangkan hidup bersendirian tanpa perbualan, dan mengharungi semua onak duri tanpa sahabat. Sahabat adalah individu yang sebenarnya paling hampir dengan kita selain daripada keluarga. Malah dalam Islam, kita diwajibkan menghormati sahabat-sahabat kita baik yang muslim atau yang bukan muslim.

Malangnya, bukan semua manusia yang dianggap sahabat itu akan berterusan menjadi sahabat dalam hidup kita. Kadang-kala permasalahan dan konflik yang timbul antara kita dan sahabat akan merenggangkan sebuah ikatan persahabatan itu.

Seseorang sahabat akan menjadi lawan sekiranya sikap-sikap negatif dan penyakit hati dalam diri tidak dibendung. Sifat-sifat seperti dendam, cemburu, sombong dan angkuh menjadikan seorang sahabat itu bertukar menjadi seorang yang berlainan dan akhirnya menjadi lawan.

Hakikatnya tidak dapat dinafikan dalam banyak-banyak sahabat, ada juga yang betul-betul ikhlas. Kemungkinan bilangannya hanya segelintir, namun ia turut bergantung atas diri kita untuk memilih dan menjadi sahabat yang benar-benar ikhlas.

Justeru, sebuah ikatan persahabatan atau ukhuwwah yang kukuh sangat mudah untuk diruntuhkan HANYA dengan sebilah ‘gunting’. Organisasi yang mantap dan bergerak lancar, akan perlahan-lahan hilang keizzahannya HANYA dengan sebilah ‘gunting’. Seorang sahabat yang hakikatnya seorang yang baik, dirosakkan kethiqahannya HANYA dengan fitnah dan persepsi buruk kesan dari sebilah ‘gunting’. Apa yang menyedihkan kepimpinan yang unggul bagi seorang pemimpin dan ketua mengurus organisasi, dihilangkan kepercayaan akibat diPOTONG dengan sebilah ‘gunting’.

Firman Allah S.W.T :


“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Zukhruf, ayat 67)

‘Gunting’ Yang Baik Membina Keunggulan Islam

Secara peribadi saya amat terkesan apabila membaca penulisan seorang tokoh ulama’ yang amat disegani terutamanya dalam masyarakat Kelantan. Siapa tak kenal kepada Menteri Besar Kelantan yang juga merupakan murabbi bagi rakyat Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sebuah hasil penulisan beliau yang diberikan judul ‘Muhammad S.A.W, Insan Teladan Sepanjang Zaman’ . sebuah kitab Sirah yang sarat bukan sahaja dengan fakta sirah, malah disuntik dengan fiqh sirah iaitu kefahaman dalam memahami dan menghayati peristiwa dalam sirah.

Ketika membaca dan meneliti kisah perang Ahzab atau biasa disebut sebagai perang Khandak , Pakatan Ahzab yang terdiri daripada musyrikin Quraisy Mekah, Yahudi Bani Quraizah dan orang-orang Arab Ghatfan di Madinah, serta beberapa kabilah Arab yang lain, semuanya berpakat menyerang Madinah demi merobohkan kepimpinan Negara Islam di bawah pimpinan Rasulullah.

Hakikatnya, Pakatan Ahzab gagal memerangi peperangan ini disebabkan dua faktor utama iaitu keluasan khandak (parit) yang telah dibina oleh kaum muslimin hasil cetusan idea Salman al-Farisi, telah membantutkan kemaraan mereka untuk menembusi kota Madinah.

Faktor kedua ialah penglibatan seorang kaum musyrikin Madinah bernama Nu;iem bin Mas’uud daripada keturunan Asyja’ie. Dengan takdir Allah, Nu’eim telah menemui Rasulullah dan dengan rela hati memeluk Islam. Bukan itu sahaja, beliau menawarkan diri kepada baginda, bersedia menerima sebarang tugas dan arahan demi dapat menewaskan kemaraan Pakatan al-Ahzab.

Nu’eim ditugaskan supaya melaksanakan perang psikologi di kalangan musuh, iaitu merancang adu domba di kalangan pelbagai kelompok musuh. Hal ini supaya tercetus rasa saling curiga-mencurigai yang dapat melemahkan semangat mereka, hingga akhirnya menyebabkan Pakatan al-Ahzab menjadi lemah.

Peranan beliau melaga-lagakan kaum-kaum yang bergabung dalam Pakatan al-Ahzab menyebabkan mereka saling mencurigai antara satu sama lain dan hilang kepercayaan sesama mereka. Akibatnya pakatan mereka hancur setelah mereka saling tuduh-menuduh antara satu sama lain. Apa yang dilakukan oleh Nu’eim itu adalah suatu strategi menghancurkan musuh dari dalam. Inilah ‘gunting’ yang baik,membawa kemenangan kepada Islam.

Berwaspada

Musuh itu pastinya ada dan menyerang kita daripada segenap sudut. Ia terus-menerus melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan syaitan,nafsu, serta manusia yang bertopengkan iblis. Boleh jadi kita diserang musuh atau kitalah musuh itu.

Hakikatnya dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.

" Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut? "

Cabaran itu akan sentiasa hadir. Dan itulah gunanya kita, manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir. Namun harus diingat, kata Hamka, hujung akal adalah pangkal agama. Akal ini ada hadnya. (^_^)

Comments
7 Comments

7comments:

kebenarantersingkap berkata...

TAHNIAH, Perkongsian yg menarik dan boleh sama-sama kita fikirkan.. "berhati-hatilah dalam bersahabat"

Ridzuan Digital4All berkata...

Ahsanta ya akhi.

Teruskan menulis karya sebegini, memberi input kepada para pembaca di luar sana.

Moga terus tsabat ya akhi...

محمد حذوان بن حميدان berkata...

to munirah:

trime ksih, moga kita sme2 bringat.(^_^)

to akhi ridz :

syukran, ameen. (^_^)

izzah berkata...

Organisasi yang mantap dan bergerak lancar, akan perlahan-lahan hilang keizzahannya HANYA dengan sebilah ‘gunting'.

Perumpamaan dan kenyataan yg benar serta banyak berlaku dalam kehidupan.

penulisan yg mantop.. teruskan usaha murni ini.. Mabrouk

محمد حذوان بن حميدان berkata...

to izzah:

trime ksih ukhti, moga kita sama2 beroleh pencerahan..

suraya zainal berkata...

TAHNIAH.. blog yang membawa kepada muhasabah diri..

sahabat ada macam2 jenis, kita haruslah bijak memilih sahabat

terima kasih, post yang bgtu terkesan, kerana pernah dikhianati sahabat, smga Allah memberi petunjuk kpd mereka...

محمد حذوان بن حميدان berkata...

to Suraya Zainal:

trime ksih dan same2..moga kita same2 sntiasa brwaspada dan brmuhasabah dri.. (^_^)