Ahad, 17 April 2011

Dengki !!!


“Orang mu’min sentiasa diambang 5 dugaan yang susah : mu’min yang dengki padanya, munafiq yang benci kepadanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya, nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya.” (Hadith ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dari Hadith Anas dalam tajuk : ‘Akhlak Yang Luhur’)


Assalamualaikum dan salam mahabbah buat sahabat ikhwah dan akhawat semua. Moga kita sentiasa dalam rahmat Allah dan dipancari dengan nur ketenangan dari nafsu al-muthmainnah.

Apabila membelek buku Ust Fathi Yakan : ‘Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah’, sudah pasti akan kita temui hadith ini. Secara umumnya hadith ini mengambarkan kepada kita 5 rintangan dan dugaan yang mahu atau tidak mahu, wajib ditempuh bagi kita pejuang agama Allah.

Dugaan yang pertama sudah jelas untuk kita fahami iaitu mu’min yang dengki kepadanya. Secara peribadi saya melihat inilah dugaan besar yang perlu sentiasa diambil waspada dalam setiap keadaan. Masakan tidak, sejak kecil lagi sehingga kini akan ada golongan yang meperingatkan kita akan ancaman golongan munafiq, kafir, syaitan dan nafsu yang sentiasa mahukan kita lari dari sebuah perjuangan. Namun agak sedikit yang memperingatkan akan ancaman daripada golongan orang mu’min.

Apabila membelek Tafsir At-Thabari, pengertian syaitan itu bukan sahaja hanya merujuk kepada syaitan yang selama ini kita fahami iaitu satu benda ghaib yang mempunyai riak wajah yang hodoh dan menakutkan. Namun pengertian syaitan ini disyarah di dalam kitab ini turut merujuk kepada golongan manusia dan jin. Syaitan yang banyak bertopengkan manusia kurang diambil waspada oleh masyarakat kita pada masa kini. Sentiasalah berhati-hati wahai sahabat..

Sebagai duat (para pendakwah) perlu kita tahu betapa besar dan bahayanya penyakit hasad dengki serta penyakit-penyakit hati yang lain. Hasad dengki boleh mengikis iman seseorang mu’min jika tidak dipulihkan semula. Membunuh , mencuri dan khianat antara jenayah yang bermula daripada penyakit hati ini.

Para duat yang menyeru manusia ke jalan Islam khususnya yang sentiasa mendapat sambutan baik, berkebolehan dari segi ilmu dan percakapan, membawa akhlak yang baik, akan sentiasa terdedah kepada cacian lidah orang-orang yang hasad. Golongan ini sentiasa akan merasa dengki kepada ilmu dan kelebihan-kelebihan yang ada pada para duat. Tidak bolehkah untuk merasa dengki kepada keilmuan seseorang?

Jawapannya sudah tentu boleh. Namun perlu kita tahu dengki kita kepada mereka perlulah diiringi dengan usaha kita untuk berlumba-lumba menimba ilmu sehingga mampu mencapai tahap keilmuannya atau lebih lagi. Dengki yang membawa kepada kita mencari kelemahan seseorang untuk dijatuhkan sudah tentu membuktikan sifat dengki yang haram dalam Islam untuk ia berada dalam diri kita, na’uzubillah..

Corak ‘permainan’ pendengki ini perlu kita tahu serta berhati-hati. Mereka akan sentiasa mengintai dan menunggu-nunggu masa yang baik untuk mencetuskan pertembungan antara mereka sehingga membawa kepada terjatuhnya imej seseorang yang didengki. Amat bahaya sifat dan sikap ini.

Lihatlah zaman kini, akibat dengki, benci dan tidak puas hati akan kelebihan,kemampuan serta pengaruh seseorang menyebabkan agenda fitnah telah berlaku secara terang-terangan. Di dada-dada akhbar dan kaca tv menjadi bukti kerakusan serta kekejaman agenda fitnah yang secara jelas bertentangan dengan nilai-nilai dan adab Islam.Di manakah hilangnya perasaan malu wahai si pemFITNAH dan penDENGKI?


Ibnu Mu’taz pernah berkata:

“orang yang hasad itu MARAH kepada orang yang tidak berdosa, kikir terhadap sesuatu yang bukan kepunyaannya dan sentiasa mencari atau meminta sesuatu yang tidak akan diperolehinya..”


Sehubungan itu, Allah telah memerintahkan Nabi dan umatnya supaya sentiasa berlindung dari bencana golongan pendengki. Firmannya dalam Surah al-Falaq ayat 1-5:


Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh, Dari kejahatan makhluk-Nya, Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita, Dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul, Dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki." (Surah al-Falaq:1-5)

Imam Nawawi pernah berkata : “Bahawa apabila seorang tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri, maka ia adalah seorang pendengki”


Menurut Imam Ghazali ciri-ciri sifat pendengki ini ada tiga:

1. Bercita-cita supaya hilang nikmat orang lain dan berpindah nikmat itu kepadanya

2. Bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut sekalipun ia tidak mendapatkannya kerana boleh jadi dia telah mempunyai nikmat itu atau tidak suka nikmat itu dapat kepada orang lain.Yang kedua ini amat buruk berbanding yang pertama.

3. Tidak bercita-cita hilang nikmat itu dari orang lain, tetapi dia tidak suka melihat orang lain lebih tinggi keadaan daripadanya atau lebih banyak mendapat bahagian daripadanya. Apa yang disukai ialah biarlah sama sahaja tarafnya, dan tidak lebih daripadanya. Yang ketiga ini pun turut HARAM kerana terang-terang benci kepada segala pemberian Allah kepada seseorang makhlukNya, firman Allah:



“Apakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan.”(Surah az-Zukhruf:32)


Hakikatnya , sesiapa yang tidak suka dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah adalah secara terang-terangan melawan ketentuan dan kebijaksanaan Allah. Golongan ini tidak tertanam di hati mereka perasaan insaf, bertimbang rasa dan kasih sayang. Amat buruk bagi seseorang yang hanya bertaraf HAMBA kepada Tuhan PENCIPTA memiliki sifat-sifat ini, na’uzubillah..


Apakah status kita? Renung-renungkan dan kembalilah beramal~


Comments
6 Comments

6comments:

NuR QaLBi berkata...

Orang-orang yang menyakiti para Mu‘min lelaki dan perempuan (dengan membuat fitnah) padahal mereka (orang-orang yang beriman tersebut) tidak berdosa maka sesungguhnya pembawa fitnah tersebut telah memikul beban pendustaan dan dosa yang nyata.”

(Surah Al-Ahzab: Ayat 58)

محمد حذوان بن حميدان berkata...

to nur qalbi:

syukran, sama2lah kita hayati ayat ini~ (^_^)

Tanpa Nama berkata...

sifat dengki mampu menjadikan seseorang itu sanggup menyebarkan fitnah hya untuk melihat orang yang didengkinya itu 'jatuh'. semoga kita dijauhi dr sifat suka menfitnah dan dengki terhadap sesama muslim...sesungguhnya pedih azabnya bg org2 yang suka menyebarkan fitnah.

محمد حذوان بن حميدان berkata...

to tanpa nama:

aiwah, gejala ini smakin mnjadi2 di nagara kita khususnya, seolah2 tiada sekelumit rasa takut kpd azab Allah,na'uzubillah..

Sidratul Muntaha berkata...

Semua bermula dari HATI.Kalau hati cantik,insya Allah tak dengki malah susah hati kalau tak dapat berkongsi nikmat dgn orang lain.

محمد حذوان بن حميدان berkata...

to sidratul muntaha:

aiwah..setiap keburukan yg berlaku PASTInya brmula drpd hati yg telah rosak..~