Isnin, 22 Mac 2010

10 Langkah Membentuk Keyakinan Diri...




·
ANGGAPLAH diri anda yang diciptakan Allah sama seperti orang lain.


· SELALULAH berfikir jika orang lain boleh buat, kenapa anda tidak boleh?


· KENALPASTI kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri anda dan baikinya.


· JANGAN takut atau teragak-agak melakukan sesuatu yang positif.


· ELAK perasaan malu yang tidak bertempat.


· LAKUKAN riadah ringan sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.


· SERING berpenampilan kemas dan anggap diri anda adalah terbaik pada hari itu.


· APABILA berinteraksi, pandang tepat ke muka dan mata orang yang kita sedang berinteraksi dan gunakan sedikit pergerakan tangan untuk menerangkan sesuatu. Jangan terlalu kaku.


· APABILA memulakan sesuatu tugas jangan berfikir mengenai masalah, tetapi fikirkan apa hasil yang akan diperolehi selepas melakukan tugas itu.


· SENTIASA peka dengan waktu. Jangan berlengah-lengah atau bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugas.







Jumaat, 19 Mac 2010

Ketika Jiwaku Bertasbih...




Seseorang dapat mendekatkan dirinya kepada ALLAH menerusi solat.Antara solat sunat yang amat digalakkan ialah yang dilakukan pada sepertiga malam. ALLAH SWT berfirman dalam surah a-Israa’,ayat 79:









“Dan bangunlah sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya sebagai tambahan bagimu,semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat ditempat terpuji.”


Dalam ayat itu ALLAH memerintahkan Rasulullah SAW melaksanakan solat malam atau qiamullail,namun ramai memandang remeh perintah berkenaan. Meskipun sifatnya ini khusus untuk Rasulullah SAW ,ia adalah amalan sunat buat umatnya memandangkan kita dianjurkan mencontohi keperibadian baginda.


Maksud qiamullail ialah mendirikan (qiam) malam (lail) atau bahasa mudah,menghidupkan malam dengan mendekatkan diri kepada ALLAH. Selain itu, terdapat beberapa solat malam seperti solat sunat istikharah,tahajud,taubat ,tasbih dan sebagainya.


Selain melakukan solat sunat,kita digalakkan membaca al-Quran,berdoa, berzikir dan beristighfar untuk memohon keampunan dan rahmat daripada ALLAH. Membaca al-Quran juga adalah satu ibadah yang diberi ganjaran sangat besar kerana setiap huruf yang dibaca akan digandakan 10 pahala kebajikan.Sabda Rasulullah SAW:


“Bacalah olehmu al-Quran kerana pada akhirat ia akan memberikan syafaat kepada pengamalnya.” (HR Muslim)








Setiap surah di dalam al-Quran mempunyai fadhilatnya yang tersendiri. Antara surah yang dinyatakan baik untuk diamalkan ialah surah Yaasin kerana ia ibarat jantung al-Quran,al –A’la (surah yang sangat digemari Rasulullah SAW),al-Fatihah (pokok atau ibu al-Quran),al-Kahfi(tempat naungan pada hari akhirat),as-Sajadah(digemari Rasulullah SAW),al-Mulk(memberi syafaat di akhirat ),an-Nas dan al-Falaq(memberi pelindungan pada hari akhirat).


Ada beberapa ayat dalam al-Quran mengesahkan betapa besar keutamaan solat malam itu. ALLAH menjelaskan ,mereka yang menjaga solat malam itulah sebenarnya yang berhak dan layak menerima kebajikan sebagaimana firmanNya :




“Hai orang yang berselimut(Muhammad),bangunlah(untuk bersembahyang)pada malam hari kecuali sedikit(daripadanya),iaitu seperduanya itu sedikit,atau lebih daripada seperdua itu sedikit.Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.”(Surah al-Muzammil : 1-4)


Saidatina Aisyah ada meriwayatkan: “Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang sehingga bengkak kedua-dua kakinya,maka aku (Aisyah)berkata kepada baginda: “mengapa Rasulullah lakukan semua itu ,bukankah dosa tuan diampunkan oleh ALLAH sama ada terdahulu atau yang terkemudian?” Baginda menjawab: “salahkah aku menjadi hamba NYA yang bersyukur?"



Selasa, 16 Mac 2010

DAHULUkan yang penting, UTAMAkan yang paling penting…



Kalau dulu, kita biasa dengar dan tahu gadis yang mencecah usia 20 tahun tapi masih belum bertemu jodoh pasti akan diburu resah serta gundah gulana. Maklumlah pada zaman itu, usia 20 tahun sudah dikira terlewat. Sebabnya amalan ketika itu, anak gadis biasa dikahwinkan seawal usia 15 tahun lagi, malah kemungkinan lebih awal lagi. Pada usia 20 tahun ni, wanita-wanita dulu dah dikurniakan mungkin tiga atau empat cahaya mata.


Ketika itu masyarakat masih lagi melihat wanita yang berpelajaran tinggi sebagai satu ‘taboo’. Jika wanita dilihat lebih pandai daripada lelaki, maka secara automatik markahnya untuk mendapat jodoh awal dipotong. Mana ada lelaki mahu berkahwin dengan wanita yang lebih pandai daripada mereka.


Tapi itu dulu, sekarang ramai wanita yang lebih Berjaya berbanding lelaki. Boleh dikatakan wanita kini semakin sama taraf. Tidak timbul diskriminasi terhadap wanita dalam banyak perkara. Lihat sahaja di universiti dan di sektor perkhidmatan awam, siapa yang lebih ramai. Ramai wanita diberi kepercayaan memegang jawatan-jawatan penting di pelbagai peringkat. Namun dek kerana kejayaan ini timbul pula masalah baru bagi kaum wanita.


Apabila wanita semakin pandai dan sibuk dengan kerjaya maka mereka mula memandang remeh tentang soal perkahwinan.. Mungkin ada yang berpendapat, pada zaman moden ini kerjaya lebih penting. Selain itu, pandangan yang lebih ekstrem lagi ada yang mahu enjoy puas-puas, kahwin belakang cerita.Sedar atau tidak sedar negara kini mungkin akan berkurangan jumlah penduduknya. Laporan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), jelas menunjukkan kadar kesuburan di kalangan wanita Malaysia dijangka turun mendadak pada tahun 2015 iaitu purata 2.05 kanak-kanak pada tahun 2007. Malah hasil kajian itu membuktikan kadar kesuburan pada tahun 1995 yang mencatatkan 3.4 kanak-kanak bagi seorang wanita turun kepada 2.9 pada tahun 2000 dan akhirnya 2.2 pada tahun 2007.


Apa sudah jadi? Lebih dikesalkan punca utama masalah itu adalah kerana majoriti sikap kaum wanita yang lebih mengutamakan kerjaya. Keutamaan itu menyebabkan mereka terlupa tentang tuntutan perkahwinan dan hidup berumah tangga. Apabila menjelang senja barulah mereka tersedar mereka terlepas perkara yang paling indah dan beharga dalam kehidupan.


Apa yang lebih dikesalkan terdapat segolongan wanita yang mengamalkan trend tidak mahu berkahwin atau lebih berminat kepada gaya hidup bebas tanpa sebarang ikatan. Dimanakah kesedaran mereka bahawa perkahwinan itu adalah satu tuntutan dalam Islam? Apakah mereka fikir dengan hanya kerjaya tinggi dan gaji yang melimpah ruah mampu membahagiakan mereka sehingga ke akhir hayat? Tidakkah mereka mahu mendengar tangisan dan rengekan bayi sebagai pengubat rindu setelah penat lelah bekerja?


Itulah orang tua-tua selalu berpesan, beringat sebelum terkena. Nah, kerana terlalu leka mengejar pangkat dan wang ringgit akhirnya mereka menggadai satu keperluan bagi seorang wanita untuk melengkapkan episod hidup iaitu berkahwin.


Niat saya di sini bukan hendak mencari kesalahan atau menunding salah kepada kaum hawa apatah lagi cuba mengadu domba, tetapi hakikatnya jika sudah sampai masa tunaikanlah fitrah seorang manusia untuk berumah tangga. Janganlah hanya kerana kesibukan kerja dan terlalu asyik mencari wang ringgit, maka soal perkahwinan diketepikan. Namun faktor berkurangnya kaum lelaki dengan ditambah dengan ramainya bilangan lelaki yang berpusu-pusu memasuki Universiti Perubatan Serenti (UPS) di seluruh tanah air,telah menambahkan lagi kerumitan bagi wanita untuk mencari pasangan hidup mereka.


Saya sengaja membangkitkan isu ini untuk kita sama-sama renungkan bukan sahaja buat kaum hawa, tetapi juga kaum adam yang sepatutnya menjadi pemimpin dan tonggak sesebuah rumah tangga bagi mengetuai sebuah bahtera kehidupan yang penuh berliku dan berduri dengan ditambah mehnah serta tribulasi. Ingatlah! kehidupan berumah tangga tidak semudah di sangka. Namun, keperitan itulah kemanisan, kegagalan itulah kunci kepada sebuah kejayaan...


Renungan buat kita semua, "Sedarlah kita hidup hanyalah sementara, harta dan wang ringgit bukanlah pengukur kejayaan dalam hidup, yang penting kebahagiaan dan keberkatan hidup disamping mereka yang tersayang.. " (^_^)








Jumaat, 5 Mac 2010

Ambil dan berilah yang terbaik…




"Jadilah seperti lebah, makan daripada sumber yang baik dan mengeluarkan hasil yang baik dan manis pula. Bila ia hinggap di ranting, tidaklah pula sampai mematahkannya, menghisap pati sari bunga tanpa menyengatnya, mengeluarkan madu juga tanpa sengat, terbang dengan sebaran debu kecintaan, lalu hinggap membawa kasih sayang. Bersuara dengungan begaikan berita gembira dan suara desingan umpama ungkapan kesyukuran, ia seakan-akan malaikat dari langit yang turun ke bumi dari alam yang kekal..."