Rabu, 8 Disember 2010

Muhasabah Intipati Maal Hijrah


“Dan dialah yang menerima Taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan,” (asy-Syura:25)

Assalamualaikum dan salam Maal Hijrah buat semua sahabat,sahabiah serta pembaca sekalian. Marilah kita sama-sama bersyukur kerana masih diberikan peluang menghirup udara tahun baru yang mulia ini. Walaupun sambutannya mungkin hambar jika hendak dibandingkan dengan sambutan tahun baru Masihi, namun ‘nur’ serta pentingnya tahun Hijrah ini bagi umat Islam tidak sesekali boleh dinafikan.


Pada tanggal 1 Muharam telah termaktub dalam lebaran sejarah Islam , peristiwa Hijrah telah mendatangkan impak yang besar bagi umat Islam sehingga kini, biarpun sudah berlalu hampir 1400 tahun namun kesannya masih segar dibenak ingatan.


Sejarah ini telah membuktikan bahawa kekuatan Islam tidak boleh dipandang enteng sepertimana yang telah berlaku ketika baginda Nabi Muhammad S.A.W dan sahabatNYA melakar kejayaan besar ini.


Kesatuan yang terbina antara Muhajiran dan Ansar memberikan kekuatan yang menyeluruh sekaligus membuka mata seluruh dunia bahawa umat Islam adalah umat yang satu.Tidak kira darimana asal-usulnya, dimana dia berada asalkan dia mengucapkan syahadah dan kehidupan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah maka ketika itu dia juga saudara.


Kerjasama yang diberikan antara Muhajirin dan Ansar sayugianya perlu dicontohi oleh umat Islam hari ini. Sesungguhnya Islam tidak memerlukan kita tetapi sebaliknya kita yang berhajat kepada Islam dalam memimpin kehidupan kita seharian.


Pengorbanan yang telah mereka berikan untuk merealisasikan sebuah perubahan adalah begitu besar dan agung. Mana mungkin mudah untuk meninggalkan kampung halaman yang telah membesarkan kita dan menjadi tempat mainan sejak kecil lagi.


Namun begitu,demi menegakkan syiar Islam dan untuk memastikan survival Islam terus berkembang ke seantero dunia maka segalanya sanggup dikorbankan.Kesannya penghijrahan yang mereka lakukan terus menjadi teladan sehingga kini.


Tambahan lagi jika kita menyorot kembali sejarah penghijrahan di zaman Rasulullah SAW, pasti kita akan menemui cara dan uslub yang digunakan oleh pemimpin agung ini bagi memulakan kebangkitan umat Islam. Sejarah penghijrahan ini pasti tidak akan berlaku sekiranya perancangan dan strategi hanya sekadarnya sahaja.


Sebab itulah kebangkitan umat Islam sebenarnya memerlukan kepada sifat kesatuan. Dan kesatuan yang dimaksudkan di sini adalah kesatuan dari sudut akidah, pemikiran dan gerak kerja.Allah SWT sengaja menyusun hari-hari kebesaran sebagai pedoman dan panduan bagi umat Islam untuk menyusun perancangan di masa hadapan. Setiap hari-hari yang disambut tersebut mempunyai intipati yang tersendiri bagi umat Islam menghayatinya.


Intipati bagi Hari Raya yang disambut pada 1 Syawal adalah sifat taqwa yang perlu ada dalam jiwa umat Islam. Setelah menempuh fasa tarbiyah sepanjang bulan Ramadhan, umat Islam kembali kepada fitrah asal kejadian dengan sifat taqwa yang wujud di dalam diri. Perkara tersebut disebut oleh Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah :



"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sepertimana diwajibkan perkara tersebut terhadap umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu semua menjadi orang-orang yang bertaqwa". (Surah Al-Baqarah : ayat 183)


Intipati bagi Hari Raya Aidiladha pula adalah sifat berkorban yang perlu diterapkan dalam jiwa umat Islam. Sejarah membuktikan bahawa Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail sanggup mengenepikan agenda peribadi apabila bertembung dengan suruhan daripada Allah SWT.


Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga menerapkan sifat berkorban ini selama 13 tahun sepanjang tempoh pembinaan umat Islam di Mekah. Manakan tidak, para sahabat Rasulullah SAW sanggup meninggalkan harta dan kekayaan yang mereka miliki di Mekah demi bersama-sama Rasulullah SAW berhijrah menuju ke Madinah.


Sehubungan itu, Nabi Muhammad SAW juga mengajar kaum Ansar agar membantu kaum Muhajirin ketika melaksanakan perintah Allah SWT. Bukti sifat berkorban yang subur di dalam jiwa kaum Ansar, mereka sanggup menawarkan kepada kaum Muhajirin untuk tinggal bersama-sama, menyumbangkan jiwa dan harta yang ada demi semata-mata ingin melihat kalimah 'Lailaha illallah' tertegak di bumi Madinah.


Maka intipati kepada sambutan Maal Hijrah adalah sifat kesatuan umat Islam. Inilah sifat yang merupakan senjata paling ampuh bagi kebangkitan sesebuah tamadun. Sesungguhnya perpecahan sesama bangsa dan akidah bakal melahirkan jiwa umat Islam yang hilang jatidiri dan integriti.


Justeru, bersempena tahun baru Islam yang baru sahaja menjelma, sama-samalah kita muhasabah diri kita serta memperbaikinya dengan amalan yang lebih baik. Jadikanlah madrasah Ramadhan yang telah lalu sebagai medan pentarbiyahan bagi penerusan kepada amal Islami sepanjang hari-hari dalam tahun 1432 Hijrah ini.



Antara pentarbiyahan diri yang perlu sentiasa diamalkan:

1. Menjaga solat berjamaah

2. Menghiasi diri dengan sifat mahmudah dan membersihkan diri dari sifat mazmumah

3. Memperbanyakkan amalan-amalan sunat

4. Sentiasa berzikir mengingati Allah

5. Meninggalkan berbual kosong

6. Menjauhkan diri dari perkara yang boleh melalaikan diri

7. Sentiasa mengeratkan hubungan silaturrahim sesama Islam





Comments
2 Comments

2comments:

wardiah berkata...

Perkongsian yang mantap dan berisi. keep it up!
salam maal hijrah juga ya ust~ (^;^)

محمد حذوان بن حميدان berkata...

to wardiah:

syukran ukhti sdi ziarah dan kmen..salam maal hijrah juga.. (^_^)