Khamis, 24 Jun 2010

Mentafsir 1001 Misteri Mimpi Manusia...




MIMPI (ahlam) termasuk dalam alam ghaib dan sentiasa dialami manusia. Islam secara umum menerima perkhabaran daripada mimpi.

Bagaimanapun, setiap mimpi perlu dikaji adakah ia bersumber daripada Allah, berpunca dari syaitan atau mimpi biasa (mainan tidur).

Mimpi jenis pertama dinamakan al-ru'ya al-sadiqah (mimpi benar) seperti yang berlaku kepada Nabi Ibrahim bila ia bermimpi Allah memerintahkannya menyembelih anaknya Nabi Ismail.

Ini dapat dilihat dalam firman Allah :


Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahawa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar". (Surah as-Saffat ayat 102)


Selain Nabi, perkara itu boleh berlaku kepada orang mukmin dan orang biasa seperti berlaku kepada Raja Mesir (Firaun).

Ini dinyatakan dalam firmanNya:


Raja Berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): "Sesungguhnya Aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan tujuh bulir lainnya yang kering." Hai orang-orang yang terkemuka: "Terangkanlah kepadaku tentang ta'bir mimpiku itu jika kamu dapat menta'birkan mimpi." (Surah Yusuf ayat 43)



Mimpi sebegini kadang-kadang jelas dan tidak perlu kepada penafsiran seperti berjumpa dengan Rasulullah dan kadang-kadang simbolik yang berkehendakkan tafsiran daripada orang yang ahli.Firman Allah :




“Dan kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang kami beri wahyu kepada mereka; Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,” (Surah an-Nahl ayat 43)




Mimpi berpunca daripada syaitan ialah mimpi buruk serta mengarah kita melakukan perbuatan yang jahat serta membuat maksiat.

Rasulullah bersabda: “Ru'ya itu daripada Allah dan mimpi (buruk) daripada syaitan”.

Rasulullah mengajar kita apabila mengalami mimpi sebegini hendaklah seseorang itu mengalih kepada posisi tidur bertentangan, meludah tiga kali di sebelah kiri, memohon perlindungan Allah dan bangun bersembahyang serta mengelak daripada memberitahunya kepada orang lain.

Mimpi biasa pula dikenali sebagai adhghath ahlam (mimpi kosong). Inilah kebanyakan mimpi yang dialami manusia.

Ia berpunca daripada keadaan diri seorang itu seperti tidur dalam keadaan kenyang, letih, fikiran bercelaru atau memikirkan benda mustahil dan pelik.

Mimpi begini tidak perlu ditafsirkan atau diambil berat.

Mimpi juga tidak boleh dijadikan asas keputusan sesuatu perkara sama ada baik atau buruk.

Mimpi yang boleh diambil iktibar pula adalah mimpi yang dialami apabila seseorang itu tidur dengan berwuduk, berkeadaan tenang dan seumpamanya.

Selain itu, ada hadith diriwayatkan oleh Abu Daud yang menyatakan tiga jenis mimpi iaitu:

Mimpi baik yang mendapat berita baik daripada Allah.



Mimpi buruk yang dikuasai syaitan semata-mata untuk menakut dan membinasakan orang yang bermimpi.



Mimpi yang berlaku hasil daripada fikiran yang sering dihantui (takut dan sebagainya) dan khayalan sendiri.



Comments
2 Comments

2comments:

ini kisahku... berkata...

salam ziarah...
akk mmg dh lme bminat dengan isu 'tafsir mimpi'..
tksh sudi kongsi ilmu kat cni...=)

محمد حذوان بن حميدان berkata...

wsslm..
smae2..moga sdkt prkongsian ini dpt mmbka mta hti pmbca.. (^_^)