Khamis, 20 Mac 2014

Kalau aku tahu



Salam mahabbah buat sidang pembaca. Moga Allah sentiasa rahmati kita dengan cahaya keImanan dan keIslaman pada diri kita, keluarga serta masyarakat kita semua, Amiin.

Catatan ringkas Daurah Tafsir minggu ke-4

Pada minggu ini, kuliah Tafsir Surah al-Mulk yang diteliti setiap makna dan pengajarannya dari syarah Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni dalam Kitab Shafwatut Tafasir untuk ayat yang ke-7 hingga ayat ke-10. inshaAllah catatan ringkas dan input penting pada pembelajaran kali ini akan saya cuba kongsikan buat sidang pembaca sekalian.






“Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?” Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”. (Surah al-Mulk ayat 7-10)





Meneliti kesemua ayat ini, kita akan memahami serba sedikit perihal dan penceritaan ‘kisah’ yang bakal berlaku buat penghuni ahli Neraka akan siksaaan yang bertandang kepada mereka juga pengakuan ‘ikhlas’ ketika itu akan PENYESALAN kerana tidak beriman kepada semua perintah Allah serta mendustakan utusan Allah (Rasul) sewaktu hidup di dunia. Persoalannya di sini, adakah kita tergolong salah seorang individu dalam golongan yang ‘menyesal’ ketika di akhirat nanti??


Cuba teliti makna pada ayat yang ke-7 mengenai suara Neraka yang ‘meraung’ itu. Bunyi yang amat menyeramkan. Perkataan شَهِيقًا diambil dari perkataan شهق syahiqa yang bermaksud bernafas dengan kuat sampaikan bunyinya kedengaran. Bayangkan binatang buas yang bernafas dengan kuat. Ianya bunyi yang menakutkan. Ini hendak membayangkan kepada kita betapa menakutkan sekali neraka itu. Ianya seperti binatang buas yang hendak menerkam kita dan tidak akan puas dengan apa yang dia ada. Kerana ada dalam hadis bagaimana neraka akan berkata kepada Allah: “mana lagi, mana lagi yang hendak Kau masukkan?”. Seperti dia tidak cukup-cukup dengan makhluk yang dimasukkan ke dalamnya. Ma sha Allah. Tidak tertahan hati kita untuk menanggung azab hanya melihat dan mendengar neraka.

Hakikatnya keseluruhan ayat ke-7 hingga ayat ke-10 ini sekiranya diteliti setiap makna dari satu perkataan kepada perkataan yang lain pastinya akan menggerun dan menggetarkan hati-hati yang masih punya sekelumit rasa bertuhan dan beriman kepada Allah. Ini baru 3 ayat sahaja dari keseluruhan ayat-ayat al-Quran yang begitu banyak dan penuh dengan peringatan dan kemukjizatan di dalamnya. Persoalannya sudahkah kita cuba memahami dan amalkan??




Kalauuu... dan.. kalauuu..


Tajuk utama penulisan pada kali ini adalah mengungkapkan sedikit ayat penyesalan sang penghuni neraka tika ketika itu mereka sudah hilang semuanya. Tiada harta, kuasa, pangkat, keturunan yang hebat, malah ketampanan dan kecantikan yang digilai yang menyebabkan hati-hati mereka tertutup dek kerana kesombongan dan kebongkakan menyelubungi hati sanubari mereka.

Pada ayat yang ke-10 :

Dan mereka berkata: Kalaulah kami dulu mendengar;”

Mafhum dari ayat mereka ini ialah “dan Kalaulah kami percaya sikit sahaja pun kepada pemberi peringatan itu”. Itu adalah kata-kata penyesalan dari mereka. Tidak ada gunanya sesal waktu itu. Sesalan mereka itu adalah sebagai satu azab kepada mereka. Bayangkan, orang yang masuk penjara, selain dari mereka tidak mendapat kebebasan keluar dan hidup seperti orang lain, salah satu seksaan kepada mereka akan seksaan mental mereka. Mereka perlu duduk lama di dalam penjara itu dan mereka akan menyesali perbuatan mereka. Mereka akan rasa bahawa kesedapan yang mereka rasai semasa mereka buat kesalahan itu adalah sekejap sahaja, tapi balasan untuknya adalah lebih lama lagi.



Kenapa Allah menggunakan perkataan سمع – mendengar – dalam ayat ini? Kerana orang-orang yang masuk neraka adalah mereka yang langsung tak mahu mendengar dan memberi perhatian kepada peringatan dan seruan pendakwah-pendakwah yang datang kepada mereka. Mereka akan lari dari mendengar nasihat yang hendak diberikan. Kalau mereka dengar pun, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Mereka tak beri perhatian pun langsung.

Kadang-kadang mereka sudah ada satu kefahaman tentang agama yang mereka dapat dari orang-orang sebelum mereka, sampaikan mereka tak mahu nak dengar hujah lain lagi dah. Padahal, hujah yang hendak diberikan kepada mereka ini adalah hujah dari Quran dan Hadis. Mereka hendak juga pegang dengan kemas apa yang disampaikan oleh guru mereka. Pendengaran mereka telah tertutup. Maka, sesalan kepada mereka pada hari akhirat nanti. Mereka akan menyesali kesilapan mereka yang tidak mahu mendengar apa yang hendak disampaikan oleh pendakwah.

Fenomena ‘kalau’

Hakikatnya ayat ‘kalau’ (merujuk kepada penyesalan) seperti ini tidak perlu tunggu ketika di neraka, di dunia ini pun sudah selalu digunakan, “kalaulah aku..” “kalaulah aku..”. Penyakit suka mengungkapkan ‘kalau’ ini terlalu banyak digunakan dan berlaku kepada manusia yang suka membuat sesuatu perkara tanpa berfikir panjang terlebih dahulu yang akhirnya kesan atau natijah kepada perbuatannya itu tidak seperti diharapkan malah membawa impak yang buruk. Lebih buruk impak tersebut membawa kesan yang tidak baik kepada maruah Islam.




Justeru tidak hairanlah Rasulullah dalam satu hadithnya pernah melarang ‘penyakit kalau’ ini bila sesuatu perkara buruk sudah pun berlaku. Maknanya tidak perlu berkelakuan seolah kita pemegang takdir tetapi jadilah manusia yang belajar berfikir mencari hikmah dan belajar sesuatu atas setiap perkara baik dan buruk yang telah berlaku.


Kesimpulan

Perkataan ‘kalau’ ada kalanya baik (dibolehkan malahan digalakkan), dan adakalanya dilarang syarak.
Penggunaan perkataan ‘kalau’ yang dilarang ialah: apabila berlaku sesuatu yang buruk atau nasib malang bagi seseorang, lalu dia pun berkata: “Kalau aku tak buat, takkan jadi macam ni…”, dan seumpamanya.

Penggunaan kalau seperti ini adalah amalan syaitan, sebagaimana dalam hadith Sahih Muslim menyebut: Nabi bersabda:

“Jangan kamu berkata: Kalau aku buat begini, akan jadi begini. Tetapi katakanlah: ini takdir Allah, apa yg dia kehendaki akan berlaku. sesungguhnya ‘kalau’ membuka pintu syaitan.”

Kenapa ‘kalau’ membuka pintu syaitan? kerana:

  1. ia membuka pintu kesedihan, penyesalan, dan mungkin kebencian yg payah untuk dihilangkan
  2. ia merupakan satu adab yg buruk terhadap ALlah yang mentaqdirkan setiap sesuatu.


Manakala penggunaan ‘kalau’ yang dibolehkan ialah menggunakannya untuk mengajarkan ilmu, atau kebaikan, atau untuk bercita-cita untuk mendapatkan suatu yg baik. maka ia dibolehkan menyebut ‘kalau’.

Sebagaimana dalam al-Quran dan hadith ada perkataan ‘kalau’ untuk mengajar. Sebagai contoh dalam firman Allah maksudnya “Kalau di dalamnya (langit dan bumi) ada tuhan lain selain Allah, maka hancur binasalah langit bumi ini.”

Selain itu dalam hadith Nabi dalam menyebut kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir: “Kalau Musa sabar, nescaya ALlah akan menceritakan lagi kepada kita tentang cerita mereka”

Renungkanlah :

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Hadith Riwayat Muslim]





Muhamad Hazwan Bin Hamidan
4 Jamadil Awal 1435 / 5 Mac 2014
Bilik Kuliah 2 (aras LG)
Masjid Putrajaya
Comments
0 Comments

0comments: