Sabtu, 28 Ogos 2010

HIDUP : Proses Untuk Memilih

Alhamdulillah, tanggal hari ke 17 Ramadhan ana selamat pulang ke kampung halaman di Kajang untuk menunaikan amanah mengikuti Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) selama seminggu. PBS kali ke-2 ini ana memilih kampung halaman sendiri. Ia amat bertepatan kerana sesuai dengan bulan Ramadhan..he3. Sekolah yang bakal ana ber’PBS’ bermula Isnin ini (30/8/2010) adalah di Sekolah Kebangsaan Kajang Utama. Satu sekolah yang boleh dikatakan hampir dengan rumahku. InsyaALLAH ana akan melalui PBS selama seminggu ini bersama sahabat yang tidak asing lagi dalam hidup ana iaitu Ustaz Fathi.. (^_^)




Solat Terawih

Memandangkan hari ini merupakan hari pertama ana pulang ke kampung halaman dalam bulan Ramadhan ini, maka hari ini juga menjadi hari&malam pertama ana menunaikan solat Terawih di masjid yang tidak jauh daripada rumah.

Mungkin sahabat tertanya-tanya apakah maksud sebenar tajuk untuk entry kali ini? kan?kan? (^_^)

Setelah jemaah masing-masing selesai menunaikan solat sunat selepas isyak, bilal memberikan sepatah dua kata serta berbesar hati menjemput al-fadhil Ustaz Yusri untuk memberikan tazkirah sebelum kami bersama-sama menunaikan solat Terawih secara berjemaah di bawah pimpinan beliau.

Ustaz Yusri merupakan antara pendidik dan tenaga pengajar yang amat dihormati serta disegani oleh masyarakat masjid al-Muhajirin.

“kehidupan memerlukan kita untuk MEMILIH, manusia pasti akan MEMILIH perkara yang terbaik untuk hidupnya…”

begitulah serba ringkas antara maksud kata-kata al-fadhil ustaz.

Ustaz Yusri memberikan beberapa analogi :

“ada daripada kita yang pergi ke bazar Ramadhan, dia membeli dan MEMILIH ayam percik sedangkan di gerai sebelahnya menjual ikan bakar. Mengapa dia MEMILIH ayam percik dan tidak MEMILIH ikan bakar?? Sudah tentu dia YAKIN semasa membeli ayam percik sebagai menunya untuk dijadikan juadah berbuaka puasa..fikirannya pada masa itu insyaALLAH makanan ini selamat untuk dimakan..”

“contoh yang lain semasa kita memandu kereta, ketika kita hendak memotong kereta di hadapan kita, pada masa itu sudah tentu kita YAKIN selamat untuk memotong, sebelum kita membuat keputusan MEMILIH untuk memotong..”

Dalam merenung kata-kata al-fadhil ustaz, teringat satu firman Allah dalam Surah ar-Ra’d ayat 11 :



“..sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, Maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (ar-Ra’d:11)

YAKIN dan MEMILIH

Ya..itulah hakikat dalam kehidupan. Setiap manusia akan membuat pilihan terbaik dalam kehidupannya, sama ada dia terpaksa meilih atau memilihnya dengan hati yang terbuka. Tiada manusia yang mahukan pilihannya salah dan tidak terbaik untuk kehidupannya. Sudah tentu pilihan terbaik menjadi satu matlamat.

Apa yang dikesalkan dan perkara ini turut diluahkan oleh al-fadhil ustaz, dalam soal hidup beragama ini, mengapa manusia tidak mahu memilih untuk menunaikan solat.puasa dan semua perkara ibadah yang sudah terang-terang terbaik dalam kehidupan??

Adakah manusia tidak YAKIN??

Sekiranya benar ia adalah puncanya, sudah terbukti betapa begitu lemahnya tahap aqidah kita..Rukun Iman yang sudah kita pelajari seawal usia kita yang masih belum mengenali hakikat sebuah kehidupan yang sebenar di dunia ini, tiadak dapat kita hayati setiap sepenuhnya..

Rukun Iman

Para ulama menetapkan setiap umat Islam mestilah percaya kepada 6 perkara asas dalam Islam yang dikenali ramai sebagai Rukun Iman:-

  1. Percaya kepada Allah
  2. Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
  3. Percaya kepada Malaikat-Malaikat
  4. Percaya kepada Kitab-Kitab
  5. Percaya kepada Hari Akhirat
  6. Percaya kepada Qada’ dan Qadar




“Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan kepada Kitab yang Allah turunkan kepada rasul-Nya serta Kitab yang Allah turunkan sebelumnya. barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari Kemudian, Maka Sesungguhnya orang itu Telah sesat sejauh-jauhnya.” (an-Nisaa’:136)



Dari ayat di atas Rukun Iman disebutkan hanyalah lima perkara iaitu

  1. Percaya kepada Allah
  2. Percaya kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
  3. Percaya kepada Malaikat-Malaikat
  4. Percaya kepada Kitab-Kitab
  5. Percaya kepada Hari Akhirat

Tidak disebut rukun iman ke-6 iaitu :

Percaya kepada Qada’ dan Qadar

Kewajipan beriman kepada Qada’ dan Qadar sememangnya tidak diterangkan di dalam ayat 136 surah an-Nisaa'. Namun begitu, Rukun Iman ke-6 yang digariskan oleh Rasulullah tetap mempunyai asas di dalam al-Quran berdasarkan kepada ayat-ayatnya yang lain iaitu :





"Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (Tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan Telah tertulis dalam Kitab (Luh Mahfuzh) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri,”

(al-Hadid:22-23)

Apa Itu IMAN ?

Menurut pengertian dari www.halaqah-online.com :

Iman dari segi bahasa ialah at-tasdiq (membenarkan) dan dari segi syarak ialah: Tasdiq yang jazim (keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap kewujudan Allah Taala yang Maha Pencipta dan bahawasanya Allah Taala itu Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya.

Begitu juga membenarkan kewujudan makhluk Allah Taala iaitu para malaikat-Nya dan mereka adalah hamba-hambaNya yang dimuliakan. Mereka tidak makan dan bersifat dengan sifat lelaki mahupun perempuan serta tidak berketurunan. Tidak seorangpun yang mengetahui bilangan mereka kecuali Allah Taala.

Juga membenarkan kitab-kitab sabawiah yang turun dari sisi Allah. Kitab-kitab ini adalah syariat Allah Taala sebelum ia diselewengkan dan diubah oleh tangan-tangan manusia.

Juga membenarkan para rasul. yang telah dipilih Allah Taala untuk memberi petunjuk kepada makhlukNya dan Allah menurunkan kepada mereka kitab-kitab samawiah. Juga beriktiqad bahawa para rasul itu adalah manusia yang maksum (terpelihara dari dosa).

Juga membenarkan hari kiamat, iaitu hari Allah Taala membangkitkan manusia dari kubur dan menghisab amalan-amalan serta memberi balasan kepada mereka. Jika baik, maka baiklah balasannya dan jika buruk, maka buruklah balasannya.

Juga membenarkan bahawa semua perkara yang berlaku di atas muka bumi ini adalah dengan takdir Allah Taala dan kehendakNya berdasarkan hikmah yang hanya diketahui Allah sahaja.

Inilah rukun-rukun iman. barangsiapa yang beriktiqad dengannya, akan beroleh kemenangan dan kejayaan. Begitulah sebaliknya. sesiapa yang mengingkarinya, dia akan sesat dan kecewa

Kesimpulan

Semoga cebisan perkongsian ilmu ini dapat mmebuka mata hati kita dalam meneruskan kehidupan beragama. Ingatlah mulianya kita di muka bumi ini HANYA kerana ISLAM. Hilangnya ISLAM itu daripada diri kita, hinalah kita.. (^_^)



Comments
0 Comments

0comments: