Khamis, 21 Oktober 2010

Ketenangan...

Daripada Aisyah R.A katanya : ‘Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW ketawa kuat sehingga Nampak anak tekaknya, Baginda hanya tersenyum sahaja’ (HR Bukhari dan Muslim)


Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana masih meminjamkan umur dan memberikan kekuatan untuk terus menulis. Merujuk kepada hadith di atas, ana sempat membacanya daripada Kitab Riyadhus Solihin karya Imam Nawawi. Hadith yang ke-141 dalam bab Berbudi Mulia dan Bersikap Tenang (باب الوقار والسكينة). Semoga sedikit perkongsian yang ingin ana bawa ini dapat kita hayati serta mengamalkan dalam kehidupan seharian,amin


PENGAJARAN HADITH

  1. Rasulullah merupakan contoh yang paling tepat dan baik di dalam semua perkara
  2. Sebaik-baik perbuatan dan perkara adalah pertengahan
  3. Seseorang itu dilarang ketawa sehingga terbahak-bahak
  4. Islam sentiasa menggalakkan seseorang itu senyum kerana senyum itu merupakan satu sedekah


Sahabat sekalian,hadith ini secara jelas telah dapat memahamkan kita akan salah satu sifat Rasulullah yang amat terpuji. Ia secara jelas dapat membandingkan akan kelemahan serta kekurangan diri setiap daripada kita dalam mengamalkan sifat ini.


Inilah merupakan salah satu tanda-tanda ketenangan yang dimalkan oleh Baginda dalam kehidupannya. Ia jelas mengajar kita konsep ketenangan yang sebenar. Hakikatnya apabila merujuk hadith-hadith lain, sudah pasti akan kita temui hadith yang membicarakan perihal sifat-sifat terpuji baginda yang lain. Sungguh kerdil diri ini…


Islam menuntut umatnya supaya bertutur dengan bahasa yang baik, berlemah lembut, pemurah serta berbudi mulia sehinggalah kepada orang-orang yang kita benci sekalipun. Islam secara jelas melarang kita berlaku sombong, angkuh dan membangga diri. Firman Allah dalam Surah al-Furqan ayat 63:


“Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan.” (Surah al-Furqan:63)


RASULULLAH CONTOH TELADAN TERBAIK

Menerusi firman Allah dalm Surah al-Ahzab ayat 21:



Ayat ini jelas untuk kita jadikan Rasulullah sebagai idola dan bukannya para artis mahupun perempit.Apabila kita membicarakan tentang idola, sudah pasti segala perbuatan,gaya,percakapan,dan style akan kita jadikan contoh dan ikutan. Justeru sekiranya mahu menjadi umat yang terbaik, sudah pasti perlu menjadikan idola yang terbaik sebagai contoh…


KETENANGAN ABADI

Ingatlah akan janji Allah kepada hamba-hambaNya dalam mendapatkan ketenangan yang berterusan. FirmanNya dalam Surah al-A’raf ayat 205:


“dan sebutlah (nama) tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan tidak mengeraskan suara di waktu pagi dan petang dan janganlah kamu termasuk dalm golongan orang-orang yang lalai” (Surah al-A’raf:205)


FirmanNya lagi dalam Surah ar-Ra’d ayat 28:


“Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram” (Surah al-Ra`d:28)


Apabila dirujuk kepada pentafsiran ulama berkenaan ayat ini, Al-Mawardi mentafsirkan zikrullah dengan maksud ketaatan, balasan dan janji Allah SWT.

Sementara Ibn Asyur mengatakan “zikrullah” bermaksud perasaan takut dan menjaga diri dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan. Ia juga bermaksud al-Quran dan zikir dengan lidah.

Ringkasnya, “zikrullah” bermaksud kita menguatkan hubungan dengan Allah SWT dengan tunduk dan patuh kepada agamaNya dan pengertiannya tidak tertumpu hanya kepada maksud zikir dengan lidah sahaja.

Sudah pasti kita tidak pernah mendengar manusia yang mengalami tekanan jiwa atau sakit jiwa disebabkan hubungan mereka dengan Allah. Oleh kerana itu umat Islam jarang sekali yang menghadapi tekanan jiwa, sebagaimana yang berlaku kepada umat manusia moden hari ini, kecuali gaya hidup umat Islam tidak jauh bezanya dengan orang bukan Islam. Allah berfirman:


“Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang beriman supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,” (Surah al-Fath:4)


Ibnu Abbas mengatakan kalimah “sakinahdalam al-Quran ditafsirkan dengan “tama’ninah” (ketenangan ).


Tabiat atau fitrah jiwa manusia akan merasai ketenangan:

1. Ketika ia bergantung dan berhubung dengan kuasa yang Maha Agung Allah SWT.

2. Ketika ia mengetahui kehidupan di dunia untuk menikmati nikmat Allah SWT

3. Ketika ia meyakini ia akan kembali selepas kematian bertemu dengan Penciptanya

4. Ketika ia meyakini kerugian mengikut kacamata dunia akan diganti pada hari akhirat

5. Ketika ia mengetahui Allah SWT akan menolongnya dalam setiap situasi, sama ada kesenangan bagi menambahkan kebaikan atau kesusahan untuk menyelamatkannya.