Salam mahabbah dan cinta Rasul buat semua sidang
pembaca. Moga kecintaan kita kepada batang tubuh Nabi, sunnah Nabi serta
perjuangan Nabi tidak bermusim malah sentiasa terpahat kukuh dalam gerak geri
dan NIAT kita setiap masa. InshaAllah.
Penantian suatu penyiksaan !
Setiap
penantian pastinya memerlukan kesabaran. Tidak kira apa jua penantian
sekalipun. Hakikatnya sudah menerima surat lantikan dari SPP untuk menjadi Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Gred DG 41 sedikit terasa lega. Ia menandakan temuduga
yang telah dilalui pada bulan 12 tahun yang lepas sudah lulus dan ia juga
menandakan selangkah kaki sudah berpijak dalam profesion perguruan. Hanya
menantikan panggilan penempatan sahaja.
logo Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP)
Walaupun ia menguji kesabaran namun apabila
memikirkan ramai lagi sahabat yang bukan graduan IPG yang berijazah pendidikan yang
sudah bertahun-tahun bergraduasi , masih lagi ternanti-nanti bilakah boleh
masuk ke dalam sistem perguruan ini masakan belum pernah dipanggil untuk
ditemuduga lagi, lagikan dipanggil untuk ditempatkan ke mana-mana sekolah. Pada
tahap ini, hanya ucapan syukur sahaja yang ku mampu titipkan buat Allah yang
Maha Esa yang Maha pengatur setiap perjalanan hidup ku.
Momentum perlu diteruskan
Masuk ke dalam fasa tidak duduk di alam
kampus pastinya saat dinantikan oleh sesiapa sahaja. Mana kan tidak, sudah
bertungkus lumus mengharungi jerih pahit dilatih dalam sistem Bina Insan Guru (BIG)
yang berfasa-fasa ditambah dengan keseluruhan berpraktikum di 3 buah sekolah
yang berbeza mencecah masa 6 bulan serta yang paling getir menyiapkan serta membentangkan
Kajian Tindakan di dalam bilik-bilik seminar yang penuh ‘keramat’. Semua itu
merupakan beberapa juzuk perjalanan yang mesti ditempuh oleh setiap siswa Guru
yang belajar di IPG sebelum boleh diijazahkan dengan segulung Ijazah Perguruan
(dengan Kepujian).
Bagi saya secara peribadi, fasa ‘rehat’
seolah-olah tidak boleh terlalu lama dan diri dimanjakan dalam satu fasa zon
selesa. Otak hanya ligat mencari-cari..
“ apakah yang boleh aku buat untuk dapatkan
sedikit kewangan pada hari ini?” (maklumlah elaun dah takde, hi3)
“apakah yang boleh aku sumbangkan pada hari
ini?”
“di manakah kuliah dan majlis ilmu yang
boleh aku jejaki dan tagih pada hari ini?”
Soalan popular yang selalu bermain di minda
ku. Mengapa ?? kerana aku mula tersedar pada tahun 2014 umur ku sudah menjejak
kepada umur dewasa. Aku sudah 24 tahun. Terasa masa pantas berlalu tanpa ku
sedari, namun diri ini seakan tidak berguna ! saya pasti ramai sahabat
seperjuangan seumur dengan ku sudah melangkah jauh dalam bidang ilmu dan sangat
kompeten dengan ilmu yang mereka pelajari untuk digunakan kepada diri serta disumbangkan
kepada keluarga dan masyarakat.
Selangor Darul ‘Ehsan’
Sebenarnya sesiapa yang menetap di Negeri Selangor
ini sangat beruntung. Mana tidaknya, hampir setiap hari, setiap malam dan
setiap kawasan sarat dengan majlis ilmu yang tidak terhitung. Itu tidak kita
bicara lagi keiltizaman penganjuran usrah-usrah yang pastinya menyajikan tarbiyyah
dan pengisian jiwa buat hamba Allah yang mendambakannya. Namun masalahnya hanya
pada kita. Nak pergi atau tidak ? rajin atau malas ? tepuk dada, Tanya iman
saya, kamu dan kita !
Saya teringat kata-kata Dr Halimah Binti
Ali yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, dalam satu ucapan beliau yang secara lantang menjelaskan
Negeri Selangor sangat konsisten berpegang dan beramal dengan term ‘ehsan’
dalam erti kata sebenar seperti yang tertulis dalam ‘hadith Jibril’ yang
diharapkan Selangor terus sentiasa berada pada landasan “Baldatun
Toyibatun Warobun Ghofur” sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat Allah
dalam Surah Saba’ ayat ke-15. InshaAllah.
Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!
Masjid
Putra dan ‘taman syurga’
Antara satu pusat ilmu yang boleh saya
promosikan di sini (semoga dapat bekalan untuk akhirat, amiin) ialah di Masjid
Putra, Putrajaya. Rasanya masjid ini sangat sinonim bagi semua rakyat di Negara
ini yang beragama Islam kerana ia merupakan salah satu masjid yang menjadi
pusat pelancongan bagi sesiapa yang menziarahi Putrajaya ini.
Ustaz Ikmal Zaidi b. Hashim
Buat makluman pembaca, setiap hari Rabu
malam pada minggu pertama dan ketiga di Bilik Kuliah 2 pada aras LG Masjid
Putra membuka kelas Tafsir Al-Quran kepada umum secara percuma. Apa yang
menarik, setakat masa ini, kehadiran sangat menggalakkan terutama dari golongan
veteran ‘pakcik’ dan ‘makcik’.
Buat masa ini kelas ini dipandu oleh Ustaz Ikmal Zaidi b. Hashim yang juga merupakan Pensyarah Jabatan Tahfiz dan Qiraat KUIS dengan berpandukan Kitab Shafwatut Tafasir karangan Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni. Sangat menarik dan seronok belajar di sini.
Saya memetik kata-kata Ustaz semasa
menaqalkan pandangan ulama tafsir mengenai ilmu Tafsir AQ ini :
“Pentafsiran AQ adalah satu
usaha untuk menerangkan apa yang Allah mahukan bagi setiap maksud bagi sesuatu
ayat AQ dalam had dan lingkungan yang diboleh serta dibenarkan sahaja (sekadar
kemampuan manusia)”
Manakan tidak, untuk menjadi
seorang yang alim dalam ilmu tafsir memerlukan faqih dalam 12 cabang ilmu. Namun
ustaz menyebut, pada zaman sekarang sangat sukar bagi seseorang ulama faqih
dalam kesemua 12 cabang ilmu ini, jadi mahu tidak mahu sesuatu ayat AQ itu memerlukan
12 orang ulama yang faqih dalam bidang dan cabang ilmu masing-masing terlibat
dalam perbincangan dan pengeluaran ijtihad bagi sesuatu maksud AQ.
Itu sekiranya mahu menjadi
ulama, namun bagi kita orang awam ni, begitu banyak kitab tafsir yang ditulis
oleh ramai ulama untuk kita baca. Namun perlu diingat sekadar membaca tanpa bertanya
dan mendapat bimbingan guru yang mursyid dan dipercayai keilmuannya menyebabkan
kita terjerat dalam kesesatan yang kita sendiri kadang-kadang tidak
menyedarinya, na’uzubillah.
Bermuhasabah
Segala coretan ini hanya sekadar mahu mengingatkan diri saya sendiri dan mahukan sidang pembaca menjadi seorang Muslim lagi Mukmin yang betul-betul sejati lebih baik daripada diri saya yang sangat lemah ini seterusnya terus tolong mendoakan saya agar terus istiqamah. Sangat rugi sekiranya kita tersedar ketika umur kita sudah lanjut dan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk kita menagih mutiara ilmu Allah yang sangat luas.
Bagaimana mahu mencari duit dan
bagaimana mahu memilih pasangan hidup, rasanya tidak perlu saya tulis dan
bincangkan dalam laman ini kerana saya rasakan perkara ini sudah terlalu banyak
ditulis dan diperbincangkan oleh masyarakat sekarang. Ia perkara nature
yang manusia tagih dan cari.
Pada penulisan kali ini apa yang
hendak saya nasihat dan tekankan buat diri saya sendiri dan sidang pembaca
untuk kita sama-sama ubah mind set dan cuba memperuntukkan sedikit masa
kita pada penggalian ilmu. Hakikatnya ilmu Allah sangat luas dan ianya tidak
MATI setelah kita bergraduasi mahupun sudah mendapat gelaran Doktor Falsafah
kelak !
Ramai yang berdoa mendambakan
umurnya dipanjangkan dan hidupnya senang. Namun adakah kita dalam golongan yang
memohon kepada Allah agar mendapat umur yang panjang tapi umur yang ada
sentiassa dapat dimanfaatkan dan berguna untuk Islam? Adakah kita dalam
golongan yang berdoa agar hidup senang, bahagia dan tenang tapi kebahagiaan dan
kesenangan itu turut terlimpah kepada orang lain yang juga memerlukannya?
Tepuk dada, tanya IMAN saya,
kamu dan kita. Selamat bermuhasabah
22 Rabi' al-Awwal 1435 / 23 Jan 2014
Taman Kajang Utama