Salam mahabbah buat sidang pembaca. Moga
Allah sentiasa rahmati kita dengan cahaya keImanan dan keIslaman pada diri
kita, keluarga serta masyarakat kita semua, Amiin.
Suburkan Cintamu
Kecintaan kepada Baginda Nabi perlu terus
disuburkan dan pastinya ia tidak perlu bermusim. Di kala susah dan senang
Sunnah dan segala cara hidup Baginda mesti untuk cuba dipraktikkan dan
JANGANlah ianya terhenti setakat di kerongkong dalam copong-copong mikrofon
ketika berceramah sempena Maulid Nabi.
Nabi tidak akan perlukan kita namun kita
yang pastinya memerlukan Baginda untuk menagih simpati di padang Mahsyar kelak.
Allahumma Solli ‘Ala Muhammad.
Walk the talk
‘Actions speak louder than words’
Ini satu idioms yang saya rasakan kita semestinya biasa kita
dengar. Secara mudah apa yang boleh kita fahami dari ayat ini ialah ‘What
you do is more significant than what you say’.
Apa pengajaran yang hendak cuba sampaikan buat diri saya yang
tika ini sedang menaip bait ayat ini, fenomena sebagai seorang manusia kita tidak
lari dari sentiasa bercakap. Lebih menarik menjadi seorang Da’ie, guru mahupun
penceramah yang kesemuanya sentiasa memerlukan kepada penyampaian secara
‘verbal’ yang pastinya kesemuanya mengajak kepada kebaikan dan kecintaan kepada
Baginda Nabi.
Setakat
mana kelantangan kita dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah kita sudah kita
lunaskan ? ATAU ianya sekadar pemanis kata buat menarik crowd supaya
terus minat dengan penyampaian kita ? Masyarakat
dan manusia sentiasa memerhati saya, kamu dan kita. JANGAN kita menjadi punca
Islam difitnah !
‘Fenomena’
Ustaz Abdullah Khairi
Kuliah dimulakan dengan selawat bersama-sama kepada baginda Nabi
Alhamdulillah
Allah memberikan kesempatan kepada saya untuk mendengar secara live kuliah
Ustaz terkenal ini di Surau Ar-Rahim di seksyen 8 Bandar Baru Bangi pada hari
Jumaat malam yang lepas. Ustaz memaklumkan rupa-rupanya surau tersebut sudah
book ustaz selama hampir setahun. Apa yang menarik, surau ini terpilih daripada
seluruh 48 reqeuest dari masjid dan surau lain area Kuala Lumpur dan Selangor
yang turut menanti. Sungguh ustaz ni juga ada auranya seumpama Ustaz Azhar
Idrus (UAI).
Beberapa
perkongsian daripada ustaz pada malam tersebut yang membawa gagasan tajuk
mengenai ‘Akhlak Nabi’, akan saya kongsikan
di sini, inshaAllah. Jom kita lihat terlebih dahulu nas yang ada yang boleh menjadi tatapan kita untuk sama-sama bermuhasabah.
Allah SWT berfirman, "Dan sesungguhnya engkau (Muhammad)
benar-benar berbudi pekerti yang luhur." (QS. Al-Qalam: 4).
Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang
akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, "Akhlak Nabi SAW adalah
Alquran." (HR Muslim).
Sungguh, jawapan Saidatina Aisyah ini singkat, namun sarat dengan
makna. Ia menyifatkan Rasulullah SAW dengan satu sifat yang dapat mewakili
seluruh sifat yang ada. Memang tepat, akhlak Nabi SAW adalah Al-Quran.
Allah SWT berfirman, "...Alquran ini memberi petunjuk ke
(jalan) yang paling lurus..." (QS.
Al-Israa': 9).
"(Yang) memberi petunjuk kepada (jalan) yang paling
lurus..." (QS. Al-Jinn: 2).
Akhlak beliau adalah Al-Quran; kitab suci umat yang disifati
dengan firman Allah, "...tidak ada keraguan padanya; petunjuk
bagi mereka yang bertakwa." (QS. Al-Baqarah: 2).
Pada masa permulaan dakwah Islam, Nabi Muhammad SAW tidak
hanya membangun tauhid, tetapi juga membangunkan akhlak yang mulia. Abu
Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sungguh,
aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia." (HR. Baihaqi dan Al-Hakim).
Anas RA berkata, "Sungguh, Rasulullah SAW benar-benar
manusia dengan akhlak paling mulia. (HR Bukhari-Muslim).
Anas juga berkata, "Selama sepuluh tahun aku
berkhidmat kepada beliau (Rasulullah), aku tidak pernah mendengar beliau
mengucapkan kata "Ah", sebagaimana beliau tidak pernah mempertanyakan
apa yang kau kerjakan, 'Kenapa kamu mengerjakan ini? atau 'Bukankah seharusnya
kamu mengerjakan seperti ini?" (HR Bukhari-Muslim).
Ini merupakan
beberapa nas yang dikongsikan oleh Ustaz untuk menggambarkan secara umum dan
jelas perihal akhlak baginda Nabi. Sangat hebat kan Nabi kita? Kita bagaimana ?
sekadar beromong kosong atau sudah bermula mengikut sedikit demi sedikit jejak
Baginda ?
Tanyalah
IMAN kita.
‘Cinta’
di Jabal Nur
dalam pelbagai isi dan kisah yang ustaz kongsikan dalam kuliahnya, saya akan bawa satu kisah untuk renungan bersama. Ustaz
yang juga merupakan mutawwif yang saban tahun akan membawa jemaah untuk
menunaikan sama ada haji atau umrah di Tanah Suci Mekah. Beberapa pengalaman
yang ustaz turut kongsikan sewaktu membawa dan menunaikan umrah bersama-sama
dengan sekumpulan anak muda lelaki di sana.
Ustaz
mengajak mereka untuk bersama-sama mendaki Jabal Nur untuk merasai kebersamaan
sebuah ibrah hebat dari pengalaman ‘seorang’ yang hebat. Jabal Nur yang di atasnya terletak Gua Hira’. Sejarah Islam mencatatkan
di Gua Hira’ wahyu pertama diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
Apa yang menarik. Pasukan pemuda ini sangat bersemangat
bersama-sama mendaki Jabal nur ini. Berlari dan terus berlari hanya berhenti
seketika di setiap ‘check point’. Bermula rehat 5 minit sehingga diikuti dengan
tempoh rehat dianjakkan kepada 10 minit di ‘check point’ yang seterusnya. Ustaz
menceritakan kisah ini secara bersahaja dan melawak dengan suasana keaktifan
dan dialog mereka ketika itu.
Namun, ketika mereka aktif meniti setiap tangga dan batu yang
ada di situ untuk sampai ke puncak destinasi yang dituju, ustaz kebetulan
melihat seorang lelaki Arab tua yang sangat berumur turut mendaki. Apa yang
menarik, lelaki itu mendaki dengan sangat perlahan, setapak demi setapak
bersama tongkatnya. Walaupun perlahan namun sangat kuat stamina yang dilihat
kerana mampu hampir memotong pasukan ustaz bersama anak muda yang aktif berlari
ke atas.
Ketika sedang berhenti berehat di satu ‘check point’, ustaz
sempat berbual dengan lelaki tua tersebut untuk bertanya perihal umur dirinya
dan apakah tips yang boleh dikongsikan sehingga dia segagah ini.
Jawapan ringkas lelaki tua tersebut kepada ustaz, “dulu
ada seorang lelaki yang berumur 40 tahun berulang alik dan bersusah payah
mendaki Jabal ini untuk menuju ke Gua Hira’ dalam keadaan ketika itu tiada
dibina tangga dan disediakan kemudahan semudah ini. Juga ada seorang wanita
yang umurnya lebih tua 15 tahun dari lelaki tersebut berulang alik dan turut
bersusah payah mendaki Jabal ini 2x sehari untuk melawat dan memberikan makanan
kepada lelaki yang merupakan suaminya di Gua ini sewaktu lelaki ini beribadah
di sana. Kekuatan ku hadir disebabkan hanya satu, aku CINTAkan Nabi!”
Mendengar jawapan dan kisah yang ringkas dari lelaki tua ini
seraya ustaz menangis teresak-esak dan turut menceritakan kisah tersebut kepada
kesemua pemuda yang bersama dengannya yang ketika itu sudah hampir putus asa
untuk terus mendaki hingga sampai ke puncak kerana kepenatan. Mendengar kisah
tersebut, kesemua pemuda itu tunduk dan menangis malu atas kelemahan diri jika
hendak dibandingkan dengan batang tubuh 2 orang yang mulia dan hebat tersebut. Mereka
itulah Baginda Rasulullah S.A.W dan isterinya Saidatina Khadijah !
Diringkaskan cerita, akhirnya kesemua pemuda ini akhirnya
sampai ke destinasi yang dituju dengan sebuah roh dan semangat yang baru. Apa yang
pelik kepenatan tersebut seolah-olah seakan tidak pernah wujud. Begitulah hebatnya
kuasa CINTA ! bila dilakukan kerana sebuah kefahaman dan kesedaran CINTA, suatu
yang sukar seolah-olah menjadi mudah. Rasulullah dan saidatina Khadijah sudah
menunjukkan contohnya.
Suburkan cinta kita kepada Allah dan Rasulullah dalam setiap
kerja buat kita, inshaAllah !
Allahumma Solli ‘ala Muhammad
Muhamad Hazwan Bin Hamidan
5 Rabi’ al-Akhir 1435 / 5 Februari 2014
Taman Kajang Utama