Salam mahabbah buat sidang pembaca sekalian.
Moga Allah sentiasa merahmati kita dan menempatkan kita dalam rahmatNya dunia
hingga ke akhirat, amiin.
‘Kad wangi’ permulaan penghias kehidupan insan
Setiap fasa dan musim cuti sekolah pastinya
kita akan menerima pelbagai jenis ‘kad wangi’ yang dalamnya tertulis jemputan
menghadiri walimah atau majlis perkahwinan yang pastinya sebuah perkahwinan
merupakan satu saat yang diidamkan oleh semua manusia yang normal tidak kira
berjantina lelaki mahupun wanita. Hal ini kerana kehendak hidup berpasangan
merupakan salah satu fitrah yang Allah titipkan dalam jiwa anak-anak Adam.
Hati pastinya rasa bahagia dengan kehadiran isteri mahupun
anak-anak dalam kehidupan merupakan satu rasa yang fitrah. Apabila
seseorang lelaki melangsungkan perkahwinan, terasa berbunganya hati dengan
kehadiran seorang wanita yang dipanggil isteri. Dicintainya dan disayanginya
sepenuh hati. Apabila sudah beristeri semestinya diri menginginkan kehadiran
anak-anak dalam kehidupan berumahtangga. Dijaganya isteri yang mengandung 9
bulan. Lahirnya seorang anak disambut dengan penuh kegembiraan dan kebanggaan.
Anak ditatang bagaikan minyak yang penuh. Disayangi dan dikasihi sepenuh jiwa
dan raga. Inilah fitrah seorang manusia. Firman Allah SWT:
Dihiaskan (dan dijadikan
indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan
anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan
perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang
ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia.
Dan (ingatlah),
pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu
Syurga).
(Ali-‘Imran:14)
Allah mengingatkan lelaki !
"Wahai orang-orang
yang beriman, sesungguhnya antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang
menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu
memaafkan dan tidak memarahi serta mengampunkan (mereka), maka sesungguhnya Allah
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(At-Taghabun:14)
Namun, Al-Quran mengingatkan manusia, terdapat sebahagian
(bukan keseluruhan) kaum isteri dan anak-anak yang boleh menjadi musuh dalam
kehidupan. Dalam siri ceramah di surau dan masjid mahupun di bilik-bilik kuliah
di pusat pengajian saya, saya kerap diperingatkan mengenai beberapa golongan
musuh dan golongan yang berpotensi menjadi musuh yang pastinya akan menghalang
dan menjerat lelaki atau para suami yang
kehidupannya hendak dipasakkan dalam perjuangan Islam dan amalan soleh. Kesemua
peringatan ini dibuktikan dengan pelbagai kisah dalam sejarah mahupun sirah
para nabi dan orang soleh yang pernah berlaku.
Sebab penurunan ayat 14 Surah at-Taghabun
Menurut
satu riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Ibnu Jarir daripada 'Ata Ibn Yasar, dia
berkata: Surah At-Taghabun telah diturunkan keseluruhannya di Makkah kecuali
ayat 14 dan ayat-ayat berikutnya diturunkan di Madinah. Ayat 14 dalam surah ini
diturunkan berkenaan kejadian yang berlaku kepada 'Auf Ibn Malik al-'Ashja'i.
Beliau mempunyai seorang isteri dan seorang anak. Ketika 'Auf hendak pergi
berperang di jalan Allah, isteri dan anaknya menangis dan menahannya supaya
tidak pergi sambil mereka berkata, "Kepada siapa kami akan kamu
tinggalkan?" 'Auf berasa simpati dengan mereka dan tidak jadi pergi. Maka
turunlah ayat 14 dalam surah ini menceritakan peristiwa berkenaan.
Selain
itu dalam riwayat lain yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi dan Imam al-Hakim
daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Ayat yang berbunyi: "Sesungguhnya antara
isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh bagimu, oleh itu
berhati-hatilah kamu", diturunkan berkenaan satu kaum daripada
penduduk Makkah yang telah memeluk agama Islam, tetapi isteri-isteri dan
anak-anak mereka tidak mahu berhijrah ke Madinah tempat Rasulullah SAW berada.
Apabila sampai di Madinah dan melihat masyarakat yang telah faham Islam, maka
timbullah keinginan untuk menghukum isteri-isteri dan anak-anak mereka tetapi
Allah menurunkan ayat yang berbunyi: "dan jika kamu memaafkan dan tidak
memarahi mereka serta mengampunkan (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang."
Meskipun
dua riwayat di atas berlainan antara satu sama lain, ia memberikan suatu
gambaran latar belakang ayat yang diturunkan. Kedua-duanya menyentuh masalah lelaki
yang bergelar ayah atau suami yang berdepan dengan kerenah isteri dan anak yang
menghalang dan melambatkannya keluar di jalan Allah. Kedua-dua riwayat
itu juga memperlihatkan si ayah atau suami sebagai orang yang paling
bertanggungjawab dalam rumah tangga memiliki kafa'ah dan keupayaan yang lebih
daripada isteri dan anak-anak sama ada dari sudut ilmu, amal, iltizam, jihad
dan lain-lain.
Hakikat
siapakah ‘musuh’ ?
Dalam
ayat di atas Allah SWT menyatakan bahawa, "ada antara isteri-isterimu
dan anak-anakmu yang menjadi musuh bagimu". Menurut Ibnu Kathir
pengertian musuh di sini adalah "sesuatu yang melalaikan daripada mengerjakan
amal soleh" seperti firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9 yang
bermaksud:
"Wahai
orang-orang yang beriman janganlah harta-harta dan anak-anakmu melalaikan
kamu
daripada memperingati Allah. Barangsiapa berbuat demikian maka mereka
itulah orang-orang yang rugi."
Daripada
pendapat Ibnu Kathir ini dapatlah diambil pengertian umum bahawa apa sahaja
yang boleh melalaikan kita dari mengingati Allah, beramal saleh dan mentaati
perintah Allah adalah musuh kita.
Dalam
hal ini musuh kita yang paling utama adalah syaitan kerana ia sentiasa menyuruh
kita untuk mengingkari Allah SWT dan perintah-Nya. Usaha dan pergerakan syaitan
dalam menewaskan diri dan keimanan kita kadangkala dengan membisikkan idea dan
pemikiran yang berlawanan dengan kehendak Allah. Tetapi dalam banyak hal,
syaitan menewaskan manusia melalui berbagai wasilah seperti isteri, anak-anak,
harta, kedudukan, pangkat dan lain-lain.
Apabila
kita tidak berhati-hati dan berwaspada, wasilah-wasilah ini yang sepatutnya
membantu ke arah mencapai ghoyah (matlamat) kita iaitu keredhaan Allah
SWT, telah ditunggangi dan diperalat oleh syaitan. Akibatnya, tanpa disedari
kita meninggalkan matlamat kita sama sekali. Ingatlah firman Allah ketika Dia
mengusir Iblis dari syurga dan memberikan kesempatan kepadanya (iblis) untuk
menyesatkan manusia dengan segala wasilah yang ada padanya.
‘Musuh’
yang sudah pernah beraksi
Kisah mengenai ‘musuh’ ini hakikatnya sangat banyak yang antaranya terkena kepada batang tubuh Nabi Luth apabila isteri dan anak-anaknya turut bersama-sama dengan rakyat Sadom untuk turut ingkar untuk beriman kepada agama yang dibawanya.
Bukan itu sahaja, satu kisah yang mungkin jarang didengari namun ia juga merupakan sebuah kisah yang menceritakan isteri menjadi 'musuh' pada perjuangan seorang suami yang juga menjadi salah satu sebab turunnya Surah al-Qadr.
Dalam satu hadith, ada dinyatakan suatu ketika Rasulullah menceritakan dari Jibril kepada para sahabat mengenai seorang yang sangat soleh menghabiskan masa berjihad selama hampir 1000 bulan, iaitu pemuda bani Israel bernama Syarm’un al-Ghazi.
Hanya bersenjatakan kulit unta, Syarm’un dengan mudah menewaskan musuh. Bila haus ketika berjuang Allah terbitkan air yang segar di celah-celah giginya dan ketika lapar Allah tumbuhkan tumbuhan sekelilingnya.
Puak kafir sangat memusuhinya dan akhirnya memperalatkan isterinya dengan tawaran rasuah yang tinggi. Ketika Syarm’un sedang tidur, isterinya mengikat dengan seutas rantai besi namun sebanyak dua kali gagal. Pahlawan Islam ini mempunyai kekuatan luarbiasa hingga dapat memutuskan rantai tersebut dengan mudah malah cubaan ketiga juga gagal.
Akhirnya Syarm’un dedahkan rahsia kekuatannya kepada isterinya yang disangka tiada apa-apa. “Tiada sesiapa dapat memudaratkan diriku kecuali dengan izin Allah dan tiada siapa dapat mengalahkan aku kecuali dengan sehelai rambutku!”
Dedahan ini memerangkap dirinya. Beliau tidak dapat melepaskan diri apabila diikat dengan sehelai rambutnya. Kesempatan ini diambil oleh musuhnya menyeksanya sebelum dibunuh. Pelbagai seksaan dilakukan pada pemuda ini, matanya dikorek, telinganya dipotong dan tubuhnya diikat pada sebatang tiang rumah ditikam-tikam dengan senjata tajam.
Allah mengilhamkan Syarm’un supaya memohon perlindungan dari-Nya. Lalu pemuda itu memohon agar dapat menggoyangkan tiang supaya dapat merobohkan rumah dan menimpa musuh yang hendak membunuhnya. Doa Syarm’un dimakbulkan apabila dia dapat kekuatan yang luar biasa hingga dapat menggoyangkan tiang yang teguh itu dan membunuh musuh-musuhnya termasuk isterinya ditimpa runtuhan.
Dengan kuasa Allah SWT, tubuh Syarm’un yang cedera juga turut pulih serta-merta. Syarm’um kemudiannya berpuasa selama hampir 1,000 bulan lagi sebagai tanda berterima kasih atas pertolongan Allah yang menyelamatkan nyawanya.
Perjuangan Syarm’un dan kekuatan imannya sungguh luar biasa begitu mengharukan Rasulullah dan para sahabat berdukacita kerana tidak dapat mencapai ganjaran seperti itu. Mereka bertanya akan ganjaran yang diberikan Allah kepada pemuda itu. Baginda menjawab tidak tahu, lalu Allah menurunkan Surah Al-Qadr.
Bermuhasabah
Apa yang
hendak penulis sampaikan di sini bukanlah cuba menggambarkan bahawa golongan
wanita khususnya yang bergelar isteri dan amnya anak-anak sebagai musuh yang
sangat bahaya yang perlu dijauhi. Hakikatnya golongan lelaki juga turut
tergolong dalam golongan ‘musuh’ ini apabila menepati ciri-ciri yang ada.
Namun,
sengaja penulis membuat coretan perihal isu ini agar kaum lelaki khususnya yang
bakal mendirikan rumah tangga mahupun yang sudah lama mendirikan rumah tangga
supaya sentiasa bermuhasabah adakah isteri dan anak-anak yang ada itu menjadi
liabiliti dan penghalang kepadanya ataupun kehadiran dua golongan ini semakin
merancakkannya mendekatkan diri kepada Allah serta membantu gerak kerja Islam ?
Tanyalah
kepada diri kita sendiri. Hakikatnya sebuah Baitul Muslim yang didirikan
bukanlah semata-mata bertujuan sekadar mahu melepaskan tuntutan hawa nafsu
insani. Sekiranya itu sahaja lah niat yang ada seolah-olah ianya sama
sebagaimana mahkluk berkaki empat ‘berkahwin’ ?
Berubah
atau terus menanti rebah
Menjadi KETUA KELUARGA
bukanlah satu tugas dan jawatan yang mudah. Hakikatnya membaca dan memahami
ayat ini sudah cukup menggerunkan kaum lelaki.
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan
keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;
penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah
terhadap apa yang diperintahkan-Nya
kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang
diperintahkan"
(Tahrim:6)
Kesimpulannya ‘musuh’ ini
perlu diawasi dan bukan diperangi. Diawasi agar tidak menghalang dalam beramal
soleh. Tetapi jangan pula diawasi dengan bersifat terlalu keras terhadap
mereka. Bimbinglah mereka dengan 3 perkara: maafkanlah mereka (ta’fuw),
berlapang dada dengan mereka (tasfahu) dan mohonlah keampunan bagi
mereka (taghfiru). Justeru kita
dianjurkan berdoa : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang)
yang berdoa dengan berkata:
"Wahai Tuhan
kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami:
perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam
ikutan
bagi orang-orang yang
(mahu) bertaqwa.
(Al-Furqan:74)
Imam Ibn Kathir
menafsirkan kalimah “qurrata a’yun” iaitu “yang
mentaati perintah Allah”. Isteri dan anak-anak yang mentaati Allah SWT.
Persoalannya sekarang berapa ramai KETUA KELUARGA masa sekarang yang begitu
prihatin dengan ‘level’ ketaatan ahli keluarganya kepada Allah Ta’ala?
Renungkan dan selamat
beramal !
Hazwan Hamidan
6 Rabi' al-Awwal 1435 / 8 Jan 2014
Taman Kajang Utama