Salam mahabbah buat sidang pembaca. Moga Allah sentiasa rahmati kita dengan
cahaya keImanan dan keIslaman pada diri kita, keluarga serta masyarakat kita
semua, Amiin.
Catatan ringkas Daurah Tafsir minggu
ke-4
Pada
minggu ini, kuliah Tafsir Surah al-Mulk yang diteliti setiap makna dan
pengajarannya dari syarah Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni dalam
Kitab Shafwatut Tafasir untuk ayat yang ke-7 hingga ayat ke-10.
inshaAllah catatan ringkas dan input penting pada pembelajaran kali ini akan
saya cuba kongsikan buat sidang pembaca sekalian.
“Apabila
mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung,
sedang ia menggelegak.
Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali
dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah
penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul
pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?”
Mereka menjawab: “Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami
seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan
(kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa
menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!
“Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu
mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami
tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”. (Surah al-Mulk ayat 7-10)
Meneliti kesemua ayat ini, kita akan memahami serba sedikit perihal
dan penceritaan ‘kisah’ yang bakal berlaku buat penghuni ahli Neraka akan
siksaaan yang bertandang kepada mereka juga pengakuan ‘ikhlas’ ketika itu akan
PENYESALAN kerana tidak beriman kepada semua perintah Allah serta mendustakan
utusan Allah (Rasul) sewaktu hidup di dunia. Persoalannya di sini, adakah kita
tergolong salah seorang individu dalam golongan yang ‘menyesal’ ketika di
akhirat nanti??
Cuba teliti
makna pada ayat yang ke-7 mengenai suara Neraka
yang ‘meraung’ itu. Bunyi yang amat menyeramkan. Perkataan شَهِيقًا diambil dari
perkataan شهق syahiqa yang bermaksud bernafas
dengan kuat sampaikan bunyinya kedengaran. Bayangkan binatang buas yang
bernafas dengan kuat. Ianya bunyi yang menakutkan. Ini hendak membayangkan
kepada kita betapa menakutkan sekali neraka itu. Ianya seperti binatang buas
yang hendak menerkam kita dan tidak akan puas dengan apa yang dia ada. Kerana
ada dalam hadis bagaimana neraka akan berkata kepada Allah: “mana lagi, mana
lagi yang hendak Kau masukkan?”. Seperti dia tidak cukup-cukup dengan
makhluk yang dimasukkan ke dalamnya. Ma sha Allah. Tidak tertahan hati
kita untuk menanggung azab hanya melihat dan mendengar neraka.
Hakikatnya keseluruhan ayat ke-7 hingga ayat ke-10 ini sekiranya
diteliti setiap makna dari satu perkataan kepada perkataan yang lain pastinya
akan menggerun dan menggetarkan hati-hati yang masih punya sekelumit rasa
bertuhan dan beriman kepada Allah. Ini baru 3 ayat sahaja dari keseluruhan
ayat-ayat al-Quran yang begitu banyak dan penuh dengan peringatan dan
kemukjizatan di dalamnya. Persoalannya sudahkah kita cuba memahami dan
amalkan??
Kalauuu... dan.. kalauuu..
Tajuk utama penulisan pada
kali ini adalah mengungkapkan sedikit ayat penyesalan sang penghuni neraka tika
ketika itu mereka sudah hilang semuanya. Tiada harta, kuasa, pangkat, keturunan
yang hebat, malah ketampanan dan kecantikan yang digilai yang menyebabkan
hati-hati mereka tertutup dek kerana kesombongan dan kebongkakan menyelubungi
hati sanubari mereka.
Pada ayat yang ke-10 :
“Dan mereka berkata: Kalaulah
kami dulu mendengar;”
Mafhum dari ayat
mereka ini ialah “dan Kalaulah kami percaya sikit sahaja
pun kepada pemberi peringatan itu”. Itu adalah kata-kata penyesalan
dari mereka. Tidak ada gunanya sesal waktu itu. Sesalan mereka itu adalah
sebagai satu azab kepada mereka. Bayangkan, orang yang masuk penjara, selain
dari mereka tidak mendapat kebebasan keluar dan hidup seperti orang lain, salah
satu seksaan kepada mereka akan seksaan mental mereka. Mereka perlu duduk lama di
dalam penjara itu dan mereka akan menyesali perbuatan mereka. Mereka akan rasa
bahawa kesedapan yang mereka rasai semasa mereka buat kesalahan itu adalah
sekejap sahaja, tapi balasan untuknya adalah lebih lama lagi.
Kenapa Allah menggunakan perkataan سمع – mendengar – dalam ayat ini? Kerana
orang-orang yang masuk neraka adalah mereka yang langsung tak mahu mendengar
dan memberi perhatian kepada peringatan dan seruan pendakwah-pendakwah yang
datang kepada mereka. Mereka akan lari dari mendengar nasihat yang hendak
diberikan. Kalau mereka dengar pun, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Mereka tak beri perhatian pun langsung.
Kadang-kadang mereka sudah ada
satu kefahaman tentang agama yang mereka dapat dari orang-orang sebelum mereka,
sampaikan mereka tak mahu nak dengar hujah lain lagi dah. Padahal, hujah yang
hendak diberikan kepada mereka ini adalah hujah dari Quran dan Hadis. Mereka
hendak juga pegang dengan kemas apa yang disampaikan oleh guru mereka.
Pendengaran mereka telah tertutup. Maka, sesalan kepada mereka pada hari
akhirat nanti. Mereka akan menyesali kesilapan mereka yang tidak mahu mendengar
apa yang hendak disampaikan oleh pendakwah.
Hakikatnya ayat
‘kalau’ (merujuk kepada penyesalan) seperti ini tidak perlu tunggu ketika di
neraka, di dunia ini pun sudah selalu digunakan, “kalaulah aku..” “kalaulah
aku..”. Penyakit suka mengungkapkan ‘kalau’ ini terlalu banyak digunakan
dan berlaku kepada manusia yang suka membuat sesuatu perkara tanpa berfikir
panjang terlebih dahulu yang akhirnya kesan atau natijah kepada perbuatannya
itu tidak seperti diharapkan malah membawa impak yang buruk. Lebih buruk impak
tersebut membawa kesan yang tidak baik kepada maruah Islam.
Justeru tidak
hairanlah Rasulullah dalam satu hadithnya pernah melarang ‘penyakit kalau’ ini
bila sesuatu perkara buruk sudah pun berlaku. Maknanya tidak perlu berkelakuan
seolah kita pemegang takdir tetapi jadilah manusia yang belajar berfikir mencari
hikmah dan belajar sesuatu atas setiap perkara baik dan buruk yang telah
berlaku.
Kesimpulan
Perkataan
‘kalau’ ada kalanya baik (dibolehkan malahan digalakkan), dan adakalanya dilarang
syarak.
Penggunaan
perkataan ‘kalau’ yang dilarang ialah: apabila berlaku sesuatu yang buruk atau
nasib malang bagi seseorang, lalu dia pun berkata: “Kalau aku tak buat,
takkan jadi macam ni…”, dan seumpamanya.
Penggunaan
kalau seperti ini adalah amalan syaitan, sebagaimana dalam hadith Sahih Muslim
menyebut: Nabi bersabda:
“Jangan
kamu berkata: Kalau aku buat begini, akan jadi begini. Tetapi katakanlah: ini
takdir Allah, apa yg dia kehendaki akan berlaku. sesungguhnya ‘kalau’ membuka
pintu syaitan.”
Kenapa
‘kalau’ membuka pintu syaitan? kerana:
- ia membuka pintu kesedihan, penyesalan, dan mungkin kebencian yg payah untuk dihilangkan
- ia merupakan satu adab yg buruk terhadap ALlah yang mentaqdirkan setiap sesuatu.
Manakala penggunaan ‘kalau’ yang dibolehkan ialah menggunakannya untuk mengajarkan ilmu, atau kebaikan, atau untuk bercita-cita untuk mendapatkan suatu yg baik. maka ia dibolehkan menyebut ‘kalau’.
Sebagaimana
dalam al-Quran dan hadith ada perkataan ‘kalau’ untuk mengajar. Sebagai contoh
dalam firman Allah maksudnya “Kalau di dalamnya (langit dan bumi) ada tuhan
lain selain Allah, maka hancur binasalah langit bumi ini.”
Selain itu
dalam hadith Nabi dalam menyebut kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir: “Kalau
Musa sabar, nescaya ALlah akan menceritakan lagi kepada kita tentang cerita
mereka”
Renungkanlah :
Renungkanlah :
Daripada
Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
pernah bersabda:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang
lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara
yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada
Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau
berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku.
Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang
dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan
syaitan.” [Hadith Riwayat Muslim]
Muhamad Hazwan Bin Hamidan
4 Jamadil Awal 1435 / 5 Mac 2014
Bilik Kuliah 2 (aras LG)
Masjid Putrajaya