Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan
[siswa GURU tahun akhir IPG KDRI]
Salam mahabbah buat semua pembaca.
Dalam meniti hari-hari berbaki sebagai
seorang warga siswa guru, kadang-kadang terlepas pandang untuk meneruskan minat
ku membuat sedikit coretan di blog ini sebagai manifestasi sebuah semangat menjadi seorang penulis muda.
Pada penulisan kali ini, penulis cuba
membawa pembaca kepada suatu isu baru dan masih hangat di Negara ini. Setiap pandangan
penulis ini tidak lain sekadar pandangan kecil seorang siswa GURU dan ianya
tidak menunjukkan penulis berpihak dan cenderung kepada mana-mana ‘gerakan’
mahupun ‘kebangkitan’. Ia tidak lain lebih kepada muhasabah dan pandangan
penulis melihat kepada fenomena yang telah berlaku dan pengalaman yang telah
dilalui.
sekitar program pasca PRU 13 yang dianjurkan oleh sebuah parti di Terengganu baru2 ini
Melihat Sorotan PRU lepas
PRU ke-12 yang lepas menyaksikan
kebangkitan rakyat yang tidak kurang hebatnya. Kesannya berakhirnya 5 buah
Negeri yang didominasi Barisan Nasional (BN) ,diambil alih oleh
Barisan Alternatif (sekarang Pakatan Rakyat), namun kembali menjadi 4 buah
negeri apabila negeri Perak diambil alih semula oleh BN.
Walau bagaimana pun yang berlaku pada
sesi lepas. Secara peribadi saya melihat rakyat sudah menunjukkan satu mesej
yang jelas mahukan satu perubahan dari
sudut pentadbiran dan pemerintahan di negeri-negeri khususnya dan kerajaan pusat amnya.
keputusan PRU ke-12
PRU ke-13 bermula satu langkah baru
Alhamdulillah, PRU ke-13 sudah selesai
dengan aman dan berjalan lancar. Keputusan sudah pun diumumkan. Hasilnya sekali
lagi kita lihat BN terus mendominasi dengan majoriti mudah (simple majority)
iaitu 133 kerusi parlimen yang akhirnya terus mengetuai pentadbiran di
peringkat kerajaan pusat.
Pelbagai komentar yang dapat dilihat daripada semua
peringkat masyarakat terutama daripada golongan anak muda kesan daripada ‘tragedi’
PRU ke-13 ini. Apa yang menakjubkan suasana PRU kali ini memperlihatkan
kebangkitan golongan anak muda yang begitu rancak mahukan mesej perubahan terus
subur mahukan Pakatan Rakyat bukan sahaja dapat mentadbir kerajaan negeri malah
juga kerajaan pusat. Kesan fenomena kuliah Ustaz Azhar yang turut dilihat
sebagai ikon anak muda sebenarnya menjadi antara salah satu titik tolak kepada
pembakar semangat kebangkitan anak muda ini.
Laungan dan mesej ‘Hijau ke Putrajaya’, ‘Menawan
Putrajaya’, dan ‘Ini Kalilah’ semuanya merupakan laungan biasa di bibir-bibir
anak-anak muda khususnya yang terus menyerikan suasana di Negara ini bermula seawal
sebelum pembubaran sehingga ke hari pengundian. Isu sejauh mana Melayu Islam
akan masih terbela dengan kemenangan PR mahupun BN turut diperbincangkan dan
dinilai oleh rakyat.
perbandingan kerusi kuasa Melayu Islam antara BN dengan PR
Memperlihatkan Pakatan Rakyat (PR)
menjadi satu gerakan digilai dan menjadi pilihan kebanyakan anak-anak muda . Hal
ini pada persepsi dan sisi pandang saya, ianya tidak lain kesan daripada
pembentangan manifesto di pihak PR yang lebih bersifat menjaga kebajikan rakyat
dan sesuai di hati-hati para pemuda terutama golongan mahasiswa dan mahasiswi.
Kita boleh melihat perbandingan kedua-dua
manifesto ini :
Walaupun PR tidak Berjaya mencapai
misinya menawan putrajaya, namun kesan kepada kebangkitan ini terus-menerus
dirasai di seluruh Negara. Tidak menang tidak bermakna PR tidak akan menjadi
satu gerakan check and balance dan penegur kepada kerajaan sedia ada
yang dipimpin oleh BN.
Muhasabah daripada PRU ke-13
Ingin saya tegaskan, sebagai rakyat Malaysia
yang sudah lama kita hidup bermasyarakat yang berbilang kaum ini, menyeru
kepada menghidupkan obor-obor api perkauman sangat-sangat perlu kita elakkan. Tidak
kira lah seruan kepada perkauman itu lahir daripada satu perasaan tidak puas
hati mahupun ada agenda yang tersendiri, namun perkara sedemikian amat-amat
ditentang dan terhina disisi Islam.
Perasaan
kekitaan atau semangat kebangsaan ini banyak memberi kesan yang buruk kerana ia
berakhir dengan dendam, perpecahan dan peperangan setelah mereka mula
meninggikan semangat kebangsaan sehingga mengabaikan mereka yang bukan sebangsa
atau pun mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi sokongan kepada mereka yang
berkuasa.Sedangkan jika kita menjadikan Islam sebagai asas dalam pemerintahan
maka dengan sendirinya bangsa kita akan terjaga kebajikan dan perpaduannya
kerana Islam mempunyai sistem yang lengkap dalam mengekang kezaliman dan
penindasan.
Hal ini
kerana, Islam begitu menekankan perpaduan tanpa mengira bangsa, bahasa, budaya
dan negara tetapi mesti berdasarkan Islam. Permulaan di Mekah,Rasulullah sendiri dalam membina
kekuatan dan perpaduan telah menolak jawatan raja Mekah yang ditawarkan oleh
kafir Quraisy kerana ia berbentuk bangsa semata-mata sedangkan bangsa arab
terus berpecah dan berkelahi sesama mereka walau pun jumlah yang ramai pada
ketika itu.
Rasulullah
s.a.w sebagai nabi akhir zaman telah dilahirkan dicelah bangsa arab yang tidak
mampu membina kuasa dan tamadun yang kuat kerana perasaan semangat kebangsaan
arab yang kuat sehingga mereka telah jauh ketinggalan oleh kuasa dan tamadun
Empayar Rom berasaskan kristian, Empayar Parsi berasaskan majusi dan kefahaman
yang lain disamping Empayar India berasaskan Hindu serta Empayar China
berdasarkan Budha. Rasulullah s.a.w terus berdakwah dan mencari kekuatan
melalui kuasa pemerintahan bagi memastikan Islam tersebar sebagai agama yang
bukan sahaja berasaskan ibadat khusus tetapi turut meliputi seluruh aspek
kehidupan. Strategi dan tindakan Rasulullah s.a.w dalam membina negara yang
kuat bagi melaksanakan seluruh sistem Islam disamping menyebar luas lagi Islam
sehingga meliputi negara luar dari tanah arab melalui asas yang kuat iaitu
Islam bukannya berteraskan bangsa semata-mata.
Islam yang
dijadikan asas perpaduan oleh Rasulullah s.a.w bukan sahaja mampu menyatukan
perpaduan di kalangan bangsa arab sehingga mereka boleh menguasai yahudi yang
dahulunya menindas mereka tetapi Islam juga mampu menyatukan semua bangsa
seperti Bilal dari Afrika, Suhaib dari Rom, Salman dari Parsi dan mereka yang
lain dengan bangsa arab. Asas Islam yang dibina juga mampu memberi semangat dan
kekuatan kepada Khalifah selepas Rasulullah s.a.w untuk menjalankan dakwah dan
penyebaran Islam serta perluasan tanah jajahan di bawah Khalifah Islam sehingga
Islam berjaya meruntuhkan Empayar Rom, Empayar Parsi dan menguasai sebahagian
bumi eropah dan seterusnya melebarkan pengaruhnya sehingga menguasai Empayar India dan China.
Penguasaan
ini membolehkan Islam tersebar merata dunia termasuk di alam Melayu ini di mana
orang Melayu sebelum ini bukan sahaja mampu beribadat khusus sahaja tetapi
turut merasakan keadilan dan keamanan di bawah Kesultanan Melayu Islam yang
telah melaksanakan sistem Islam dalam pemerintahan mereka seperti terdapat dalam Undang-undang Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka
dan sebagainya.
Ibnu
Khaldun di dalam Al-Muqaddimah menyatakan bahawa semangat dan kekuatan bangsa
boleh membantu menaikkan sesuatu bangsa kepada kemajuan dengan syarat ia mesti
berteraskan Islam. Tetapi dalam masa yang sama apabila semangat kebangsaan atau
kekitaan ini mula dilonggarkan daripada Islam maka ia akan menghancurkan bangsa
tersebut. Ia terjadi apabila pemimpin mula merasakan kekuatannya adalah hasil
sokongan yang tidak berbelah bahagi atas nama mereka sebangsa walau apa pun
yang dilakukan. Akhirnya pemimpin tersebut mula terpesong dan mementingkan diri
sendiri sehingga segala kemewahan negara pada mulanya dinikmati
oleh seluruh bangsanya mula diperkecilkan kepada mereka yang menyokongnya
sahaja sehingga mengabai dan menzalimi mereka yang sebangsa tetapi tidak
memberi sokongan kepadanya di atas sebab tertentu.
Kesimpulan
Akhir kepada
penulisan ini, sama-samalah kita bermuhasabah dengan ayat AQ ini :
Firman
Allah dalam ayat 117 surah Hud :
Dan
Tuhanmu tidak sekali-kali akan membinasakan negeri-negeri secara zalim
sedangkan penduduknya merupakan mereka yang sentiasa melakukan perubahan ke
arah kebaikan.