Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan
Salam mahabbah buat semua sahabat pembaca. Pertama sekali
sama-samalah kita bersyukur kepada Allah kerana masih meminjamkan nikmat IMAN
dan ISLAM serta nikmat kehidupan kepada kita supaya kita dapat terus
mengabdikan diri kepada Nya. Ingatlah tiada satu kebahagiaan pun melainkan dapat
menatap zatNya yang agong di akhirat kelak,amin..
Perjalanan masa semakin pantas dan cepat dirasai. Ia hanya akan
diesedari bagi mereka yang sentiasa merenung dan menilai keadaan sekeliling dan
suasana semasa yang berlaku saban hari. Sedarkah kita semakin masa berlaku
semakin hamper kita ke ambang kematian ? sedarkah anda semakin banyak
tanda-tanda qiamat kecil dan beberapa tanda qiamat besar sudah berlaku dan
berlalu ? semua itulah yang membuktikan perjalanan masa semakin pantas. Namun ia
hanya akan disedari bagi mereka yang Allah bukakan pintu hati untuk sedar. Moga
kita tergolong dalam golongan tersebut, amen.
Dalam kesesakan masa kehidupan ini, masyarakat muda mudi masih
terus dibuai dan diruntun rasa cinta. Apa yang dikesalkan cinta yang dikejar,
ditagih dan diperjuangkan hanyalah sebuah buaian cinta manusiawi yang sifatnya
tidak pernah kekal dan tekal. Penagihan kepada cinta ini yang tidak disalurkan
dalam ruang dan jalan yang halal membawa kepada sebuah hasil yang akhirnya
membuahkan sia-sia dan membuang masa. Bilakah mahu kembali sedar dan insaf ?
tunjuk dan tanyalah diri kita masing-masing!
Semaian Benih Cinta Rasul
Alhamdulillah, dalam ruang massa yang penuh dengan kesyikan dan
keseronokkan mengejar cinta dunia , masih terserlah segolongan pemuda pemudi
yang terus berusaha dan mempromosikan kepada sebuah cinta. Cinta kepada batang
tubuh seorang manusia agong yang suci dan dipeliharakan oleh Allah daripada
dosa dan noda. Dialah kekasih hati kita
semua, Nabi Muhammad SAW.
Lahir dan terbitkan ‘gerakan’ dan golongan ini di tanah air kita
umumnya dan di medan kampus khususnya yang bersama-sama menyeru kepada sebuah
cinta Rasul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ianya mula diterima oleh
masyarakat kampus dan luar kampus. Sudah tidak asing lagi.
Medium qasidah menjadi ‘sajian’ utama mendekatkan para muhibbin
,masyarakat awam dan sekalian pendengar dalam mengetuk pintu hati dalam
melahirkan rasa SEDAR serta MAHU mendokong kecintaan kepada kekasih hati kita
ini yang akhirnya membawa kita terus kepada perjuangan yang lebih besar dalam
menjaga , mengekalkan dan memperjuangkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah
SAW.
Anak Muda Cinta Rasul !
Asas kepada tema ini, satu program Malam Mahabbah dan Ceramah
Perdana oleh Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakri telah dianjurkan di Surau Kolej
Kediaman 1, USIM pada hari Selasa yang lepas. Di kesempatan ruang dan masa serta keizinan
dari yang Maha Esa, saya berkesempatan ke sana untuk bersama-sama merasai
suasana ilmu dan manifestasi cinta yang hendak dilahirkan. Terima kasih kepada akhi Arif Amran selaku tuan rumah yang sudi menjadi penunjuk jalan setibanya saya di bumi USIM, moga Allah sentiasa merahmati kita dalam meruntun jalan-jalan ilmu dan petunjuk Allah, ameen~
Beberapa bait qasidah seperti Busyralana dan selawat menjadi ‘sajian’ kepada pembuka malam mahabbah tersebut. Ceramah Perdana oleh Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakri mengenai Mahabbah atau cinta menjadi kemuncak kepada program ini. Antara isi penting daripada ceramah Dr. Zul akan saya kongsikan di dalam penulisan saya kali ini, insyaAllah.
qasidah Busyralana yang dialunkan bersama-sama
Perkongsian Daripada Ceramah
1) Cinta terbahagi kepada 2 iaitu cinta kepada manusia dan cinta
kepada Ilahi.
2) Dr. Zul menyebut sebuah hadith nabi yang membicarakan soal cinta,
"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara
itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan
Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya , dan dia mencintai
seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada
kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api". (HR Bukhari
dan Muslim)
3) Apabila disebut Cinta kepada Rasul, ia berkait rapat dengan
keIMANan kita,
“…Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada
selainnya” = “memperolehi kemanisan iman”
4) Kebiasaannya seseorang sanggup menjadi HAMBA kepada apa yang
dicintainya. Dr. Zul membawa contoh cinta seorang lelaki kepada wanita dan
begitu juga sebaliknya.
5) Apabila disebut cinta, sebagai orang beriman cinta itu perlulah
lahir daripada dasar keIMANan.
6) Dalam ruang lingkup cinta sesama manusia, Rasulullah telah memberikan
dan mempamerkan sebuah manifestasi cinta baginda kepada sahabat baginda apabila
baginda sendiri menzahirkan rasa cinta itu baginda kepada sahabat baginda . Dr.
Zul membawa contoh seorang sahabat nabi yang bernama Muaz.
7) Sirah dan kisah para sahabat mempamerkan Mahabbah lil Qulub (cinta
antara hati) antara Nabi dan para sahabat.
8) Dr. Zul menyebut beberapa ASAS dan SYARAT yang kebiasaannya akan dilakukan
oleh orang yang mencintai seseorang (dan ASAS ini perlu kita buat dan terjemahkan
dalam mencintai Rasulullah) :
- Ikut , taat dan patuh kepada orang yang dicintai
- Banyak menyebut nama dan mengingati orang yang dicintai
- Segala apa yang ada pada orang yang dicintai akan turut disukai dan
dicintai
- Cuba untuk meniru dan berakhlak seperti mana orang yang dicintai
9) Antara perkara penting yang mesti kita lakukan sebagai BUKTI
kecintaan kita kepada Rasulullah adalah dengan mempertahankan baginda!
Kesimpulan
Hendak ber’cinta’ memerlukan kepada ilmu, khususnya dalam menjalani
cinta Allah dan Rasul. Pendek kata setiap perkara alam kehidupan ini tidak lari
daripada ilmu untuk kita beramal. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah
manakala amal tanpa ilmu memperlihatkan kepada sia-sia dan gila !