Oleh : Muhamad Hazwan Bin
Hamidan
Detik waktu terus berjalan
Berhias gelap dan terang
Suka dan duka
Tangis dan tawa
Tergores bagai lukisan
Seribu mimpi berjuta sepi
Hadir bagai teman sejati
Di antara lelahnya jiwa
Dalam resah dan air mata
Ku persembahkan kepadaMu
Yang terindah dalam hidupku
Meski ku rapuh dalam langkah
Kadang tak setia kepadaMu
Namun cinta dalam jiwa
Hanyalah padaMu
Maafkanlah bila hati
Tak sempurna mencintaiMu
Dalam dada ku harap hanya
Dirimu yang bertakhta
Detik waktu terus berlalu
Semua berakhir padaMu
[Opick-Rapuh]
Sebuah coretan buat diri sendiri yang sentiasa alpa dan
lalai dalam mengejar cinta illahi…
Sisipan hadith-hadith sahih yang menbicarakan soal
hati,
Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As
berkata bahawa saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya
hati-hati anak Adam semuanya di antara dua jari daripada jari-jari Allah
s.w.t. seperti satu hati, Dia memalingkannya mengikut kehendak-Nya.
Kemudian baginda berdoa: “Ya Allah, Tuhan yang memalingkan hati-hati,
palingkanlah hati-hati kami kepada ketaatan-Mu.” (HR Muslim, no: 2654)
Riwayat yang lain,
Daripada Anas katanya Rasulullah s.a.w.
selalu mengucapkan: “Wahai Tuhan yang memalingkan hati-hati, tetapkanlah
hati-hati kami di atas agama-Mu. Saya bertanya: “Wahai Rasulullah, kami telah
beriman kepada tuan dan ajaran yang tuan bawakan adakah tuan bimbang akan kami?
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ya, sesungguhnya hati-hati manusia di antara
dua jari daripada jari-jari Allah s.w.t. seperti satu hati, Dia memalingkannya
mengikut kehendak-Nya.” (HR al-Tirmidhi, no: 2140)
Apabila berbicara soal hati, simboliknya di dalam hati
tersimpan emosi dan perasaan. Malah, ia merupakan 'organ' yang perlu dijaga
dengan baik agar tidak dibusukkan dengan sifat-sifat keji yang datangnya dari
manusia sendiri.
Hati, dalam Islam sangat
dititiberatkan. Malah, sebagai seorang Muslim, wajib baginya menjaga kesucian
dan kebersihan hati. Sebaik baik hati yang dikasihi oleh Allah Taala ialah hati
yang suci murni dari segala kebatilan dan keraguan, bersih dari segala aneka
rupa kejahatan. Hati yang sentiasa tunduk kepada yang hak dan petunjuk yang
diliputi oleh kebajikan dan kebaikan.
Sepasang kekasih pastinya mengharapkan setiap
pasangannya sentiasa setia dan hati mereka masing-masing sentiasa bertaut. Hakikat
sebuah hati, ada pasang surutnya pada makhluk bernama manusia. Tidak menjadi
kepelikkan sedangkan Sang Pencipta sendiri hati-hati manusia sentiasa lalai
dalam mengingatiNya, merinduiNya dan mengikat cinta sejati untukNya.
Hati ini sifatnya sangat rapuh. Amat sesuai tajuk lagu
ini, bagi saya kerapuhan itu datangnya daripada hati. Hati yang penuh dengan
keduniaan yang menyebabkan ruangan cahaya untuk cinta Allah dan cinta Rasul
seolah-olah tertolak keluar. Tidak perlu menunding jari, katakanlah ‘aku lah
orang itu! Manusia yang sentiasa LALAI dalam mengejar cinta Allah dan Rasul’
Jalanilah Hidup
Ini Apa Seadanya
Kita terlalu takut kehilangan sebuah cinta manusia
sedangkan penjaga cinta tidak pernah kita bersungguh-sungguh mengejar cintaNya.
Kiranya Dia menghilangkan cinta sementara itu, sangat layak untuk kita.
Hati yang sihat ialah hati yang sejahtera
yang dapat membahagiakan serta mententeramkan seseorang itu di dunia dan di
akhirat. Ia merupakan hati yang telah di didik dengan sempurna mengikut acuan
Islam seperti mana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.
Yakinlah, kiranya cinta Allah dan Rasul
tidak pernah jemu untuk kita kejar. Sudah pasti, Dia akan sentiasa menautkan
hati kita bersama-sama manusia yang hatinya sentiasa ada untuk Dia. Di antara mereka
itu, pastinya ada ‘pelengkap’ kita.
Antara jenis hati yang perlu diperbaiki
iaitu hati yang keras membatu tidak mampu ditembusi walaupun dengan
nasihat-nasihat agama.
Hati yang secara zahir terlihat lentur dan lunak namun pada hakikatnya lebih keras dari batu saat diberi nasihat. Bahkan
perumpamaan batu itu lebih ‘lembut’ berbanding sebahagian hati manusia.
Sebagaimana Allah ceritakan tentang hati orang-orang Bani Israil dalam surah Al
baqarah:
“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras
seperti batu, bahkan lebih keras lagi. padahal diantara batu-batu itu
sungguh ada yang mengalir sungai-sungai dari padanya dan diantaranya sungguh
ada yang terbelah lalu keluarlah mata air dari padanya dan diantaranya sungguh
ada yang meluncur jatuh, Karena takut kepada Allah. dan Allah sekali-sekali
tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (al-Baqarah ayat 74)
Wahai jiwa yang sedang layu…
Panjangkanlah sujudmu di malam-malam
sunyi. Agar kau tahu bahawa keindahan tetap bersemayam di hati orang-orang yang mendapati cinta
Illahi. Dan menangislah sepuasnya… ketika hanya ada kau dan DIA. Adukan sahaja
segala resahmu. Sebab DIAlah yang memiliki jawapannya.