Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan
Salam ukhuwwah buat
semua sahabat pembaca sekalian. Moga Allah sentiasa merahmati dan mencucuri
rahmat serta pertolongan khususnya buat sahabat dan saudara seISLAM kita di
bumi Palestin serta keseluruhan umat Islam amnya, amen.
Alhamdulillah dalam
ruang masa cuti semester yang ringkas ini Allah mengizinkan saya untuk terpilih
memenuhkan tempat dan ruang-ruang kosong yang ada di majlis-majlis ilmu yang
sempat dan mampu untuk saya hadir bersama-sama sahabat-sahabat.
Antara majlis ilmu
yang sempat saya dan sahabat hadir iaitu Talk Fiqh di Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM). Jarak yang begitu dekat antara rumah saya dengan kampus yang
hanya mengambil masa 15-20 minit ini, tidak dapat membantutkan semangat saya
dan sahabat saya untuk menghadirinya. Di USIM sekarang sedang berlansungnya
Fiqh Week, maka begitu banyak majlis-majlis dan kuliah-kuliah ilmu yang
dianjurkan di dewan-dewan kuliah yang ada dengan memaparkan begitu ramai
penceramah dan para astatizah yang begitu hebat dan mantap ilmunya menurut
kepakaran dan pengkhususan masing-masing.
Peluang yang
julung-julung kali untuk diperoleh lebih-lebih lagi saya selaku ‘orang luar’
dan bukan penunutut di USIM, secara peribadi saya merasakan ia merupakan satu
peluang keemasan kerana dapat mendengar atau bertalaqqi secara lansung
dengan figure-figure hebat ini dan tidak hanya sebelum-sebelum ini hanya mendengar kuliah-kuliah mereka
di youtube sahaja.
Pengkuliah jemputan
yang dijemput untuk memenuhi Talk Fiqh mengenai Fiqh Sirah berkenaan perjuangan
Rasulullah dan para sahabat ini ialah Ustaz Rashidi Jamil. Beliau merupakan
seorang pegawai penyelidik dari bahagian penyelidikan JAKIM. Cara penyampaiannya
yang bersahaja dan nada suara yang sederhana mengingatkan saya kepada seorang
tokoh ilmuan hebat tanah air iaitu Ustaz Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri yang
merupakan salah seorang tenaga pengajar di USIM. Rupa-rupanya Ustaz Rashidi ini
mempunyai jalinan persaudaraan dengan Dr. Zul. Maka tidak hairanlah cara dan
style penyampaian beliau serba sedikit tidak tumpah seperti Dr. Zul ini.
Kehebatan dan
kepakaran Ustaz Rashidi mengenai sirah secara peribadi tidak dapat saya
nafikan. Beliau mampu memberikan kuliah tanpa sedikit pun merujuk kepada
apa-apa nota, slide mahupun kitab. Pendek kata kesemua input, point penting,
kisah sirah dan nama-nama kitab sudah di save di dalam mindanya. Begitu banyak
mutiara ilmu yang Ustaz berikan dalam majlis ini, namun tidak semua dapat saya
terjemahkan ke dalam simpanan nota saya. Dalam Talk Fiqh ini Ustaz banyak
menekankan pengorbanan baginda Nabi menerusi kisah penghijrahan baginda bersama
para sahabat.
Namun, beberapa input dalam yang sempat saya catat , ingin saya kongsikan kepada semua sahabat pembaca. Moga ia sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada para pembaca.
1. Pengorbanan Nabi meninggalkan kampung halaman
(Mekah) untuk berhijrah ke Madinah, menurut ulama baginda Nabi meninggalkannya
dalam keadaan penuh kesedihan
2. Keadaaan masyarakat jahiliyyah di Mekah
ketika itu begitu teruk apabila mereka bertawaf di sekeliling Kaabah tanpa
berpakaian (bertelanjang) sambil bertepuk tangan
3. Antara perjuangan sahabat Nabi semasa
hendak berhijrah antara ialah ‘Iyash dan Hisham yang memilih untuk berhijrah
secara jahar (terang-terangan) bersama-sama Saidina Umar al-Khattab melaui
jalan utama. Namun ‘Iyash dan Hisham sempat dan berjaya ditangkap hasil tipu helah
dan perangkap Abu Jahal dan para Musyrikin Mekah yang lain.
4. Sebelum Rasulullah hendak berhijrah,
perbincangan 13 ‘ahli parlimen’ Musyrikin Mekah ketika itu yang di dalamnya
turut dianggotai oleh Iblis di Dar An-Nadwah telah membincangkan USUL untuk mencari
jalan menjatuhkan hukuman kepada baginda Nabi. Antara 3 USUL yang telah
diutarakan oleh ‘ahli parlimen’ tersebut iaitu :
- Nabi dibuang
daerah
- Nabi dipenjarakan
- Nabi dibunuh
5. Namun, USUL yang ketiga yang dicadangkan
oleh Abu Jahal iaitu Nabi perlu dibunuh telah sepakat dipersetujui oleh Iblis
dan ‘ahli parlimen’ yang lain.
6. Allah mewahyukan kepada baginda Nabi
melalui perantaraan Jibril mengenai USUL yang telah diputuskan untuk membunuh
baginda.
7. Dengan bantuan Allah melalui kudrat dan
iradatNya, baginda Nabi dapat melepaskan diri daripada kepungan pembunuh yang
hendak membunuh baginda apabila diwahyukan supaya mengambil pasir dan
menaburkannya ke atas pembunuh-pembunuh itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah
Yasin. Sehingga mereka dalam keadaan sedar tidak dapat melihat Nabi melepas dan
melarikan diri dari rumah tersebut.
Catatan ini hanya
secebis daripada keseluruhan mutiara ilmu di dalam majlis tersebut yang sempat
saya coretkan di dalam buku nota saya. Begitu banyak kisah dan point menarik
yang saya tidak saya nyatakan di sini yang antaranya mengenai kisah Ahlu
Kiyafah (golongan pakar mengesan tapak kaki di padang pasir), kisah sikap
dan sifat golongan Ansar dan masyarakat Yathrib satu ketika dahulu bersama
kerajaan Yaman sebelum kedatngan Islam dan lain-lain lagi.
Kesimpulannya,
semakin ilmu ditagih dan dicari, semakin menyerlah lah kejahilan dan tidak
tahunya kita kepada ilmu Allah yang begitu luas. Justeru pesanan buat diri saya
sendiri dan siding pembaca, jangnlah mudah mendabik dada dan merasakan hebat
dan tingginya ilmu kita yang sedikit yang baru Allah izinkan untuk kita
peroleh. Hal ini kerana beratus-ratus malah beribu-ribu figure dan orang yang
lebih pandai dan faqih di luar tempat kita yang kita tidak tahu kewujudan
mereka. Ilmu Islam yang mereka dapat secara terus daripada guru-guru dan
masyaikh serta kitab utama dan mu’tabar daripada bumi Anbi’a, secara lansung
sentiasa menguatkan hujah serta meyakinkan kita kepada disiplin, sumber ilmu
dan tafsiran yang tepat mengenai ssuatu perkara dan ilmu. Wallahualam.
JOM mendengar Talk
Fiqh seterusnya pada malam ini ! Jangan lepaskan peluang! (^_^)
Di kesempatan ini
juga, saya menyeru dan mengajak untuk sidang pembaca yang mempunyai ruang masa
untuk turut tidak melepaskan peluang menadah ilmu ke Daurah Kitab di Pondok
Kandis yang tidak lama lagi, JOM!