Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan
Salam
mahabbah dan salam Ramadhan kareem buat semua sahabat pembaca, moga kita
sentiasa dalam rahmat dan pertolongan Allah, ameen.
Sekilas
Pandang Suasana Ramadhan
Rasullullah
Sallallahu 'Alaihi Wassalam pernah bersabda:
"Sesungguhnya
Syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut 'Rayyan'. Akan
diseru pada hari kiamat: "Mana orang yang berpuasa?" Lalu bila
orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup". [Hadis
Riwayat Bukhari dan Muslim]
Bertemu bulan Ramadhan merupakan satu saat yang pastinya
akan dinanti-nantikan oleh semua umat Islam yang tergolong dalam golongan mu’min.
Bagi diri penulis, bulan ini pastinya akan memberikan 1001 kelainan yang sangat
mendalam. Satu suasana yang dirasakan sangat-sangat berlainan berbanding
bulan-bulan yang lain. Ibarat udara, sinaran cahaya matahari serta kicauan
burung-burung di dalam bulan ini membawa pelbagai erti dan makna.
Sepoi-sepoi angin yang membawa bunyi bacaan al-quran sudah
tentu akan dirasakan di mana-mana. Kalau di IPG KDRI, bertadarus pastinya
menjadi satu rutin yang wajib bagi setiap batch. Kelainan pada bulan Ramadhan
kali ini, program-program tambahan seperti kelas-kelas tajwid dan talaqqi kita
turath turut dianjurkan.
Berkebetulan bulan puasa ini penulis turut berpraktikum di
sekolah, ia tidak mengahalang udara Islam ini terus dihidu di sekolah penulis. Setiap
pagi pastinya bagi tahun 1-5 akan bersama-sama mengikuti kelas tadarus AQ. Setiap
guru sudah ditetapkan untuk menjadi mentor bagi mengetuai dan membimbing setiap
menti di bawahnya membaca AQ dengan baik dan bertajwid.
Bagi tahun 6 pula, setiap pagi mereka akan bersama-sama
membaca yasin serta bersolat hajat dan dhuha bersama-sama guru dan ustaz bertugas yang akan mengetuainya. Ini tiadak
lain bertujuan supaya murid-murid tahun 6 sentiasa bersedia dari segi menta,
fizikal serta rohani untuk berhadapan dengan peperiksaan UPSR yang tidak lama
lagi.Peluang dan pengalaman ini penulis cuba ambil, praktik serta timba dengan
baik demi melatih diri berhadapan dengan reality kehidupan akan datang,
insyaAllah.
Ia tidak lain membuka RUANG dan PELUANG kepada semua umat
Islam untuk mengejar dan merebut habuan syurga ar-Rayyan ini, insyaAllah.. ameen.
Rezeki Yang Tidak Disangka-Sangka
Sesuai dengan makna dan mafhum ayat seribu dinar dari Surah
at-Talaq ayat 2 dan 3 tersebut. Disebut ‘rezeki
yang tidak disangka-sangka..’ . apa yang pasti, pada bulan barakah ini perkara ini 100%
terealisasi dan terlaksana. Jemputan demi jemputan pastinya akan diterima oleh
semua orang untuk berbuka puasa atau ifthor sama ada di surau, masjid
mahupun rumah-rumah sahabat handai yang menjemput.
"Dan orang
yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala
berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui tuhannya
nanti, ia akan gembira kerana puasanya." [Hadith
Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nasa'i]
Di IPG KDRI, ifthor beramai-ramai pastinya akan
dilaksanakan pada setiap hari di Balai Islam al-Muttaqin (BIAM) yang merupakan
pusat ibadah dan nadi kepada segala kegiatan program-program dakwah. Ia dijalankan
secara beramai-ramai kerana setiap course dan batch mempunyai jadual
yang telah ditetapkan untuk bersama-sama menyumbang bantuan kewangan dan tenaga
untuk merealisasikannya. Memasak bubur lambuk merupakan menu wajib yang pastinya
akan dinanti-nantikan oleh setiap siswa guru setiap hari.
Bagi diri penulis, selain ifthor dan membantu di BIAM , tanggungjawab sebagai seorang housemates
turut perlu dilaksanakan. Memasak dan berbuka bersama-sama merupakan satu
kenangan yang pastinya tidak akan dapat dilupakan berstatus seorang siswa guru
yang masih bujang ni. Memenuhi jemputan-jemputan lain turut penulis cuba mera’ikan
sebaik mungkin agar setiap jemputan-jemputan tang baik ini dapat dipenuhi
dengan sempurna. Penulis sentiasa cuba berpegang kepada hadith yang menerangkan
hak-hak muslim yang mesti dilaksanakan.
Dari Abi
Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam):
Hak muslim terhadap muslim lainnya ada enam. (Baginda) ditanya: Apakah
hak-hak tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda: Jika kamu bertemu dengannya,
ucapkanlah salam padanya. Jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya. Jika
dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat Jika dia bersin dan bertahmid, maka
tasymitkan dia. Jika dia sakit, maka kunjungilah dia Jika dia meninggal dunia,
maka ikutilah (jenazah)nya. (Hadith Riwayat Muslim)
Tarbiyyah
Buat Diri Di ‘Fasa Keampunan’
Menjalani
liku-liku hidup sebagai seorang manusia, kita tidak akan dapat lari daripada
diuji oleh Allah Azza wa Jalla. Ujian yang mendatang selalunya menjadikan diri
kita lebih tegar dan kuat. Masakan tidak. Ujian mengajar seseorang untuk menjadi
lebih lasak dalam menggalas setiap bebanan kehidupan.
“Bulan
Ramadhan, awalnya rahmah, tengah-tengahnya maghfirah (keampunan) dan
akhirnya adalah pembebasan dari neraka.” (Hadith ini diriwayatkan oleh Al-'Uqaili dalam kitab khusus tentang
hadith dha'if yang berjudul Adh-Dhu'afa')
Bertarikh 4 Ogos 2012 yang jatuh pada hari Sabtu. Merupakan satu
tarikh keramat dan bersejarah buat diri penulis apabila Allah mendatangkan satu
dugaan serta ujian yang bagi penulis melihat ia sebagai satu kaffarah (hukuman/denda) kepada dosa-dosa penulis. Berkebetulan atau
ia merupakan satu tanda daripada Allah kepada penulis apabila tragedi tersebut
berlaku di dalam fasa maghfirah atau keampunan dalam bulan Ramadhan. Walaupun hadith
ini bertaraf dhaif bagi sebahagian besar ulama’ hadith yang mendhaifkannya,
namun makna serta maksud daripada hadith ini ingin saya renung serta mengajak
sahabat-sahabat pembaca agar turut bermuhasabah.
Tragedi kemalangan yang berlaku pada diri penulis pada hari
tersebut pada suatu masa berbaki hanya setengah jam sahaja lagi untuk berbuka
puasa. Perjalanan untuk berbuka puasa di sebuah surau atas jemputan yang
diterima diuji oleh Allah dipertengahan jalan. Sedikit perkongsian perjalanan tragedi
tersebut :
1. Di kawasan
bukit Tok Beng (berdekatan kedai keropok lekor), penulis memandu motosikal dari
arah Airport.
2. Keluar
sebuah motor dari kawasan selekoh bukit Tok Beng tersebut memandu dalam keadaan
yang sangat laju dan merewang-rewang ke kiri dan kanan sehingga motornya masuk
ke lorong penulis.
3. Penulis
yang menyedari kehadiran motor tersebut daripada jarak 50 Meter telah bersedia
untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Di dalam hati penulis
terdetik ‘orang gila kah ni?’ kerana caranya memandu tak tumpah seperti orang
kurang siuman memandu motor.
4. Dalam
keadaan motornya yang memecut tidak tentu arah itu, dan ruang jalan yang sempit
penulis cuba mengelak namun motornya sempat bergesel juga dengan sebelah kiri
motor penulis yang menyebabkan motor penulis terbabas dan terseret ke kanan
jalan, manakala motor pakcik tersebut terbabas dan tersungkur di tengah jalan.
Secara
peribadi, pengajaran daripada tragedi ini, penulis memanjatkan setinggi-tinggi
kesyukuran atas teguran daripada Allah atas dosa-dosa penulis. Teguran yang
diberikan ini Dia masih menghidupkan penulis untuk kembali bermuhasabah dan bertaubat
atas setiap dosa-dosa penulis. Walaupun mengalami luka-luka, bengkak dan
sedikit patah, namun diberikan RUANG dan PELUANG untuk terus hidup merupaka
satu nikmat yang sangat bermakna.
Penulis
sempat bersemuka dan berbincang dengan waris pakcik ini sehari selepas
kemalangan untuk mendapatkan cerita sebenar mengenai pakcik ini. Rupa-rupanya
pakcik yang melanggar penulis itu merupakan seorang yang terencat akal dan
tergolong dalam golongan OKU. Berkebetulan pada masa itu dia melarikan diri bersama
sebuah motor daripada rumahnya yang tidak jauh daripada kawasan kemalangan. Difahamkan
pakcik ini sudah 20 tahun tidak menunggang motor. Oleh sebab itu dia memandu
seperti orang gila seolah-olah tidak tahu menahu untuk mengendalikan motor
tersebut. Di hati penulis, ‘mujur juga pakcik ini melanggar aku, kalau dia
langgar lori, berkemungkinan besar dia akan terus mati di tempat kejadian..’
Alhamdulillah
pakcik itu masih hidup walaupun tangan dan kakinya patah dan terpaksa disimen. Diharapkan
dengan insuran kelas pertama yang penulis ada dapat dimanfaatkan oleh keluarga
pakcik itu untuk mendapat sedikit pembelaan kewangan atas kecederaan yang
dialami, moga urusan itu dipermudahkan, ameen.
Penulis
memanjatkan kesyukuran juga kerana motor penulis yang rosak sudah siap dibaiki
dalam masa yang singkat.
DULU
KINI
Hikmah
Disebalik Kedukaan
Sangat
besar hikmah kepada dugaan yang Allah berikan kepada penulis. Daripada peristiwa
ini banyak perkara yang dapat penulis belajar dan bermuhasabah.
“Tiap-tiap
yang berjiwa akan merasakan mati. kami akan menguji kamu dengan keburukan
dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). dan Hanya
kepada kamilah kamu dikembalikan.”(Surah al-Anbiya’:35)
Al-Hafiz
Ibn Katsir dalam memberikan penerangan terhadap ayat ini menyatakan bahawa
Allah menguji hambanya dengan musibah pada satu waktu, dan kemudian dengan
nikmat pada waktu yang lain, untuk melihat siapa yang bersyukur dan siapa
yang kufur, siapa pula yang sabar, dan siapa yang putus harap.
Dan
al-Hafiz ada menukilkan kata-kata Ibnu ‘Abbas dalam menafsirkan ayat ini,
bahawa “Allah menguji hambanya dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan
kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan serta kemiskinan, dengan perkara yang
halal dan apa yang haram, dengan ketaatan dan kemaksiatan, serta dengan hidayah
dan kesesatan.” [Tafsir al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]
Ujian
Yang Berbeza Untuk Mengukur Keimanan
Berdasarkan
tafsiran Ibnu ‘Abbas tersebut, dapat kita ketahui bahawa pada setiap orang
berbeza tahap ujian yang dikenakan ke atasnya. Ini adalah selari dengan ayat
pada surah al-Baqarah apabila Allah menyatakan;
“Allah
tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..”(al-Baqarah:286)
Dari
ayat tersebut dapat kita ketahui bahawa ujian yang dikenakan kepada setiap
hamba, adalah bersesuaian dengan apa yang mampu ditanggungnya. Dan setiap orang
pula berbeza tahap tanggungannya dan penerimaan mereka terhadap ujian serta
dugaan.
Ujian
yang diberikan juga adalah untuk mengukur tahap keimanan seorang hamba. Ini
telah dibuktikan secara jelas berdasarkan ayat 2-3 Surah al’-Ankabut;
“Apakah
manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah
beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah
menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui
orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
Ganjaran
Menanti Bagi Yang Diuji
Rasulullah
Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menyifaktan bahawa ujian yang diberikan kepada kaum
manusia adalah tanda kecintaan Allah kepada mereka. Dan semakin besar
dugaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia, menandakan besar juga pahala
yang diperoleh. Ini sebagaimana hadith yang datang dari Anas bin Malik, yang
menyatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wassalam bersabda;
“Sesungguhnya
besarnya ganjaran itu dinilai pada besarnya bala’ yang menimpa. Dan
sesungguhnya Allah itu apabila mencintai sesuatu kaum, maka akan mereka itu
diberi dugaan. Oleh sebab itu barangsiapa yang redha – dengan ujian yang
menimpa, dia akan memperoleh keredhaan Allah dan barangsiapa yang tidak maka
padanya kemurkaan Allah.” [Riwayat al-Tirmidzi, al-Albani menyatakannya sebagai
hasan dalam Sahih dan Dha’if Sunan al-Tirmidzi.]
Jelas bahawa ujian yang diberikan adalah untuk menguji keimanan seorang manusia.
Jika dia beriman, maka dia akan menerimanya dengan keredhaan. Dan padanya
rahmat Allah Azza wa Jalla serta keredhaan-Nya. Namun bagi manusia yang lalai
serta tidak meredhai ujian yang diberikan ke atasnya. Maka dia sekadar mendapat
kemurkaan daripada Allah.
Hadith
di atas termasuk dalam bab Sabar (الصبر) oleh Imam al-Nawawi dalam karya beliau
dalam bidang hadith; iaitu Riyadh al-Salihin. Di sini dapat dijelaskan
bahawa, bagi orang-orang yang beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah
bersabar dengan segala dugaan serta mehnah yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Jelas
juga, daripada hadith tersebut bahawa semakin besar dugaan yang diperoleh oleh
seorang manusia, maka semakin besar ganjara pahala yang akan dia dapati.
Dalam
ayat ke-214 surah al-Baqarah, ada dinyatakan bahawa orang yang diuji itu akan
mendapat pertolongan daripada Allah serta akan diganjari dengan syurga;
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk
syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang
terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta
digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan
Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
Kesimpulan
Penulis mengambil peluang
mengucapkan terima kasih kepada semua ‘keluarga’ dan ‘adik-beradik’serta
pensyarah penulis di Terengganu ni yang
telah membantu, memberikan semangat, dorongan dan doa kepada penulis sepanjang
hari-hari penulis terpaksa menanggung derita kesan kemalangan tersebut. Tidak lupa
juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada ‘kedua-dua keluarga’ penulis
yang berada jauh di mata namun dekat di hati penulis atas segala dorongan,
nasihat, dan doa yang tidak pernah putus untuk penulis kembali normal dan
bersemangat seperti dahulu. Moga Allah merahmati antum sekalian dunia akhirat, ameen.
Salam sayang daripada penulis buat semua.