Semasa menatap akhbar Harian Metro (19 Jun 2010), terlihat satu sisipan iklan berkenaan Pameran Perdagangan Halal Terbesar di Dunia MIHAS 2010, yang bakal berlansung di Pusat Konvensyen & Pameran Matrade (MECC) Kuala Lumpur pada 23-27 Jun 2010. Alhamdulillah, kesedaran tentang makanan halal ini semakin meningkat. Masyarakat sudah mula sedar dan peka tentang perkara ini. Mencari yang halal sudah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab buat setiap umat Islam. Saranan dan penegasan untuk memakan makanan halal sudah lama termaktub di dalam 'kitab undang-undang' yang telah diguna pakai untuk menjadi rujukan dan panduan sejak turun-temurun, dari zaman ke zaman. Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 114 :
“Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika hanya kepada-Nya sajalah kamu menyembah”
(an-Nahl : 114)
“Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
(al-Baqarah : 168)
Menurut satu khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dalam menentukan makanan dan minuman kita itu halal, kita hendaklah memastikan tiga perkara :
Pertama - Makanan dan minuman kita hendaklah dari benda-benda yang dibenarkan oleh syariat Islam.
Kedua - Disediakan mengikut cara yang dituntut oleh syariat Islam.
Ketiga - Memastikan rezeki tersebut daripada sumber yang halal.
Jelaslah di sini, ketiga-tiga syarat ini perlu kita patuhi dalam menentukan makanan dan minuman itu halal. Tambahan lagi, ingatlah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad :
" Sesungguhnya tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh dari sumber yang haram, sebaliknya nerakalah tempatnya yang lebih utama."
Sabdanya lagi :
" Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itupun nyata (terang). Dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran yang tidak diketahui akannya oleh ramai manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah ia ke dalam perkara yang haram." (HR Al-Bukhari)
Justeru, penganjuran program seperti MIHAS ini amatlah baik dan perlu diteruskan dalam memberikan kefahaman, kesedaran serta maklumat kepada masyarakat tentang kepentingan makanan halal serta maklumat-maklumat yang berkaitan dengannya.