Oleh :
Muhamad Hazwan Bin Hamidan
[siswa
GURU tahun akhir IPG KDRI]
Salam mahabbah buat sidang pembaca, moga Allah sentiasa merahmati
kita, ahli keluarga kita serta Negara kita untuk terus berada dalam rahmatNya,
amin.
Musim peperiksaan akhir semester baru sahaja bermula, rasanya masih
belum terlambat untuk mengucapkan Maat taufiq wan najah kepada semua
warga siswa Guru IPG seluruh Malaysia. Moga kejayaan dan keberkatan sentiasa
beroleh untuk kita.
‘Program YB turun ke Masjid dan Surau’
Teringat isi penting dalam khutbah Jumaat di Masjid Unisza
baru-baru ini. Khatib berpesan dalam suasana pasca PRU 13 ini, diharapkan
rakyat Malaysia kembali ‘normal’ menjadi rakyat yang terus mengamalkan sifat
mahabbah antara satu sama lain khususnya sesame Muslim dan umumnya bersama
Non-Muslim. Bagi yang menang teruskan menjalankan amanah dengan
bersungguh-sungguh dan bagi yang kalah perlu redha dan elakkan perasaan dendam
dan sifat-sifat negatif.
Apa yang menarik bagi seorang YB bagi Parlimen Kuala Nerus iaitu
Ustaz Dr. Khairuddin at-Takiri, kemenangan yang telah dikurniakan oleh Allah
digunakan sepenuhnya untuk terus mendekati rakyat serta membawa rakyat untuk
sentiasa kembali berTUHANkan Allah tanpa syarat.
Berbekalkan dengan Misi mendekati rakyat khususnya rakyat di
Parlimen beliau. Beliau telah melancarkan suatu program jelajah melalui kuliah
Maghrib yang dinamakan ‘Program YB turun ke Masjid dan Surau’. Program ini
secara lansung dan jelas mahu mendekati rakyat dengan memberikan keFAHAMan ilmu
agama dan penerangan di setiap rumah2 Allah yang ada di Parlimen beliau. Secara
peribadi saya sangat menyokong dan mendokong program yang baik seperti ini
kerana ianya bertepatan dengan salah satu suruhan Allah dalam Surah al-Hajj
ayat 41 kepada orang yang diberikan kuasa pemerintahan.
Program tersebut dimulakan di Surau Istiqamah Gong Badak pada malam
semalam. Namun sedikit mendukacitakan apabila beliau sendiri tidak dapat turun
kerana terpaksa bergegas ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu
kerana kemalangan kecil yang melibatkan anak beliau. Moga Allah menyembuh dan
memulihkan kembali, amin.
post dalam FB Dr Khairuddin yang memohon untuk mendoakan anaknya
Jawatan : layak kah ?
Namun begitu, kuliah beliau semalam telah diganti oleh tenaga
pengajar yang tidak kurang hebatnya iaitu Ustaz Fauzi yang merupakan salah
seorang pensyarah di Unisza. Pengisian Ustaz banyak berkisar berkenaan
bagaimana pandangan Islam khususnya para ‘alim mengenai pemerintahan (siasah)
ini.
Antara input penting yang dibawa iaitu bagaimana Islam melihat
buruk bagi mereka yang meminta-minta jawatan atau kuasa ini. Antara kisah yang
dibawa, pernah suatu ketika Abu Zar meminta jawatan
dalam kerajaan daripada Rasulullah SAW, tetapi telah ditolak oleh Baginda Nabi.
Mengapa?
Ini jawapan Rasulullah SAW:
“Aku
lihat kamu adalah seorang yang lemah (tidak berupaya) melaksanakan
tugas dengan baik, aku menyayangimu seperti aku sayangi diriku sendiri.”
(HR Abu Daud)
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW telah
bersabda:
”Ya Abu Zar, aku lihat engkau seorang yang lemah dan aku suka engkau
mendapatkan sesuatu yang aku sendiri menyukainya. Janganlah engkau memimpin dua
orang dan janganlah engkau mengurus harta anak yatim.”
(Riwayat
Muslim)
Apa yang dapat dinilai daripada kisah ini, sifat lemah merupakan
salah satu faktor utama kepada penolakan jawatan ini. Hal ini kerana kelemahan pada diri Abu Zar ini amat
jelas diketahui oleh Baginda Rasulullah SAW.
Selain itu, ada beberapa orang lagi di kalangan para
sahabat yang telah meminta jawatan daripada Rasulullah SAW tetapi telah
ditolak.
Daripada Abd Rahman bin Samurah, Rasulullah SAW
bersabda:
Wahai
‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya
dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau
diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)
(Hadith
Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)
Ustaz Fauzi sedang menyampaikan kuliah nya dengan penuh beradab dan bersemangat
antara hadirin yang hadir setia mendengar perkongsian ilmu
Hal ini bermakna tidak semua orang mampu jadi pemimpin walaupun semata-mata ilmunya banyak. Banyak faktor yang perlu diambil kira apabila kita memilih pemimpin. Syarat utama untuk dilantik sebagai seorang pemimpin adalah kelayakan, antaranya perlu mempunyai ilmu, kekuatan fizikal, keterampilan bermasyarakat, berwibawa, akhlak mulia, mahir berkomunikasi, bakat dan takwa kepada Allah.
Menilai ‘Keutamaan’
Imam Ahmad Ibnu Hanbal ketika ditanya tentang dua
orang yang dicalonkan untuk memimpin satu pasukan di mana yang pertama kuat
tetapi bergelumang dengan dosa dirinya sahaja, manakala yang kedua, kuat
agamanya tetapi lemah perwatakan dirinya dalam memimpin, maka beliau menjawab:
“Orang pertama, dosanya ditanggung sendiri sedangkan
kekuatannya dapat menbina keutuhan Negara dan kepentingan umat. Manakala orang
kedua yang kuat memegang teguh ajaran agamanya hanya memberikan manfaat untuk
dirinya sahaja, sedangkankan kelemahannya menjadi petaka bagi orang yang
dipimpinnya.”
Mengenai kata-kata ini, kita dapat menilai berkenaan
keutamaan dalam memilih dan memberikan kuasa kepada seseorang. Sesuatu jawatan
apabila bertembung dengan 2 calon seperti ini, maka jawatan itu lebih utama
untuk diberikan kepada orang yang lebih
mampu menjaga kepentingan orang ramai, walaupun individu itu kekurangan sedikit
dari segi akhlak dan moralitinya yang hanya bersifat dirinya sahaja dan tidak
merosakkan orang lain.
Hebat bukan semata pada kata-kata !
Pernah mendengar seorang tokoh kepimpinan yang begitu hebat iaitu
Saidina Umar al-Khattab? Bukan sahaja hebat dalam berkata-kata, namun turut
hebat dalam pelaksanaannya. Kesalahan yang dibuat bukanlah hujah untuk menjadikannya
kebal daripada sebarang kritikan walaupun bergelar seorang Khalifah. Ustaz
Fauzi mengatakan bahawa Saidina Umar sesuai untuk digelar dan diberikan ‘tagline’
pada pemerintahannya sebagai ‘Ketakwaan dalam Pemerintahan’.
Menurut Prof. Madya
Dr.
Mohd Asri Zainul Abidin, mana-mana pihak yang menghalang orang
mengkritik golongan bangsawan (pemimpin) sekalipun dengan bahasa yang betul,
adalah golongan feudal yang tidak wajar menguasai politik masakini. Adakah
sesiapa dalam kalangan pemerintah kita yang lebih mulia, hebat dan gagah dari
Saidina ‘Umar bin al-Khattab?! Beliau pernah ditegur, namun beliau tidak
menghukum pengkritiknya.
Khalifah Umar bin al-Khattab suatu hari pernah
membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar
dan berkata:
“Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman
al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”. Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai
Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kamu semua seorang sehelai, sedangkan engkau
memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar
memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: aku menyerumu dengan nama Allah,
bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan
padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn
Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).
Tiada hukuman pun, sedangkan itu ‘Umar bin
al-Khattab. Apakah kita merasakan bahawa ada pihak yang lebih mulia dari Nabi
s.a.w dan para al-khulafa ar-Rasyidin. Nabi s.a.w sendiri pernah dipersoalkan
beberapa tindakan baginda seperti tentang isi perjanjian Hudaibiyyah yang
baginda meterai. Baginda tidak menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang
nabi. Siapakah yang merasakan lebih mulia dari baginda?!
Kesimpulan
Ayuh kita kembali bermuhasabah, adakah sebelum ini kita tergolong
dalam golongan yang suka meminta-minta jawatan mahupun mahukan jawatan
semata-mata hendak membawa agenda tersendiri ?
Renungkanlah firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 41, ini apakah
yang sepatutnya perlu dilaksanakan apabila beroleh jawatan :
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.