Daripada Abu Hurairah r.a.: Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berikan daku wasiat. Baginda bersabda: Janganlah engkau marah. Lelaki itu mengulangi soalan itu beberapa kali. Baginda tetap bersabda: Janganlah engkau marah.
(Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari)
JANGANLAH ENGKAU MARAH
Assalamualaikum buat semua sahabat serta sahabiah. Alhamdulillah bersyukur kerana masih diberikan pinjaman umur dan kesihatan untuk terus mengabdikan diri kepadaNYA. InsyaALLAH untuk entry kali ini ana nak berkongsi satu hadith iaitu hadith ke-16 dalam kitab Hadith 40 karangan Imam Nawawi.
Janganlah engkau marah… Janganlah engkau marah..Mungkin dalam kehidupan kita, kita biasa dinasihati ataupun kita menasihati dengan kata-kata ini. Namun apakah pengertian sebenarnya Janganlah engkau marah ini dan mengapa Rasulullah memberikan wasiat ini kepada lelaki iaitu Abu Darda’ yang meminta wasiat daripada baginda ??
Persoalan pertama yang ingin ana rungkaikan ialah sejauh manakah sifat marah ini memberikan impak kepada kehidupan seseorang. Perlu diambil perhatian maksud Janganlah engkau marah yang dikatakan oleh Rasulullah kepada Abu Darda’ ialah jangan terlalu menurut nafsu kemarahan itu kerana kemarahan adalah salah satu dari tabiat manusia yang tidak mungkin dapat dihapuskan.
Sebenarnya sifat marah itu tidak menjadi kesalahan jika kena pada tempatnya dan dengan tujuan yang baik iaitu untuk menyedarkan orang yang melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya. Tetapi yang sebaik-baiknya, elakkanlah dari berlaku perkara sedemikian, kerana marah boleh menimbulkan keburukan dan permusuhan, bukan sahaja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri. Oleh itu agama Islam telah mengajar kita bahawa jika kita marah, maka cepat-cepatlah kita mengambil wuduk supaya kita merasa tenang dan tenteram. Di samping itu, kita hendaklah bersifat sabar dan mudah memberi maaf kepada orang yang melakukan kesalahan.
Imam al-Ghazali pernah berkata : ‘kemarahan manusia bermacam-macam. Sesetengahnya cepat marah, cepat juga reda. Sesetengahnya lambat marah, lambat pula redanya. Sesetengahnya lambat marah dan cepat reda. Yang akhir inilah yang terpuji..’
Sememangnya hidup ini penuh dengan cabaran serta dugaan yang penuh dengan liku-liku dan ranjau yang harus dilalui dan dihadapi. Setiap ujian ini sudah PASTI perlu ditempuhi dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Tanpa sifat SABAR dan TENANG, maka bukan sahaja satu masalah tetapi berjuta-juta masalah pun tidak akan mampu kita tangani.
Ingatlah UJIAN itu PASTI. Tidak perlulah kita asyik mengeluh :
‘kenapela asyik aku je yang kene ujian..??
‘tak habis-habis dengan masalah, asyik datang masalah je.!!’
Cabaran dan dugaan itu bermacam-macam bentuk, ada berbentuk kesusahan, kesengsaraan, kesedihan dan ada pula berbentuk kesenangan dan kegembiraan. Jika kesenangan yang diperolehi, gembiralah hati kita dan jika kesusahan yang menimpa, maka akan kecewalah dan marahlah kita.Allah Pasti akan menimpakan ujian kepada kita.Ingatlah akan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 155 :
“Dan kami pasti akan menguji kamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”(al-Baqarah:155)
FirmanNya lagi :
“Dan kami pasti akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu” (Muhammad:31)
Bagi orang Islam yang beriman, sifat sabar adalah menjadi perisai dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan .Dalam kehidupan ini perlu kita ingat bahawa sudah pasti setiap yang kita jangka serta mahukan tidak akan sepenuhnya kita dapat. Hal ini kerana PENENTUAN sebenarnya hanyalah milik Allah. Namun Dia memberikan kudrat kepada kita untuk berusaha dan mengubah apa yang ada pada kita. Terpulang kepada kita sama ada mahu berubah dari baik menjadi lebih baik atau sebaliknya. Firman Allah :
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, Maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (ar-Ra’d:13)
Menjauhkan diri dari bersifat marah itu mempunyai banyak hikmah antaranya :
Pertama : Boleh mengelakkan berlakunya sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang tidak baik.
Kedua : Supaya kita akan dapat mencontohi akhlak mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seperti bersopan santun dan bersedia memaafkan orang yang bersalah. Sikap sedemikian boleh menimbulkan perasaan kasih sayang dan kemesraan.
Kesimpulannya, semoga hadith ini beserta sedikit penerangan yang mampu ana sertakan menerusi firman Allah serta kata-kata ulama dapat kita hayati bersama seterusnya mengamalkan dan sampaikannya kepada sahabat-sahabat kita.amin