“Islam itu tinggi, tiada yang boleh mengatasi
ketinggiannya..” [HR Ad-Daruqutni : No.
3663]
Buku yang wajar dibeli untuk dibincangkan isinya
Umat Islam pernah menjadi hebat
Sisi buruk umat dalam ketemadunan Islam pernah
berlaku. Sejak kejatuhan umat Islam pada abad ke-13 hingga abad ke-20 Masihi,
umat Islam berada dalam kondisi jumud dan ‘statik’. Ketika itu apabila disenut
Islam, mereka sekadar membayangkan bahawa Islam ini terhad kepada persoalan
ibadah semata-mata. Seolah-olah urusan hidup di dunia yang melibatkan sektor ekonomi,
politik, kemasyarakatan, pemerintahan dan kenegaraan tiada hubung kait langsung
dengan Islam. Lantaran itu Negara-negara Islam banyak dijajah sekian lama yang
kesannya umat Islam berada dalam keadaan jahil dan susah. Segala sumber
kekayaan di Negara umat Islam dijajah dan dipunggah ke Negara Barat.
Namun tahukah kita bahawa umat Islam pernah menjadi
kuat dan hebat ? Tamadun yang terzahir dengan kehebatan segenap aspek kehidupan
seperti ekonomi, pendidikan, politik, pentadbiran, malah segenap aspek yang ada
termasuk perubatan sejak dahulu dan satu ketika dahulu. Tamadun Islam yang
pernah dipacak namanya menjadi satu bukti yang tidak akan boleh dipadam. Nama-nama
figure hebat yang mewarnai dan mengharumkan nama Islam disebabkan
kebijaksanaannya seperti Ibnu Rusyd, Ibu Sina dan al-Khawarizmi terus diitipkan
dalam lembaran sejarah.
Namun ia hanya tinggal sejarah sekiranya masyarakat
Islam kini tidak pernah dan mahu menoleh ke belakang sebentar untuk membaca
kisah-kisah mereka ini yang semakin dilupakan. Kisah hidup mereka, disiplin
mereka kepada ilmu. Hingga menjadikan mereka seperti apa yang kita dengar dan
baca sekarang. Kisah kehidupan artis, penyanyi malah pelakon-pelakon idaman
sudah menjadi santapan harian dan idola telah meminggirkan watal-watak utama
ini.
Kita ‘Duta’ kepada Islam
Orang sering kali tidak akan menyalahkan kita bila
kita yang tersilap, namun akan mengaitkan kepada ‘Bangsa’ dan ‘Agama’. Lebih parah
Islam yang selalu dipersalahkan atas segala kebejatan masalah sosial dan
kemunduran umat yang telah terzahir sekarang di dunia ini. Islam dilihat teruk dan mundur bukan kerana
Islam tidak sempurna, namun umat Islam seperti kita yang masih gagal
mempamerkan nilai Islam yang sebenar kepada dunia.
Tamadun Islam tidak semata-mata diasas, dibawa dan
lahir dari Bangsa Arab. Hal ini kerana Islam itu merupakan rahmat untuk seluruh
alam. Hadirnya Islam untuk semua dan membawa rahmat kepada siapa yang yakin dan
mendokongnya. Sesuatu bangsa menjadi hebat kerana membawa Islam. Buktinya merujuk
kepada penulisan Ust Ahmad Yahya dalam bukunya ‘Sejarah yang Digelapkan’
:
- Bangsa Arab menjadi bangsa terunggul di zaman
Rasulullah, zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, zaman Umaiyyah dan zaman Fatimiyyah.
- Bangsa Parsi menjadi bangsa terulung di zaman
Abbasiyyah
- Bangsa Turki menjadi masyhur di zaman Turki
Uthmaniyyah
- Bangsa Tartar menjadi gemilang di zaman Mughal di
India
Bolehkah Muslim di Negara kita menjadi hebat ?
Jawapannya BOLEH. Syaratnya kita perlu menyedari dan
memperbetulkan terlebih dahulu beberapa perkara untuk dimuhasabah bersama. Perlu
kita tahu bila meneliti faktor yang menyebabkan perkembangan Tamadun Islam salah
satunya ialah kerana ‘adanya golongan intelektual dan ilmuan’. Persoalannya
di sini, tidak wujudkah golongan seperti dalam masyarakat dan bangsa kita?
Kita boleh dapatkan data-data yang ada graduan yang
dikeluarkan oleh setiap pusat pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta. Graduan
Muslim tidak kurang hebatnya denga CGPA dan anugerah yang diperolehi. Mengejar markah
dan CGPA tertinggi tidak salah, yang silapnya bagaimana golongan Muslim yang
cerdik pandai ini memanfaatkan kecerdikan yang Allah kurniakan ini dalam
lapangan masyarakat dan profession yang diduduki? Adakah kecerdikan itu
sekadar menjadi hiasan dinding dan pujian keluarga sahaja?
Perkara inilah yang perlu sama-sama difikir dan
dimuhasabahkan bersama. Kiranya semua golongan cerdik pandai Muslim ini
mempunyai satu kefahaman dan matlamat yang sama iaitu mahukan Islam terus
dinaikkan dan dipandang tinggi, pastinya kesucian dan nilai kesempurnaan Islam
akan dapat dinikmati oleh semua orang senada dengan rahmatan lil ‘alamin dalam
segenap aspek kehidupan.
Abu Hazim, Salamah bin Dinar pernah ditanya oleh
Khalifah Sulaiman bin Abd al-Malik beberapa persoalan, antaranya : “Siapakah
yang paling cerdik dan berakal dalam kalangan manusia?
Jawabnya : Lelaki
yang menang dalam ketaatan kepada Allah, kemudian beramal dengannya
dan menunjuk manusia kepadanya (Islam)”
Buku yang wajar dibeli untuk dibincangkan isinya
Kesimpulan
Tamadun Islam tidak cukup dibedah, dibincang dan
diperdendangkan. Pengajaran dari sejarah itu perlu diambil pengajaran untuk
diaplikasikan dalam kehidupan semasa. Islam itu tidak pernah kalah, hina dan
mundur kerana ianya dating dengan kesempurnaan dan tinggi. Yang buruk dan lemah
itu adalah kerana KITA !
9 Jun 2015 / 22 Syaaban 1436H
Taman Cheng Jaya, Melaka