Selasa, 9 Jun 2015

Tamadun Islam : Tamadun yang dilupakan ?





“Islam itu tinggi, tiada yang boleh mengatasi ketinggiannya..” [HR Ad-Daruqutni  : No. 3663]


Buku yang wajar dibeli untuk dibincangkan isinya


Umat Islam pernah menjadi hebat


Sisi buruk umat dalam ketemadunan Islam pernah berlaku. Sejak kejatuhan umat Islam pada abad ke-13 hingga abad ke-20 Masihi, umat Islam berada dalam kondisi jumud dan ‘statik’. Ketika itu apabila disenut Islam, mereka sekadar membayangkan bahawa Islam ini terhad kepada persoalan ibadah semata-mata. Seolah-olah urusan hidup di dunia yang melibatkan sektor ekonomi, politik, kemasyarakatan, pemerintahan dan kenegaraan tiada hubung kait langsung dengan Islam. Lantaran itu Negara-negara Islam banyak dijajah sekian lama yang kesannya umat Islam berada dalam keadaan jahil dan susah. Segala sumber kekayaan di Negara umat Islam dijajah dan dipunggah ke Negara Barat.

Namun tahukah kita bahawa umat Islam pernah menjadi kuat dan hebat ? Tamadun yang terzahir dengan kehebatan segenap aspek kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, politik, pentadbiran, malah segenap aspek yang ada termasuk perubatan sejak dahulu dan satu ketika dahulu. Tamadun Islam yang pernah dipacak namanya menjadi satu bukti yang tidak akan boleh dipadam. Nama-nama figure hebat yang mewarnai dan mengharumkan nama Islam disebabkan kebijaksanaannya seperti Ibnu Rusyd, Ibu Sina dan al-Khawarizmi terus diitipkan dalam lembaran sejarah.

Namun ia hanya tinggal sejarah sekiranya masyarakat Islam kini tidak pernah dan mahu menoleh ke belakang sebentar untuk membaca kisah-kisah mereka ini yang semakin dilupakan. Kisah hidup mereka, disiplin mereka kepada ilmu. Hingga menjadikan mereka seperti apa yang kita dengar dan baca sekarang. Kisah kehidupan artis, penyanyi malah pelakon-pelakon idaman sudah menjadi santapan harian dan idola telah meminggirkan watal-watak utama ini.

Kita ‘Duta’ kepada Islam

Orang sering kali tidak akan menyalahkan kita bila kita yang tersilap, namun akan mengaitkan kepada ‘Bangsa’ dan ‘Agama’. Lebih parah Islam yang selalu dipersalahkan atas segala kebejatan masalah sosial dan kemunduran umat yang telah terzahir sekarang di dunia ini.    Islam dilihat teruk dan mundur bukan kerana Islam tidak sempurna, namun umat Islam seperti kita yang masih gagal mempamerkan nilai Islam yang sebenar kepada dunia.


Tamadun Islam tidak semata-mata diasas, dibawa dan lahir dari Bangsa Arab. Hal ini kerana Islam itu merupakan rahmat untuk seluruh alam. Hadirnya Islam untuk semua dan membawa rahmat kepada siapa yang yakin dan mendokongnya. Sesuatu bangsa menjadi hebat kerana membawa Islam. Buktinya merujuk kepada penulisan Ust Ahmad Yahya dalam bukunya ‘Sejarah yang Digelapkan’ :

  1. Bangsa Arab menjadi bangsa terunggul di zaman Rasulullah, zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, zaman Umaiyyah dan zaman Fatimiyyah.
  2. Bangsa Parsi menjadi bangsa terulung di zaman Abbasiyyah
  3. Bangsa Turki menjadi masyhur di zaman Turki Uthmaniyyah
  4. Bangsa Tartar menjadi gemilang di zaman Mughal di India


Bolehkah Muslim di Negara kita menjadi hebat ?

Jawapannya BOLEH. Syaratnya kita perlu menyedari dan memperbetulkan terlebih dahulu beberapa perkara untuk dimuhasabah bersama. Perlu kita tahu bila meneliti faktor yang menyebabkan perkembangan Tamadun Islam salah satunya ialah kerana ‘adanya golongan intelektual dan ilmuan’. Persoalannya di sini, tidak wujudkah golongan seperti dalam masyarakat dan bangsa kita?

Kita boleh dapatkan data-data yang ada graduan yang dikeluarkan oleh setiap pusat pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta. Graduan Muslim tidak kurang hebatnya denga CGPA dan anugerah yang diperolehi. Mengejar markah dan CGPA tertinggi tidak salah, yang silapnya bagaimana golongan Muslim yang cerdik pandai ini memanfaatkan kecerdikan yang Allah kurniakan ini dalam lapangan masyarakat dan profession yang diduduki? Adakah kecerdikan itu sekadar menjadi hiasan dinding dan pujian keluarga sahaja?




Perkara inilah yang perlu sama-sama difikir dan dimuhasabahkan bersama. Kiranya semua golongan cerdik pandai Muslim ini mempunyai satu kefahaman dan matlamat yang sama iaitu mahukan Islam terus dinaikkan dan dipandang tinggi, pastinya kesucian dan nilai kesempurnaan Islam akan dapat dinikmati oleh semua orang senada dengan rahmatan lil ‘alamin dalam segenap aspek kehidupan.
Abu Hazim, Salamah bin Dinar pernah ditanya oleh Khalifah Sulaiman bin Abd al-Malik beberapa persoalan, antaranya : “Siapakah yang paling cerdik dan berakal dalam kalangan manusia?

Jawabnya : Lelaki yang menang dalam ketaatan kepada Allah, kemudian beramal dengannya dan menunjuk manusia kepadanya (Islam)

Buku yang wajar dibeli untuk dibincangkan isinya


Kesimpulan

Tamadun Islam tidak cukup dibedah, dibincang dan diperdendangkan. Pengajaran dari sejarah itu perlu diambil pengajaran untuk diaplikasikan dalam kehidupan semasa. Islam itu tidak pernah kalah, hina dan mundur kerana ianya dating dengan kesempurnaan dan tinggi. Yang buruk dan lemah itu adalah kerana KITA !


9 Jun 2015 / 22 Syaaban 1436H
Taman Cheng Jaya, Melaka