Khamis, 23 Januari 2014

Aku, kehidupan dan ilmu



Salam mahabbah dan cinta Rasul buat semua sidang pembaca. Moga kecintaan kita kepada batang tubuh Nabi, sunnah Nabi serta perjuangan Nabi tidak bermusim malah sentiasa terpahat kukuh dalam gerak geri dan NIAT kita setiap masa. InshaAllah.


Penantian suatu penyiksaan !


Setiap penantian pastinya memerlukan kesabaran. Tidak kira apa jua penantian sekalipun. Hakikatnya sudah menerima surat lantikan dari SPP untuk menjadi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG 41 sedikit terasa lega. Ia menandakan temuduga yang telah dilalui pada bulan 12 tahun yang lepas sudah lulus dan ia juga menandakan selangkah kaki sudah berpijak dalam profesion perguruan. Hanya menantikan panggilan penempatan sahaja.
 

logo Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP)


Walaupun ia menguji kesabaran namun apabila memikirkan ramai lagi sahabat yang bukan graduan IPG yang berijazah pendidikan yang sudah bertahun-tahun bergraduasi , masih lagi ternanti-nanti bilakah boleh masuk ke dalam sistem perguruan ini masakan belum pernah dipanggil untuk ditemuduga lagi, lagikan dipanggil untuk ditempatkan ke mana-mana sekolah. Pada tahap ini, hanya ucapan syukur sahaja yang ku mampu titipkan buat Allah yang Maha Esa yang Maha pengatur setiap perjalanan hidup ku.


Momentum perlu diteruskan


Masuk ke dalam fasa tidak duduk di alam kampus pastinya saat dinantikan oleh sesiapa sahaja. Mana kan tidak, sudah bertungkus lumus mengharungi jerih pahit dilatih dalam sistem Bina Insan Guru (BIG) yang berfasa-fasa ditambah dengan keseluruhan berpraktikum di 3 buah sekolah yang berbeza mencecah masa 6 bulan serta yang paling getir menyiapkan serta membentangkan Kajian Tindakan di dalam bilik-bilik seminar yang penuh ‘keramat’. Semua itu merupakan beberapa juzuk perjalanan yang mesti ditempuh oleh setiap siswa Guru yang belajar di IPG sebelum boleh diijazahkan dengan segulung Ijazah Perguruan (dengan Kepujian).

Bagi saya secara peribadi, fasa ‘rehat’ seolah-olah tidak boleh terlalu lama dan diri dimanjakan dalam satu fasa zon selesa. Otak hanya ligat mencari-cari..


“ apakah yang boleh aku buat untuk dapatkan sedikit kewangan pada hari ini?” (maklumlah elaun dah takde, hi3)


“apakah yang boleh aku sumbangkan pada hari ini?”


“di manakah kuliah dan majlis ilmu yang boleh aku jejaki dan tagih pada hari ini?”




Soalan popular yang selalu bermain di minda ku. Mengapa ?? kerana aku mula tersedar pada tahun 2014 umur ku sudah menjejak kepada umur dewasa. Aku sudah 24 tahun. Terasa masa pantas berlalu tanpa ku sedari, namun diri ini seakan tidak berguna ! saya pasti ramai sahabat seperjuangan seumur dengan ku sudah melangkah jauh dalam bidang ilmu dan sangat kompeten dengan ilmu yang mereka pelajari untuk digunakan kepada diri serta disumbangkan kepada keluarga dan masyarakat.


Selangor Darul ‘Ehsan’


Sebenarnya sesiapa yang menetap di Negeri Selangor ini sangat beruntung. Mana tidaknya, hampir setiap hari, setiap malam dan setiap kawasan sarat dengan majlis ilmu yang tidak terhitung. Itu tidak kita bicara lagi keiltizaman penganjuran usrah-usrah yang pastinya menyajikan tarbiyyah dan pengisian jiwa buat hamba Allah yang mendambakannya. Namun masalahnya hanya pada kita. Nak pergi atau tidak ? rajin atau malas ? tepuk dada, Tanya iman saya, kamu dan kita !





Saya teringat kata-kata Dr Halimah Binti Ali yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, dalam satu ucapan beliau yang secara lantang menjelaskan Negeri Selangor sangat konsisten berpegang dan beramal dengan term ‘ehsan’ dalam erti kata sebenar seperti yang tertulis dalam ‘hadith Jibril’ yang diharapkan Selangor terus sentiasa berada pada landasan “Baldatun Toyibatun Warobun Ghofur” sebagaimana yang termaktub dalam ayat-ayat Allah dalam Surah Saba’ ayat ke-15. InshaAllah.





Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!


Masjid Putra dan ‘taman syurga’

Antara satu pusat ilmu yang boleh saya promosikan di sini (semoga dapat bekalan untuk akhirat, amiin) ialah di Masjid Putra, Putrajaya. Rasanya masjid ini sangat sinonim bagi semua rakyat di Negara ini yang beragama Islam kerana ia merupakan salah satu masjid yang menjadi pusat pelancongan bagi sesiapa yang menziarahi Putrajaya ini.


Ustaz Ikmal Zaidi b. Hashim


Buat makluman pembaca, setiap hari Rabu malam pada minggu pertama dan ketiga di Bilik Kuliah 2 pada aras LG Masjid Putra membuka kelas Tafsir Al-Quran kepada umum secara percuma. Apa yang menarik, setakat masa ini, kehadiran sangat menggalakkan terutama dari golongan veteran ‘pakcik’ dan ‘makcik’.


Buat masa ini kelas ini dipandu oleh Ustaz Ikmal Zaidi b. Hashim yang juga merupakan Pensyarah Jabatan Tahfiz dan Qiraat KUIS dengan berpandukan Kitab Shafwatut Tafasir karangan Syaikh Muhammad Ali Ash-Shabuni. Sangat menarik dan seronok belajar di sini.


Saya memetik kata-kata Ustaz semasa menaqalkan pandangan ulama tafsir mengenai ilmu Tafsir AQ ini  :



“Pentafsiran AQ adalah satu usaha untuk menerangkan apa yang Allah mahukan bagi setiap maksud bagi sesuatu ayat AQ dalam had dan lingkungan yang diboleh serta dibenarkan sahaja (sekadar kemampuan manusia)”





Manakan tidak, untuk menjadi seorang yang alim dalam ilmu tafsir memerlukan faqih dalam 12 cabang ilmu. Namun ustaz menyebut, pada zaman sekarang sangat sukar bagi seseorang ulama faqih dalam kesemua 12 cabang ilmu ini, jadi mahu tidak mahu sesuatu ayat AQ itu memerlukan 12 orang ulama yang faqih dalam bidang dan cabang ilmu masing-masing terlibat dalam perbincangan dan pengeluaran ijtihad bagi sesuatu maksud AQ.



Itu sekiranya mahu menjadi ulama, namun bagi kita orang awam ni, begitu banyak kitab tafsir yang ditulis oleh ramai ulama untuk kita baca. Namun perlu diingat sekadar membaca tanpa bertanya dan mendapat bimbingan guru yang mursyid dan dipercayai keilmuannya menyebabkan kita terjerat dalam kesesatan yang kita sendiri kadang-kadang tidak menyedarinya, na’uzubillah.


Bermuhasabah



Segala coretan ini hanya sekadar mahu mengingatkan diri saya sendiri dan mahukan sidang pembaca menjadi seorang Muslim lagi Mukmin yang betul-betul sejati lebih baik daripada diri saya yang sangat lemah ini seterusnya terus tolong mendoakan saya agar terus istiqamah. Sangat rugi sekiranya kita tersedar ketika umur kita sudah lanjut dan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk kita menagih mutiara ilmu Allah yang sangat luas.

 

Bagaimana mahu mencari duit dan bagaimana mahu memilih pasangan hidup, rasanya tidak perlu saya tulis dan bincangkan dalam laman ini kerana saya rasakan perkara ini sudah terlalu banyak ditulis dan diperbincangkan oleh masyarakat sekarang. Ia perkara nature yang manusia tagih dan cari.

 



Pada penulisan kali ini apa yang hendak saya nasihat dan tekankan buat diri saya sendiri dan sidang pembaca untuk kita sama-sama ubah mind set dan cuba memperuntukkan sedikit masa kita pada penggalian ilmu. Hakikatnya ilmu Allah sangat luas dan ianya tidak MATI setelah kita bergraduasi mahupun sudah mendapat gelaran Doktor Falsafah kelak !

 



Ramai yang berdoa mendambakan umurnya dipanjangkan dan hidupnya senang. Namun adakah kita dalam golongan yang memohon kepada Allah agar mendapat umur yang panjang tapi umur yang ada sentiassa dapat dimanfaatkan dan berguna untuk Islam? Adakah kita dalam golongan yang berdoa agar hidup senang, bahagia dan tenang tapi kebahagiaan dan kesenangan itu turut terlimpah kepada orang lain yang juga memerlukannya?

 

Tepuk dada, tanya IMAN saya, kamu dan kita. Selamat bermuhasabah

 



Muhamad Hazwan Bin Hamidan
22 Rabi' al-Awwal 1435 / 23 Jan 2014

Taman Kajang Utama

Khamis, 9 Januari 2014

Isteri dan anak sebagai ‘musuh’

Salam mahabbah buat sidang pembaca sekalian. Moga Allah sentiasa merahmati kita dan menempatkan kita dalam rahmatNya dunia hingga ke akhirat, amiin.

‘Kad wangi’ permulaan penghias kehidupan insan

Setiap fasa dan musim cuti sekolah pastinya kita akan menerima pelbagai jenis ‘kad wangi’ yang dalamnya tertulis jemputan menghadiri walimah atau majlis perkahwinan yang pastinya sebuah perkahwinan merupakan satu saat yang diidamkan oleh semua manusia yang normal tidak kira berjantina lelaki mahupun wanita. Hal ini kerana kehendak hidup berpasangan merupakan salah satu fitrah yang Allah titipkan dalam jiwa anak-anak Adam.


Hati pastinya rasa bahagia dengan kehadiran isteri mahupun anak-anak dalam kehidupan merupakan satu rasa yang fitrah. Apabila seseorang lelaki melangsungkan perkahwinan, terasa berbunganya hati dengan kehadiran seorang wanita yang dipanggil isteri. Dicintainya dan disayanginya sepenuh hati. Apabila sudah beristeri semestinya diri menginginkan kehadiran anak-anak dalam kehidupan berumahtangga. Dijaganya isteri yang mengandung 9 bulan. Lahirnya seorang anak disambut dengan penuh kegembiraan dan kebanggaan. Anak ditatang bagaikan minyak yang penuh. Disayangi dan dikasihi sepenuh jiwa dan raga. Inilah fitrah seorang manusia. Firman Allah SWT: 

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), 
pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

(Ali-‘Imran:14)



Allah mengingatkan lelaki !




"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampunkan (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

(At-Taghabun:14)


Namun, Al-Quran mengingatkan manusia, terdapat sebahagian (bukan keseluruhan) kaum isteri dan anak-anak yang boleh menjadi musuh dalam kehidupan.  Dalam siri ceramah di surau dan masjid mahupun di bilik-bilik kuliah di pusat pengajian saya, saya kerap diperingatkan mengenai beberapa golongan musuh dan golongan yang berpotensi menjadi musuh yang pastinya akan menghalang dan menjerat lelaki atau para suami  yang kehidupannya hendak dipasakkan dalam perjuangan Islam dan amalan soleh. Kesemua peringatan ini dibuktikan dengan pelbagai kisah dalam sejarah mahupun sirah para nabi dan orang soleh yang pernah berlaku.



Sebab penurunan ayat 14 Surah at-Taghabun

Menurut satu riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Ibnu Jarir daripada 'Ata Ibn Yasar, dia berkata: Surah At-Taghabun telah diturunkan keseluruhannya di Makkah kecuali ayat 14 dan ayat-ayat berikutnya diturunkan di Madinah. Ayat 14 dalam surah ini diturunkan berkenaan kejadian yang berlaku kepada 'Auf Ibn Malik al-'Ashja'i. Beliau mempunyai seorang isteri dan seorang anak. Ketika 'Auf hendak pergi berperang di jalan Allah, isteri dan anaknya menangis dan menahannya supaya tidak pergi sambil mereka berkata, "Kepada siapa kami akan kamu tinggalkan?" 'Auf berasa simpati dengan mereka dan tidak jadi pergi. Maka turunlah ayat 14 dalam surah ini menceritakan peristiwa berkenaan.

Selain itu dalam riwayat lain yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi dan Imam al-Hakim daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Ayat yang berbunyi: "Sesungguhnya antara isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh bagimu, oleh itu berhati-hatilah kamu",  diturunkan berkenaan satu kaum daripada penduduk Makkah yang telah memeluk agama Islam, tetapi isteri-isteri dan anak-anak mereka tidak mahu berhijrah ke Madinah tempat Rasulullah SAW berada. Apabila sampai di Madinah dan melihat masyarakat yang telah faham Islam, maka timbullah keinginan untuk menghukum isteri-isteri dan anak-anak mereka tetapi Allah menurunkan ayat yang berbunyi: "dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi mereka serta mengampunkan (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Meskipun dua riwayat di atas  berlainan antara satu sama lain, ia memberikan suatu gambaran latar belakang ayat yang diturunkan. Kedua-duanya menyentuh masalah lelaki yang bergelar ayah atau suami yang berdepan dengan kerenah isteri dan anak yang menghalang dan melambatkannya keluar di jalan Allah.  Kedua-dua riwayat itu juga memperlihatkan si ayah atau suami sebagai orang yang paling bertanggungjawab dalam rumah tangga memiliki kafa'ah dan keupayaan yang lebih daripada isteri dan anak-anak sama ada dari sudut ilmu, amal, iltizam, jihad dan lain-lain.



Hakikat siapakah ‘musuh’ ?

Dalam ayat di atas Allah SWT menyatakan bahawa, "ada antara isteri-isterimu dan anak-anakmu yang menjadi musuh bagimu". Menurut Ibnu Kathir pengertian musuh di sini adalah "sesuatu yang melalaikan daripada mengerjakan amal soleh" seperti firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 9 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman janganlah harta-harta dan anak-anakmu melalaikan 
kamu daripada memperingati Allah. Barangsiapa berbuat demikian maka mereka
 itulah orang-orang yang rugi."


Daripada pendapat Ibnu Kathir ini dapatlah diambil pengertian umum bahawa apa sahaja yang boleh melalaikan kita dari mengingati Allah, beramal saleh dan mentaati perintah Allah adalah musuh kita.

Dalam hal ini musuh kita yang paling utama adalah syaitan kerana ia sentiasa menyuruh kita untuk mengingkari Allah SWT dan perintah-Nya. Usaha dan pergerakan syaitan dalam menewaskan diri dan keimanan kita kadangkala dengan membisikkan idea dan pemikiran yang berlawanan dengan kehendak Allah. Tetapi dalam banyak hal, syaitan menewaskan manusia melalui berbagai wasilah seperti isteri, anak-anak, harta, kedudukan, pangkat dan lain-lain.




Apabila kita tidak berhati-hati dan berwaspada, wasilah-wasilah ini yang sepatutnya membantu ke arah mencapai ghoyah (matlamat) kita iaitu keredhaan Allah SWT, telah ditunggangi dan diperalat oleh syaitan. Akibatnya, tanpa disedari kita meninggalkan matlamat kita sama sekali. Ingatlah firman Allah ketika Dia mengusir Iblis dari syurga dan memberikan kesempatan kepadanya (iblis) untuk menyesatkan manusia dengan segala wasilah yang ada padanya.



‘Musuh’ yang sudah pernah beraksi

Kisah mengenai ‘musuh’ ini hakikatnya sangat banyak yang antaranya terkena kepada batang tubuh Nabi Luth apabila isteri dan anak-anaknya turut bersama-sama dengan rakyat Sadom untuk turut ingkar untuk beriman kepada agama yang dibawanya.


Bukan itu sahaja, satu kisah yang mungkin jarang didengari namun ia juga merupakan sebuah kisah yang menceritakan isteri menjadi 'musuh' pada perjuangan seorang suami yang juga menjadi salah satu sebab turunnya Surah al-Qadr.


Dalam satu hadith, ada dinyatakan suatu ketika Rasulullah menceritakan dari Jibril kepada para sahabat mengenai seorang yang sangat soleh menghabiskan masa berjihad selama hampir 1000 bulan, iaitu pemuda bani Israel bernama Syarm’un al-Ghazi.




Hanya bersenjatakan kulit unta, Syarm’un dengan mudah menewaskan musuh. Bila haus ketika berjuang Allah terbitkan air yang segar di celah-celah giginya dan ketika lapar Allah tumbuhkan tumbuhan sekelilingnya.


Puak kafir sangat memusuhinya dan akhirnya memperalatkan isterinya dengan tawaran rasuah yang tinggi. Ketika Syarm’un sedang tidur, isterinya mengikat dengan seutas rantai besi namun sebanyak dua kali gagal. Pahlawan Islam ini mempunyai kekuatan luarbiasa hingga dapat memutuskan rantai tersebut dengan mudah malah cubaan ketiga juga gagal.


Akhirnya Syarm’un dedahkan rahsia kekuatannya kepada isterinya yang disangka tiada apa-apa. “Tiada sesiapa dapat memudaratkan diriku kecuali dengan izin Allah dan tiada siapa dapat mengalahkan aku kecuali dengan sehelai rambutku!”


Dedahan ini memerangkap dirinya. Beliau tidak dapat melepaskan diri apabila diikat dengan sehelai rambutnya. Kesempatan ini diambil oleh musuhnya menyeksanya sebelum dibunuh. Pelbagai seksaan dilakukan pada pemuda ini, matanya dikorek, telinganya dipotong dan tubuhnya diikat pada sebatang tiang rumah ditikam-tikam dengan senjata tajam.


Allah mengilhamkan Syarm’un supaya memohon perlindungan dari-Nya. Lalu pemuda itu memohon agar dapat menggoyangkan tiang supaya dapat merobohkan rumah dan menimpa musuh yang hendak membunuhnya. Doa Syarm’un dimakbulkan apabila dia dapat kekuatan yang luar biasa hingga dapat menggoyangkan tiang yang teguh itu dan membunuh musuh-musuhnya termasuk isterinya ditimpa runtuhan.


Dengan kuasa Allah SWT, tubuh Syarm’un yang cedera juga turut pulih serta-merta. Syarm’um kemudiannya berpuasa selama hampir 1,000 bulan lagi sebagai tanda berterima kasih atas pertolongan Allah yang menyelamatkan nyawanya.


Perjuangan Syarm’un dan kekuatan imannya sungguh luar biasa begitu mengharukan Rasulullah dan para sahabat berdukacita kerana tidak dapat mencapai ganjaran seperti itu. Mereka bertanya akan ganjaran yang diberikan Allah kepada pemuda itu. Baginda menjawab tidak tahu, lalu Allah menurunkan Surah Al-Qadr.




Bermuhasabah

Apa yang hendak penulis sampaikan di sini bukanlah cuba menggambarkan bahawa golongan wanita khususnya yang bergelar isteri dan amnya anak-anak sebagai musuh yang sangat bahaya yang perlu dijauhi. Hakikatnya golongan lelaki juga turut tergolong dalam golongan ‘musuh’ ini apabila menepati ciri-ciri yang ada.




Namun, sengaja penulis membuat coretan perihal isu ini agar kaum lelaki khususnya yang bakal mendirikan rumah tangga mahupun yang sudah lama mendirikan rumah tangga supaya sentiasa bermuhasabah adakah isteri dan anak-anak yang ada itu menjadi liabiliti dan penghalang kepadanya ataupun kehadiran dua golongan ini semakin merancakkannya mendekatkan diri kepada Allah serta membantu gerak kerja Islam ?

Tanyalah kepada diri kita sendiri. Hakikatnya sebuah Baitul Muslim yang didirikan bukanlah semata-mata bertujuan sekadar mahu melepaskan tuntutan hawa nafsu insani. Sekiranya itu sahaja lah niat yang ada seolah-olah ianya sama sebagaimana mahkluk berkaki empat ‘berkahwin’ ?



Berubah atau terus menanti rebah

Menjadi KETUA KELUARGA bukanlah satu tugas dan jawatan yang mudah. Hakikatnya membaca dan memahami ayat ini sudah cukup menggerunkan kaum lelaki.



“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya
kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"

(Tahrim:6)





Kesimpulannya ‘musuh’ ini perlu diawasi dan bukan diperangi. Diawasi agar tidak menghalang dalam beramal soleh. Tetapi jangan pula diawasi dengan bersifat terlalu keras terhadap mereka. Bimbinglah mereka dengan 3 perkara: maafkanlah mereka (ta’fuw), berlapang dada dengan mereka (tasfahu) dan mohonlah keampunan bagi mereka (taghfiru).  Justeru kita dianjurkan berdoa : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata:

"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan
bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

(Al-Furqan:74)

Imam Ibn Kathir menafsirkan kalimah qurrata a’yun” iaitu yang mentaati perintah Allah. Isteri dan anak-anak yang mentaati Allah SWT. Persoalannya sekarang berapa ramai KETUA KELUARGA masa sekarang yang begitu prihatin dengan ‘level’ ketaatan ahli keluarganya kepada Allah Ta’ala?

Renungkan dan selamat beramal !



Hazwan Hamidan
6 Rabi' al-Awwal 1435 / 8 Jan 2014
Taman Kajang Utama




Isnin, 6 Januari 2014

Syiah dan Saddam


Salam tahun baru Masihi. Moga bukan sahaja keazaman dan perubahan NIAT hanya dipasakkan sempena tahun baru, namun ianya perlu sentiasa ‘diupdate’ dan ‘diupgrade’ setiap masa dan saat supaya kita sentiasa menyahut seruan Baginda Nabi.




Imbasan

Sidang pembaca sekalian, tahun 2014 menjelang tiba dengan satu perubahan landskap politik serta isu masyarakat yang pelbagai seperti mana yang didedahkan di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Apa yang perlu kita bersedia sebagai seorang rakyat marhaen dan ‘biasa2’ ni akan segala kemungkinan perubahan yang mengekang dan tidak menstabilkan terutama dari sudut ekonomi dan kehidupan.


Dari sudut hubungan kita kepada Allah, segala kekangan ini bukanlah hujah untuk kita mengurangkan malah terus-menerus menjadi ‘musuh’ kepada Allah dengan meninggalkan segala perintah yang wajib disamping menambah amalan dengan segala perkara sunat yang pastinya menjadi ‘backup’ kita di akhirat kelak, inshaAllah.



"...Demi sesungguhnya Allah s.w.t. tidak pernah jemu sehinggalah kamu merasa jemu. Dan agama yang paling disukai Allah ialah apa yang dilakukan seseorang secara berterusan." 

[HR al-Bukhari, Kitab al-Iman]


Syiah VS sebuah ‘travelog’

Allah memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk bersama-sama dengan pencinta ilmu yang lain di dalam rumahNya mendengar sedikit perkongsian pengalaman serta pencerahan terutama mengenai isu Syiah dari seorang penulis yang bagi saya tidak asing lagi di negara kita terutamanya bagi penduduk di Besut, Terengganu. Penulis tersebut tidak lain dan tidak bukan Dr. Azman bin Ibrahim.




Penulis membukukan kesemua pengalaman beliau terutamanya pengalaman bersama penganut Syiah semasa beliau belajar di Universiti Baghdad ketika mengambil jurusan perubatan di sana suatu ketika dahulu. Justeru setiap kalam beliau tidak lain sebuah kalam yang menjejak ke hati dan bukan sebuah rekaan jauh sekali dongengan yang dibuat-buat. Beliau cuba mendedahkan hakikat sebuah perjalanan dan amalan Syiah yang sebenarnya dan bukan hanya kita perlu percaya degan omongan kosong penganut Syiah ‘jadi-jadian’.


Bersama penulis dalam jangka masa yang terhad tidak melekakan saya menulis setiap point penting dalam setiap isi ceramah beliau. Saya akan kongsikan dalam ruangan kecil ini untuk tatapan bersama. Moga ia memberikan manfaat kepada kita semua, amiin.


Isi penting


  1. Syiah yang ada di Negara kita ini tidak lain hanyalah sebagai penganut Syiah ‘jadi-jadian’. Sekiranya Syiah ini benar maka saya lah (penulis) akan terlebih dahulu menganutnya.
  2. Penganut Syiah WAJIB sujud pada benda tabi’i seperti daun, batu atau tanah ketika mereka hendak melaksanakan solat. Kebiasaannya mereka memiliki dan menggunakan batu yang telah dikhaskan.
  3. Kita boleh mengkaji dan akan perasan lafaz syahadah mereka semestinya akan ditambah dengan nama Saidina Ali.
  4.  Begitu juga ketika azan dan iqamah, turut akan ditambah dengan nama Saidina Ali.
  5. ‘Trend’  orang Syiah akan suka merosakkan figure utama sahabat seperti Saidina Abu Bakar, saidina Umar dan Saidina Uthman dengan pelbagai fitnah yang tidak berasas yang sumber fitnah itu akan disabitkan dengan syeikh dan Imam mereka walhal Imam yang disebutkan itu tidak pernah berkata sedemikian (kajilah!)
  6. Ada ulama menyebut Aqidah Syiah didirikan hasil DENDAM yang tidak berkesudahan.
  7. Kita boleh meneliti sejarah ntara punca kejatuhan kerajaan Abbasiyah kesan daripada serangan tentera Monggol adalah disebabkan pembelotan dan pengkhianat seorang Syiah yang telah mendedahkan rahsia kerajaan dengan bersekongkol dengan kerajaan Monggol sehingga berakhirnya episod kerajaan Islam Abbasiyah yang sangat mendukacitakan dalam sejarah Islam dan dunia.
  8. Jangan terkejut sekiranya kta mendengar kubur atau maqam Saidina Hussin terdapat di 3 tempat atau Negara ; iaitu di Karbala (Iran), Mesir dan Turki. Namun menurut sumber yang kuat hanya 2 tempat yang benar iaitu di Karbala (jasad) dan Mesir (kepala).
  9. Pengalaman penulis yang sempat duduk di bawah pemerintahan Saddam dan hasil penceritaan orang lama di sana, walaupun Saddam ni seorang yang kejam namun sedikit bijak dalam mengatur pemerintahannya kerana dalam pemerintahan beliau dia tidak akan meletakkan orang Syiah pada posisi penting seperti dalam soal pertahanan Negara kerana sejarah yang telah berlaku seperti semasa perang Iraq-Iran dan sejarah2 silam yang lepas menyaksikan orang Syiah sikap mereka sangat tipis dan nipis cinta dan sanggup berjuang untuk pertahankan Negara.


Saranan dan harapan

Setiap isi penting yang sempat saya catat hakikatnya masih terlalu sedikit berbanding dengan perkongsian penulis yang sangat banyak yang tidak mahu saya kongsikan semuanya di sini. Saya berharap sidang pembaca yang membaca perkongsian saya ini membeli buku beliau dan cuba untuk menghadiri setiap majlis bedah buku yang dianjurkan oleh mana-mana pihak supaya dapat secara lansung mengambil pengalaman beliau secara lebih dekat dan secara lansung. Apa yang paling penting banyak ciri2 orang Syiah dan bagaimana kegiatan mereka mendoktrin masyarakat supaya menganut aliran mereka turut didedahkan oleh penulis. Terus membaca dan dapatkan pencerahan melalui fb beliau DrAzman Ibrahim.

Hakikatnya isu Syiah ini bukanlah isu mainan dan Syiah hakikatnya bukanlah sebuah pecahan Mazhab Fiqh yang ada dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), namun ia merupakan isu melibatkan Aqidah yang terang bercanggah dan berlawanan dengan pengangan serta prinsip ASWJ. Kata-kata dan pandangan manusia semuanya boleh ditolak melainkan kalam Baginda Nabi Muhammad SAW, maka setiap apa yang kita dengar, baca dan lihat perlu diteliti dan diperbincangkan. Moga ianya tidak menjadi penyebab yang membawa kesesatan kepada kita.

InshaAllah, amiin.


Hazwan Hamidan
4 Rabi' al-Awwal 1435 / 6 Jan 2014
Taman Kajang Utama