Rabu, 19 Oktober 2011

Hati-hatilah Dengan ‘Gunting'

Oleh : Muhamad Hazwan Bin Hamidan

Lipatan sirah mengajar kita ‘1001’ pengajaran dan penilitian dari setiap peristiwa, kisah , tragedi serta ikutan yang semuanya melibatkan perjalanan kehidupan Baginda Rasulullah , keluarganya dan para sahabat menelusuri sebuah kehidupan yang sentiasa berhadapan dengan mehnah dan tribulasi. Hal ini secara jelas terus-menerus mematangkan pemikiran dan tindakan dalam setiap gerak kerja Baginda dan para sahabat disamping panduan dan tunjuk ajar wahyu Allah.

Hakikat Sebilah ‘Gunting’

Tak kan dapat dipotong dengan sempurna sehelai kertas kiranya tiada sebilah gunting. Ia diertikan sebagai satu alat untuk memotong yang terdiri daripada dua bilah logam yang dirangkapkan. Sangat berguna dan bermanfaat fungsi sebilah gunting. Makin tajam, makin berguna untuk kita. Manakan tidak, semua kerja memotong dapat kita selesaikan dengan mudah dan lancar.

Inilah hakikat sebilah gunting, sentiasa memberikan manfaat kiranya digunakan untuk tujuan yang baik. Sesuatu ciptaan dan rekaan itu pastinya mempunyai manfaatnya sendiri. Hanya bergantung kepada kita selaku pengguna dalam memanfaatkannya.

Namun, tak kan sama semua jenis gunting. Adanya ‘gunting’ yang terus-menerus memberikan bahaya dalam diam yang dapat merosakkan sesuatu yang di’gunting’. Sangat pelik kiranya seseorang yang pernah dididik dalam alam persekolahan , tidak pernah mendengar peribahasa ‘bagai gunting dalam lipatan’.

Rasanya tidak perlu untuk saya menerangkan secara terperinci maksud sebenar peribahasa ini. Hakikatnya, ia sudah tersedia maklum maksudnya. ‘Api dalam sekam ‘,’ Musuh dalam selimut’ selalunya disinonimkan dengan peribahasa ini.

Secara jelas saya melihat ‘gunting’ ini sangat-sangat merbahaya terutamanya melibatkan ukhuwwah dan sesuatu organisasi. Ia menyerang dalam diam dan selalunya tak kan dapat disedari melainkan orang-orang yang diizinkan oleh Allah dengan ketajaman fikiran untuk mengenali dan menyedari serangan ini.

Nilai Sebuah Persahabatan

Hidup berseorangan tanpa teman memang memeritkan. Bayangkan hidup bersendirian tanpa perbualan, dan mengharungi semua onak duri tanpa sahabat. Sahabat adalah individu yang sebenarnya paling hampir dengan kita selain daripada keluarga. Malah dalam Islam, kita diwajibkan menghormati sahabat-sahabat kita baik yang muslim atau yang bukan muslim.

Malangnya, bukan semua manusia yang dianggap sahabat itu akan berterusan menjadi sahabat dalam hidup kita. Kadang-kala permasalahan dan konflik yang timbul antara kita dan sahabat akan merenggangkan sebuah ikatan persahabatan itu.

Seseorang sahabat akan menjadi lawan sekiranya sikap-sikap negatif dan penyakit hati dalam diri tidak dibendung. Sifat-sifat seperti dendam, cemburu, sombong dan angkuh menjadikan seorang sahabat itu bertukar menjadi seorang yang berlainan dan akhirnya menjadi lawan.

Hakikatnya tidak dapat dinafikan dalam banyak-banyak sahabat, ada juga yang betul-betul ikhlas. Kemungkinan bilangannya hanya segelintir, namun ia turut bergantung atas diri kita untuk memilih dan menjadi sahabat yang benar-benar ikhlas.

Justeru, sebuah ikatan persahabatan atau ukhuwwah yang kukuh sangat mudah untuk diruntuhkan HANYA dengan sebilah ‘gunting’. Organisasi yang mantap dan bergerak lancar, akan perlahan-lahan hilang keizzahannya HANYA dengan sebilah ‘gunting’. Seorang sahabat yang hakikatnya seorang yang baik, dirosakkan kethiqahannya HANYA dengan fitnah dan persepsi buruk kesan dari sebilah ‘gunting’. Apa yang menyedihkan kepimpinan yang unggul bagi seorang pemimpin dan ketua mengurus organisasi, dihilangkan kepercayaan akibat diPOTONG dengan sebilah ‘gunting’.

Firman Allah S.W.T :


“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Zukhruf, ayat 67)

‘Gunting’ Yang Baik Membina Keunggulan Islam

Secara peribadi saya amat terkesan apabila membaca penulisan seorang tokoh ulama’ yang amat disegani terutamanya dalam masyarakat Kelantan. Siapa tak kenal kepada Menteri Besar Kelantan yang juga merupakan murabbi bagi rakyat Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sebuah hasil penulisan beliau yang diberikan judul ‘Muhammad S.A.W, Insan Teladan Sepanjang Zaman’ . sebuah kitab Sirah yang sarat bukan sahaja dengan fakta sirah, malah disuntik dengan fiqh sirah iaitu kefahaman dalam memahami dan menghayati peristiwa dalam sirah.

Ketika membaca dan meneliti kisah perang Ahzab atau biasa disebut sebagai perang Khandak , Pakatan Ahzab yang terdiri daripada musyrikin Quraisy Mekah, Yahudi Bani Quraizah dan orang-orang Arab Ghatfan di Madinah, serta beberapa kabilah Arab yang lain, semuanya berpakat menyerang Madinah demi merobohkan kepimpinan Negara Islam di bawah pimpinan Rasulullah.

Hakikatnya, Pakatan Ahzab gagal memerangi peperangan ini disebabkan dua faktor utama iaitu keluasan khandak (parit) yang telah dibina oleh kaum muslimin hasil cetusan idea Salman al-Farisi, telah membantutkan kemaraan mereka untuk menembusi kota Madinah.

Faktor kedua ialah penglibatan seorang kaum musyrikin Madinah bernama Nu;iem bin Mas’uud daripada keturunan Asyja’ie. Dengan takdir Allah, Nu’eim telah menemui Rasulullah dan dengan rela hati memeluk Islam. Bukan itu sahaja, beliau menawarkan diri kepada baginda, bersedia menerima sebarang tugas dan arahan demi dapat menewaskan kemaraan Pakatan al-Ahzab.

Nu’eim ditugaskan supaya melaksanakan perang psikologi di kalangan musuh, iaitu merancang adu domba di kalangan pelbagai kelompok musuh. Hal ini supaya tercetus rasa saling curiga-mencurigai yang dapat melemahkan semangat mereka, hingga akhirnya menyebabkan Pakatan al-Ahzab menjadi lemah.

Peranan beliau melaga-lagakan kaum-kaum yang bergabung dalam Pakatan al-Ahzab menyebabkan mereka saling mencurigai antara satu sama lain dan hilang kepercayaan sesama mereka. Akibatnya pakatan mereka hancur setelah mereka saling tuduh-menuduh antara satu sama lain. Apa yang dilakukan oleh Nu’eim itu adalah suatu strategi menghancurkan musuh dari dalam. Inilah ‘gunting’ yang baik,membawa kemenangan kepada Islam.

Berwaspada

Musuh itu pastinya ada dan menyerang kita daripada segenap sudut. Ia terus-menerus melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan syaitan,nafsu, serta manusia yang bertopengkan iblis. Boleh jadi kita diserang musuh atau kitalah musuh itu.

Hakikatnya dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.

" Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut? "

Cabaran itu akan sentiasa hadir. Dan itulah gunanya kita, manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir. Namun harus diingat, kata Hamka, hujung akal adalah pangkal agama. Akal ini ada hadnya. (^_^)

Isnin, 3 Oktober 2011

Belajarlah untuk bersyukur..

Salam mahabbah buat sahabat pembaca semua. Moga sentiasa dirahmati Allah..amin

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana saya dapat menamatkan Bina Insan Guru (BIG) Anak Angkat bagi semester 4. Program 3 hari 2 malam di kampung keluarga angkat secara peribadinya amat-amat bernilai dan sangat-sangat berharga buat saya.

Dapat merasai seketika hidup bersama keluarga angkat yang berstatus amat-amat sederhana membuatkan diri ini sentiasa bermuhasabah setiap detik tika bersama mereka. Keluarga yang berlatar belakang kan hidup sebagai nelayan membuatkan mereka begitu menghargai setiap ‘sen’ daripada rezeki yang diperoleh.

Mak bukan sahaja menjadi suri rumah tetap, malah tugas dan kemahiran lain dapat juga dilaksanakan olehnya. Jika tiada kesibukan di rumah, mak akan berniaga. Selalunya mak akan berniaga hanya di gerai yang dibina di depan rumah. Tapi sekarang sudah berpindah berhampiran dengan kawasan pantai. Pisang dan keropok goreng menjadi menu utama yang mak niagakan. Memang sedap masakan mak..tapi tak kan sesekali dapat mengalahkan masakan ibu kandung sendiri. Ibu selamanya ibu wan..(^_^)

Cerita tentang ayah pula, ayah seorang nelayan. Tapi sekarang ayah sudah jarang turun ke laut. Ayah banyak buat kerja-kerja ‘kontrak’, buat bangunan. Masa mula-mula bertemu ayah, ‘Nampak macam garang ..’ kata adik beradik angkat se-IPG dengan saya..he3. Memang ayah tak macam mak, mak memang suka tersenyum. Ayah Nampak macam garang, tapi peramah dan ceria orangnya. Kalau dalam sehari tak sakat mak memang tak sah.. itulah gelagat ayah. Tika bersama ayah di sini , tak kan hilang ingatan kepada ayah kandung yang tersayang di rumah. (^_^)

Sebuah keluarga yang memang bukan orang berada. Buka juga keluarga yang sangat miskin. Ayah pernah kata, ‘hidup keluarga nelayan ni memang terus terang ayah tak de duit, tapi ayah hidup senang..,setiap hari ayah makan kat kedai’. Fenomena masyarakat nelayan, tika berkelapangan mereka selalu bersama rakan-rakan duduk di kedai makan. Bersama-sama bertukar-tukar cerita walaupun hanya minum segelas air sebagai penghilang dahaga.

Memang mak dan ayah takde duit. Itulah hakikat yang saya terima. Tapi mereka gembira dengan kehidupan mereka. Apa yang ada dihargai dan digunakan sebaik mungkin. Teringat perbualan mak ketika dihubungi anak kandungnya di suatu petang, ‘ mak lebih sayangkan anak daripada harta..’

Ye..memang mak sangat-sangat sayangkan anak-anaknya. Dalam hidup yang serba ringkas, dia masih mampu dan cuba memberikan yang terbaik untuk saya dan sahabat-sahabat saya. Memang mak tak mampu nak berikan saya duit. Tapi juadah yang dimasak,layanannya serta keprihatinannya sangat-sangat dapat melambangkan kasih sayangnya.


“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.”(an-Nahl:78)

Erti Sebuah Kesyukuran

Apa yang ada pada keluarga-keluarga di zaman kini sudah pasti memang tidak ada pada ayah dan mak. Astro ? tv besar ? kereta mewah ? motor canggih ? hm..ade, cume sebuah motor buruk yang setakat ni mampu berjalan. Rumah dan bilik besar ? sebuah rumah kecil hanya mempunyai 2 bilik tidur kecil. Namun, mungkin jarang apa yang ada pada mereka ada pada orang lain. Itulah erti bersyukur..

Hakikat sebuah kebahagiaan bukanlah datangnya daripada wang. Kasih sayang tak mampu dibeli dengan kemewahan. Erti kesyukuran selama-lamanya tak akan dapat dirasai tanpa sifat ‘merasa cukup dengan apa yang ada..’. itulah sifat qanaah.

Kehidupan saya hidup di Bandar sememangnya mendedahkan saya erti kesenangan dan kemewahan. Melihat gelagat masyarakat Bandar yang mempunyai pelbagai ragam. Ada yang sudah leka dengan kesenangannya sehingga menjadikan kemewahan itu ‘Tuhan’ mereka. Tak terkecuali ada juga yang berterusan istiqamah dengan peribadi generasi Islam. Semakin meningkat kaya, makin bertambah ketakwaan dan kebaikan yang dilakukan.Inilah golongan yang terbaik.Hakikatnya, itulah ragam makhluk yang bernama manusia.

Kisah Firaun Dan Pengikutnya

Firaun adalah seorang raja yang telah diberikan keistimewaan oleh Allah dengan tidak pernah jatuh sakit sepanjang hidupnya. Di samping itu juga, dia diberikan sebuah kerajaan yang sagat besar dan kuat iaitu kerajaan Mesir ketika itu.

Tetapi malangnya, Firaun menjadi sombong dan lupa diri.

Oleh kerana keistimewaanya itu, dia merasakan dirinya adalah Tuhan yang patut disembah .Dia menyuruh seluruh rakyatnya menyembah dirinya.

Sehinggakan Allah mengutuskan Nabi Musa untuk menjadi petunjuk ke atas rakyat yang telah dizalimi tadi.

Allah juga memberi balasan yang setimpal ke atas perbuatan angkuh Firaun itu dengan menenggelamkan dia di Laut Merah sewaktu cuba membunuh Nabi Musa.

Begitu juga yang terjadi ke atas Haman; perdana menteri yang dilantik ketika pemerintahan Firaun.

Dia banyak menghabiskan duit rakyat dan sentiasa mengampu Firaun dengan kata-kata manis untuk mengekalkan kedudukannya selaku perdana menteri; orang yang kedua tertinggi dalam kerajaan Firaun laknatullah.

Kisah Raja Namrud

Raja Namrud juga salah satu contoh manusia yang tidak bersyukur atas pemberian Ilahi, bukan sahaja bersifat angkuh tetapi dia mahu membakarnya hidup-hidup Nabi Ibrahim yang diutuskan oleh Allah ke atas kaum mereka.

Namun dengan sifat kasih sayang Allah, api yang sepatutnya bersifat panas dan membakar menjadi dingin dan selamat untuk Nabi Ibrahim dan Namrud pula akhirnya dimusnahkan dengan dihantar seekor nyamuk yang masuk ke dalam kepalanya untuk memakan otaknya.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras” [Ibrahim: 7]

Kerana manusia itu mudah lupa, lalai dan leka dengan nikmat Allah yang terlalu banyak sehinggakan kadang-kadang terlupa untuk berterima kasih kepada Allah. Walhal hanya dengan cara beribadah serta mentaati dan meninggalkan segala arahan dan perintahNya.

Kadang-kadang kita terlalu banyak merungut, tetapi kita tidak sedar, kita tak tanamkan dalam diri bahawa Allah itu Maha Mengetahui. Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.. Kadang-kadang kita tidak sedar, Allah hanya meminjamkan kekayaan Dia kepada kita, tetapi kita? Dengan kekayaan itulah kita gunakan untuk menentang Tuhan Yang menciptakan alam ini.. Na'uzubillah..

Sahabat-sahabat sekalian, marilah kita muhasabah diri masing-masing..moga pemulisan ini membuahkan muhasabah buat diri saya dan sidang pembaca sekalian..amin