Isnin, 31 Januari 2011

Mengapa Suka Memberikan Alasan?


Salam ukhuwah buat semua pembaca. Terasa terlalu lama tidak mencakna blog ini. Walau apa pun ALASAN tinta dakwah ini perlu terus disuburkan.


ALASAN…

Alasan sudah sinonim dalam masyarakat kita. 1001 alasan sentiasa diutamakan dalam setiap proses kehidupan. Orang yang suka mencari alas an bukanlah seorang yang terbaik untuk digolongkan dalam golongan orang-orang yang berjaya.


‘ana tak mampu syeikh..’

‘bagi orang lain dulula,ana tak layak..’

‘eh..ni bukan bidang ana,ana tak boleh!’


Walau berjuta-juta alasan yang kita cuba beri, ia sudah terang-terang memberikan gambaran sebenar tentang diri kita. Tidak perlu menjadikan ‘rendah diri’ sebagai lesen untuk memberi berjuta-juta alasan. Belajarlah falsafah rendah diri yang sebenarnya. Janganlah kita menjadi fitnah kepada ISLAM atas alasan rendah diri kita itu.


saya teringat kata-kata cerdik pandai:

‘orang yang bijak adalah orang yang kurang memberi alasan dan berusaha menyelesaikan segala masalah..’





Justeru, kita di tahap mana? sengaja saya menulis isu ini supaya saya dan sahabat-sahabat dapat sentiasa bermuhasabah. Masyarakat ISLAM semakin ditindas dan tertindas. Sekiranya kita terus bersikap sebegini, keizzahan dan kemajuan ISLAM akan terbantut atas sikap buruk kita ini. Sudahla bersikap sebegini, ISLAM pula yang menjadi alasan mem’backup’ diri..na’uzubillah..


Wahai sahabatku sekalian, sama-samalah kita hayati firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 148 :


“Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam membuat) kebaikan. di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah:148)


Justeru , semangat untuk berlumba-lumba mengerjakan kebaikan adalah di antara perkara yang perlu dicambahkan di dalam jiwa setiap muslim yang beriman kepada Allah kerana dengan cara demikian sahaja manusia boleh mendekatkan diri kepada Allah .


Selain daripada itu semangat berlumba-lumba juga merupakan suatu tujuan yang paling mulia dan paling utama. Di samping itu juga kita bertanggungjawab pula agar berusaha untuk menghilangkan atau mengurangkan amalan-amalan hina yang membawa kepada dosa dan murka Allah.. (^_^)

Sabtu, 8 Januari 2011

Suburkanlah Hatimu…


Assalamualaikum dan salam perjuangan buat semua sahabat dan pembaca budiman sekalian. Salam Maal Hijrah. Moga tahun baru ini menjadi 1 momentum pengubah kepada kita untuk menjadi terbaik daripada kalangan yang baik. Ia sesuai dengan firman Allah:




“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,” (Surah al-Mulk:2)


Siapakah dikalangan kita yang lebih baik amalannya?? Islam secara jelas mendidik kita supaya berlumba-lumba dalam menuntut ilmu serta beramal dengan ilmu yang ada. Amat rugi dan sesat apabila amal yang banyak dilaksanakan namun ianya tidak didasari dengan sokongan ilmu. Begitu juga dengan ilmu setinggi gunung, namun ianya ibarat pohon yang tidak berbuah, na’uzubillah..Semoga kita dijauhkan daripada tergolong dalam golongan ini,amin




Hati Perlu Disuburkan


Ya..,hati sememangnya PERLU disuburkan. Hati ini diibaratkan sehelai kain putih, sekiranya kain putih ini tidak dijaga atau sentiasa dibasuh, maka kekotoran akan sentiasa hinggap kepadanya. ‘Basuhan’ inilah yang kita namakan sebagai tarbiyah. Hati ini hidup dan semestinya memerlukan makanan. Tarbiyah hati yang berpanjangan sentiasa diperlukan bagi memastikan hati ini terus bersih dan suci daripada kekotoran.


‘Kekotoran’ itu ialah sifat-sifat mazmumah yang PASTI akan mendiami setiap hati-hati kita. Riya’, takabbur, sum’ah, ‘ujub dan dengki akan bermastautin di hati kita sekiranya hati kita tidak dirawat.


Justeru, hati adalah amanah yang wajib dijaga, sebagaimana kita diamanahkan untuk menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya dari berbuat dosa dan maksiat. Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana dosa. Setiap satu dosa yang dilakukan tanpa diikuti taubat dan istighfar akan menyebabkan terjadinya satu titik hitam di dalam hati.


“(Sebenarnya ayat-ayat kami tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifin:14)


Wahai sahabat dan sahabiah, persoalannya kini mengapa hati kita mati?


Sumber daripada Khutbah Masjid Brunei Darussalam, hati itu mati disebabkan perkara-perkara berikut :


Pertama : Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah Subhanahu Wataala. Iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari didikan dan ujian Allah Subhanahu Wataala. Seperti mana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Az-Zumar, ayat 22 :



“Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah az-Zumar:22)

Kedua : Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani yang sewajarnya. Sekiranya tubuh jasmani boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati. Bila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan sahaja akan sakit dan buta malah akan mati akhirnya. Santapan rohani itu ialah “ zikrullah”, “nasihat” dan “muhasabah diri”.


Maka peliharalah hati kita dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati iaitu dengan menggilap dan membersihkannya dengan jalan mengingati Allah Subhanahu Wataala. Sebagaimana yang diterangkan dalam Al-Quran surah Ar-Ra’d, ayat 28 :



“Iaitu orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah, ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah Ar-Ra’d:28)


Firman Allah lagi dalam surah Asy-Syu’araa’, ayat 88 – 89 :



“Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syrik dan penyakit munafiq)” (Surah Asy-Syu’araa’:88-89)


~Ayuh, bersama muhasabah diri dan bersihkan karat-karat di hati kita.~