Isnin, 29 November 2010

MAHA 2o10...

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca dan sahabat. Alhamdulillah bertemu kembali kita di ruangan penulisan ini. Semoga ia menjadi salah satu medium dakwah dalam memberikan kefahaman kepada kesemua pembaca.


Untuk entry kali ini suka untuk ana kongsikan berkenaan pertanian. Hal ini kerana antara isu hangat di negara kita kini ialah berkenaan Malaysian Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA) bagi tahun 2010 yang berlansung di MARDI,Serdang. Alhamdulillah peluang cuti semester ini dapat ana gunakan sepenuhnya bersama keluarga untuk melawat ekspo ini.


Dalam Islam, kegiatan pertanian merupakan salah satu daripada pekerjaan yang mulia dan amat digalakkan. Kepentingannya tidak dapat dinafikan lagi apabila hasil industri ini turut menyumbang kepada hasil makanan negara selain merupakan sumber pendapatan petani.


Hal ini kerana. banyaknya ayat al-Quran yang menyebutkan mengenai hasil tanaman dan buah-buahan yang pelbagai menunjukkan betapa pentingnya bidang pertanian pada pandangan Islam., antaranya :




“Dan kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, Supaya mereka dapat makan dari buahnya, dan dari apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?”(Surah Yaasin:34-35)




“Dan dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan Maka kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Al An’aam:99)




“Lalu kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu. Anggur dan sayur-sayuran, Zaitun dan kurma, Kebun-kebun (yang) lebat, Dan buah-buahan serta rumput-rumput, Untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakanmu.”(Surah ‘Abasa:27-32)


Berdasarkan beberapa ayat al-Quran yang telah ana nyatakan, dapatlah kita simpulkan betapa pentingnya pertanian ini dalam kehidupan kita. Masakan tidak Yang Berbahagia Tun Abdullah B. Ahmad Badawi iaitu mantan Perdana Menteri yang begitu bersungguh-sungguh ingin memajukan sektor pertanian di Negara kita semasa pemerintahan beliau. Ungkapan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ merupakan satu ungkapan yang terkenal ketika itu. Pada hemat ana, secara peribadi ana berpandangan ungkapan ini secara jelas memeberikan gambaran yang sangat baik buat seluruh warga Malaysia khususnya kaum muda bahawa sektor pertanian juga merupakan salah satu sektor yang boleh dijadikan satu sektor pekerjaan utama selain sektor-sektor lain yang ada dan dikejar oleh masyarakat di Negara kita.


Menurut Dr. Zainal Azam Abd. Rahman seorang cendikiawan Islam dalam tulisan beliau dalam akhbar Berita Harian bertarikh 6 Januari 2005, kegiatan pertanian menjadi fardu kifayah kerana manfaatnya lebih besar daripada manfaat peribadi. Kebanyakan fuqaha' Islam berpendapat bahawa pertanian adalah lebih afdal atau utama pada pandangan Islam dan suatu gagasan berbanding lain-lain jenis perniagaan dan perancangan projek-projek “Mega-Mega” kerana manfaat pertanian lebih meluas dan menjangkau kehidupan rayat justeru kepentingannya tidak dapat dinafikan sebagai bidang yang membekalkan makanan kepada umat.

Jelas, menjadi masalah yang besar sekiranya sesebuah negara itu hanya banyak bergantung kepada sumber luar negera atau hasil import untuk mendapatkan bahan makanan. Hal Ini kerana dibimbangi status halal dan bersih sesuatu makanan yang diimport. Tambahan lagi sekira berlakunya peperangan dan bencana alam di negara lain yang akan menyebabkan bekalan makanan sukar didapati dan terputus. Hal ini jelas sekiranya ditinjau dari keadaan yang berlaku hari ini iaitu kebanyakan negara yang terlibat dengan peparangan dan kemusnahan disebabkan oleh bencana alam menyebabkan kekurangan makan dan kelaparan yang teruk.


Kepentingan pertanian ini dapat dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud:


"Andainya kiamat tiba dan pada tangan seseorang daripada kamu ada sebatang anak kurma, maka hendaklah dia tanpa berlengah-lengah lagi menanamkannya."
(HR Imam Ahmad)


Jelaslah di sini akan pentingnya kegiatan pertanian hingga ke akhir zaman pun, bidang ini tidak boleh diabaikan kerana ia adalah sumber terpenting bagi kehidupan manusia sebagai penyumbang bekalan makanan.


Apabila meneliti sirah Rasulullah, pada masa baginda Rasulullah baru tiba di Madinah, Baginda telah menggalakkan agar usaha dalam bidang pertanian dipertingkatkan. Bumi Madinah yang sememangnya subur perlu diusahakan dengan lebih giat. Kaum Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda diaturkan supaya dapat bekerjasama dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah dalam mengusahakan kegiatan pertanian.


Kesimpulannya, hakikat betapa Islam sangat menggalakkan sektor pertanian jelas dilihat daripada peruntukan yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan Hadith Rasulullah. Namun terpulanglah kepada kita sama ada hendak mengambilnya sebagai rujukan UTAMA dan mengamalkannya.


SEKITAR MAHA 2010



Pengurus Besar BERNAS..he3