Khamis, 27 Mei 2010

~Muhasabah Bersama~


Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”

(Surah An-Nahl : 43)


Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya :



Soalan pertama


Imam Ghazali : Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?


Murid 1 : Orang tua

Murid 2 : Guru

Murid 3 : Teman

Murid 4 : Kaum kerabat


Imam Ghazali :Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran:185).



Soalan kedua


Imam Ghazali : Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?


Murid 1 : Negeri Cina

Murid 2 : Bulan

Murid 3 : Matahari

Murid 4 : Bintang-bintang


Iman Ghazali : Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.



Soalan ketiga


Iman Ghazali : Apa yang paling besar di dunia ini ?


Murid 1 : Gunung

Murid 2 : Matahari

Murid 3 : Bumi


Imam Ghazali : Semua jawapan itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.



Soalan keempat


Imam Ghazali : Apa yang paling berat di dunia ?


Murid 1 : Baja

Murid 2 : Besi

Murid 3 : Gajah


Imam Ghazali : Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah(pemimpin) di duni! a ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.'

Soalan kelima


Imam Ghazali : Apa yang paling ringan di dunia ini ?


Murid 1 : Kapas

Murid 2 : Angin

Murid 3 : Debu

Murid 4 : Daun-daun


Imam Ghazali : Semua jawapan kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat '



Soalan keenam


Imam Ghazali : Apa yang paling tajam sekali di dunia ini ?


Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang


Imam Ghazali : Itu benar, tapi yang paling tajam sekali di dunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri"


Ahad, 23 Mei 2010

aNd@ Mampu mEngubahnya..






Cantik tak kapal ni?hmm.. kalau nak tahu kapal ini saya sempat reka sementara menunggu masa peperiksaan tamat semasa UAK TITAS yang sudah lepas..he3


Apa yang saya nak perkatakan bukanlah cantik atau kemasnya sesuatu rekaan itu, namun sejauh manakah niat yang ikhlas serta kesungguhan si pembuatnya. Selalunya sesuatu rekaan itu menjadi hebat apabila si pencipta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rekaannya itu.


Manusia adalah makhluk yang telah dicipta dengan kehebatan dan kesempurnaan. Siapakah PENCIPTA makhluk ini? Sudah pasti PENCIPTA itu adalah yang terhebat melebihi segala sesuatu.



“Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”

(At Tiin : 4)



NIAT IKHLAS + USAHA = HASIL TERBAIK


Pada satu masa, terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia. Dia bercadang untuk bersara daripada kerjanya sebagai tukang kayu yang bertanggungjawab membuat rumah di sebuah syarikat pembinaan. Dalam fikirannya lagi, dengan tenaga yang semakin kurang, dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tersayang.

Tukang kayu ini tidak akan menerima lagi upah sekiranya beliau bersara. Tetapi, dia tetap dengan keputusannya. Lalu, tukang kayu itu memberitahu majikannya tentang hasratnya tersebut.

Apabila majikannya mendengar luahan hati tukang kayu yang berpengalaman itu, dia merasa sedih dan juga memujuk tukang kayu tersebut agar menarik balik keputusannya. Akan tetapi, tukang kayu itu tidak berganjak dan tetap dengan niat untuk bersara. Justeru itu, majikannya bersetuju dengan keputusan tukang kayu itu, tetapi dengan satu syarat. Permintaan terakhir majikannya ialah menyuruh tukang kayu itu membina sebuah rumah buat kali terakhir.

Tukang kayu itu merasa gembira dan bersetuju dengan syarat yang telah ditetapkan oleh majikannya. Tetapi, kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahiran yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang rendah kualitinya. Rumah itu berjaya disiapkan dalam jangkamasa yang singkat.

Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut dan memberikannya kepada tukang kayu itu seraya berkata "Inilah hadiah persaraan daripada saya kepada kamu. Selamat bersara."

Tukang kayu itu terkejut besar dengan kata-kata majikannya. Beliau tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya buat kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana menyiapkan rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu sebelum itu, dia akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan bahan yang bermutu tinggi.


PENGAJARAN

Senario ini mungkin pernah berlaku di dalam hidup kita seharian. Hidup ini boleh diibaratkan sebagai membina sebuah rumah untuk kegunaan dan kemudahan kita di masa hadapan. Kita pula sering mengambil mudah dengan kehidupan sekarang, kita merasa selesa kerana ibu bapa kita sentiasa berada di samping kita, memberi sokongan dan membantu kita. Tetapi, sedarkah kita apabila mereka tiada nanti, siapakah yang bertanggungjawab ke atas hidup kita? Tak lain tak bukan DIRI KITA SENDIRI. Belajarlah bertanggungjawab dan bijak merancang masa depan kita. Gunakan masa muda ini dengan belajar bersungguh-sungguh dengan cita-cita untuk menjadi seorang manusia berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara.

Kata-kata hikmat:


"Berusahalah dengan ikhlas tanpa memikirkan balasan semata-mata, kerana semakin tinggi keikhlasan di dalam diri, semakin tinggilah balasan baik yang akan diperolehi dalam keadaan sedar atau tidak."


Jumaat, 21 Mei 2010

Selamat Berjuang...




Assalamualaikum wbt...

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga Baginda dan para Sahabat Baginda serta seluruh umat Baginda.

Sahabat dan sahabiah Mahasiswa serta Mahasisiwi IPG kampus Dato' Razali Ismail yang dihormati dan dikasihi sekalian...

Apabila kita mengenang kembali saat permulaan bergelar sebagai Mahasiswa dan Mahasisiwi di kampus ini , sudah pasti kita terbayang wajah - wajah yang penuh ceria dan bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi sebahagian penduduk Batu Rakit. Pengetahuan tentang kedamaian perkampungan pinggir pantai dan pusat-pusat ilmu yang banyak bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, membuatkan kita berazam untuk memastikan setiap saat ketika berada di sini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menggali mutiara - mutiara ilmu dan membentuk peribadi yang mulia. Maka, pelbagai perancangan dan sasaran telah kita susun, segala gerak kerja ke arah mencapai matlamat tersebut telah dilakarkan. Bergeraklah kita ke pelbagai sudut dan ruang, berkorbanlah kita dengan tenaga, masa, harta dan sebagainya...semata - mata untuk memastikan segala yang dihajatkan berjaya dicapai dengan penuh gilang - gemilang.

Setelah berlalunya hari demi hari, bulan - demi bulan, kita perasan bahawa trek yang kita lalui ini seakan - akan bengkok, tetapi sebenarnya kita yang berjalan terhuyung - hayang. Salah satu sebab ketidakstabilan kita itu adalah datangnya pelbagai ujian dan cabaran. Mudahnya, siapa yang kuat insyaAllah dia akan berjaya dan siapa yang lemah, kegagalan sedang menantinya.

Oleh yang demikian, kita kena sedar bahawa matlamat yang besar ini adalah matlamat bersama dan ianya memerlukan perancangan yang tersusun. Pakar pengurusan bersepakat bahawa kejayaan sesebuah pasukan itu bergantung kepada komitmen setiap ahlinya. Jangan sesekali kita membiarkan sahabat kita terhanyut dan kita tidak mahu melihat ada di kalangan kita yang hanya mementingkan diri sendiri dalam mencapai matlamat yang suci ini.

Sempena dengan peperiksaan yang sedang berlansung ini, saya menyeru kepada diri saya dan sahabat serta sahabiah sekalian, marilah sama - sama kita berusaha bersungguh - sungguh untuk mendapat kejayaan yang cemerlang. Jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk kita mengulangkaji segala pelajaran yang kita perolehi sejak awal semester lalu. Saya percaya, kita semua faham bahawa peperiksaan ini bukanlah tanda aras sebenar untuk menilai tahap ilmu kita tetapi sekiranya cemerlanglah yang kita perolehi, sudah pasti ia adalah penyebab untuk kita lebih bermotivasi dalam menuntut ilmu. Jagalah kesihatan dan bantu - membantulah dalam kita menempuh medan peperangan ini...

SELAMAT BERJUANG !!!



Isnin, 10 Mei 2010

Sinaran al-Quran Kekal Selamanya...

CAHAYA al-Quran menyinari seluruh dunia sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi peribadi yang menghendaki ketenteraman, kedamaian serta kebahagiaan.
Al-Imam Ghazali berkata dalam kitabnya Ihya Ulumuddin: “Segala macam ilmu pengetahuan, baik yang terdahulu, sekarang, akan datang, semuanya berpunca daripada al-Quran.”


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Telah aku tinggalkan kepadamu perkara yang apabila kamu tetap berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab (al-Quran) dan sunnah Rasulnya.”

Sejarah membuktikan, sejak al-Quran diturunkan pada malam 17 Ramadan di Gua Hira’, ia berjaya mengubah umat jahiliah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak kepada umat terbaik serta dicontohi dalam segala bidang.


Hal ini dibuktikan oleh Rasulullah SAW di mana selama 23 tahun memimpin umat Islam berpandukan al-Quran, Islam menjadi agama kuat dan dinamik. Ajarannya bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia.


Al-Quran menjadikan umat Islam pada zaman kepemimpinan Rasulullah SAW dan khalifah Al-Rashidin berjaya mencipta satu tamadun baru kepada dunia hingga berjaya meruntuhkan dua tamadun besar dunia pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi.
Firman Allah bermaksud: “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan Rahmat bagi orang yang beriman, dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan (apa-apa) kepada orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian semata-mata.” (Surah al-Isra’, ayat 82)


Dalam memahami ayat itu, Imam Muhamad Al-Razi dalam tafsirnya Al-Fakhul al-Razi menjelaskan bahawa al-Quran adalah penawar yang boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani.





Penyakit dibahagikan kepada dua bahagian. Penyakit iktikad yang batil dan sesat serta penyakit akhlak yang buruk.Beliau menjelaskan seterusnya bahawa yang dimaksudkan dengan iktikad yang batil dan sesat itu ialah pegangan salah terhadap masalah ketuhanan dan kenabian.


Al-Quran lengkap dengan peraturan bagi jalan hidup yang benar, selaras kehendak Allah , malah boleh menjadi ubat untuk menyembuhkan penyakit.Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: "Barang siapa yang tidak dapat mengubati penyakit dengan al-Quran, maka Allah tidak akan menyembuhkan penyakitnya.”



Penyakit dan keburukan akhlak seperti tidak amanah, najis dadah dan arak adalah penyakit yang tidak mungkin dapat diubati dengan cara lain selain al-Quran, yang perlu dibaca dan diamalkan.Selagi al-Quran tidak diamalkan dalam erti kata sebenar, maka semua penyakit itu tidak akan dapat diubati.


Pada hari ini, saat ini, kita perlu bertekad mengembalikan diri dan seluruh hidup kepada al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya.

Pertama, hak untuk bertilawah kepadanya .

Kedua, hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.

Ketiga, hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.

Sabtu, 8 Mei 2010

Bicara Iblis...



Iblis laknatullah telah mendatangi Rasulullah SAW dengan menyerupai seorang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat. Maka Baginda bertanya “Siapa kamu?” Orang tua menjawab. “Aku ialah Iblis”. Baginda bertanya lagi. “Untuk apa kamu berjumpa denganku”. Orang tua itu berkata “ Bahawa Allah telah memerintahkan aku berjumpa denganmu untuk menjawab apa sahaja soalan darimu”. Maka Rasulullah pun bertanya. “Hai Iblis, berapa banyakkah musuhmu dari kalangan umatku ? Iblis menjawab “Lima belas.” Iaitu;

- Engkau sendiri hai Muhammad.
- Imam dan pemimpin yang adil
- Orang kaya yang merendah diri.
- Peniaga yang jujur dan amanah.
- Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
- Orang mukmin yang sentiasa memberi nasihat.
- Orang mukmin yang berkasih-sayang.
- Orang yang tetap dan cepat bertaubat.
- Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
- Orang mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
- Orang mukmin yang banyak bersedekah dan menderma
- Orang mukmin yang baik budi dan akhlaknya.
- Orang mukmin yang bermanfaat kepada orang.
- Orang yang hafal al-Quran serta selalu membacanya.
- Orang yang berdiri mengerjakan solat di waktu malam sedang orang-orang lain semuanya tidur.

Kemudian Rasulullah SAW bertanya lagi. “Berapa banyakkah temanmu di kalangan umatku ?”. Jawab Iblis laknatullah. “Sepuluh golongan” iaitu ;
- Hakim yang tidak adil.
- Orang kaya yang sombong.
- Peniaga yang khianat.
- Pemabuk, minum arak.
- Orang yang memutuskan silaturrahim.
- Pemilik harta riba’.
- Pemakan harta anak yatim.
- Orang yang sentiasa berlengah dalam mengerjakan solat.
- Orang yang enggan mengeluarkan zakat/kedekut.
- Orang yang selalu berangan dan khayal suatu yang sia-sia.
mereka semua adalah sahabat setiaku”.

Itulah antara perbualan Rasulullah SAW dengan Iblis laknatullah. Kita sudah maklum iblis adalah musuh Allah SWT dan manusia. Oleh itu hendaklah kita selalu berhati-hati. Jangan sampai kita menjadi kawan iblis kerana sesiapan yang menjadi kawan iblis laknatullah bermakna menjadi musuh Allah SWT jua! Demikianlah sebaliknya. Sesiapa yang menjadi musuh iblis bererti ia menjadi kawan kekasih Allah SWT…

Ahad, 2 Mei 2010

Kasih Tanpa Batas Seorang Ibu...





peristiwa yang pernah berlaku di Wenchuan dalam bulan Mei 2008..semasa berlakunya gempa bumi




gambar asal, bayi yang telah terselamat, namun ibunya telah meninggal dunia..