Sabtu, 26 Disember 2009

Organisasi yang teratur…




Pada post kali ini, ana ingin kongsikan berkenaan bagaimana untuk membentuk organisasi / persatuan / jamaah yang teratur ( munazzamah ). Sebelum ana mengulas dengan lebih lanjut, ana akan merungkaikan makna atau pengertian organisasi ini. Ana telah merumuskan pengertian organisasi ini yang bersumberkan dari Wikipedia seperti berikut : organisasi adalah suatu kelompok manusia dalam suatu wadah untuk mencapai tujuan bersama , baik dalam pergaulan sehari-hari mahupun interaksi ilmiah. Manakala Jamaah dari segi bahasa berasal dari Bahasa Arab bererti bilangan yang ramai dari manusia tertentu yang berkumpul di atas satu tujuan.


Maka dua pengertian yang telah ana kemukakan, ana harap sahabat dan sahabiah dapat sedikit kefahaman dan gambaran berkenaan takrifan dan pengertian sebenar organisasi dan jamaah ini. Sesuatu organisasi atau jamaah yang membuat keputusan terhadap sebarang amal jamaie atau sebarang gerak kerja itu mestilah berada dalam satu tanzim yang kemas, teratur dan berencana serta berstrategi. Unsur ini merupakan suatu perkara asas bagi mana-mana organisasi atau jamaah yang mempunyai matlamat tertentu. Tanpa tanzim, jamaah tidak akan berjaya dalam gerak kerjanya.


Terdapat beberapa aspek yang perlu wujud dalam jamaah atau organisasi yang teratur ( munazzamah ) :


BAIAH

Iaitu janji taat setia ahli jamaah kepada pimpinan atau ketua untuk taat dan hidup di atas landasan yang ditentukan oleh jamaah dalam memperjuangkan Islam. Baiah atau janji setia hendaklah diberikan dengan kefahaman yang jelas tentang setiap aspek jamaah dengan keyakinan yang tinggi dan disusuli dengan iltizam kepada jamaah.

IMARAH

Kepimpinan merupakan ciri asas dalam jamaah Islam atau mana-mana organisasi.Adanya baiah bererti adanya kepimpinan. Dalam konteks sebuah jamaah, kepimpinan mestilah dipilih oleh jamaah dan individu itu mampu dan cekap dalam melaksanakan tugas serta amanah dalam mentadbir menurut lunas-lunas Islam.

TAAT

Baiah atau janji setia adalah untuk memastikan ketaatan kepada jamaah dan pimpinan. Pendokong dan ahli jamaah wajib mentaati pemimpin terutamanya dalam melakukan amal jamaie atau sebarang gerak kerja. Ketaatan ini akan mudah untuk hadir dalam diri setiap daripada kita apabila sifat kasih sayang, tolong-menolong dan persefahaman kepada jamaah dan kepimpinan tersemai di hati.

Namun perlu kita sentiasa ingat bahawa ketaatan dan kepatuhan itu hanyalah kepada perkara-perkara kebaikan dan kebajikan yang tidak melanggar syara' dan bukannya ketaatan yang membuta tuli tanpa pengetahuan dan usul periksa. Sabda Rasulullah :


'Dengar dan taat adalah menjadi wajib kepada setiap muslim dalam perkara yang ia suka atau tidak, selagi ia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat' (HR Bukhari dan Muslim)

MUSYAWARAH

Pemimpin bertanggungjawab menjalankan syura atau mesyuarat kerana ia adalah tuntutan syara' dan keperluan pada mana-mana organisasi bagi menjamin jamaah berjalan dengan baik.



Begitulah 4 aspek penting dan utama yang ana lihat apabila setiap daripada kita dapat penuhinya, insyaALLAH suatu jamaah atau organisasi yang teratur akan dapat dibentuk. Namun perlu kita ambil perhatian bahawa kepincangan dan kecelaruan di dalam jamaah atau organisasi yang melibatkan sesama ahli atau di peringkat pimpinan adalah satu lumrah yang perlu kita tangani dengan bijak dan sabar.

Oleh sebab itulah seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS dalam gerakan, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian gerakan Islami di seluruh dunia. Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki).





Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.

Dalam buku 'Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy' (1989), Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran gerakan dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat gerakan Islam di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jamaah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Perlu diingat bahawa, antara kesan yang amat besar daripada serangan penyakit ini dalam sesuatu gerakan, jamaah atau organisasi adalah munculnya pelbagai aliran dan kelompok dalam jamaah itu. Hal ini sering terjadi kepada gerakan yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.

Sebab itulah Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar gerakan atau jamaah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat mengubah persepsi minda kita dan berubah ke a rah yang lebih sempurna kepada mereka yang merindukan kemenangan…..

INGATLAH!!

tewas dan kalahnya kita pada masa kini dalam perjuangan ISLAM bukanlah bermakna kita telah tewas dan kalah..cuma kita masih BELUM MENANG...

Isnin, 21 Disember 2009

Mencintai dan Menyayangi...

Cinta dan Sayang serta perasaan kasih ada di dalam hati setiap insan.Namun, yang membezakannya adalah cara mempamerkan perasaan itu. Ia tidak sama bagi setiap manusia, juga berbeza antara satu bangsa dengan satu bangsa yang lain. Namun sesuatu yang pasti, perasaan cinta dan sayang selalunya ia dapat dilihat melalui sikap dan kata-kata. Sebuah syair arab pernah menyebut :

" Tanda-tanda cinta tidak dapat disembunyikan oleh seseorang laksana pembawa kasturi tidak dapat menyembunyikan keharumannya"


Perasaan sayang terletak jauh di dasar hati, tetapi ia boleh disuburkan melalui tindakan zahir seperti melalui kata-kata dan perlakuan yang baik. Suka untuk saya apabila memperkatakan berkenaan tajuk ini, saya akan membawa contoh bagaimana Islam melihat CINTA dan SAYANG ini.Pada hemat saya, perasaan cinta dan kasih sesama makhluk selain kepada ahli keluarga dan sahabat, adalah pada ikatan perkahwinan.Hanya inilah jalan yang Islam ajar dan tunjukkan kepada bangsa ADAM dan HAWA yang ingin menjalinkan perasaan CINTA dan SAYANG sesama mereka.Tanpa akatan ini, pelbagai kerosakan moral akan berlaku.Buktinya saya bawa dari firman Allah dalam Surah Al-Isra' ayat 32 :




Allah juga ada berfirman di dalam Surah Al-Imran ayat 14, untuk menceritakan kepada kita tentang CINTA ini :





CINTA dan SAYANG Dalam Hidup Berumah Tangga





Cinta yang sebenar antara lelaki dan wanita adalah selepas akad nikah diselesaikan.Hal ini kerana, jalinan cinta yang bebas antara lelaki dan wanita sebelum berkahwin akan mengundang 1001 bencana. Sebab itulah Nabi pernah menyebut:

" Aku tidak meninggalkan sesudahku satu fitnah yang lebih berbahaya kepada lelaki melainkan wanita" (HR Bukhari, no. 5096, Muslim no. 2740)

Rasa sayang seorang suami terhadap isteri akan dipamerkan melalui sikap dan kata-kata secara spontan tanpa perlu dipaksa dan begitu juga sebaliknya.Hal ini bermakna, pasangan suami isteri tidak perlu berlakon di depan orang ramai untuk memperlihatkan perasaan saling menyayangi sesama mereka. Mereka tidak perlu berpelukan, atau berkucupan di khalayak ramai semata-mata untuk memberitahu bahawa mereka adalah pasangan bahagia dan saling mencintai. Cara itu bukan sahaja tidak sesuai dengan akhlak Islam, malah menyalahi etika budaya timur. Biarpun begitu, perasaan cinta suami isteri perlu disuburkan. Demikian juga perasaan sayang ibu bapa dan anak-anak. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

“ Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi"





Senyuman mesra isteri menyambut kepulangan suami sudah cukup mengambarkan perasaan cinta dan sayangnya yang tidak berbelah bahagi. Jika ini dijadikan amalan harian, nescaya cinta akan subur seperti tanaman yang disiram baja secara berterusan mengikut aturan. Kucupan suami pada dahi isteri yang mengiringinya ke pintu sebelum si suami melangkah keluar ke tempat kerja sudah memadai untuk mencerminkan rasa hormat dan cinta yang bersemi di hati. Rasa hormat dan cinta itu akan subur sekiranya dibajai selalu. Hal ini membukti bahawa cinta itu terlalu seni.

Tidak ada perlakuan dan kata-kata yang tepat untuk mengungkapkan seluruh perasaan cinta seseorang terhadap orang yang dicintainya. Lain orang., lainlah cara ungkapan dan luahan rasa cintanya. Walaupun ungkapan " Aku mencintaimu" ( I LOVE YOU ) selalu diungkapkan oleh pasangan kekasih atau suami isteri di layar perak, namun dalam realiti kehidupan, pelbagai bentuk sikap dan ungkapan lain digunakan untuk membawa maksud yang sama. Perhatikan ungkapan-ungkapan ini sekadar contoh:

" Cantik Siti tengok abang pakai baju ni"


" Abang memang minat laksa, tapi kalau Aisyah yang masak, lagilah abang berselera makan"


" Nah, abang bawa buah tangan ni untuk Fatimah dan anak-anak"

" Hati-hati memandu ya, bang...."


Demikian antara ungkapan-ungkapan secara tidak lansung (indirect) yang mencerminkan rasa kasih dan sayang antara suami isteri. Namun begitu, jika mengungkapkan rasa cinta secara langsung dan terus terang sudah menjadi budaya atau kemestian bagi sesuatu bangsa, maka tidak salah ungkapan " Aku mencintaimu" menjadi basahan bibir suami isteri. Dari mata akan turun ke hati.

Hal ini merupakan ungkapan yang mengambarkan peranan mata untuk jalinan cinta. Justeru, jangan harapkan cinta akan subur jika pasangan suami isteri selalu mengelak untuk bertentang mata bila berbicara. Antara bukti cinta ialah adanya ingatan pada orang yang dicintai. Malah tanda seseorang itu ingat akan sesuatu atau seseorang ialah dia selalu menyebut-nyebutnya. Rasulullah s.a.w mengungkapkan kata-kata berikut kepada Sayidatina Aisyah r.ha untuk mengambarkan ingtan dan perasaan sayangnya kepada isteri baginda Sayidatina Khadijah r.ha yang telah wafat.:


" Khadijah mencintaiku disaat aku sengsara. Khadijah beriman kepadaku pada waktu orang lain tidak percaya dan menganggapku gila. Khadijah memberikan banyak sekali pengorbanan untukku ketika orang lain memusuhiku. Patutkah aku melupakan perempuan seagung itu walaupun misalnya dia bukan isteriku? Dan dia adalah isteriku dan ibu kepada anak-anakku. “


Dalam meluah dan mempamerkan rasa cinta, batas yang diperaturkan oleh Islam ialah perlunya ada rasa malu. Adanya perasaan malu merupakan cermin iman di hati. Perasaan malu menghalang luahan cinta di luar batasan. Disebabkan hilang atau kurang rasa malu, pasangan-pasangan di barat mempamerkan rasa cinta dengan perlakuan yang tidak bermoral.

Perasaan malu juga menjadi benteng untuk imbangan diri tatkala mengalami gelodak cinta yang tidak kesampaian. Seorang gadis yang menyimpan rasa cinta pada seorang teruna tidak akan bertindak di luar batasan jika ada perasaan malu di hati. Dia percaya, cinta seumpama itu hanya dapat disuburkan melalui ikatan perkahwinan, tetapi jika bukan jodohnya, dia rela menjadi ‘scret admirer’ kepada si teruna dan rasa cinta itu satu waktu akan hilang dengan sendirinya bila Allah pertemukan jodohnya dengan teruna lain. Dalam hubungan cinta antara ibu bapa dan anak-anak, cendekiawan Islam pernah berkata:


‘Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.’


Ertinya di sini, Allah Yang Maha Penyayang memakbulkan doa orang yang penyayang jika dia berdoa untuk orang disayanginya.Hal ini merupakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita yang bergelar ibu. Oleh sebab itu, bertepatanlah dikatakan bahawa doa ibu sangat makbul. Bahkan, tidak keterlaluan untuk saya katakanan bahawa sumpah seranah seorang ibu boleh bertukar menjadi doa !.

Dengan kekuatan cinta, seorang wanita dapat membentuk dan mendidik anak-anaknya ke arah yang diredhai Allah. Sebaik-baik didikan ialah yang dimulakan dengan mengajar,mentarbiah dan mengenalkan anak-anak kepada Allah hingga si anak dapat belajar mencintaiNYA. Tetapi belaian, asuhan dan didikan seorangn ibu tidak mencukupi sekiranya tidak disertakan dengan doa yang berterusan. Doa adalah tanda ingatan kita kepada Pencipta. Dan doa juga merupakan bukti cinta hamba kepada Tuhannya.


CINTA dan SAYANG Sahabat Kepada Rasulullah


Di dalam sirah Ibnu Hisham diceritakan satu kisah sahabat bernama Saad bin Rabe'yang terlalu kasihkan Rasulullah SAW dan Rasulullah pun kasih kepadanya. Kisah yang menarik ini dirakamkan selepas berlakunya perang Uhud yang tentera Islam tewas disebabkan tidak mentaati perintah Rasulullah.

Sebaik saja peperangan berakhir, ramai di kalangan sahabat yang gugur syahid. Tetapi Nabi SAW yang dahinya masih luka berdarah serta patah gigi, namun baginda tetap terkenangkan seorang sahabat yang baginda kasihi dan sayangi iaitu Saad bin Rabe'.

Di kalangan pasukan perang yang masih hidup itu, Nabi SAW tidak melihat kelibat Saad bin Rabe'. Tergerak di hati Nabi untuk mengetahui keadaan Saad bin Rabe', sama ada Saad masih hidup ataupun turut terkorban bersama syuhada yang lain.

Nabi SAW minta jika ada di kalangan sahabat sedia berkhidmat bagi pihak Rasulullah SAW, untuk berusaha mencari Saad bin Rabe' bagi mengesahkan kedudukannya yang sebenar, sama ada hidup atau gugur syahid.

Lalu bangun seorang sahabat dari kalangan Anshar menawarkan diri untuk melaksanakan kehendak Nabi SAW bagi mencari Saad.

Setelah mencari di segenap penjuru medan Uhud akhirnya Saad bin Rabe' ditemui dalam keadaan luka parah. Beliau dikekelilingi oleh jenazah para sahabat yang lain. Tetapi keadaan Saad di antara hidup dan mati, malah boleh dikatakan kematian sudah begitu hampir dengannya.

Sahabat Anshar bertanya kepada Saad: "Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan aku supaya mencari engkau, untuk mengetahui tentang dirimu. Bagaimana keadaan kamu wahai Saad?" Jawab Saad dalam nada lemah: "Sesungguhnya aku berada dalam kalangan orang yang mati. Oleh itu kembalilah engkau bertemu Nabi katakan kepada baginda bahawa aku berkirim salam."

Berkata Saad seterusnya dengan nada yang tersekat-sekat: "Bahawa aku berserah diri kepada Allah SWT untuk membalas jasa Nabi SAW, kerana aku tidak dapat membalas jasa baginda yang telah mempimpin dan mengasuhku, hingga aku menjadi seorang mukmin dan menjadi pengikut Nabi SAW yang setia."

Kata Saad lagi: "Jika engkau kembali ke Madinah, aku juga berkirim salam dengan sahabat-sahabat kita di Madinah. Katakan kepada mereka, bahawa Saad bin Rabe' menyampaikan pesanan kepada anda sekalian. Bahawa jika anda masih hidup sedangkan kamu tidak mempertahankan Nabi sehingga Rasulullah SAW dibunuh oleh musuh, maka kamu tidak akan ada alasan atau jawapan ketika ditanya oleh Allah Taala di akhirat kelak."

Saad berpesan kepada sahabat-sahabat yang masih hidup supaya menjaga keselamatan Nabi s.a.w., kerana dirinya sudah sangat hampir dengan ajal dan tidak berdaya untuk menjaga Nabi lagi. Amaran Saad kepada mereka jika nadi masih berdenyut, sedangkan mereka tidak melindungi Nabi dari bahaya sehingga terkorban di tangan musuh. Nescaya ia menjadi satu kesalahan besar, mereka tidak ada sebarang alasan atau jawapan apabila ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Sahabat Anshar terharu mendengar kata-kata terakhir Saad bin Rabe', dia terpaku seketika sehingga Saad menghembuskan nafasnya yang akhir. Setelah itu sahabat Anshar beredar dan kembali semula menemui Nabi SAW, beliau menyampaikan salam dan pesanan Saad bin Rabe' kepada Nabi sejurus sebelum ajalnya tiba.

Begitulah hebatnya sahabat-sahabat Nabi untuk mencintai dan menyayangi Rasulullah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :


“Tidak (sempurna) iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa’i)


Utusan Malaysia, bertarikh 11/4/2006 :


Orang-orang yang benar-benar mengasihi dan mencintai Rasulullah s.a.w. akan sentiasa menzahirkan pernyataan kasih sayang tersebut dalam segenap dimensi kehidupan mereka. Seorang ulama besar al-Imam al-Qhadi ‘Iyadh al-Yahsubi telah menyenaraikan dalam kitabnya, Al-Syifa’ bi al-Ta’rif Huquq al-Mustafa, tentang tanda-tanda, bukti atau dalil bagi orang-orang yang mencintai Rasulullah s.a.w. Penzahiran cinta kasih, rindu dan sayang kepada baginda akan terserlah dalam diri individu Muslim itu berdasarkan tanda-tanda berikut:

Pertama: Mengikuti deen (agama dan cara hidup) Rasulullah s.a.w., mengamalkan sunah baginda, mematuhi perkataan dan perbuatannya dalam segala keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Sentiasa mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah dalam segala keadaan, sama ada ketika susah ataupun senang, sewaktu sedih ataupun gembira. Allah s.w.t. menegaskan hal ini dalam firman-Nya: Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah pasti akan mengasihi kamu. Dan ingatlah, Allah maha pengampun lagi maha mengasihani. (Ali-Imran: 31)

Malah, orang yang benar-benar mengasihi Nabi s.a.w. akan mendahulukan dan mengutamakan syariat baginda daripada dorongan kehendak dan nafsunya sendiri. Situasi ini telah dibuktikan dengan pengorbanan yang cukup besar oleh orang-orang Ansar terhadap saudara seagama mereka iaitu orang-orang Muhajirin. Allah merakamkan peristiwa ini dalam firman-Nya: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat memerlukan.” (Al-Hasyr: 9)

Kedua: Mereka yang mencintai Nabi s.a.w. akan sentiasa melazimkan diri mengingati dan menyebut selawat ke atas baginda. Selawat kepada Rasulullah s.a.w. merupakan ungkapan kerinduan serta luahan rasa cinta kasih seorang umat kepada baginda. Islam memberi ganjaran yang lumayan kepada orang yang banyak mengucapkan selawat ke atas Rasulullah kerana baginda menjanjikan 10 kali ganda balasan rahmat daripada Allah kepada mereka yang berselawat ke atas baginda. Firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya." (Al-Ahzab: 56)

Memperbanyakkan selawat ke atas baginda adalah perkara sunat yang menjadi bukti betapa kasihnya seorang umat kepada Rasulnya. Tatkala kita mendengar nama baginda, maka sunat bagi kita menyebutkan selawat ke atas Rasulullah. Baginda sendiri menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa sesiapa yang berselawat ke atas baginda sekali, maka akan diganjarkan kepada mereka yang berselawat itu dengan 10 ganjaran.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi s.a.w. lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah, bilakah akan berlaku hari kiamat?” Jawab baginda, “Apakah yang telah engkau sediakan untuk menghadapi hari kiamat?” Jawab lelaki itu, “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan sembahyang, berpuasa (puasa sunat) atau bersedekah, tetapi aku amat kasih akan Allah dan Rasul-Nya.” Maka sabda baginda, “Engkau akan bersama dengan yang engkau kasihi.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

Mencintai

Ketiga: Antara tanda orang yang mencintai baginda ialah membenci apa yang dibenci oleh Rasul-Nya, memusuhi orang yang memusuhinya, menentang mereka yang menyalahi sunahnya dan melakukan perkara bid’ah dalam agamanya serta memandang berat terhadap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.

Allah s.w.t. menjelaskan dalam firman-Nya: "Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka atau kaum keluarga mereka sendiri." (Al-Mujadalah: 22)

Mereka’ yang dimaksudkan dalam tafsiran ayat di atas ialah sahabat-sahabat baginda yang telah membunuh orang yang mereka kasihi (bapa, bapa saudara, saudara kandung dan ahli keluarga) dalam peperangan fi sabilillah kerana keingkaran yang jelas terhadap Islam serta penentangan mereka yang keras terhadap dakwah Rasulullah. Para sahabat Rasulullah melakukan semua ini semata-mata kasih kepada baginda dan mengharapkan keredaan Allah.

Ibnu Abbas menyatakan, antara sahabat baginda yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah Abu Ubaidah yang telah membunuh bapanya dan Mus’ab ibnu ‘Umair yang telah membunuh saudaranya dalam peperangan Uhud. Saidina Ali dan sahabat-sahabat yang lain sanggup membunuh ahli keluarga mereka, manakala Saidina Umar sanggup membunuh bapa saudaranya Al-‘As ibnu Hisyam dalam peperangan Badar. Kesemua mereka yang terbunuh ini adalah kaum keluarga para sahabat yang mengingkari perintah Allah serta melancarkan perang terhadap Rasulullah dan umat Islam.

Keempat: Mengasihi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah dan dengannya manusia mendapat petunjuk. Baginda sendiri mengikuti petunjuk al-Quran sehingga isteri baginda Aisyah r.a. mengungkapkan bahawa ‘akhlak baginda adalah al-Quran’. Tanda kita kasih terhadap al-Quran ialah dengan membacanya, beramal dengannya, memahami tafsiran dan tuntutannya, menjunjung suruhannya serta meninggalkan larangannya.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan apa juga perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua larangan daripada kamu melakukannya maka patuhilah larangannya." (al-Hasyr: 7)

Adalah menjadi kewajipan terhadap umat baginda yang kasih dan sayang terhadap baginda untuk sama-sama memelihara akidah, mendaulatkan dakwah, menghidupkan syariat dan sunah baginda secara syumul. Syariat dan sunah Rasulullah perlu diterima secara mutlak dan perlu dilaksanakan sewajarnya tanpa sebarang alasan dangkal atau sebab-sebab yang tidak sepatutnya (yang hanya berpandukan logik akal semata-mata). Jika semua ini dapat kita laksanakan sambil mengharapkan keredaan Allah, ini bermakna kita telah memiliki tanda-tanda orang yang kasih dan cinta kepada baginda.

Sesungguhnya telah jelas kepada kita bahawa Rasulullah adalah insan yang paling layak dan wajib dikasihi dengan sebenar-benarnya di sisi syarak.

Selasa, 15 Disember 2009

Berdusta atas nama kekasih ALLAH..




Pada post kali ini, ingin saya ingin kongsikan beberapa hadith shahih tentang ancaman yang berat dan azab yang sangat mengerikan kepada para pendusta dan pemalsu hadith atas nama Rasulullah.

Hadith Pertama :

Dari Abu Hurairah, ia berkata , telah bersabda Rasulullah saw : ' Barangsiapa yang berdusta atasku dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya di neraka'. (HR Bukhari dan Muslim dll)

Hadith Kedua :

Dari Abu Hurairah, ia berkata, telah bersabda Rasulullah saw: ' Barangsiapa yang membuat perkataan atas (nama)ku yang tidak pernah aku ucapkan, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya di neraka'. (HR Ibnu Majah dan Ahmad)

Hadith Ketiga :

Dari Salamah bin Akwa', ia berkata, Aku telah mendengar Nabi saw bersabda : ' Barangsiapa yang mengatakan atas (nama)ku apa-apa (perkataan) yang tidak pernah aku ucapkan, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya di neraka'. (HR Bukhari dan Ahmad)

Hadith Keempat :

Dari Abdullah bin Amr, ia berkata, sesungguhnya Nabi saw telah bersabda: 'Sampaikanlah dariku meskipun satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak ada keberatan (iaitu tidak berdosa), dan barangsiapa yang berdusta atas (nama)ku dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (iaitu tempat tinggalnya) di neraka' (HR Bukhari, At-Tirmizi dan Ahmad)

Cerita-cerita tentang Bani Israel itu ada tiga jenis :

- Yang telah diketahui kebenaran dan kesahihannya oleh syara' dari perkara-perkara yang baik. Maka inilah yang dimaksudkan baginda pada hadith di atas.

- Yang telah diketahui akan kedudukan kebatilannya dan kedustaannya oleh syara'. Maka tidak boleh diceritakan kecuali untuk menjelaskan kebatilan dan kedustaannya.

- Yang tidak atau belum diketahui benar dan dustanya. Yang ketiga ini tidak boleh diimani atau didustai dan menceritakannya tidak ada faedahnya sama sekali (lihat Tafsir Ibnu Katsir 1/4)





TAKHRIJ HADITH

Ungkapan من كذب علي (Barangsiapa yang berdusta atasku) dan yang seerti dengannya, darjatnya adalah mutawatir. Telah diriwayatkan oleh berpuluh-puluh sahabat sehingga dikatakan sampai dua ratus orang sahabat yang meriwayatkannya. Tidak ada satu pun hadith mutawatir yang darjatnya lebih tinggi dari hadith ini (lihat An-Nawawi, Fathul Bari; 1/213 dan Ibnu Hajar, Tuhfatul Ahwadziy; 7/418-420)






Banyaknya sahabat yang meriwayatkan hadith di atas menunjukkan kepada beberapa hal yang penting:

Pertama: Kerapnya (banyak kali) Nabi saw menyampaikan dan mengulangi sabda tersebut.

Kedua: Perhatian yang amat sangat dari sahabat tentang memelihara dan menjaga dengan sebenar-benarnya sabda-sabda Nabi saw dan segala sesuatu yang disandarkan orang kepada Nabi saw. Mereka saling berpesan dan berwasiat dan meriwayatkan sesama mereka. Kemudian mereka menyampaikan kepada Tabi’in. Tabi’in menyampaikan kepada Tabi’in-Tabi’in dan seterusnya tercatat dan terpelihara dengan baik dan rapi di dewan Imam-Imam Sunnah, sehingga tidak ada satu pun Imam dari Imam-Imam ahli hadith, melainkan meriwayatkannya pada kitab-kitab hadith mereka.

Ketiga: Ketinggian darjatnya dalam keshahihan dan kemutawatirannya mencapai tingkat teratas dalam martabat hadith-hadith mutawatir.

Keempat: Kebesaran maknanya yang meliputi beberapa faedah dan sejumlah kaedah dan menutup berbagai pintu kerusakan yang besar dalam agama, disebabkan berdusta atas nama Rasulullah saw.





SYARAH HADITH

Menurut Imam An-Nawawi , hadith-hadith yang berkaitan dengan من كذب علي (Barangsiapa yang berdusta atasku) dan ancamannya, mengandungi beberapa hal penting dan kaedah-kaedah.

Pertama: Ketetapan tentang kaedah dusta bagi ahlus sunnah.

Kedua: Amat besar pengharaman dusta atas nama Nabi saw dan merupakan kekejian dan kebinasaan yang sangat berat

Ketiga: Tidak ada perbezaan tentang haramnya berdusta atas nama Nabi saw baik dalam masalah-masalah hukum-hukum (ahkam) atau bukan, seperti targhib, tarhib, nasihat-nasihat dan lain-lain. Semuanya adalah haram, sebesar-besar dosa besar dan seburuk-buruk perbuatan bedasarkan ijma'.

Keempat: Haram meriwayatkan hadith maudhu’ (palsu) ke atas orang yang telah mengetahui kepalsuannya atau berat sangkaannya bahawa sesuatu hadith itu maudhu’. Maka barangsiapa yang meriwayatkan satu hadith yang dia ketahui atau berat sangkaanya bahawa hadith itu palsu, dan tidak menjelaskan kepalsuannya, maka ia termasuk ke dalam ancaman hadith di atas dan tergolong dalam golongan orang-orang yang berdusta atas nama Rasulullah saw.



MAKNA BERDUSTA ATAS NAMA NABI SAW


Berdusta mengikut Imam An-Nawawi dalam kitabnya Al-Azkar: Sesungguhnya menurut mazhab Ahlus Sunnah bahawa dusta itu ialah mengkhabarkan tentang sesuatu yang berlainan (berbeza/menyalahi) keadaannya. Sama sahaja dilakukan dengan sengaja atau kerana kebodohan (kejahilan). Al-Hafiz Ibnu Hajar telah berkata dalam kitabnya, Al-Fath (1/211) :

'Bahawasanya dusta itu ialah mengkhabarkan tentang sesuatu yang berlainan dengan keadaannya'.


Berdusta atas nama Nabi saw ialah menyandarkan sesuatu kepada beliau saw baik merupakan perkataan (qaul), perbuatan (fi’il) atau persetujuan baginda saw atas perbuatan atau perkataan sahabat (taqrir) dan segala sesuatu yang disandarkan kepada baginda saw dengan cara berbohong (berdusta) atas nama baginda saw. Hal ini merangkumi masalah ahkam, targhib dan tarhib, nasihat-nasihat atau tarikh (sejarah) dan sebagainya. Semuanya adalah haram dan termasuk berbohong atas nama Nabi saw.

Wallahua’lam…

Khamis, 10 Disember 2009

Kesucian...



Apabila membaca kitab-kitab fiqh, sudah menjadi kebiasaannya bab yang pertama adalah bab bersuci ataupun disebut الطهارة . Hal ini kerana bersuci merupakan satu perkara asas dan penting dalam Islam. Dengan kesucian itulah sesuatu amalan kita akan menjadi sah ataupun batal.

Pada post kali ini saya nak memperkatakan berkenaan pentingnya kesucian semasa kita menghadap Allah, iaitu bersolat. Saya juga ingin berkongsi berkenaan perlunya berpakaian yang bersih dan terbaik sepertimana yang diperintahkan Allah dan Rasulullah. Saya merujuk perkara ini dalam Kitab Thaharah, karangan Prof. Dr. Zakaria Awang Soh (ABU ZAKWAN).

Sepertimana yang kita tahu, kesucian dan keindahan pakaian dalam solat ternyata dituntut oleh Allah. Perkara ini dapat sahabat dan sahabiah rujuk pada ayat 31, Surah Al-A’raaf :



Perintah Allah : عند كل مسجد membawa maksud di sisi atau pada setiap tempat sujud (مسجد, (مسجد dalam ayat ini adalah kata umum, bukan kata khusus. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah di dalam sebuah hadith :

‘Dan dari Abu Dzarrin, ia berkata : Aku pernah bertanya kepada Rasulullah : ,amakah masjid yang pertama kali dibangunkan ? Baginda menjawab : Masjidil Haram, lalu aku bertanya lagi : Kemudian mana lagi? Baginda menjawab : Masjidil Aqsa, lalu aku bertanya lagi: Berapa lama antara kedua masjid tersebut? Baginda menjawab: Empat puluh tahun. Lalu aku bertanya lagi: Kemudian yang mana lagi? Baginda menjawab : Di mana sahaja kamu menjumpai waktu solat, maka solatlah di situ, kerana semua (tanah ini) adalah tempat bersujud’ (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadith yang lain diriwayatkan :

‘Dan dari Abu Hurairah dari Nabi saw ia bersabda: Apabila salah seorang di antara kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya, kemudian ia ragu-ragu apakah telah keluar sesuatu atau tidak, maka janganlag keluar (batalkan) dari tempat sujud (solat) sampai benar-benar ia mendengar suara atau menemukan bau’ (HR Muslim dan At-Tirmizi)

Hadith-hadith di atas menunjukkan bahawa perkataan مسجد itu adalah ‘tempat sujud’. Apabila dikatakan berada di sisi atau pada sisi tempat sujud, ia bermakna sedang bersolat. Oleh itu ayat 31, Surah Al-A’raaf di atas menyurug kita memakai pakaian indah di setiap kali kita mengerjakan solat. Namun demikian, di dalam kita memakai pakaian yang indah-indah ini, Allah telah mengingatkan kita dengan firmanNYA , ‘…janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan’.

Maka oleh itu kita perlu menjaga supaya jangan berlebih-lebihan atau melampau-lampau di dalam menggunakan pakaian-pakaian indah kita. Namun demikian, dalam menjaga hal berlebih-lebihan ini, kita juga tidak boleh terlampau menjaga ‘rate’ pakaian kita supaya tidak berlebih-lebihan sehingga pakaian yang indah yang sepatutnya boleh kita pakai untuk menghadapNYA, telah kita sia-siakan. Allah telah berfirman dalam Surah Al-A’raaf, ayat 26 :



Jelas yang Allah menurunkan kepada kita pakaian untuk menutup aurat dan untuk perhiasan. Rasulullah pernah menyatakan dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim: ‘Sesungguhnya Allah itu indah (cantik dan bagus), Ia (Allah) suka kepada yang indah (cantik dan bagus)’

Oleh itu, selain daripada bersih dan suci, pakaian kita semasa solat hendaklah indah dan bagus.

Rabu, 9 Disember 2009

The Magic of Learning...



Rasulullah pernah berkata dalam satu hadith, ‘Aku ini dididik oleh Allah dan Allah itu adalah sebaik-baik pendidik’. Rasulullah adalah seorang manusia yang memegang prinsip long-life education (konsep belajar seumur hidup). Konsep ini ternyata sudah baginda amalkan sejak awal kehidupan baginda.Sebab itulah cendekiawan Islam, ada mengatakan ‘Tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahat’.Hal ini tidak lain menunjukkan betapa pentingnya menunutut ilmu bermula daripada celiknya kita melihat dunia ini dan ia akan berterusan selagi nyawa masih dipinjamkan kepada kita.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa kecerdasan dan kepintaran Rasulullah telah mencapai puncak kesempurnaan yang tidak pernah dicapai oleh sesiapapun sepanjang sejarah peradaban kehidupan umat manusia di zaman baginda , mahupun zaman-zaman yang mendatang. Adakah sahabat dan sahabiah semua bersetuju dengan kenyataan saya ini??

Bukan itu sahaja, ketajaman pemikiran Rasulullah dalam menganalisis terbukti mampu menembusi batas ruang dan waktu. Meskipun beliau merupakan seorang Nabi yang terakhir, namun beliau mampu menceritakan kehidupan para Nabi yang hidup sebelumnya. Tidak cukup dengan itu, beliau juga mengetahui apa yang akan berlaku di zaman selepasnya, bermula dari keadaan umatnya sehingga sampai kepada peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat nanti.

Rasulullah pernah bersabda, ‘Aku telah diberi sesuatu oleh Allah yang belum pernah diberikan pada seorang pun dari kalangan para Nabi sebelum aku, aku ditolong dengan timbulnya rasa takut pada musuh, aku diberi kunci ilmu rahsia bumi, aku diberi nama Ahmad, dan dijadikan bumi untukku suci (dapat digunakan untuk bertayammum dan tempat solat, dan umatku dijadikan sebaik-baik umat)…’ (HR Muslim)

Kita tidak mengenal seorang Nabi pun di antara nabi-nabi yang mengamal ilmu begitu besar, selain daripada Nabi Muhammad. Beliau dikenali seorang yang sangat mencintai ilmu pengetahuan, mengajak pengikutnya untuk mencarinya, dan memuliakan orang yang menunututnya. Antara sabda-sabda baginda tentang pentingya ilmu adalah seperti berikut :

‘Sedekah terbaik adalah seseorang belajar ilmu daripada seorang muslim, lalu dia mengajarkannya kepada saudaranya yang muslim.’ (HR Ibnu Majah)

Hal ini disebabkan seorang yang beragama tanpa ilmu, tidak mungkin boleh memelihara agamanya, sehingga mudah mengikuti tipu daya syaitan dan kebatilan. Sebab itulah, telah berkata Syeikh Zarnuji dalam kitabnya Ta’lîm al-Muta’allim, pada fasal/bab yang ke-2, beliau ada mnyebut : ‘Bahawasanya kekal Islam itu dengan ilmu dan tiada sah zuhud dan takwa itu dengan jahil..’


Perhatian Rasulullah yang besar terhadap ilmu juga tergambar dalam beberapa hadithnya yang lain. ‘Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dirham dan dinar, tetapi mewariskan ilmu.’ (HR Tirmizi)

Wahai sahabat dan sahabiah semua, dari manakah Rasulullah mengetahui hakikat-hakikat ilmu yang begitu luas jika baginda bukan seorang Nabi? Rasulullah telah membuka tingkap dan pintu ilmu serta membuka pemikiran seluas-luasnya untuk orang Arab dan kaum Muslimin tanpa ikatan dan syarat.

Di samping itu, sesuatu yang bukan rahsia lagi bahawa Rasulullah sepanjang perjalanan hidupnya memiliki Mahaguru yang luar biasa iaitu Allah. Bukan sekadar guru, pensyarah atau profesor, baginda mengakui bahawa baginda dididik oleh Allah. Oleh sebab itulah sangat sesuai konsep belajar Rasulullah disebut magic. Hal ini kerana konsep belajar baginda benar-benar tidak sama sepertimana manusia lain.

Tanda dan mukjizat yang diberikan Allah kepada Rasulullah adalah al-Quran beserta isinya, tentang perkataan dan perenungan, dan tentang perasaan dan kepekaan. Al-Quran berkaitan erat dengan kearifan, pemikiran, hati dan akal. Kitab suci ini telah membuktikan bahawa rintangan waktu dan masa tidak akan dapat menjadikannya using. Al-Quran telah membuat berjuta-juta hati menusia kagum dan terpaku dengan sinaran ‘nur’nya dan ia akan terus bersinar selama-lamanya..

Demikianlah sekilas gambaran tentang kecerdasan dan keluasan ilmu yang dimiliki Rasulullah yang diberikan Allah kepadanya.

Isnin, 7 Disember 2009

Pengorbanan...


Kem Rehlah Al-Husna 2o07


Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap daripada kita menggunakan surat khabar lama sebagai medium atau alat yang mungkin sebagai salah satu alatan seni, bagi kanak-kanak (teringat zaman kecil dulu.he3..) menjadi kebiasaan menggunakannya sebagai ‘baju perisai’.Boleh ke buat baju perisai gune surat khabar??jawapannye : BOLEH(macam gambar kat atas…he3)

Hmm, pada post kali ini, bukanlah tajuk utama saya untuk membincangkan ‘Peranan Surat Khabar Lama Dalam Meningkatkan Produktiviti Insan’,he3..

Sudah tentu bukan, apabila bercakap soal surat khabar lama,setiap daripada kita sudah tentu membayangkan berkenaan cerita dan isu-isu lame yang ada padanya. Namun perlu diingatkan tidak semua perkara yang bunyinya LAMA, adalah sudah tidak boleh digunakan serta dimanfaatkan oleh kita semua..

Saya tertarik pada petikan dari Berita Harian, 23 Mei 2005, di bawah tajuk GURU CEMERLANG LAHIRKAN ANAK DIDIK GEMILANG. Antara isinya yang ingin saya ketengahkan iaitu, ‘golongan ilmuan adalah salah satu aset yang sangat berharga kepada negara. Peranan mereka menjadi tanggungjawab yang sangat penting, bagi memenuhi hasrat kerajaan dan rakyat negara kita, untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berdaya saing.’

Tambah penulis lagi,‘mendidik manusia yang berilmu bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia memerlukan usaha yang berterusan. Oleh itu sewajarnyalah guru diberi penghormatan yang tinggi', sebagaimana firman Allah SWT:

"Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan (Allah meninggikan) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat."
(Surah Al-Mujaadalah,ayat 11)

Wahai sahabat dan sahabiah semua, sudah jelas kepada kita semua akan pentingnya ilmu dan betapa besarnya peranan guru kepada kita. Ungkapan yang penuh bermakna yang biasa kita dengar, ‘siapalah kita tanpa guru..’. Ya.,saya amat bersetuju dengan ungkapan ini. Lahirnya seorang Perdana Menteri yang petah berbicara dan seorang Doktor Pakar yang terkenal, adalah bermula dari seorang guru yang pekerjaannya dianggap HINA !!

Sedarlah diri kita wahai sahabat dan sahabiah sekalian. Jangan mudah bersikap BONGKAK apabila segulung ijazah sudah digenggam di tangan. Sudah pandai memperlekehkan GURU, ungkapan biasa yang kita dengar :

Dolah (Doktor Pakar) : Mat, ape pekerjaan kau sekarang?

Mat(Cikgu): Alhamdulillah, aku dah jadi cikgu SEKOLAH RENDAH..

Dolah (Doktor Pakar) : cikgu je?? (sambil tersenyum sinis)

Begitulah serba sedikit perbualan yang biasa kita dengar dan kita tahu yang berlaku di sekeliling kita. Suka untuk saya kongsikan kepada semua sahabat dan sahabiah tentang satu filem yang pada mulanya niat di hati saje2 je nak tengok..he3. Tapi akhirnya kesudahan filem ini, telah merungkaikan 1001 pengajaran kepada saya terutamanya gambaran kehidupan yang bakal ditempuh oleh setiap bakal guru termasuk diri saya sendiri.Nak tahu filem ape tu??



Mungkin sahabat dan sahabiah semua biase dengar, malah sudah menontonnya berkali-kali iaitu GOKUSEN, sebuah filem daripada Jepun yang memaparkan suka duka seorang GURU melayan kerenah anak muridnya yang bermasalah dan sentiase buat masalah..he3. Alhamdulillah, saya baru sempat menonton GOKUSEN 1 yang mempunyai 12 episod (macam nak promote pulak..keh2). Tapi sebenarnye memang saya nak sahabat dan sahabiah tengok filem/cerite ni (bukan tengok je,ambil juge penngajaran daripadanye ye. (^_^) )

Terakhirnya, sebelum saya mengakhiri penulisan saya pada post kali ini, saya nak bawe kata-kata , Imam Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya Ulumuddin' yang menyatakan, bahawa sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat :

- Ilmu pengetahuan (pengetahuan seseorang mengenai sesuatu konsep).
- Penerangan yang mendalam terhadap konsep itu.
- Perubahan yang timbul hasil dari ilmu yang diperolehi.

Semoga segala perkongsian yang sedikit ini, dapat kita manfaatkan bersama..insyaALLAH.. (^_^)

Jumaat, 4 Disember 2009

Dapatkan Tiket Penerbangan Percuma Sekarang !!!




ADAKAH KITA TELAH BERSEDIA UNTUK BERANGKAT ???

Bila kita akan berangkat dari alam ini ianya ibarat penerbangan ke sebuah Negara

Di mana maklumat tentangnya tidak terdapat dalam sebarang brosur penerbangan, tetapi melalui Al-Quran dan Al-Hadith

Di mana penerbangan bukannya melalui Air Asia atau Air Jordan, tetapi Al-Jenazah

Di mana bekalan kita bukan lagi beg seberat 23 kg, tetapi amalan yang tiada caj lebihan berat, atau tiada caj kesudian Pencipta kita

Di mana bajunya bukan Pierre Cardin, atau setaraf dengannya tetapi kain putih cotton



Di mana pewanginya bukan Channel atau Paco Rabanne, tetapi air mawar dan cendana

Di mana passport kita bukan passport Malaysia,British atau Amerika, tetapi Al-Islam.Visa kita bukan lagi sekadar 6 bulan, tetapi ‘Lailahaillallah’

Di mana pelayannya bukan pramugari jelita, tetapi Izrail dan lain-lain

Di mana layanan dalamannya bukan lagi kelas business atau ekonomi, sekadar kain yang diwangikan

Di mana destinasi mendarat bukannya KLIA, Heathrow Airport atau Jeddah International, tetapi tanah perkuburan




Di mana ruang menunggunya bukan lagi bilik air-cond dan permaidani, tetapi bilik 6 kaki dalam gelita

Di mana pegawai imegresen adalah Munkar dan Nakir, mereka hanya memeriksa samada kita layak ke destinasi-destinasi yang diidamkan

Di mana tidak perlu pegawai kastam dan alat pengesan

Di mana destinasi terakhir samada Syurga yang mengalir sungai di bawahnya atau Neraka Jahannam

Penerbangan ini tidak dinyatakan nilainya, ianya PERCUMA, jadi simpanan (savings) anda tidak akan dihabiskan

Penerbangan ini tidak akan dirampas, oleh itu tidak perlu bimbang

Sajian tidak akan disediakan, oleh itu tak perlu risaukan masalah alergi atau halal-haram makanan

Jangan risaukan delays, penerbangan ini sentiasa tepat waktunya, ia berangkat dan tiba tepat pada masanya

Jangan fikirkan tentang hiburan dalam penerbangan, anda telah hilang selera bersuka –ria

Jangan bimbang tentang tempahan, ianya telah siap ditempah sejak anda disenyawakan di dalam rahim ibu

Ya ! Berita Baik !!

Jangan bimbangkan siapa yang duduk di sebelah anda.Anda adalah satu-satunya penumpang penerbangan ini, oleh itu bergembiralah selagi boleh ! dan sekiranya boleh !

Hanya ingat !! Penerbangan ini datang tanpa ‘amaran’
Cuma perlu ingat ! Nama anda telah ditempah untuk penerbangan



ADAKAH KITA TELAH BERSEDIA UNTUK BERANGKAT ??

Selasa, 1 Disember 2009

Larangan berpuasa...


Hadith Riwayat al-Bukhari

Hadith ini terdapat di dalam Sahih Bukhari,Kitab Puasa..

Sedikit keterangan mengenai hadith di atas :

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bertanya kepada salah satu isterinya yang berpuasa pada hari Jumaat,
“Apakah semalam (Khamis) engkau berpuasa?” Isterinya mengatakan, “Tidak.”
Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata lagi, “Apakah engkau ingin berpuasa esok (Sabtu)?” Isterinya mengatakan, “Tidak.” “Kalau begitu hendaklah engkau membatalkan puasamu”, jawab Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam

Perincian Berpuasa pada Hari Sabtu

Apa yang dapat kita konklusikan bahawa berpuasa pada hari Sabtu dibolehkan sekiranya dilakukan secara tidak bersendirian. Perincian yang sangat teliti mengenai hal ini telah dikemukakan oleh Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin (Majmu’ Fatawa wa Rosa-il Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin, 20/57-58, Darul Wathon – Darul Tsaroya, cetakan terakhir, tahun 1413 H.) sebagai berikut :

Keadaan pertama: Puasa pada hari Sabtu dihukumkan wajib seperti berpuasa pada hari Sabtu di bulan Ramadhan, mengqodho’ puasa pada hari Sabtu, membayar kafaroh (tebusan), atau mengganti hadyu tamattu’ dan sebagaiya. Puasa seperti ini tidaklah mengapa selama tidak meyakini adanya keistimewaan berpuasa pada hari tersebut.

Keadaan kedua: Jika berpuasa sehari sebelum hari Sabtu, maka ini tidaklah mengapa. Sebagaimana Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bertanya kepada salah satu isterinya yang berpuasa pada hari Jum’at (seperti hadith di atas).
Perkataan baginda “Apakah engkau berpuasa esok (Sabtu)?”, ini menunjukkan bolehnya berpuasa pada hari Sabtu asalkan diikuti dengan berpuasa pada hari Jum’at.

Keadaan ketiga: Berpuasa pada hari Sabtu karena hari tersebut adalah hari yang disyari’atkan untuk berpuasa. Seperti berpuasa pada ayyamul bid (13, 14, 15 setiap bulan Hijriyah), berpuasa pada hari Arofah, berpuasa ‘Asyuro (10 Muharram), berpuasa enam hari di bulan Syawal setelah sebelumnya berpuasa Ramadhan, dan berpuasa selama sembilan hari di bulan Dzulhijah. Ini semua dibolehkan. Alasannya, karena puasa yang dilakukan bukanlah diniatkan berpuasa pada hari Sabtu. Namun puasa yang dilakukan diniatkan karena pada hari tersebut adalah hari disyari’atkan untuk berpuasa.

Keadaan keempat: Berpuasa pada hari sabtu kerana berpuasa ketika itu bertepatan dengan kebiasaan puasa yang dilakukan, seperti berpuasa dengan puasa Daud (sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa), lalu ternyata bertemu dengan hari Sabtu, maka itu tidaklah mengapa. Sebagaimana Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengatakan mengenai puasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan dan tidak melarang berpuasa ketika itu jika memang bertepatan dengan kebiasaan berpuasanya .

Keadaan kelima: Mengkhususkan berpuasa sunat pada hari Sabtu dan tidak diikuti berpuasa pada hari sebelum atau sesudahnya. Inilah yang dimaksudkan larangan berpuasa pada hari Sabtu, jika memang hadith yang membicarakan tentang hal ini shahih.

Apakah hadith yang melarang berpuasa pada hari sabtu?



Kritikan ulama pada hadith ini

- Abu Daud mengatakan bahawa hadith ini mansukh. (telah dihapus).

- Abu Isa At Tirmidzi mengatakan bahawa hadith ini hasan.

- Dalam Iqtidho’ Ash Shirotil Mustaqim, 2/75.:

Dari hadith yang begitu banyak (mutawatir), Al Atsrom membolehkan berpuasa pada hari Sabtu. Pakar ‘ilal hadith (yang mengetahui seluk beluk cacat hadith), iaitu Yahya bin Sa’id enggan memakai hadith larangan berpuasa pada hari Sabtu dan beliau enggan meriwayatkan hadith itu. Hal ini menunjukkan lemahnya (dho’ifnya) hadith larangan berpuasa pada hari Sabtu.

- Murid Imam Ahmad –Al Atsrom dan Abu Daud mengatakan bahawa pendapat tersebut dimansukh (dihapus). Sedangkan ulama lainnya mengatakan bahwa hadith ini syadz, iaitu berselisih dengan hadith yang lebih kuat.

- Dalam Iqtidho’ Ash Shirotil Mustaqim, 2/76.:

Namun kebanyakan pengikut Imam Ahmad memahami bahawa Imam Ahmad mengambil dan mengamalkan hadith larangan berpuasa pada hari Sabtu, kemudian mereka fahami bahawa larangan yang dimaksudkan adalah jika puasa hari Sabtu tersebut dibuat secara bersendirian. Imam Ahmad pernah ditanya mengenai berpuasa pada hari Sabtu, Beliau pun menjawab bahawa boleh berpuasa pada hari Sabtu asalkan diikutkan dengan hari yang sebelumnya.

Kesimpulan

- Ada ulama yang menilai hadith larangan berpuasa pada hari Sabtu adalah lemah (dho’if) dan hadith tersebut tidak diamalkan. Dari sini, boleh berpuasa pada hari Sabtu.

- Sebahagian ulama lainnya menilai bahwa hadith larangan berpuasa pada hari Sabtu adalah jayid (boleh jadi shahih atau hasan). Namun yang mereka pahami, puasa hari Sabtu hanya terlarang jika bersendirian. Bila diikuti dengan puasa sebelumnya pada hari Jumaat, maka itu dibolehkan.

(kesimpulan yang diambil dari penjelasan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Iqtidho’ Ash Shirothil Mustaqim, 2/75-76.)

Hmm..Apakah hukumnya jike hanya berpuasa pada hari Sabtu?

- Al-Nawawi di dalam Minhaj al-Thalibin berkata:
"Dimakruhkan berpuasa hari Jumaat secara bersendirian, dan pada hari Sabtu."
(Bihamisy Mughnil Muhtaj, vol.1, hal. 447)

Maksud berpuasa pada hari Jumaat atau Sabtu secara bersendirian ialah, tidak melakukan puasa sebelum atau selepas hari berkenaan.

- Al-Khatib al-Syarbini memberi komentar:
Dan dimakruhkan berpuasa secara bersendirian pada hari Jumaat kerana sabda Rasulullah s.a.w.: "Jangan kamu berpuasa oleh salah seorang dari kamu pada hari Jumaat kecuali berpuasa sehari sebelum atau selepasnya." (HR Bukhari&Muslim).

Alasannya ialah, agar dengan tidak berpuasa dapat menguatkan dirinya untuk melakukan perkara yang dituntut pada hari Jumaat.(Lihat: Mughnil al-Muhtaj, al-Khatib al-Syarbini, vol 1, hal 447)