Isnin, 29 Jun 2009

Bai’ah..



Kita sering mendengar istilah bai’ah atau pada erti kata lain janji , namun di sini ana ingin membawa sahabat semua berkenaan bai’ah ini pada zaman pemerintahan dan pentadbiran Islam zaman Khulafa’ Al-Rasyidin. Menurut Dr. Mahayudin Hj. Yahaya , pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaaan Malaysia dalam bukunya Tamadun Islam, bai’ah adalah pengakuan seseorang atau sekumpulan manusia terhadap seseorang untuk berkuasa atau memerintah yang dikenali sebagai khalifah.

Apakah sebenarnya peranan bai’ah itu pada zaman
Khulafa’ Al-Rasyidin ini ??

Bai’ah merupakan satu daripada syarat perlantikan khalifah. Tanpa bai’ah bererti bahawa proses perlantikan khalifah masih belum selesai. Kedua-dua pihak, khalifah yang dilantik dan rakyat yang melantik semestinya patuh kepada janji atau akad yang dibuat, sepertimana yang tersebut dalam Al-Quran, Surah al-Isra’ ayat 34 :

“ dan tunaikanlah janji, bahawa sesungguhnya janji itu akan dipersoalkan/dipertanggungjawabkan ”

Asal perkataan bai’ah ??

Perkataan bai’ah berasal dari kata dasar ba’a iaitu jual. Urusan jual beli melibatkan tiga perkara pokok :
- Penjual
- Pembeli
- Barang yang dijual / dibeli

Syarat sah jual beli ialah akad. Kedua-dua belah pihak, penjual dan pembeli mestilah berakad sebelum berjual beli.Membai’ah khalifah boleh diibaratkan seperti berakad dalam urusan jual beli. Khalifah yang dibai’ah mestilah komited (iltizam) atau memberikan jaminan terhadap segala tugas dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin terhadap rakyatnya.

Tugas dan tanggungjawab itu diibaratkan seperti barangan yang diperdagangkan iaitu ia mestilah dapat memuaskan hati para pembelinya yang diwakili oleh rakyat jelata. Pendek kata jika barangan yang ditawarkan itu kurang baik atau tidak memuaskan pembeli, maka wajarlah dipulangkan semula. Begitu juga halnya dengan pihak khalifah atau pemerintah Islam, jika pemerintahannya tidak baik atau menyeleweng daripada ajaran Al-Quran dan Hadith, maka ia wajar meletakkan jawatan atau dipecat jika perlu. Contoh terbaik yang mencerminkan sistem bai’ah dan syura ditunjukkan oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Sebaik sahaja beliau dilantik menjadi khalifah, beliau berkata :

“ walaupun aku dilantik, aku bukanlah orang yang terbaik antara kamu, jika sekiranya aku berlaku benar ikutlah aku, tetapi sebaliknya jika aku bersalah maka sanggahilah aku...
taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan RasulNYA, jika aku berdusta maka janganlah kamu mentaati aku... ”


Pada masa kini manusia berlumba-lumba untuk mengejar jawatan , pangkat dan darjat yang semata-mata hebat hanya pada pandangan manusia, bagaimana pula pada pandangan ALLAH ??

Lidah yang lembut kadang-kadang lembutnya menewaskan kelembutan air yang mengalir di liku-liku sungai, mudah untuk berjanji dan berbai'ah, namun gerak kerja yang dilaksanakan hanyalah semata-mata untuk dipertontonkan, adanya dia dikala kaca-kaca kamera bertumpu..

INGATLAH BAHAWA AMANAH ITU ADALAH BERAT...

Sabtu, 20 Jun 2009

wahabi..



Apabila menatap salah satu daripada berita dalam akhbar Sinar edisi Terengganu,19 Jun 2009, berkenaan dengan ‘Pensyarah kanan saman pemilik blog RM1 juta’ . Hati ini begitu teruja ingin mengetahui lebih lanjut keseluruhan berita ini. Sepertimana yang diberitakan, seorang pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memfailkan saman fitnah bernilai RM1 juta terhadap pemilik blog kerana didakwa menerbitkan artikel mengaitkannya dengan fahaman WAHABI.

Dr Azwira Abdul Aziz,41 , yang bertugas di Jabatan Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah menamakan pemilik blog tersebut iaitu Zamihan Mat Zin,32 , selaku defendan dalam permohonan itu.

Dr Azwira Abdul Aziz (plaintif) yang juga ahli majlis fatwa Perlis memfailkan saman itu pada jam 10.40 pagi , 18 Jun 2009, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini menerusi peguam Adnan Seman @ Abdullah.

Plaintif menuntut ganti rugi am dan pengajaran masing-masing bernilai RM500,000 kerana mendakwa defendan menerbitkan dan mengedarkan artikel bertajuk ‘Kisah Lama dari UKM’ pada 6 Mac 2008 yang didakwa mengandungi perkataan memfitnah yang membawa maksud plaintif amat taksub dengan fahaman WAHABI ,berfikiran sempit dan membawa ajaran sesat.

Sementara itu, Dr Azwira Abdul Aziz berkata,tindakan saman diambil kerana defendan enggan meminta maaf secara bertulis walaupun diminta berbuat demikian.Ketika diminta menerangkan isitilah WAHABI , Dr Azwira Abdul Aziz berkata , istilah itu dicipta dan digunakan bagi memburukkan individu berbeza pandangan tentang permasalahan agama.

Apa yang dapat ana simpulkan berkenaan berita ini adalah tentang kurangnya fahaman kita tentang isu WAHABI ini, walhal pada masa kini para-para sarjana di negara kita sudah banyak menerangkannya dalam bentuk penulisan mahupun penganjuran seminar berhubung Syeikh Muhammad Abdul Wahab yang dikaitkan dengan WAHABI dan yang menjadi pencetus gerakan ini.

Seterusnya, tentang sikap masyarakat kita lebih-lebih lagi di kalangan orang yang menceburi bidang agama itu sendiri yang mudah untuk melabel dan menghukum dengan istilah WAHABI apabila sesuatu pendangan atau pendapat seseorang yang dirasakan berbeza,pelik dan jauh daripada pandangan mereka itu yang mereka rasakan pandangan mereka sudah bertepatan dengan pandangan Imam Syafi’i dan mazhab Syafi’i.

Oleh itu, kita seharusnya sentiasa kembali kepada ‘harta pusaka’ dan ‘wasiat’ yang ditinggalkan oleh Rasulullah kepada kita , yang apabila kita pegang dan jadikan ia panduan hidup, maka kita akan terhindar daripada kesesatan. Sabda Rasulullah s.a.w.

“Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Sekiranya kamu berpegang teguh dengan keduanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu, Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku.”



seminar antarabangsa mengenai Syeikh Muhammad Abdul Wahab, anjuran Kerajaan Perlis



kertas kerja seminar antarabangsa mengenai Syeikh Muhammad Abdul Wahab

Sabtu, 13 Jun 2009

Ust Fathi Yakan kembali kepada Allah...

Disaat umat Islam seluruh dunia hari ini sibuk dengan urusan masing-masing, kita dikejutkan dengan hilangnya sebutir lagi mutiara berharga bagi gerakan Islam dunia. Website http://www.ikhwan-jor.com/ hari ini melaporkan kematian Al-Fadhil Ust Fathi Yakan , tokoh Ikhwan yang menggerakkan dakwah di beberapa buah Negara Arab seperti Lubnan dan lain-lain pagi tadi.

Ust Fathi Yakan meninggal dunia ketika umurnya mencapai 76 tahun dan separuh dari umurnya dihabiskan dijalan dakwah bersama gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Beliau lahir pada tahun 1933. Beliau yang sinonim dengan karya ‘Maza Ya’ni Intima’ lil Islami ?” – Apa Ertinya Saya Menganut Islam ‘ dan Abjadiyah Dalam Gerakan Islam sering dijemput ke pelbagai buah Negara termasuk di Malaysia satu waktu lalu dalam rangka membincangkan perkara-perkara berkait masalah ummah dan perkembangan gerakan Islam.

Al-Fatihah


Biodata ringkas Ust Fathi Yakan..


Fathi Yakan dilahirkan di Tarablas pada tahun 1933 dan telah mendapat ijazah kedoktoran dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab. Beliau telah terlibat dengan kerja-kerja Islam sejak tahun 50an dan telah menubuhkan Jamaah Islam pada awal 60an. Beliau telah menjawat ketua umum di dalam Jamaah Islam sehinggalah pada tahun 1992.

Pada tahun tersebut beliau telah bertanding dan telah memenangi kerusi parlimen. Beliau kekal sehinggalah pada tahun 1996. Di tahun-tahun kebelakangan ini beliau telah mengetuai jabhah Islami. Beliau telah mengambil peranan penting untuk menghentikan peperangan Mukhayyam Narul Barid di utara Lubnan diantara Tentera Lubnan dan Jamaah Fathul Islami pd tahun 2007.

Beliau telah banyak mengarang buku diantaranya maza ya'ni intiami lil Islam, al-Mutasiqituna fala toriq Da'wah, kaifu nadwu lil Islam dan lain-lain yang melebihi 35 buah buku.


‘Maza Ya’ni Intima’ lil Islami ?” – Apa Ertinya Saya Menganut Islam

Khamis, 11 Jun 2009

Kesempurnaan Solat Berjama'ah..



Kita seringkali diperingatkan supaya sentiasa memperbaiki solat kita agar solat yang dilaksanakan betul-betul sempurna dan mengikut apa yang diperintahkan oleh Rasululullah S.A.W. Hal ini bertepatan dengan hadith Rasulullah :

"Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat"

Ada pihak yang mempersoalkan bagaimana kita hendak solat sepertimana yang Rasulullah laksanakan sedangkan kita tidak hidup sezaman dengannya dan melihat solat dan ibadah-ibadah lain yang dilakukan oleh baginda?Jawapannya tidak lain adalah dengan mendalami ilmu-ilmu hadith terutamanya yang berkaitan dengan cara/kaifiat perlaksanaan sesuatu ibadah.

Semasa ana di bangku sekolah menengah di Kelantan dahulu, ustaz-ustaz sentiasa memberikan penekanan berkenaan perkara ini.Kami diberikan kefahaman tentang cara-cara pelaksanaan sesuatu ibadah terutamanya ibadah solat yang betul iaitu mengikut sepertimana yang telah disabdakan oleh baginda dalam hadith-hadith shahih, dan yang paling penting adalah solat yang dilaksanakan haruslah berjama'ah kerana ianya adalah satu tuntutan terutamanya kepada kaum Adam yang telah baligh.Mengapa pentingnya kita perlu melihat dan menjaga solat kita? kerana pada hari akhirat nanti perkara pertama yang akan dipersoalkan adalah tentang solat kita.



Justeru , ana hendak kongsikan kepada sahabat-sahabat semua sebuah buku yang telah dikarang oleh Prof.Dr. Zakaria Awang Soh iaitu pengerusi Sekolah Menengah Islam Al-Husna, Kota Bharu , Kelantan yang berjudul 'Kesempurnaan Solat Berjama'ah' yang telah diterbitkan oleh Purnama Ikhlas Sdn.Bhd.


'Kesempurnaan Solat Berjama'ah'

Antara perkara yang ditekankan oleh penulis dalam buku ini adalah berkaitan permasalahan makmum.Dalam masalah makmum mengerjakan rukun-rukun solat di belakang imam ada empat perkara yang menjadi asas dan ianya akan menentukan kedudukan solat berjama'ah seseorang.Asas-asas ini perlu sekali difahami, sekiranya seseorang itu hendak menjaga solat berjama'ahnya.

Asas pertama ialah mengikut imam (mutaba'ah), iaitu setelah imam selesai bertakbir ihram , dia tidak melengah-lengahkan untuk terus bertakbir.

Asas Kedua ialah mendahului imam (musabaqah), iaitu makmum mengerjakan perbuatan rukun solat lebih dahulu daripada imam.Hal ini amat dilarang keras oleh Rasulullah dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Muslim:

Dari Anas, ia berkata : Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W mengimami solat kami.Ketika telah selesai solat, baginda mengadap kami dengan wajahnya, lalu bersabda : "Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah imam kamu, maka janganlah kamu mendahului aku dengan ruku', sujud, berdiri atau selesai(salam).

Asas ketiga ialah menyamai imam (muwafaqah), iaitu melakukan sesuatu perbuatan bersamaan dengan imam, sama ada ucapan atau perbuatan.Hal ini bermakna makmum memulakan sesuatu perlakuan itu sebelum imam menyelesaikan mengerjakan perlakuan tersebut.Sebagai contoh, imam bertakbir intiqaal(tukar rukun) untuk ruku' , makmum pun terus bertakbir intiqaal sebaik sahaja imam bertakbir tetapi sebelum imam sempat berkedudukan sempurna dalam ruku' .Hal Ini dikatakan mengerjakan perlakuan bersama dengan imam.

Asas keempat ialah yang berkait dengan rukun yang tertinggal (at-takhalluf) di belakang imam, iaitu makmum terlambat dalam mengerjakan sesuatu rukun solat, seperti imam telah sujud, pada masa itu makmum baru sahaja ruku'.Dalam hal ini terdapat dua jenis at-takhalluf, iaitu :

- Takhalluf dengan uzur iaitu apabila berlakunya kelambatan itu disebabkan adanya keuzuran seperti tidak mengetahui imam sudah ruku' walhal pada masa itu dia masih dalam keadaan berdiri(qiam), mungkin kerana kerosakan pembesar suara atau berlakunya bunyi yang kuat seperti guruh.Hal ini dikatakan termasiuk dalam takhalluf dengan uzur.Maka olatnya sah dan tidak perlu mengulanginya.

- Takhalluf tanpa uzur iaitu tertinggal disebabkan oleh sebarang hal yang menyebabkan makmum tidak mengetahui apa yang imam kerjakan.

Inilah serba sedikit ilmu yang dapat ana kongsikan pada apa yang telah diperbahas oleh penulis dalam buku ini.Semoga ilmu yang sedikit ini dapat kita ambil perhatian dan dijadikan panduan dalam kehidupan kita ini.


bangunan kuliah putera di Sekolah Menengah Islam Al-Husna, Kota Bharu, Kelantan

Selasa, 9 Jun 2009

Rahsia ARQAM...

Alhamdulillah, dikesempatan waktu cuti semester yang ALLAH berikan kepada ana , dan dengan rahmatNYA juga ana dapat menghabiskan secara keseluruhan buku yang berjudul 'Rahsia ARQAM' ,karangan Ustaz Ann Wan Seng yang diterbitkan oleh PTS Milennia Sdn. Bhd.Sebelum ana menceritakan serba sedikit sinopsis buku ini, eloklah ana perkenalkan kepada sahabat-sahabat semua iaitu siapakah Ustaz Ann Wan Seng ?? Dan sejauh mana kaitan penulis dengan jemaah Arqam ini ??



Siapakah Ustaz Ann Wan Seng ?

Ustaz Ann Wan Seng adalah anak kelahiran Klang, Selangor.Beliau adalah Penolong Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Putra, Ahli Jawatankuasa Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan dan Penasihat Asrama Baitul Ummah, asrama kanak-kanak yatim, fakir miskin dan mualaf di Taman Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Apakah kaitan Ustaz Ann Wan Seng dengan jemaah Arqam ?

Ustaz Ann Wan Seng bukanlah salah seorang daripada ahli Arqam pada masa dahulu.Namun buku ini adalah cebisan-cebisan nota dan artikel yang beliau tulis semasa menjalankan kajian berkenaan Arqam pada awal tahun 1990-an.Pada masa itu Arqam berada di kemuncak perjuangan dengan mendapat perhatian yang meluas daripada masyarakat sama ada di dalam ataupun luar negara.Perlu diingat bahawa pada masa itu Arqam adalah satu jemaah besar dalam arena dakwah yang terlibat secara lansung dalam arus kebangkitan semula Islam di Malaysia.



Serba ringkas berkenaan buku 'Rahsia ARQAM'

Sejak ditubuhkan pada tahun 1968 , pertubuhan Al-Arqam banyak memainkan peranan dan terlibat secara aktif dalam arus kebangkitan semula Islam.Bukan sahaja di Malaysia, malah pada peringkat antarabangsa.Dengan penampilan yang berbeza, Al-Arqam dikatakan membawa ajaran sonsang dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam sehingga diharamkan pada tahun 1994.

Buku ini lebih menfokuskan kepada perkara-perkara yang berlaku semasa Arqam masih wujud serta aspek-aspek dalaman yang dianggap kontorversi dan menarik untuk diketahui.Antara isu-isu yang dikupas di dalam buku ini adalah :

- Apakah kaitan Abuya dengan At-Tamimi ??
- Apakah rahsia Ashaari di Luar Negeri ??
- Isu penting berkenaan Syeikh Suhaimi dan Majlis Yaqazah
- Istilah Gagak Hitam dan Hantu Bungkus

Apa yang ana cuba untuk ketengahkan kepada sahabat-sahabat semua tentang buku ini bukanlah ingin memberikan kemasyhuran kepada Ashaari/Abuya dan jemaah Arqam , tetapi lebih kepada ingin membawa pengajaran kisah Arqam ini supaya menjadi panduan kepada kita dalam menempuhi pahit manis hidup di dalam perjuangan.Suka untuk ana kongsi iaitu setelah meneliti segala isu yang diketengahkan oleh penulis berkenaan Arqam di dalam buku ini , secara jujur ialah segala method,waqi' dan teknik dalam berdakwah dan ber'siasah' yang telah diamalkan dalam Arqam bermula daripada barisan kepimpinan tertinggi sehingga kepada ahli-ahli jemaah yang lain melihatkan kepada satu kejayaan yang besar terutamanya dalam perkembangan Islam di negara kita.Hal ini dapat kita jadikan sebagai satu Fiqh Dakwah serta Fiqh Siasah dalam kita mengemudi behtera perjuangan Islam di negara kita pada masa kini.Berakhirnya perjuangan Arqam bukanlah menjadi satu titik noktah dalam penyebaran dan perjuangan Islam di negara kita, tetapi berakhirnya zaman kegemilangan Arqam telah ALLAH gantikan dengan perjuangan menegakkan Islam yang lebih syummul iaitu menyeluruh kepada semua aspek kehidupan yang berlandaskan Islam itu sendiri.


pertemuan penulis dengan Ashaari dan ahli-ahli Arqam

PAS celaru??

Sewaktu menatap tajuk utama akhbar Sinar edisi selangor & KL yang bertarikh 8 Jun 2009 iaitu hari isnin.,'PAS celaru..'

Hati begitu tergerak ingin mengetahui maksud sebenar tajuk utama itu, adakah benar PAS sekarang sudah mengalami kecelaruan??Apabila puas meneliti dan membaca kesemua berita dalam akhbar ini, betullah sangkaan pertama yang terdetik di dalam benak fikiran.Isu yang hendak digembar-gemburkan adalah berkenaan isu penubuhan kerajaan perpaduan yang telah cuba diketengahkan oleh Presiden Pas iaitu Tuan Guru Hj.Abdul Hadi Awang.

Namun, sejauh manakah pandangan ahli-ahli PAS lain berkenaan perkara ini?Adakah mereka sebulat suara bersetuju dengan pandangan presiden mereka??

Sepertimana yang kita ketahui, Mursyidul Am PAS iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tegas menolak penubuhan kerajaan perpaduan ini, menurut beliau :


"Penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO adalah mengarut.Kita sudah buat keputusan menyokong Pakatan Rakyat dalam muktamar PAS yang lalu.Kalau nak berunding dengan UMNO,tak usah"

Bukan sahaja Mursyidul Am, malah kebanyakan ahli-ahli PAS yang lain kurang bersetuju dengan cadangan itu.Namun perlu kita ketahui bahawa , tujuan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang dirintiskan oleh Presiden PAS bukanlah bermaksud PAS bakal bergabung dengan UMNO sama sepertimana PAS bergabung dengan parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat, tetapi ia lebih kepada kerjasama dan perbincangan bersama terutama menghadapi tsunami kegawatan dan kemelesetan ekonomi global yang kita hadapi pada masa kini.Hal ini dapat dibuktikan dengan kata-kata Presiden PAS :


"Pakatan ini perlu dibentuk bagi menyelesaikan masalah dalaman negara secara menyeluruh.Usaha itu menunjukkan PAS mengamalkan dasar terbuka selaras dengan prinsip demokrasi"

Presiden PAS melihat akan keruntuhan sistem komunis dan seterusnya kegagalan sistem ekonomi kapitalis yang sedang berlaku pada hari ini adalah menandakan satu bentuk kehancuran ideologi ciptaan manusia. Kita perlu menyedari bahawa perubahan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia atas sifatnya sebagai makhluk ciptaan Allah.

PAS ingin memimpin perubahan dengan membawa satu gagasan politik Islam yang akan menyatukan kaum di Malaysia ini dengan keadilan sejagat.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." [4:58]

Jelaslah bahawa kecelaruan yang dihadapi PAS sepertimana yang diwar-warkan oleh media massa, pada hakikatnya bukanlah satu kecelaruan, namun tujuan Presiden Pas mengetegahkan isu ini adalah lebih bersifat kepada pertukaran pandangan,pendapat dan buah fikiran sesama ahli PAS khususnya dan juga sesama masyarakat amnya.Hal ini tidak lain,adalah untuk menyelamatkan negara kita daripada tenggelam dan hanyut dalam tsunami ini.Selain itu,perlu kita ambil perhatian iaitu perselisihan pendapat ataupun khilaf adalah menjadi lumrah dalam sesuatu organisasi ataupun jemaah.Hasilnya dengan khilaf inilah setiap daripada kita akan lebih matang dalam berfikir, bertindak dan membuat keputusan.

Isnin, 1 Jun 2009

Akhlak ahli gerakan Islam..

Setiap manusia memiliki potensi dan bakat tersendiri yang boleh melonjakkannya menjadi insan yang amat diperlukan oleh masyarakat, apatah lagi jika manusia ini daripada jenama Muslim, pasti dia amat diperlukan oleh agamanya untuk mengembang, memperkasa, membenteng, melindunginya daripada anasir yang boleh menggugat kekuatannya daripada serangan makhluk perosak akidah, iman dan ilmu pengetahuan agama.

Ia semua tertakluk kepada sejauhmana insan Muslim itu dapat membentuk jati dirinya dengan aspek tarbiyah yang telah diperkatakan sebelum ini, dengan mengambil kira semua jenis tarbiyah yang diperlukan oleh seseorang ahli gerakan Islam yang aktif, di samping memelihara uslub dakwah yang berkesan bagi memastikan kesinambungan gerakan Islam terus utuh dan kukuh di persada alam ini.

Bagi memastikan agar Islam terus berkembang melalui usaha dan kerja dakwah, ahli-ahli gerakan Islam perlu memelihara beberapa konsep akhlak yang dikira sebagai penting bagi meneruskan misi untuk memartabatkan Islam sebagai agama tertinggi dalam perjuangan hidup sebagai hamba Allah di muka bumi ini, antara akhlak tersebut yang mesti dipelihara ialah:

1. Akhlak terhadap Allah

2. Akhlah terhadap Rasulullah

3. Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran)

4. Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah

5. Akhlak sesama jiran tetangga

6. Akhlak terhadap orang ramai

Konsep akhlak dalam Islam

Islam mempunyai dua sumber iaitu al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua sumber itulah juga yang menjadi sumber akhlak Islamiyah.

Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya.

Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyah sebagai satu ilmu berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisinya seperti berikut:

Satu ilmu yang membahaskan tatanilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenal pasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredhaan Allah (ridwaanullah).

Manakala akhlak pula dapatlah kita rumuskan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.

Dengan kata lain, akhlak ialah suatu sistem yang menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan haiwan, dengan malaikat, dengan jin dan juga dengan alam sekitar.

Justeru, baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa, akhlaklah yang menjadikan seseorang Muslim itu hingga mencapai iman yang sejati, ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesempurna iman seseorang yang beriman itu adalah yang paling baik akhlaknya."

Akhlak terhadap Allah SWT

Ia bermaksud bahawa yang paling utama sekali ialah beriman kepada Allah SWT selaku Pencipta yang meliputi kepercayaan dan pegangan kental mengenai 'Tauhid Uluhiyyah' dan 'Tauhid Rububiyyah' bagi melahirkan iman dan akidah yang sejahtera daripada sebarang kepercayaan khurafat, bid'ah, tahayul, syirik yang sememangnya tidak sinonim dengan ahli-ahli gerakan Islam yang memperjuangkan akidah yang benar berpaksikan al-Quran dan Sunnah baginda Rasulullah s.a.w.

Akhlak terhadap Rasulullah s.a.w.

Iaitu keimanan dan kepercayaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul dan nabi terakhir seperti yang ditegaskan oleh al-Quran, membenarkan risalah yang dibawa kepada umat bagi menyatakan konsep 'Amar Makruf Nahi Mungkar' tanpa mengira batas sempadan kaum, bangsa, kedudukan, pangkat, jantina dan sebagainya, semuanya sama di sisi Allah, kerana yang paling bertakwa adalah yang paling mulia di sisi-Nya.

Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran)

Sesungguhnya al-Quran adalah rujukan utama kepada ahli-ahli gerakan Islam, ia dapat dijelmakan melalui pembacaan, penghayatan, kajian, penghafazan jika mampu lakukan atau menghafaz surah-surah tertentu yang sering dibaca oleh orang awam dan mentafsirkannya dengan pendekatan yang mudah difahami oleh golongan sasaran, ia bertujuan bagi menarik mereka kepada jalan hidup Islam yang sempurna.

Ini kerana al-Quran seperti apa yang pernah disampaikan oleh baginda sendiri, bahawa di dalam al-Quran ada menceritakan kisah orang-orang terdahulu daripada umat hari ini dan berita mengenai kehidupan di alam akhirat, ia memberi maksud bahawa kitab suci itu amat berguna untuk pegangan ahli-ahli kerana ia mampu menginsafkan mereka di samping menetukan hala tuju hidup terakhir untuk menuju jalan menemui Allah SWT.

Ahli gerakan Islam perlu tahu tafsir al-Quran dengan baik, kerana ia terbahagi kepada tafsir al-Ma'thur sama ada tafsir ayat dengan ayat yang lain, atau tafsir ayat yang diperjelaskan oleh hadis Nabi, tafsir bi ar'yi al-Mamduh aitu tafsir dengan menggunakan pendapat yang boleh diterima seperti kitab tafsir yang dibuat oleh kedua-dua Tuan Guru Mursyidul Am dan Presiden PAS, tafsir Hamka, tafsir Ustaz Sonhaji Mohammad al-Ibr al-Athir dalam bahasa Melayu, Saiyid Qutb yang ditrerjemahkan dalam bahasa Melayu oleh al-marhum Yusuf Zaki Yaakob dan lain-lain.

Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah

Hadis adalah perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasul s.a.w. dan apa yang disandarkan kepada Rasul s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya. Hadis atau Sunnah Rasul s.a.w. adalah sumber rujukan kedua selepas al-Quran.

Sebagai ahli gerakan Islam, mereka perlu melihat bahawa hadis atau sunnah Nabi Muhammad penting dalam kehidupan rutin harian, iaitu mereka perlu menghafaz beberapa hadis penting sebagai rujukan hujah ketika menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai.

Mereka juga perlu menguasai perkara yang berkaitan dengan hadis atau sunnah seperti mengetahui imam-imam tersohor agak tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh yang berselindung dalam kelambu orang Melayu. Imam-imam itu adalah seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Nasa~ie disamping Imam Baihaqi, Tabarani, al-Hakim dan lain-lain, begitu juga menguasai ilmu 'Ulum al-Hadis' dengan mengetahui istilah hadis sohih, do'if, mutawatir, mursal, maudo' (palsu) dan lain-lain.

Akhlak sesama jiran tetangga

Ia juga merupakan pendekatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan memelihara jiran tetangga walaupun mereka bukan beragama Islam, ini adalah kerana mereka juga merupakan makhluk manusia yang mempunyai hati dan perasaan yang sama dengan kita.

Ahli-ahli gerakan Islam adalah disaran agar memiliki ciri mesra alam dengan sesiapa terutama jiran tetangga, dengan tidak diri atau isteri mendedahkan aurat ketika berinteraksi dengan mereka kerana ini boleh menghilangkan sedikit rasa tidak percaya mereka kepada diri dan menjejaskan potensi untuk mengajak mereka kepada Islam secara praktikal.

Layanilah mereka dengan santun dengan tidak mengguris perasaan mereka walaupun mereka tidak menerima dakwah yang kita syorkan kepada mereka, apatah lagi mereka tidak sinonim dengan masjid atau program surau yang berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah. Ahli perlu bersabar terhadap keranah mereka sebagai menyahut seruan baginda s.a.w. yang bermaksud: "Seorang mukmin yang bercampur/bergaul dengan orang ramai dan bersabar terhadap karenah-karenah mereka adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bercampur/bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar terhadap karenah-karenah mereka."

Akhlak terhadap orang ramai

Ia satu lagi akhlak yang perlu dititik-beratkan oleh ahli gerakan Islam, iaitu menjadikan orang ramai sebagai medium untuk menyampaikan mesej dakwah. Tetapi apapun sebelum melakukan tugas atau usaha dakwah itu, ahli perlu menguasai ilmu-ilmu alat di samping menyelami kehendak mereka bagi memudahkan kerja-kerja dakwah dengan tidak menghalalkan cara yang salah untuk sampai kepada matlamat.

Usaha dakwah terhadap orang ramai perlu menunjukkan sikap dan akhlak terpuji, apatah lagi ia tidak kelihatan menyanggah sunnah-sunnah Rasululla s.a.w. seperti menghisap rokok, minum atau makan berdiri, memakai pakaian yang tidak dianggap sopan menurut pandangan orang ramai.

Ia bertujuan untuk sampai kepada matlamat sebenar penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, sekali gus menaikkan taraf mereka sebagai sebaik-baik umat seperti yang ditegaskan Allah melalui ayat 110 surah Ali 'Imran yang bermaksud: "Kamu adala sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada umat manusia sejagat, dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah."

rujukan : http://www.harakahdaily.net/