Rabu, 22 April 2009

Hakikat seorang wanita..

Wanita ?? hmm..

Wanita adalah insan yang penting dalam kehidupan seseorang lelaki.Hal ini tidak dapat untuk dinafikan,jangankan lelaki biasa,nabi sendiri pun terasa sunyi tanpa wanita.

Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok. Untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus, Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah, Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah.

Didiklah mereka dengan panduan darinya. Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta, kerana nantinya mereka semakin liar. Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan, kerana nantinya mereka akan semakin derita. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal. Di situlah punca kekuatan dunia.

Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu...
Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman...
Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak....




Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya mereka akan lihat nilaian dan keadilan ALLAH. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Ia bukan diskriminasi ALLAH.Sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah...

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan. Tanpa iman, ilmu dan akhlak, mereka tidak akan lurus, Bahkan akan semakin membengkok. Itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya...

Bila wanita menjadi derhaka,pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara. Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata! Tapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum wanita menuju ilahi, pimpinlah diri kepadanya. Jinakkan diri kepada Allah. Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu. Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra' Seandainya dirimu tidak sehebat saidina Ali karamallahuwajhah...

renungkanlah...

Sabtu, 18 April 2009

Allah pasti memberikan yang terbaik..



Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Setiap manusia pastinya selalu menginginkan yang terbaik. Mendapat segala
yang terbaik dan mengusahakan sesuatu yang terbaik, baik untuk dirinya
mahupun untuk orang-orang yang tersayang…

Salah satu sifat seorang Muslim ialah selalu memohon dan meminta pada
Allah,Zat yang Maha Kuasa. Satu persepsi dan pegangan bagi seseorang yang
bepegang teguh bahawa jika mahukan sesuatu, mintalah pada Allah kerana Dia pasti
tidak pernah menghampakan.

Meminta pada manusia, sekali dua kali, mungkin diberinya, tapi mungkin
tidak pada permintaan yang berikutnya....tetapi jika berkehendakkan sesuatu,
mintalah pada Allah, kerana Dia pasti tidak jemu dan bosan untuk
menunaikannya, terkadang juga tidak diminta, diberi-Nya pula.

Mungkin terselit ungkapan tulus dalam bait-bait kata dalam
banyak-banyak doa yang dipohonkan kepada Ilahi ...

“ Ya Allah, berikanlah yang terbaik untukku....”

Tetapi terkadang manusia lupa, terkadang yang dirasakan terbaik untuk diri kita menurut kacamata kita adalah yang terburuk untuk kita menurut pandangan Allah.

“.............Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik
bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk
bagimu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui...” (QS: 216)


Sebaliknya, berkatalah...”Ya Allah, berikanlah yang terbaik untukku,
yang Engkau rasakan terbaik untukku...”.

Terkadang juga manusia itu lupa, bahawa yang dilaluinya dan diterimanya
itulah yang diminta daripada Allah. Kita terkadang sering lupa, yang
datang itulah yang terbaik untuk kita. Tanpa kita pinta, sesuatu ujian yang
amat berat datang menjengah untuk mewarnai kehidupan dan menguji kesabaran
kita. Suatu ujian yang dirasakan berat untuk dipikul dan terasa hilang
kesabaran menghadapinya. Ujian yang kita tidak minta tetapi ia datang. Sedangkan
kita lupa, bahawa ujian itulah yang kita minta daripada Allah, sesuatu yang
‘terbaik’ untuk kita. Ibrah yang ‘terbaik’ untuk kita...untuk
menjadikan kita yang ‘terbaik’ di pandangan Allah.

Begitulah, setiap sesuatu yang ‘terbaik’ itu, amat tinggi nilainya di
mata Allah, tiap sesuatu yang ‘terbaik’ itu juga amat tinggi pengorbanannya
pada Allah, tinggal pada diri kita, adakah kita sanggup untuk menghadapinya
untuk mendapatkan yang terbaik itu serta sentiasa berbaik sangka kepada Allah
atau sebaliknya......

Janganlah kita menjadi hamba yang kufur akan nikmat-Nya, hanya kerana
belum diberi apa yang diinginkan. Yakinlah, Allah Maha Tahu apa yang terbaik
bagi hamba-Nya. Lihatlah sisi positifnya dari setiap keadaan kita.

Yang manapun kita, bersabarlah...........


al-faqirah..

Sabtu, 11 April 2009

Dakwah penuh kasih, bijaksana paling berkesan

Empat strategi sebar Islam dalam masyarakat majmuk perlu berlandaskan keharmonian
Oleh Prof Dr Sidek Baba


PELBAGAI orientasi dakwah digerakkan hari ini dalam usaha meningkatkan kesedaran dan penghayatan Islam. Ada memilih orientasi heararki (gerakan), siasi (politik), orientasi tabligh dan sufi bagi mencapai keberkesanan dalam kefahaman dan amal Islam.

Di samping jemaah sukarela, peranan lembaga kerajaan juga aktif menghidupkan suasana dakwah di samping menghasilkan institusi seperti bank, kewangan, takaful, institusi pengajian tinggi, menengah dan rendah.

Perkembangan ini menjadi lebih baik jika wujud penyelarasan pada setiap peringkat dan pihak bahawa skop dakwah tidak sekadar seruan dan ajakan secara lisan, sebaliknya dakwah juga pada lembaga serta institusi yang menyalurkan nilai serta etika Islam.

Namun, ada orientasi sukarela menyandarkan dakwah kepada jemaah atau gerakan di luar negara yang cabaran serta masalah tidak sama di negara kita. Malaysia adalah negara unik yang memerlukan kaedah sesuai dengan latar belakang sejarah, sosioekonomi dan pentadbirannya.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna tiada persamaan antara Mesir dan Indo-Pakistan dengan Malaysia tetapi mengambil pendekatan ala Malaysia dalam dakwah perlu kerana orientasi masyarakat majmuk, kebebasan serta pengaruh Islam dalam sistem.

Pendekatan dakwah ala Malaysia mengambil kira peruntukan Islam dalam perlembagaan khususnya yang ada dalam bidang kuasa negeri di samping ruang untuk melaksanakan kegiatan dakwah secara bijaksana.

Sejarah perkembangan dakwah Islam sejak zaman Melaka hingga kini dan pendekatan dinamik yang perlu ada bagi badan dakwah melihat kepada potensi umat Melayu serta bukan Melayu atau bukan Islam.

Rasulullah SAW menganjurkan suatu dustur (kaedah) dakwah yang terbaik iaitu: “Serulah ke jalan Tuhanmu secara bijaksana dengan pekerti teladan yang baik, hujah terbaik dan meyakinkan”. Dustur dakwah itu sesuai dalam realiti Malaysia.

Sebagai dai dan murabbi, di depannya ada potensi orang yang hendak didakwahkan pada segala peringkat dan latar belakang. Harus diteroka jalan bijaksana supaya risalah kebenaran dapat disampaikan di samping kehidupan rohaniah dijadikan pedoman.

Pertama, perlu ada sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap orang yang hendak di dakwah. Berdakwah dengan memberikan label dan sindiran boleh menyebabkan sasaran lari dan tidak tertarik dengan cara diambil.

Kita harus menginsafi tidak semua orang memiliki latar pendidikan dan binaan keluarga yang baik. Sesetengah yang ingin didakwah adalah orang yang cicir dalam keluarga, mengalami kelompangan hati serta kekeliruan minda. Orang seperti ini mudah terdedah kepada kemungkaran kerana tidak memiliki kesedaran rohaniah.

Kedua, apabila melihat kemungkaran atau perkara tidak baik dilakukan seseorang, perbuatan itu tidak kita sertai. Namun, jauh dalam lubuk hati kita terpancar rasa belas kasihan terhadap apa yang berlaku. Lalu datang gerak hati untuk mendekatinya dengan bijaksana.

Jika pendekatan itu dilakukan bagi mengajaknya kembali ke jalan yang benar, kemungkinan ia akan kembali kepada fitrah hidup semula. Jika kejayaan ini ada, bermakna ia tidak lagi terus melakukan kemungkaran, sebaliknya sudah bersama dengan kita hidup dalam makruf.

Ketiga, berdakwah perlu ada persiapan. Faham akan sasaran, tingkat pemikiran, rasa kesabaran dan kebijaksanaan seperti teladan diri yang baik dan tidak mudah berputus asa. Harus ada sikap setiap yang ingin didakwah ada potensi untuk berubah.

Keempat, kuasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang khususnya ilmu Islam kerana cabaran yang menghadapi masyarakat kini tidak saja rohaniah sifatnya, malah perkembangan ilmu yang menjangkau ke daerah sains dan teknologi.

Ilmu ini harus diolah dengan bijaksana bermula dengan mengukuhkan akidah dan iman, ibadat dan syariah supaya terhasil akhlak yang baik.

Pendekatan dakwah Malaysia bukan sekadar menimbulkan keinsafan pentingnya akhlak mulia disuburkan tetapi dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan, ia mungkin memberikan arah pemahaman yang betul mengenai seni dan budaya supaya kemajuan berlaku sentiasa dalam acuan yang makruf.

Pendakwah dan pendidik harus sentiasa memiliki sikap berlapang dada menerima kritik serta teguran. Jangan mengambil pendekatan radikal yang tidak serasi dengan resam budaya masyarakat dan boleh menyebabkan gerak kerja dakwah menjadi fitnah.

Al-Quran memberikan asas yang mantap mengenai jenis manusia yang ingin kita suburkan. Firman Allah bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (Surah al-Imran, ayat 110)

Ada tiga asas penting dalam ayat ini memberikan pedoman dakwah iaitu pertama, harus diwujudkan kebaikan dalam hidup ini ibarat pohon yang tumbuh dalam kehijauan daun dan kelebatan buah supaya manfaatnya dirasakan yang lain.

Makruf tidak hanya terpancar dalam pekerti diri yang memiliki teladan boleh dicontohi, tetapi mampu tegak dengan kekuatan ilmu yang dapat mengaturkan sistem. Memiliki ilmu muamalah didukung prinsip syariah bakal menjauhkan umat terbabit riba. Ia menuntut tekad politik dan keusahawanan yang tinggi supaya umat terus berada dalam keadaan makruf.

Kedua, tentangan terhadap makruf dilakukan dengan menyuburkan perkara makruf sebanyak mungkin. Jika generasi muda kini ketagih dengan budaya popular Barat, tekad yang tinggi dan kreatif di kalangan ulama, ilmuwan, seniman dan karyawan Islam memberikan alternatif, kemungkinan kecenderungan terhadap kemungkaran dapat dikurangkan.

Bagaimana genre pantun, syair, nazam, qitah, gurindam dan seloka dengan bijaksana dan kreatif disuburkan dan menjadi minat generasi muda membawa mesej mengembalikan mereka ke arah yang lebih fitrah.

Ketiga, maksud beriman kepada Allah tidak hanya membina rasa percaya tetapi keyakinan dan kepercayaan yang didukung oleh ilmu. Tidak dinamakan seseorang itu beriman jika asas percaya yang menyebabkan niat dan perbuatannya menyimpang daripada yang diniatkan.

Syahadahnya lain tetapi pancaran syahadah tidak membayangkan ia percaya mengenai kewujudan dan keperkasaan Allah. Lebih-lebih lagi jika menganut Islam dengan sentimen atau emosi semata-mata.

Orang beriman bukan saja percaya tetapi asas kepercayaan kepada Allah mendorongnya untuk berfikir dan memerhati, mengkaji dan mengakui bahawa Maha Besar dan Perkasa Allah menjadikan alam ini dengan limpahan rahmat dan nikmat.

Dalam keadaan kini amat penting kefahaman pendakwah digilap dan kecerdasan strategi dilakukan supaya umat Islam sentiasa bertindak balas kepada keunggulan tamadun silam dan futuristik terhadap kemajuan serta perubahan yang berlangsung.

Ia bukan perjuangan mudah kerana kehebatan Islam tidak saja dilihat pada ajarannya, malah diukur daripada kecemerlangan diri dan gerak kerja penganutnya yang sentiasa mempamerkan teladan tinggi dan mampu menjadi sumber ikutan terhadap yang lain.

Inilah sebenar risalah nubuwwah supaya Islam mampu dicernakan sebagai agama mendukung maksud rahmat untuk sekalian alam.

Penulis ialah penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah

Ahad, 5 April 2009

Abdullah akan dilihat sejarah seperti Gorbachev



KUALA LUMPUR, 4 April (Hrkh) - Akhbar Straits Times Singapura menyifatkan pemergian Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia meninggalkan jasa yang terlalu sedikit untuk dikenang.

Dari sudut ekonomi, kata akhbar itu, ikrar Abdullah untuk menjadikan kerajaan lebih telus, mengurangkan birokrasi dalam kerajaan dan membasmi rasuah tidak kesampaian dan ia menjadikan daya saing Malaysia sebagai pusat pelaburan rantau ini tidak tercapai.

Projek-projek mega yang dianjurkan Abdullah untuk mencipta pertumbuhan melalui apa yang dipanggil koridor - seperti projek Iskandar di Johor - masih di peringkat awal dan ia boleh terhenti bila-bila masa akibat krisis ekonomi global.

Abdullah telah "disumpah dan diseranah" oleh partinya sendiri yakni Umno atas dua sebab. Pertama kerana persembahan buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang lalu. Dan kedua, kerana membenarkan Dato' Seri Anwar Ibrahim aktif semula dalam politik.

Akan tetapi menurut akhbar itu, dalam beberapa tahun akan datang, pandangan terhadap pencapaian Abdullah mungkin berubah kerana mengikut penganalisis, sejarah akan membuatkan pandangan orang ramai menjadi lebih baik terhadapnya.

Sejarah akan membuatkan Abdullah lebih dilihat seperti Gorbachev, kata seorang diplomat kanan, petik akhbar itu, yang merujuk kepada pemimpin Russia, Mikhail Gorbachev yang melakukan banyak perubahan demokratik di negara itu._

rujukan : www.harakahdaily.net